-: gangguan makhluk halus

Tajuk/Title*:gangguan makhluk halus
Cerita/Story*:sy adalah seorang janda yg mempunyai anak permpuan 1 org.sudah hampir 5 tahun sy sakit dan sudah byk tempat sy berobat.tp sampai sekarang blm jg sembuh.penyakit yg sy alami,gangguan itu selalu datang bila2 masa.dia mengganggu terutama di tempat sulit dan seluruh badan.kalau sy marah,gangguan itu bertambah kuat,badan sy panas seperti dibakar,walaupun kipas sudah dipasang ke no 5 tetap jg panas.kalau sy mau ambil wudhu,hidung bersin2 terus dan keluar ingus.kalau waktu subuh mau ke tandas badan terasa sejuk seram seperti di tiup dan akhirnya sy merasa takut dg air.dan sekarang sy sudah tidak berobat kemana2 lg,karena sdh tak ada uang.walaupun gangguan itu masih ada sampai sekarang,sy hanya pasrah saja.sy berserah kepadanya dan berdo'a semoga suatu hari nanti ada keajaiban.
Daripada/From*:nasyilla

Kisah nabi Yaakub dan Wahyu dalam mimpi


Kisah nabi Yaakub dan Wahyu dalam mimpi

PADA satu hari, Nabi Yaakub pergi menemui bapanya iaitu Nabi Ishak yang ketika itu sudah sangat tua, sudah berkedut kulitnya dan bongkok.


Yaakub berkata kepada bapanya: "Ya, bapaku! Aku datang mengadu tentang kedengkian saudaraku sendiri dengan harapan agar dia dinasihati dan diajar oleh bapa. "Sejak aku dipelihara bapa selalu mendoakan agar aku mendapat berkat, menjadi keturunan bapa yang baik, menjadi raja yang turun-temurun dan hidup bahagia.

"Sejak itulah saudaraku berasa dengki denganku bahkan kadang-kadang aku dihina, diancam dengan pelbagai ancaman sehingga putuslah tali kasih dan persaudaraan antara kami berdua.

"Maka hilang sama sekali rasa kasih dan sayang. Lebih-lebih lagi, saya merasa tidak tahan dengan sikap sombongnya dengan dua orang isterinya yang cantik yang berasal dari Kanan itu, dengan anaknya yang ramai sedangkan saya tidak mempunyai isteri dan anak dan tiada pula harta. "Aku mengadu semua keluhanku ini kepada bapa, agar bapa dapat menetapkan hukum antara saya dan dia dengan hukum yang baik.

"Bapa selalu mendapat wahyu daripada Allah, sentiasa mempunyai pemandangan dan fikiran yang dalam." Mendengar pengaduan dan keluhan itu, Nabi Ishak lalu menjawab: "Aku sedih mendengar ceritamu itu wahai anakku, sedang aku sudah begini tua pula, lihatlah janggutku yang putih, kulitku yang berkedut, aku sudah sangat tua dan tidak kuat lagi dan tidak lama lagi aku terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada dunia ini seluruhnya. "Alangkah sedihnya aku, kalau mati dalam kesedihan daripada ceritamu itu. Alangkah sedihnya aku, sekiranya aku mati dan kamu tidak berbaik dengan saudaramu itu. 

"Aku nasihatkan kepadamu agar engkau berangkat saja ke negeri Faddan Aram di Irak di mana engkau tinggal bapa saudara yang bernama Laban bin Batwail. "Kahwinlah dengan salah satu dari anak perempuannya, engkau akan mendapat kesenangan dan kebahagiaan. Kemudian kembalilah engkau ke negeri ini (Syam). "Aku doakan engkau dapat mengatasi ejekan saudara engkau dan mendapat keturunan yang lebih baik dari keturunan dan anak-anaknya. "Mudah mudahan Allah akan memelihara dan menjaga engkau dan rakyatmu." Nasihat bapanya itu masuk dalam hatinya dan dapat menenangkan jiwanya yang gelisah itu. 

