Harta Qarun masih diburu hingga kini


Harta Qarun masih diburu hingga kini 

Segelintir pihak percaya di suatu lokasi rahsia di Mesir, tersembunyi harta karun melimpah ruah yang masih belum dijumpai mana-mana pemburu harta sehingga kini.

Harta karun itu dipercayai masih kekal terkubur di lokasi rahsianya sejak tenggelam ke perut bumi ribuan tahun lalu dan usaha pihak tertentu untuk mencarinya masih gagal sehingga kini.

Kisah kewujudan harta itu adalah sahih lantaran dinyatakan Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 76-81 yang bermaksud: "Sesungguhnya Qarun adalah kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka dan Kami telah mengurniakannya daripada pelbagai jenis kekayaan yang anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: Janganlah engkau bermegah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang bermegah (seperti lagakmu itu).

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) daripada dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah ruah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan."

"Qarun menjawab (dengan sombongnya): Aku diberikan harta kekayaan ini hanya disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku. (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah dia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, daripada umat yang lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan? Dan (ingatlah) orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).

"Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik.

"Dan berkata pula orang yang diberi ilmu (antara mereka): Janganlah kamu berkata demikian, pahala daripada Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar.

"Lalu Kami timbuskan dia bersama rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya daripada azab Allah dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri".

Kisah al-Quran itu meyakinkan segelintir pihak bahawa Qarun ditenggelamkan ke dalam tanah bersama harta kekayaannya. Tanggapan itu kemudian menjadi pencetus semangat untuk mereka menjejaki lokasi Qarun ditenggelamkan dengan harapan dapat menjumpai harta lelaki terbabit. Mengikut riwayat silam dan kepercayaan masyarakat setempat, tempat tinggal Qarun dikenal pasti terletak di Al-Fayyum iaitu sekitar 90 kilometer dari Kaherah, Mesir.

Di daerah itu, terdapat danau besar dikenali sebagai Tasik Qarun. Penduduk sekitar tasik amat yakin di situlah Qarun ditenggelamkan bersama hartanya. Menurut buku Jejak Ketamadunan Dalam Islam, kajian geologi pernah dilakukan penyelidik Barat sekitar tasik itu dan hasilnya, mereka mendapati pernah berlaku gempa dahsyat di lokasi terbabit pada zaman dahulu.

Hasil kajian itu ternyata bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Qasas dan semakin meyakinkan ramai pihak bahawa Qarun dan hartanya ditelan bumi dalam gempa yang berlaku di lokasi itu pada ribuan tahun lalu. Bagaimanapun, usaha mencari kesan arkeologi tinggalan Qarun di tasik itu amat mencabar lantaran teramat luas iaitu sepanjang 30 kilometer, lebar sekitar 10 kilometer manakala kedalamannya sehingga 40 meter.

Penduduk sekitar Tasik Qarun percaya harta Qarun tersembunyi di dasar tasik tetapi dijaga 'makhluk' tertentu menyebabkan cubaan mencari kekayaan itu tidak pernah berjaya. Sekitar 1980 -an, tersebar khabar angin kononnya harta Qarun hanya akan muncul selepas 200 kanak-kanak dikorbankan. Khabar angin itu mencetuskan panik sehingga ibu bapa mengurung anak mereka kerana khuatir diculik pemburu harta. Walaupun harta Qarun tidak ditemui, bukti kekayaan tokoh antogonis itu dapat dilihat apabila satu daripada istana Qarun dikatakan masih wujud sehingga kini.

Istana terletak kira-kira dua kilometer dari Tasik Qarun itu dibina dengan hebat, berseni dan banyak bilik. Bagaimanapun, istana itu dikatakan belum habis digali. Banyak bilik dan ruang bawah tanah yang belum diteroka. Walaupun ramai pihak terutama penduduk setempat meyakini Al-Fayyum menjadi lokasi Qarun bersama hartanya ditenggelamkan, ada juga pihak berpendapat kejadian itu berlaku di tempat lain.

Sehingga kini, lokasi sebenar harta Qarun masih menjadi teka-teki tetapi legenda dan iktibar menimpa tokoh zaman Nabi Musa itu terus kekal diingati terutama dalam budaya Melayu.