Dia akan menuju ke negeri Faddan Aram iaitu negeri nenek moyangnya sendiri. Lalu dia mengucapkan selamat tinggal kepada bapanya yang sudah sangat tua itu serta mendoakannya kepada Allah, mudah-mudahan Allah akan memanjangkan umurnya dan memeliharanya daripada segala bencana. Yaakub mula menempuh Padang Sahara yang luas dan tandus dengan berjalan kaki, siang dan malam tanpa henti menuju ke tempat yang dimaksudkan bapanya itu. Setiap kali Baginda kepenatan, lapar dan ditimpa kesusahan, teringatlah Baginda cita-cita dan harapan yang diberi bapanya kepadanya sebelum berangkat sehingga hilanglah susah dan payahnya dan Baginda meneruskan perjalanan. 

Pada suatu hari, di satu tempat, di tengah-tengah padang pasir yang luas matahari menyinari bumi dengan sinar cahaya yang sangat panas sehingga pasir pasir itu menjadi api layaknya, angin yang mendinginkan badan sekarang berganti menjadi bertambah panasnya badan. Nabi Yaakub seakan akan tidak berkuasa lagi melangkahkan kakinya sedang di hadapannya terbentang padang pasir yang luas dan tandus. Di situlah Baginda merasakan amat susahnya berjalan, haus dan lapar yang tidak terhingga sehingga Baginda terhenti dari melangkah.

Apakah Baginda sanggup meneruskan perjalanan yang memenatkan itu atau Baginda terpaksa pulang kembali? Ketika termenung Baginda melihat batu besar yang mempunyai sedikit bayang lindungan cahaya matahari yang sedang terik. Baginda menghampiri batu besar itu lalu duduk berhenti di bawah naungan itu untuk melepaskan lelah, mendinginkan kakinya yang sudah panas dan letih itu, lantas Baginda tertidur. Dalam tidur seketika itulah datang kepadanya mimpi yang benar, wahyu yang pertama daripada Allah yang mengangkat baginda sebagai Nabi.

Dalam mimpi itu, Allah ilhamkan ke dalam hatinya bahawa Baginda akan menemui hidup bahagia, akan mendapat kerajaan yang besar, keturunan yang baik, mendapat Kitab daripada Allah sebagai Nabi dan Rasul Allah. Setelah terjaga daripada tidurnya itu, Baginda kembali bertenaga. Di hadapannya padang harapan yang luas seluas-luasnya. Baginda melangkah kaki menuju tempat yang dicita-citakannya. Beberapa hari kemudian, sampailah Baginda di tempat bernama Sawadimah iaitu dusun pertama termasuk negeri yang didiami oleh bapa saudaranya, Syeikh Laban. 

Sudah ternyata benar bahawa memang itulah tempat yang dituju. Hatinya menjadi bertambah senang, hilang rasa penat selama ini. Baginda mula nampak padang rumput tempat pemeliharaan kambing, pohon kayu yang rendang di mana burung bersarang, bahkan mula terdengar nyanyian anak pengembala. Baginda rupanya sudah tidak di Padang Sahara yang tandus lagi, tetapi sudah berada di sebuah daerah yang ramai dengan manusia, ternakan dan tanam-tanaman iaitu kampung bapa saudaranya. Di situ pulalah dahulunya nenek moyangnya yang bernama Nabi Ibrahim menerima wahyu dan pangkat kerasulannya. 

Nabi Yaakub sujud ke tanda kesyukuran menunjukkan Baginda jalan ke sana. Baginda bertanyakan kepada orang yang dia jumpa jika mereka kenal dengan Laban bin Batwail. Setiap orang yang ditanya itu kenal Syeikh Laban. Ketika Nabi Yaakub bertanya siapa antara mereka yang dapat menghantarkannya ke rumah Syeikh Laban, mereka menunjukkan kepada seorang anak perempuan yang menjaga kambingnya dan berkata: "Inilah dia Rahil, anak perempuan Syeikh Laban sendiri." 

Nabi Yaakub melihat wajah anak gadis itu, hatinya berdebar kerana gadis itu memang cantik paras rupanya. Lidahnya seakan akan terpaku tidak dapat berkata. "Antara saya dengan engkau, ya Rahil, ada pertalian kekeluargaan yang sangat dekat. "Sayalah Yaakub anak Ishak al-Rasul, ibu saya Rifakah anak perempuan dari nenek engkau yang bernama Batwail. Saya datang ke sini dari negeri Kanan merentas Gurun Sahara yang tandus. "Kedatanganku ke sini adalah dengan tujuan dan maksud mulia, lagi suci," katanya.

Setelah gadis Rahil mengucapkan selamat datang kepada Nabi Yaakub, kedua-dua mereka berjalan menuju ke rumah yang dituju. Dalam penjalanan itu, Nabi Yaakub merasakan sebahagian nikmat yang dijanjikan Tuhan dalam mimpinya kerana sudah tidak syak lagi gadis yang mengiringinya itulah bakal teman hidupnya. Hatinya berdebar-debar kegembiraan, tetapi dengan kekuatan yang ada Baginda dapat berjalan dengan tenang. Akhirnya sampailah mereka ke rumah Laban, bapa saudaranya. Mereka berpelukan setelah berjumpa.

Mata Nabi Yaakub penuh dengan air mata kegembiraan. Baginda diberi tempat yang sebaik-baiknya, diterima dengan segala hormat. Nabi Yaakub menerangkan pesanan ayahnya kepada bapa saudaranya itu, pesan untuk menerimanya sebagai menantu.

Baginda sudah melihat Rahil dan Rahil sudah mengambil tempat yang istimewa dalam hatinya itu. Diharapkannya agar bapa saudaranya memperkenankan anaknya itu untuk dijadikan isterinya. Laban mendengarnya dengan penuh perhatian. Setelah Nabi Yaakub habis berbicara dengan nada tegas dijawabnya permohonan Yaakub itu diterima seluruhnya dengan senang hati, tetapi dengan bersyarat bahawa Nabi Yaakub perlu tinggal di kampung itu selama tujuh tahun untuk mengembala kambing-kambingnya sebagai mahar perkahwinannya. 

Syarat yang dikemukakan itu diterima Nabi Yaakub. Sejak hari itu tenanglah hatinya, baginda tinggal di situ mengembala kambing selepas cita-citanya tercapai. Rahil anak perempuan Laban yang paling kecil. Dia mempunyai kakak, bernama Laiya. Sekalipun cantik rupanya, namun kakaknya tidak secantik adiknya. Sudah menjadi kebiasaan, penduduk kampung itu tidak akan mengahwinkan anak yang kecil dahulu sebelum anak yang besar dikahwinkan. Laban tidak mahu melanggar kebiasaan ini, tetapi dia tidak mahu menghalangi cita-cita Nabi Yaakub untuk kahwin dengan Rahil. Setelah difikirkannya masak-masak, maka tidak jalan lain kecuali menyerahkan kedua anak perempuannya itu kepada Nabi Yaakub untuk dijadikan isterinya.

Hal demikian tidaklah terlarang menurut syariat yang ditentukan Allah di saat itu. Setelah memperoleh cara yang demikian, lalu Nabi Yaakub dipanggil dan berkata: "Wahai anakku, sudah menjadi syariat di negeri ini, bahawa saya tidak dapat mengahwinkanmu dengan anakku yang kecil sebelum yang besar kahwin. Laiya sekalipun kurang cantik daripada Rahil, tetapi perangai dan akalnya tidaklah kurang. "Sebab itu ambillah Laiya sebagai isterimu dengan mahar yang tujuh tahun itu dan apabila engkau ingin juga kahwin dengan Rahil harus ditambah maharnya tujuh tahun lagi mengembala kambing di sini." Yaakub menerima baik akan keputusan bapa saudaranya itu. Setelah tujuh tahun lamanya dia mengembala kambing di situ, lalu Baginda berkahwin dengan Laiya.

Setelah berlangsung tujuh tahun dia mengembala kambing, lantas baginda berkahwin dengan Rahil. Tetapi akhirnya Yaakub tertarik pula hatinya kepada dua orang Jariah dan Baginda mengahwininya pula. Dari keempat isterinya itu, iaitu Laiya, Rahil dan dua orang Jariah, Nabi Yaakub mempunyai dua orang anak yang mana semua mereka itu disebut al-Asbat. Mereka ialah: Rawbin, Syamun, Lawi, Yahuza, Yasakir dan Zabulon yang kesemuanya itu dari Laiya; Yusuf dan Bunyamin dari Rahil; yang bernama Dan dengan Naftali dari Jariah Rahil; Jad dan Asin dari Jariah Laiya. Semuanya lahir di kampung Faddan Aram, kecuali Bunyamin yang lahir di Kanan.