Demi mengenangkan kisah Qarun yang tamakkan harta dunia sehingga mengabaikan perintah Allah, maka semua harta silam yang dijumpai akan disebut sebagai 'harta karun' oleh masyarakat Melayu.

Kredit/Sumber: bharian.com.my

Kisah Nabi Muhammad Bertemu Malam Lailatul Qadar


Kisah Nabi Muhammad Bertemu Malam Lailatul Qadar

Dalam 10 malam terakhir bulan Ramadhan ini, tersembunyi satu malam iaitu malam al-Qadar yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh orang mukmin yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan yang dikurniakan oleh Allah سبحانه وتعالى buat hambaNya.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ sedang duduk i’tikaf semalaman suntuk pada hari-hari terakhir Bulan Suci Ramadhan. Para sahabat pun mengikuti apa yang dilakukan Nabi ﷺ ini. Baginda berdiri solat, mereka juga solat, baginda menadahkan tangannya untuk berdoa dan para sahabat pun turut mengaminkannya.

Ketika itu langit mendung, angin pun meniup tubuh-tubuh yang memenuhi masjid. Dalam riwayat tersebut malam itu adalah malam ganjil dari bulan Ramadhan. Semasa Rasulullah ﷺ dan para sahabat sujud, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Masjid yang tidak berbumbung itu basah dipenuhi air hujan.

Salah seorang sahabat ada yang ingin membatalkan solatnya dengan niat ingin berteduh dan lari dari saf, namun niat itu dibatalkan selepas dia melihat Rasulullah ﷺ dan para sahabat yang lain tetap sujud dengan khusyuk tidak bergerak.

Air hujan semakin memenuhi seluruh masjid dan membasahi seluruh tubuh Rasulullah ﷺ serta para sahabatnya yang berada di dalam masjid tersebut, akan tetapi Rasulullah ﷺ dan para sahabat tetap sujud dan tidak berganjak sedikitpun dari tempatnya.

Rasulullah ﷺ basah kuyup dalam sujud. Namun sama sekali tidak bergerak seolah-olah Baginda sedang asyik masuk ke dalam suatu alam yang melupakan segala-galanya. Baginda ﷺ sedang masuk ke dalam suatu alam keindahan. Baginda sedang diliputi oleh cahaya Ilahi. Baginda takut keindahan yang baginda saksikan ini akan hilang jika Baginda bergerak dari sujudnya.

Baginda ﷺ takut cahaya itu akan hilang jika Baginda mengangkat kepalanya. Rasulullah ﷺ terpaku lama sekali di dalam sujudnya. Beberapa sahabat ada yang menggigil kedinginan. Ketika Rasulullah ﷺ mengangkat kepala dan mengakhiri solatnya, hujan pun berhenti seketika.

Anas bin Malik, sahabat Rasulullah ﷺ bangun dari tempat duduknya dan berlari ingin mengambil pakaian kering untuk Rasulullah ﷺ. Namun baginda mencegahnya dan berkata; “Wahai Anas bin Malik, janganlah engkau mengambilkan sesuatu untukku, biarkanlah kita sama-sama basah, nanti juga pakaian kita akan kering dengan sendirinya.”

Anas pun duduk kembali dan mendengar dengan khusyuk cerita Rasulullah ﷺ mengapa baginda begitu lama bersujud.

Masya Allah …. ternyata sebentar tadi Rasulullah ﷺ dan ketika hujan mulai turun, disaat itu juga malaikat di bawah pimpinan Jibril turun dalam keindahan dan bentuk asalnya. Mereka berbaris rapi dengan suara gemuruh tasbih dan tahmid mereka bergema di langit dan di bumi serta alam semesta ketika itu dipenuhi dengan cahaya Ilahi.

Inilah yang membuat Rasulullah ﷺ terpaku menyaksikan keindahan dan cahaya yang sama sekali tidak pernah dilihat. Gema tasbih dan tahmid malaikat yang tak pernah didengar oleh telinga sambil memohon keampunan kepada Allah bagi sesiapa yang menghidupkan malam tersebut dalam suasana yang tidak pernah dibayangkan oleh fikiran manusia. Itulah Lailatul Qadar ….

ALLAH سبحانه وتعالى berfirman,

إِنَّآ أَنزَلْنَـٰهُ فِى لَيْلَةِ ٱلْقَدْرِ ﴿١﴾ وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ ﴿٢﴾ لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ ﴿٣﴾ تَنَزَّلُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ ﴿٤﴾ سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ ٱلْفَجْرِ ﴿٥﴾

“Sesungguhnya KAMI telah turunkan pada malam kemuliaan. Dan, tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun para malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan; Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.” (Surah Al-Qadr: Ayat 1-5)

Kredit/Sumber: shafiqolbu.wordpress.com

Tempat roh berhimpun selepas kematian


Tempat roh berhimpun selepas kematian

SELEPAS kematian, di mana tempat berkumpulnya roh orang beriman dan orang kafir?

Di dalam buku Teman di Barzakh kupasan kitab Ziarah Ke Alam Barzakh karya Al-Imam Jalaluddin as-Suyuthi menyatakan Abdullah ibnu ‘Amr ibnu al-’As iaitu salah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW pernah ditanya oleh seseorang berkenaan hal itu.

Beliau menjawab, roh orang beriman berada di dalam burung yang berwarna putih di bawah naungan Arasy Allah SWT dalam keadaan bersujud kepada-Nya. Setiap roh itu tidak berada di dalam satu tempat. Ada yang ditempatkan di dalam burung berwarna putih dan ada yang ditempatkan di dalam burung berwarna hijau berterbangan di dalam syurga Allah SWT.

Sementara itu, roh orang kafir ditempatkan di dalam bumi di lapisan ketujuh. Selepas nyawa seseorang dicabut, roh orang Mukmin akan dibawa melintasi roh orang yang beriman dan orang kafir. Ketika itu, akan berlaku sapa-menyapa dan bertanya khabar antara mereka. Ketika melintasi kumpulan roh orang beriman, kumpulan roh beriman itu bertanya hal keadaan sahabat mereka.

Sekiranya roh itu menjawab sahabat mereka sudah meninggal dunia, mereka akan menjawab roh si fulan sudah dihantar ke bawah iaitu lapisan bumi ketujuh. Itu bermaksud, roh berkenaan ditempatkan bersama-sama orang kafir. Apabila melintasi kum-pulan roh orang kafir, roh berkenaan akan bertanya keadaan kenalan mereka.

Jika roh itu menjawab si fulan sudah meninggal dunia, maka mereka membalas: “Sesungguhnya si fulan itu sudah dinaikkan ke bahagian atas” iaitu roh itu ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Di dalam satu riwayat daripada Abdullah ibnu Umar menyatakan, roh itu akan ditempatkan di dua tempat di dunia.

Jika roh itu dalam golongan orang baik, ia ditempatkan di Jabiyah iaitu lokasinya dikatakan berada di Syam. Ulama turut menyatakan, Syam adalah gabungan empat negara iaitu Palestin, Jordan, Lubnan dan Syria.

Roh orang kafir pula ditempatkan di satu lembah dinamakan Barhut yang dikatakan terletak di Yaman. Ali ibnu Abi Talib r.a sebagaimana dituturkan oleh Abu Bakar an-Najjad menyatakan, “Sebaik-baik lembah manusia adalah lembah Makkah. Seburuk-buruk lembah manusia adalah lembah al-Ahqaf, suatu lembah yang terdapat di Hadramaut yang dinamakan Barhut. Di dalamnya berkumpul arwah orang kafir.”

Menurut riwayat lain, Saidina Ali ibnu Abi Talib mengatakan, roh orang beriman semuanya ditempatkan di sumur zamzam iaitu Makkah. Bagaimanapun, apa yang tersirat daripada riwayat itu adalah roh orang beriman semuanya di tempat yang baik. Ibnu Jarir dalam tafsirnya menuturkan riwayat daripada Muhammad ibnu ‘Awf ath Thai’i yang diterimanya daripada Abu Mughirah.

Abu Mughirah mendengar daripada Safwan. Safwan pernah bertanya kepada Amir ibnu Abdillah di Yaman, “Apakah arwah orang yang beriman itu berkumpul?” Ibn Abdillah menunjuk ke bumi lalu membacakan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Luh Mahfuz: ‘Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh.’” (Surah al-Anbiyaa’, ayat 105)

Selepas itu, beliau berkata: “Itulah bumi tempat berkumpul arwah orang yang beriman sehingga hari kebangkitan.”