Kisah Nabi Harun A.S


Kisah Nabi Harun A.S

NAMA sebenar Nabi Harun ialah Harun bin Imran bin Qahits bin Lawi bin Yaakub bin Ishak bin Ibrahim. Baginda ialah adik-beradik seibu Nabi Musa yang diutuskan untuk membantu Musa memimpin Bani Israel ke jalan yang benar.

Firman Allah bermaksud: “Dan Kami menganugerahkan kepadanya sebahagian rahmat Kami, iaitu saudaranya, Harun menjadi seorang nabi.” Harun dilahirkan tiga tahun sebelum Musa. Baginda fasih berbicara dan mempunyai pendirian tetap sering mengikuti Musa dalam menyampaikan dakwah kepada Firaun, Hamman dan Qarun. Nabi Musa sendiri mengakui saudaranya fasih berbicara dan berdebat, seperti diceritakan al-Quran: “Dan saudaraku Harun, dia lebih fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah dia bersamaku sebagai pembantuku untuk membenarkan (perkataan) ku, sesungguhnya aku khuatir mereka akan berdusta.” 

Sepanjang peninggalan Nabi Musa untuk bermunajat di Thur Sina, Harun juga diberikan amanah untuk mengawasi dan memimpin penduduk Bani Israel daripada melakukan kemungkaran, apa lagi menyekutukan Allah dengan benda lain. Musa berkata kepada Harun: “Gantikanlah aku dalam (memimpin) kaumku dan perbaikilah, jangan kamu mengikuti jalan orang yang melakukan kerosakan.” Bagaimanapun, sepanjang kepergian Musa ke Thur Sina, berlaku ujian terhadap Bani Israel. Sebilangan mereka menyekutukan Allah dengan menyembah anak lembu yang diperbuat daripada emas oleh Samiri. Mereka menyembah patung lembu itu yang terpedaya dengan tipu daya Samiri yang menjadikannya sehingga boleh berbicara. Harun sudah mengingatkan mereka itu adalah dosa besar, namun segala nasihat dan amaran berkenaan tidak dipedulikan.

Selepas bermunajat selama 40 hari, Musa kembali kepada kaumnya dan sungguh terkejut dengan perbuatan menyembah patung sapi itu. Musa bukan saja marah kepada kaumnya, malah Harun sendiri turut ditarik kepala dan janggutnya. Musa bertanya kepada Harun: “Wahai Harun, apa yang menghalang engkau daripada mencegah mereka ketika engkau melihat mereka sesat? Apakah engkau tidak mengikut aku atau engkau menderhakai perintahku?”. 

Harun berkata: “Wahai anak ibuku, janganlah engkau tarik janggutku dan janganlah engkau tarik kepalaku, sesungguhnya aku takut engkau akan berkata, ‘engkau adakan perpecahan dalam Bani Israel dan engkau tidak pelihara perkataanku’.” Kemudian Musa mendapatkan Samiri, lalu berkata: “Pergilah kamu dari sini bersama pengikutmu. Patung sapi itu yang menjadi tuhanmu akan aku bakar, kemudian aku akan hanyutkan ke dalam laut. Kamu dan pengikutmu pasti mendapat seksa.” Nabi Harun hidup selama 122 tahun. Baginda wafat 11 bulan sebelum kematian Musa, di daerah al Tiih, iaitu sebelum Bani Israel memasuki Palestin. Mengenai Bani Israel, mereka memang puak pembangkang, banyak bicara dan sukar dipimpin, namun dengan kesabaran Musa dan Harun, mereka dapat dipimpin supaya mengikuti syariat Allah, seperti terkandung dalam Taurat ketika itu.


Umat Nabi Musa sangat keras kepala. Kekufuran mereka sudah menjadi darah daging dan mempengaruhi jiwa mereka. Sekiranya mereka diseru menyembah Allah mereka menentang dengan berkata: “Wahai Musa, perlihatkanlah kepada kami Tuhan itu, nanti kalau kami melihat sudah tentu kami beriman kepada-Nya.” Allah berfirman yang bermaksud: “Ingatlah wahai Bani Israel, ketika kami berkata: ‘Wahai Musa! Kami takkan percaya kepada engkau sebelum kami melihat Allah itu jelas terang (dengan mata kami). Maka halilintarlah yang datang menyambar kamu melihatnya hingga mati semua.” (Surah al-Baqarah ayat 55-56). 