Kredit/Sumber: hmetro.com.my

Sayidatina Fatimah, Penghulu Wanita Di Syurga


Sayidatina Fatimah, Penghulu Wanita Di Syurga

Dia membesar dalam suasana kesusahan. Bondanya pergi ketika usianya terlalu muda dan masih memerlukan kasih sayang seorang ibu. Sejak itu, dialah yang mengambil alih tugas menguruskan rumahtangga seperti memasak, mencuci, mengemas rumah dan menguruskan keperluan ayahandanya.

Di sebalik kesibukan itu, dia juga adalah seorang yang paling kuat beribadah. Keletihan yang ditanggung akibat seharian bekerja menggantikan tugas ibunya yang telah pergi itu, tidak pula menghalang Sayidatina Fatimah daripada bermunajata dan beribadah kepada Allah SWT. Malam- malam yang dilalui, diisi dengan tahajud, zikir dan siangnya pula dengan sembahyang, puasa, membaca Al Quran dan lain-lain. Setiap hari, suara halusnya mengalunkan irama Al Quran.

Di waktu umurnya mencapai 18 tahun, dia dikahwinkan dengan pemuda yang sangat miskin hidupnya. Bahkan oleh kemiskinan itu, untuk membayar mas kahwin pun suaminya tidak mampu lalu dibantu oleh Rasulullah SAW. Setelah berkahwin kehidupannya berjalan dalam suasana yang amat sederhana, gigih dan penuh ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Digelar Singa Allah, suaminya Sayidina Ali merupakan orang kepercayaan Rasulullah SAW yang diamanahkan untuk berada di barisan hadapan dalam bala tentera Islam. Lalu, seringlah Sayidatina Fatimah ditinggalkan oleh suaminya yang pergi berperang untuk berbulan-bulan lamanya. Namun dia tetap redha dengan suaminya. Isteri mana yang tidak mengharapkan belaian mesra daripada seorang suami. Namun bagi Sayidatina Fatimah r.ha, saat-saat berjauhan dengan suami adalah satu kesempatan berdampingan dengan Allah SWT untuk mencari kasih-Nya, melalui ibadah-ibadah yang dibangunkan.

Sepanjang pemergian Sayidina Ali itu, hanya anak-anak yang masih kecil menjadi temannya. Nafkah untuk dirinya dan anak-anaknya Hassan, Hussin, Muhsin, Zainab dan Umi Kalsum diusahakan sendiri. Untuk mendapatkan air, berjalanlah dia sejauh hampir dua batu dan mencedoknya dari perigi yang 40 hasta dalamnya, di tengah bahang mentari padang pasir yang terik. Kadangkala dia berlapar sepanjang hari. Sering pula dia berpuasa dan tubuhnya sangat kurus hingga menampakkan tulang di dadanya.

Pernah suatu hari, sedang dia tekun bekerja di sisi batu pengisar gandum, Rasulullah datang berkunjung ke rumahnya. Sayidatina Fatimah yang amat keletihan ketika itu lalu meceritakan keperitan hidupnya itu kepada Rasulullah SAW. Betapa dirinya teruk bekerja, mengisar tepung, mengangkat air, memasak serta melayan anak-anak. Dia berharap agar Rasulullah dapat menyampaikan kepada Sayidina Ali, kalau mungkin boleh disediakan untuknya seorang pembantu rumah. Rasulullah saw merasa belas terhadap penanggungan anakandanya itu. Namun baginda amat tahu, sesungguhnya Allah memang menghendaki kesusahan bagi hamba-Nya sewaktu di dunia untuk membeli kesenangan di akhirat. Mereka yang rela bersusah payah dengan ujian di dunia demi mengharapkan keredhaan-Nya, mereka inilah yang mendapat tempat di sisi-Nya.

Lalu dipujuknya Fatimah r.ha sambil memberikan harapan dengan janji-janji Allah. Baginda mengajarkan zikir, tahmid dan takbir yang apabila diamalkan, segala penanggungan dan bebanan hidup akan terasa ringan. Ketaatannya kepada Sayidina Ali menyebabkan Allah SWT mengangkat darjatnya. Sayidatina Fatimah tidak pernah mengeluh dengan kekurangan dan kemiskinan keluarga mereka. Tidak juga dia meminta-minta hingga menyusah-nyusahkan suaminya.

Dalam pada itu, kemiskinan tidak menghilang Sayidatina Fatimah untuk selalu bersedekah. Dia tidak sanggup untuk kenyang sendiri apabila ada orang lain yang kelaparan. Dia tidak rela hidup senang dikala orang lain menderita. Bahkan dia tidak pernah membiarkan pengemis melangkah dari pintu rumahnya tanpa memberikan sesuatu meskipun dirinya sendiri sering kelaparan. Memang cocok sekali pasangan Sayidina Ali ini kerana Sayidina Ali sendiri lantaran kemurahan hatinya sehingga digelar sebagai 'Bapa kepada janda dan anak yatim' di Madinah.

Namun, pernah suatu hari, Sayidina Fatimah telah menyebabkan Sayidina Ali tersentuh hati dengan kata-katanya. Menyedari kesilapannya, Sayidatina Fatimah segera meminta maaf berulang-ulang kali. Apabila dilihatnya air muka suaminya tidak juga berubah, lalu dengan berlari-lari anak dia mengelilingi Sayidina Ali. Tujuh puluh kali dia 'tawaf' sambil merayu-rayu memohon dimaafkan. Melihatkan aksi Sayidatina Fatimah itu, tersenyumlah Sayidina Ali lantas memaafkan isterinya itu.

"Wahai Fatimah, kalaulah dikala itu engkau mati sedang Ali tidak memaafkanmu, nescaya aku tidak akan menyembahyangkan jenazahmu," Rasulullah SAW memberi amaran kepada puterinya itu apabila perkara itu sampai ke pengetahuan baginda. Begitu sekali kedudukan seorang suami yang ditetapkan Allah SWT sebagai pemimpin bagi seorang isteri. Betapa seorang isteri itu perlu berhati-hati dan sangat berhalus di saat berdepan dengan suami. Apa yang dilakukan Sayidina Fatimah itu bukanlah disengajakan. Apatah lagi, bukan juga dia merungut-rungut, marah-marah, meninggi suara, bermasam muka, merajuk atau lain-lain keranah yang menyusahkan Sayidina Ali k.w. Pun Rasulullah SAW berkata begitu terhadapnya.

Semasa perang Uhud, Sayidatina Fatimah telah turut sama merawat luka Rasulullah. Dia juga turut bersama Rasulullah semasa peristiwa penawanan Kota Makkah dan ketika ayahandanya mengerjakan 'Haji Wida' pada akhir tahun 11 Hijrah. Dalam perjalanan haji terakhir ini Rasulullah SAW telah jatuh sakit. Sayidatina Fatimah tetap di sisi ayahandanya. Ketika itu Rasulullah membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah r.ha yang membuatkannya menangis, kemudian Nabi SAW membisikkan sesuatu lagi yang membuatkannya tersenyum.

Dia menangis kerana ayahandanya telah membisikkan kepadanya berita kematian baginda. Namun, sewaktu ayahandanya menyatakan bahawa dialah orang pertama yang akan berkumpul dengan baginda di alam baqa', gembiralah hatinya. Sayidatina Fatimah meninggal dunia enam bulan setelah kewafatan Nabi SAW, dalam usia 28 tahun dan dimakamkan di Perkuburan Baqi', Madinah.

Begitu sekali wanita yang utama, agung dan namanya harum tercatat dalam al-Quran, disusah-susahkan hidupnya oleh Allah SWT. Sengaja dibuat begitu oleh Allah kerana Dia tahu bahawa dengan kesusahan itu, hamba-Nya akan lebih hampir kepada-Nya. Begitulah juga dengan kehidupan wanita-wanita agung yang lain. Mereka tidak sempat berlaku sombong serta membangga diri atau bersenang-senang. Sebaliknya, dengan kesusahan-kesusahan itulah mereka dididik oleh Allah untuk sentiasa merasa sabar, redha, takut dengan dosa, tawadhuk (merendah diri), tawakkal dan lain-lain. Ujian-ujian itulah yang sangat mendidik mereka agar bertaqwa kepada Allah SWT. Justeru, wanita yang berjaya di dunia dan di akhirat adalah wanita yang hatinya dekat dengan Allah, merasa terhibur dalam melakukan ketaatan terhadap-Nya, dan amat bersungguh-sungguh menjauhi larangan-Nya, biarpun diri mereka menderita.