Selepas Harun dan Musa wafat, Bani Israel dipimpin Yusya’ bin Nun. Namun, selepas Yusya’ wafat, lama-kelamaan sebahagian besar mereka meninggalkan syariat yang terkandung dalam Taurat. Malah, ada kalangan mereka yang mengubah hukum di dalam kitab Taurat, sehingga menimbulkan perselisihan dan perbezaan pendapat, akhirnya menyebabkan perpecahan Bani Israel.

Kaum Nabi Luth Dan Kota Sadom dihancurkan

DALAM perjalanan hidup seorang nabi, apabila mendapati kebenaran datang daripada Allah SWT, keluarga terdekat pasti diseru terlebih dulu. Meskipun dia orang paling dekat dengan beliau, tetapi termasuk golongan yang ingkar akan kebenaran Allah.

Luth adalah nabi dan rasul yang diutus oleh Allah kepada kaumnya di Sadom, sebuah negeri besar yang mempunyai banyak kota, sedangkan penduduknya tenggelam dalam kemaksiatan.

Rakyat negeri Sadom ketika itu melakukan dosa yang mengaibkan. Nabi Luth diperintahkan Allah untuk menyampaikan risalah-Nya kepada kaumnya, termasuk isterinya.

Berkata Nabi Luth kepada mereka seraya mengingatkan: “Mengapa kamu melakukan perbuatan tercela itu, yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun di dunia ini? “Kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu, bukan kepada wanita. Bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.” (Surah Al-A’raf ayat 80-81) Kaum Nabi Luth ketika itu berada pada tingkat kebinatangan yang paling rendah, kebejatan akhlak yang paling parah, dan tidak ada manusia seburuk mereka sebelumnya.

Mendengar seruan Nabi Luth, seruan seorang nabi Allah yang juga pernah didengar oleh kaum lain sebelum mereka, rakyat negeri Sadom berasa tidak senang.

Permohonan Nabi Luth diperkenankan dan dikabulkan Allah. Dikirimkan kepadanya tiga malaikat yang menyamar sebagai manusia biasa.

Mereka adalah malaikat yang bertamu kepada Nabi Ibrahim dengan membawa berita gembira atas kelahiran Nabi Ishak, dan memberitahu kepada mereka dia adalah utusan Allah dengan tugas menurunkan azab kepada kaum Luth penduduk kota Sadom.

Dalam kesempatan pertemuan di mana Nabi Ibrahim mohon penurunan azab ke atas kaum Sadom ditunda jika mereka kembali sedar mendengar dan mengikuti seruan Luth serta bertaubat daripada segala maksiat dan perbuatan mungkar.

Dalam pertemuan itu, Nabi Ibrahim mohon anak saudaranya, Luth diselamatkan daripada azab yang akan diturunkan ke atas kaum Sadom. Permintaan itu diterima dan dijamin Luth dan keluarganya tidak akan diazab.

Malaikat itu sampai di Sadom dengan menyamar sebagai lelaki remaja yang berwajah tampan dan bertubuh elok. Dalam perjalanan memasuki kota, mereka berselisih dengan seorang gadis cantik dan ayu yang mengambil air dari sebuah perigi berhampiran.

Malaikat atau lelaki remaja itu bertanya gadis itu kalau-kalau mereka diterima ke rumah sebagai tetamu. Si gadis tidak berani memberi keputusan sebelum dia berunding terlebih dulu dengan keluarganya.

Maka ditinggalkan lelaki remaja itu, si gadis kemudian pulang ke rumah untuk memberitahu ayahnya. Nabi Luth sendiri mendengar laporan puterinya menjadi bingung jawapan apa harus ia beri kepada pendatang yang ingin bertamu ke rumahnya untuk beberapa waktu.

Namun menerima tetamu remaja yang berwajah kacak akan mengundang risiko gangguan kepadanya dan kepada tetamu daripada kaumnya yang tergila-gila remaja yang mempunyai wajah kacak itu.

Kalau hal demikian itu terjadi, sebagai tuan rumah perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan tetamunya, padahal dia berasa dia tidak akan terdaya menghadapi kaumnya yang bengis dan haus maksiat itu.