Kredit/Sumber: jaipk.perak.gov.my

Keindahan bilik & Sungai Syurga


Keindahan bilik & Sungai Syurga

RASULULLAH SAW menggambarkan bilik-bilik yang terdapat di dalam syurga sangat indah dan cantik, di dalam keadaan terapung-apung di awangan dan kedudukannya menjulang tinggi ke langit sejauh 60 hasta dari permukaan lantainya. Bagi orang-orang yang bertakwa ditempatkan di dalam bilik yang tinggi dan dibawahnya mengalir anak-anak sungai yang indah sebagaimana yang dijanjikan Allah SWT. Selain itu penghuni syurga berada di tempat yang penuh ketenangan, manakala di dalam setiap bilik itu ditempatkan bidadari yang sangat cantik di dalam khemah-khemah di bilik tersebut, sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Rahman, ayat ke 70-72: “Dalam kedua-dua Syurga itu juga terdapat (teman-teman) yang baik akhlaknya, lagi cantik parasnya; Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? Ia itu bidadari-bidadari, yang hanya tinggal tetap di tempat tinggal masing-masing…”

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm pada minggu ini, menerangkan bahawa Imam Ahmad meriwayatkan daripada Sahl bin Saad, Rasulullah SAW bersabda, “Ahli-ahli syurga ini, apabila dia masuk sahaja ke dalam syurga dan ke bilik-biliknya, bagaikan ahli dunia yang melihat bintang-bintang yang bertaburan di langit.” Imam Ahmad juga pernah meriwayatkan, Abu Hurairah bertanya kepada Baginda,“Ya Rasulullah, jika kami boleh melihat kamu maka tenanglah hati kami dan menjadi ahli-ahli akhirat, tetapi saat kami berpisah denganmu maka kami hanyut dengan dunia yang menyebabkan kami lena dengan anak-anak dan isteri kami yang sering meracuni kami. Lalu Baginda menjawab, “Kalian ini tetap seperti ketika bersamaku walau dalam keadaan apa sekalipun. Malaikat akan berjabat tangan dengan kalian dan tangan-tangan mereka dan menziarahi kalian di rumah-rumah kalian. Jika kalian duduk denganku dan boleh ingat kepada Allah, mengapa apabila duduk bersama keluarga kalian tidak boleh mengingati Allah? Kerana nanti para malaikat akan datang merahmati dan mendoakan kalian, walaupun kalian berada di rumah. Seandainya kalian tidak pernah berdosa, Allah akan datangkan kaum yang melakukan dosa supaya Allah dapat mengampuni mereka.”

Kemudian para sahabat berkata, “Ya Rasulullah, ceritakanlah kepada kami tentang syurga, bagaimana bentuk bangunan-bangunannya?” Baginda menceritakan batu-batanya diperbuat daripada emas dan perak, campuran simennya daripada minyak kasturi, kerikilnya daripada mutiara dan yakut. Tanahnya daripada za’faran dan sesiapa yang memasuki syurga akan bersenang-senang dan tidak akan susah, kekal dan tidak mati. Pakaian penghuni syurga tidak akan lusuh dan usia menjadi muda dan tidak akan punah ranah. Seterusnya Rasulullah berkata, tiga kelompok manusia yang doanya tidak pernah ditolak ialah pemerintah yang adil, orang yang berpuasa hingga tiba waktu berbuka dan doa orang-orang yang teraniaya. Doa itu dibawa awan lalu dibuka pintu-pintu langit dan Rabb tabaraka wataala menyebut, “Demi kehormatan-Ku, aku akan menolong walaupun tertunda doa kamu dimustajabkan oleh Allah. Aku akan menjawab setiap doa yang kamu pohon itu, akan sampai kepada-Ku. Adapun firman Allah sungai-sungai yang mengalir dibawahnya itu tanpa ada lubang-lubang di dalamnya.”