Selepas berfikir, akhirnya Nabi Luth memutuskan dia akan menerima mereka sebagai tetamu di rumahnya. Jika ada apa yang terjadi, dia hanya berharap kepada Allah akan melindunginya.

Lalu pergilah dia menjemput tetamu yang menanti di pinggir kota. Diajak mereka bersama-sama ke rumah pada saat kota Sadom diliputi kegelapan dan manusia nyenyak tidur di rumah masing-masing. Nabi Luth berpesan kepada isteri dan kedua-dua puterinya supaya merahsiakan kedatangan tetamu dan jangan sampai terdengar dan diketahui kaumnya.

Akan tetapi isteri Nabi Luth memang sehaluan dengan penduduk Sadom lalu membocorkan berita kedatangan tetamu itu. Maka terdengarlah mereka Luth ada tetamu remaja yang tampan parasnya dan memiliki tubuh yang sangat menarik bagi penggemar homoseks. Terjadilah apa yang dikhuatirkan Nabi Luth. Begitulah tersiar dari mulut ke mulut berita kedatangan tetamu remaja di rumah Luth.
Maka datanglah mereka ke rumahnya untuk melihat dan memuaskan nafsu. Nabi Luth tidak membuka pintu bagi mereka dan menyuruh mereka kembali ke rumah masing-masing.

Mereka diberi nasihat supaya meninggalkan adat kebiasaan keji itu yang bertentangan dengan fitrah manusia dan alam di mana Tuhan menciptakan manusia berpasangan antara lelaki dengan perempuan untuk menjaga kelangsungan umat manusia.

Nabi Luth berseru supaya mereka kembali kepada isteri dan meninggalkan perbuatan maksiat dan mungkar yang tidak senonoh sebelum mereka dilanda azab dan seksaan Allah. Seruan dan nasihat Nabi Luth tidak dihirau dan dipedulikan, bahkan mereka mendesak akan menolak pintu rumahnya dengan kekerasan kalau pintu tidak dibuka.
Kemudian berkatalah Nabi Luth secara terus terang kepada tetamunya: “Sesungguhnya aku tidak berdaya lagi menahan orang-orang itu menyerbu ke dalam. Aku tidak memiliki senjata dan kekuatan fizikal yang dapat menolak kekerasan mereka, tidak pula mempunyai keluarga atau sanak saudara yang disegani mereka yang dapat aku minta pertolongannya, maka aku berasa sangat kecewa, sebagai tuan rumah aku tidak dapat menghalang gangguan terhadap tetamu di rumahku sendiri.” Selesai Nabi Luth mengucapkan keluh-kesah itu, tetamu segera mengenalkan diri kepadanya mereka adalah malaikat yang menyamar sebagai manusia yang bertamu kepadanya dan mereka datang ke Sadom untuk melaksanakan tugas menurunkan azab dan seksa atas rakyatnya yang enggan membersihkan masyarakatnya daripada segala kemungkaran dan kemaksiatan yang keji dan kotor.

Malaikat itu menyarankan pintu rumahnya dibuka lebar seluas-luasnya untuk memberi kesempatan bagi orang- orang yang haus homoseks itu masuk. Namun malangnya apabila pintu dibuka, tiba-tiba gelaplah pandangan mereka dan tidak dapat melihat sesuatu. Mereka mengesat mata, tetapi ternyata sudah menjadi buta.

Penyerbu rumah Nabi Luth berada dalam keadaan kacau-bilau. Mereka berteriak-teriak dan bertanya apa yang terjadi antara satu sama lain dan mengapa mereka jadi buta. Malaikat berkata kepada Nabi Luth supaya meninggalkan segera perkampungan itu bersama keluarganya, kerana masanya tiba bagi azab Allah.

Malaikat berpesan kepada Nabi Luth dan keluarganya supaya jangan seorang pun daripada mereka menoleh ke belakang ketika perjalanan ke luar kota. Nabi Luth keluar dari rumahnya waktu tengah malam bersama isteri dan dua puterinya serta berjalan menuju keluar kota.

Akan tetapi isteri yang menjadi musuh dalam selimut bagi Nabi Luth tidak tergamak meninggalkan kaumnya. Dia berada di belakang rombongan Nabi Luth dan berjalan secara perlahan-lahan. Dia tidak henti-henti menoleh ke belakang kerana ingin mengetahui apa akan menimpa kaumnya seakan- akan meragui kebenaran ancaman malaikat yang didengarnya sendiri.

Nabi Luth dan dua puterinya melepasi kota Sadom sewaktu fajar menyingsing, maka bergetarlah bumi dengan dahsyatnya di bawah kaki rakyat Sadom, tidak terkecuali isteri Nabi Luth yang munafik itu. Getaran itu disusuli satu gempa bumi kuat dan hebat disertai angin kencang dan hujan batu yang menghancurkan serta-merta kota Sadom berserta semua penghuninya. Demikianlah mukjizat dan ayat Allah yang diturunkan untuk menjadi pengajaran bagi hamba-Nya.

Nabi Muhammad Pembawa Rahmat

KETIKA umat manusia diselubungi ambang kegelapan dan kehilangan pegangan hidup, dunia menerima kelahiran seorang putera daripada keluarga sederhana di Kota Makkah.

Jibril datang membawa tulisan dan meminta Nabi membacanya tetapi baginda mengatakan tidak dapat membacanya.

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Surah al-’Alaq, ayat 1-5)

Maka baginda diangkat menjadi Rasulullah (utusan Allah) untuk menyampaikan risalah kepada seluruh umat manusia, dan tidak terbatas untuk satu kaum atau suku bangsa saja.

Ketika itu usia baginda 40 tahun enam bulan dan lapan hari atau 39 tahun tiga bulan dan lapan hari. Selepas menerima wahyu itu, dalam keadaan gementar baginda pulang ke rumah dan meminta isterinya, Khadijah menyelimutinya. Selepas reda cemasnya, diceritakan pengalaman itu kepada isterinya. Lalu dijawab Khadijah: “Bergembiralah wahai suamiku, tetapkanlah hatimu demi Tuhan yang jiwa Khadijah di dalam tangan-Nya. Saya harap engkaulah yang akan menjadi nabi bagi umat kita ini.

“Allah tidak akan mengecewakan engkau. Bukankah engkau sentiasa berkata benar yang selalu menghubungkan silaturahim, bukankah engkau yang sentiasa membantu anak yatim, memuliakan tetamu dan menolong setiap orang ditimpa kemalangan dan kesengsaraan.”

Kemudian Khadijah ke rumah anak saudaranya, Waraqah bin Naufal, yang beragama Nasrani. Dia juga boleh menulis dalam bahasa Ibrani dan menyalin kandungan kitab Injil dan Taurat dalam bahasa Arab. Selepas diceritakan Khadijah mengenai suaminya, baginda, Waraqah berkata: “Qudus, qudus, demi Tuhan yang jiwa Waraqah di dalam tangan-Nya, jika engkau membenarkan aku. Wahai Khadijah sesungguhnya sudah datang kepadanya (Nabi Muhammad), dia sesungguhnya akan menjadi nabi bagi umat kita ini dan katakanlah kepadanya ia tetap tenang.”

Menurut riwayat, kira-kira dua setengah tahun selepas wahyu pertama, baru baginda menerima wahyu kedua, dalam keadaan berselimut, yang berbunyi (maksud):

“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaran-Nya! Dan pakaianmu, hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi. Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya. Dan bagi Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!” (Surah al- Muddaththir, ayat 1 hingga 7)

Penurunan wahyu itu menjelaskan tugas yang perlu dilakukan baginda untuk mengajak manusia menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya. Selepas itu, baginda mula berdakwah kepada ahli keluarga dan sahabat terdekat supaya menyembah Allah. Orang yang mula beriman ialah isterinya, Khadijah, kemudian Ali bin Abi Talib, Zaid bin Harithah dan Abu Bakar.

Dengan perantaraan sahabat karibnya, Abu Bakar, lebih ramai memeluk Islam, membabitkan Uthman bin Affan, Zubair bin Awwam, Saad bin Abi Waqas, Abdul Rahman bin Auf, Talhah bin Ubaidillah, Abu Ubaidillah bin Jarrah, Arqam bin Abi Arqam, Fatimah binti Khatab dan suaminya, Said bin Zaid al-’Adawi. Mereka bersama beberapa penduduk Makkah yang lain diberikan gelaran ‘as- Sabiquun al-Awwalun’ iaitu golongan pertama memeluk Islam.