Rasulullah sering menceritakan kepada para sahabat betapa indahnya syurga untuk memberi rangsangan kepada mereka. Pernah seorang tua Arab Badawi berkata kepada Baginda, “Ya Rasulullah, cerita-cerita kamu tentang bilik-bilik di dalam syurga ini, milik siapakah ya Rasulullah?” Baginda menjawab bahawa semuanya milik orang yang baik perkataannya, dan menjaga tutur katanya. Oleh itu elakkan menyebut perkataan yang tidak baik, jangan biasakan mulut dengan menyebut kalimah-kalimah yang boleh menyakiti hati orang yang mendengarnya dan jangan suka menulis perkara-perkara yang buruk dan caci-maki hingga menyebabkan akhirnya kita tidak melayakkan diri untuk menghuni syurga Allah.

Selain itu orang yang suka memberi makan orang lain berhak memasuki syurga. Begitu juga golongan manusia yang solat pada waktu malam sedangkan manusia lain sedang nyenyak tidur. Saidina Ali pernah meriwayatkan Rasulullah menceritakan bahawa cantiknya syurga sehinggakan orang yang di luar boleh melihat orang di dalam dan orang di dalam boleh melihat orang di luar. Allah menyediakan syurga yang cantik sehingga jelas kelihatan butiran-butiran di dalamnya untuk manusia yang suka mengajak orang lain makan, orang yang lembut tutur katanya, orang yang sentiasa menjaga puasanya dan orang yang rajin berjaga malam di saat orang lain sedang tidur.

Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Qais, Rasulullah SAW bersabda, bagi orang mukmin Allah sediakan bilik-bilik yang indah di dalam syurga dalam keadaan mutiara yang menjulang tinggi, jaraknya sepanjang 60 hasta dan ia memiliki keluarga-keluarga yang bergilir-gilir memasuki bilik itu tanpa dapat dilihat oleh orang lain. Ummu Habibah meriwayatkan Rasulullah pernah bersabda, “Sesiapa yang rajin mengerjakan solat sunat 12 rakaat sehari semalam, Allah akan binakan istana yang indah untuknya di dalam syurga.” Manakala Uthman bin Affan menyebut Rasulullah bersabda, “Sesiapa yang telah membina masjid di atas dunia untuk mengharapkan keredaan Allah, Allah akan bina secantik itulah istana untuknya di dalam syurga.”

Kredit/Sumber: ikimfm.my

Iblis Datang Mengganggu Ketika Sakaratul Maut


Iblis Datang Mengganggu Ketika Sakaratul Maut

Syaitan dan Iblis akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hinggalah ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut. Iblis mengganggu manusia sewaktu sakaratul maut disusun menjadi 7 golongan dan rombongan. Hadith Rasulullah SAW. menerangkan:
Yang bermaksud: “Ya Allah aku berlindung dengan Engkau daripada perdayaan syaitan di waktu maut."


Rombongan 1

Akan datang Iblis dengan banyaknya dengan berbagai rupa yang pelik dan aneh seperti emas, perak dan lain-lain, serta sebagai makanan dan minuman yang lazat-lazat. Maka disebabkan orang yang di dalam sakaratul maut itu di masa hidupnya sangat tamak dan loba kepada barang-barang tersebut, maka diraba dan disentuhnya barangan Iblis itu, di waktu itu nyawanya putus dari tubuh. Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa kepada Allah SWT inilah jenis mati fasik dan munafik, ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 2

Akan datang Iblis kepada orang yang didalam sakaratul maut itu merupakan diri sebagai rupa binatang yang di takuti seperti, Harimau, Singa, Ular dan Kala yang berbisa. Maka Apabila yang sedang didalam sakaratul maut itu memandangnya saja kepada binatang itu, maka dia pun meraung dan melompat sekuat hati. Maka seketika itu juga akan putuslah nyawa itu dari badannya, maka matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati dalam keadaan lupa kepada Allah SWT, matinya itu sebagai Fasik dan Munafik dan ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 3

Akan datang Iblis mengacau dan memperdayakan orang yang di dalam sakaratul maut itu dengan merupakan dirinya kepada binatang yang menjadi minat kepada orang yang hendak mati itu, kalau orang yang hendak mati itu berminat kepada burung, maka dirupai dengan burung, dan jika dia minat dengan Kuda lumba untuk berjudi, maka dirupakan dengan Kuda lumba (judi). Jika dia minat dengan dengan ayam sabung, maka dirupakan dengan ayam sabung yang cantik. Apabila tangan orang yang hendak mati itu meraba-raba kepada binatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba itu dia pun mati, maka matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa kepada Allah SWT. Matinya itu mati Fasik dan Munafik, maka nerakalah tempatnya.

Rombongan 4

Akan datang Iblis merupakan dirinya sebagai rupa yang paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika hidupnya dahulu maka orang yang di dalam sakaratul maut itu akan menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya itu. Maka sewaktu itulah maut pun datang dan matilah ia sebagai mati Fasik dan Munafik, dan nerakalah tempatnya

Rombongan 5

Akan datang Iblis merupakan dirinya dengan rupa sanak-saudara yang hendak mati itu, seperi ayah ibunya dengan membawa makanan dan minuman, sedangkan orang yang di dalam sakaratul maut itu sangat mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan dan minuman yang dibawa oleh si ayah dan si ibu yang dirupai oleh Iblis, berkata dengan rayu-merayu “Wahai anakku inilah sahaja makanan dan bekalan yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga." Maka dia pun sudi mengikut pelawaan itu dengan tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya pun sampai maka matilah dia di dalam keadaan kafir, kekal ia di dalam neraka dan terhapuslah semua amal kebajikan semasa hidupnya.

Rombongan 6

Akan datanglah Iblis merupakan dirinya sebagai ulamak-ulamak yang membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia: “Wahai muridku, lamalah sudah kami menunggu akan dikau, berbagai ceruk telah kami pergi, rupanya kamu sedang sakit di sini, oleh itu kami bawakan kepada kamu doktor dan bomoh bersama dengan ubat untukmu." Lalu diminumnya ubat, itu maka hilanglah rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang kembali. Lalu datanglah pula Iblis yang menyerupai ulamak dengan berkata: “Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat agar kamu mati didalam keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?" Berkata orang yang sedang dalam sakaratul maut: “Aku tidak tahu." Berkata ulamak Iblis: “Ketahuilah, aku ini adalah seorang ulamak yang tinggi dan hebat, baru sahaja kembali dari alam ghaib dan telah mendapat syurga yang tinggi.

Cubalah kamu lihat syurga yang telah disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah SWT hendaklah kamu patuh kepada kami." Ketika itu orang yang dalam sakaratul maut itu pun memandang ke kanan dan ke kiri, dan dilihatnya sanak-saudaranya semuanya berada di dalam kesenangan syurga, (syurga palsu yang dibentangkan oleh Iblis bagi tujuan mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut). Kemudian orang yang sedang dalam sakaratul maut itu bertanya kepada ulamak palsu: “Bagaimanakah Zat Allah?" Iblis merasa gembira apabila jeratnya mengena. Lalu berkata ulamak palsu: “Tunggu, sebentar lagi dinding dan tirai akan dibuka kepadamu." Apabila tirai dibuka selapis demi selapis tirai yang berwarna warni itu, maka orang yang dalam sakaratul maut itu pun dapat melihat satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan bumi.

Rombongan 7

Rombongan Iblis yang ketujuh ini Iblis terdiri dari 72 barisan sebab menjadi 72 barisan ialah kerana dia menepati Iktikad Muhammad SAW bahawa umat Muhammad akan terbahagi kepada 73 puak (barisan). Satu puak sahaja yang benar (ahli sunnah waljamaah) 72 lagi masuk ke neraka kerana sesat. Ketahuilah bahawa Iblis itu akan mengacau dan mengganggu anak Adam dengan 72 macam yang setiap satu berlain di dalam waktu manusia sakaratul maut. Oleh itu hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang hampir meninggal dunia akan talkin Laa Ilaaha Illallah untuk menyelamatkan dirinya dari gangguan Iblis dan syaitan yang akan berusaha bersungguh-sungguh mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut. Bersesuaian dengan sebuah hadith yang bermaksud: “Ajarkan oleh kamu (orang yang masih hidup) kepada orang yang hampir mati itu: Laa Ilaaha Illallah."

Kredit/Sumber: jaipk.perak.gov.my
Please Subscribe my youtube channel. Tq.

Translate

CLOSE