Dakwah secara rahsia itu selama tiga tahun, kemudian baginda melakukan dakwah secara terbuka. Seruan secara terang-terangan itu menarik perhatian masyarakat, sehingga ramai memeluk Islam. Bagi yang cemburu terhadap Islam, pelbagai cara dilakukan mereka bagi menghancurkan dakwah baginda dan paling ketara ialah pemulauan terhadap Bani Hasyim dan Mutalib.

Mereka memutuskan hubungan dalam segala aspek, termasuk urusan perkahwinan, jual-beli dan ziarah menziarahi. Pemboikotan itu ditulis dan digantungkan di Kaabah. Ia sangat menyukarkan kaum keluarga nabi dan orang Quraisy lain. Lebih dua tahun mereka menderita kemiskinan dan kesengsaraan, sehingga untuk mengirim makanan sesama mereka juga dilakukan secara sembunyi.

Namun, akhirnya hubungan Bani Hasyim dan Bani Mutalib dengan orang Quraisy kembali pulih. Belum reda bahang pemboikotan itu, Nabi tiba-tiba dikejutkan dengan kewafatan Abu Talib (pada usia 87 tahun) dan tidak lama kemudian isterinya, Khadijah.

Kejadian ini berlaku pada tahun ke-10 kenabiannya dan dalam sejarah disebut ‘tahun kesedihan’. Dalam keadaan menghadapi penentangan dan penghinaan daripada kaum Quraisy, baginda diperintahkan Allah menjalani Israk dan Mikraj (tahun ke-11 selepas menjadi rasul), iaitu dari Makkah ke Baitulmaqdis, seterusnya naik ke langit ketujuh dan Sidratul Muntaha.

Pemuka Quraisy di Makkah mahu membunuh baginda, menyebabkan baginda terpaksa berhijrah ke Madinah. Baginda bertolak ke Madinah bersama Abu Bakar pada waktu malam. Hijrah itu pada 12 Rabiul Awal, tahun ke-13 kenabiannya dan ketika itu usianya 53 tahun. Sebelum sampai ke Madinah, baginda bersembunyi di Gua Thur selama tiga hari. Selepas lapan hari Nabi meneruskan perjalanan, baginda berhenti di sebuah kota kecil, Quba, sembilan kilometer dari Madinah. Baginda berehat di tempat Bani Amr bin Auf selama 10 hari.

Setibanya di Quba, baginda sempat mengasaskan masjid dinamakan Masjid Quba. Selesai solat Jumaat, baginda meneruskan perjalanan ke Madinah. Di Madinah, orang Arab dari Makkah dipanggil Muhajirin (orang yang berhijrah) manakala penduduk tempatan Madinah digelar golongan Ansar (yang memberi bantuan). Islam berkembang subur di Madinah, tetapi bagi orang kafir Quraisy di Makkah, mereka tetap memusuhi baginda dan pengikutnya.

Justeru, Allah menurunkan ayat yang mengizinkan baginda mengangkat senjata untuk mempertahankan diri, sebagaimana dijelaskan dalam ayat 39-40 surah al-Haj. Peperangan pertama di antara Muslimin dan kafir Quraisy berlaku di kawasan Badar pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah, iaitu dalam sejarah dipanggil sebagai Perang Badar. Dalam peperangan itu pihak Islam memperoleh kemenangan, walaupun mereka berperang dalam keadaan berpuasa dan bilangan yang sedikit berbanding sejumlah besar tentera kafir.

Dengan kekuatan yang ada, baginda dapat menghadapi tentangan kafir Quraisy dan mencapai kemenangan demi kemenangan sehingga akhirnya Makkah dikuasai Muslimin. Ketika itu berhala di sekitar Kaabah dapat dipecahkan. “Dan katakanlah: Telah datang kebenaran, dan hilanglah yang salah; sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.” (Surah al-Israa, ayat 81)

Pada akhir tahun 10 Hijrah, Nabi Muhammad meninggalkan Madinah menuju Makkah untuk mengerjakan Haji Wida. Sebelum selesai ibadat haji, baginda bersyarah di depan orang Islam di Bukit Arafah. Selesai melakukan ibadat itu, Nabi kembali ke Madinah. Tiga bulan selepas itu, baginda demam sehingga kemudaratannya tidak mengizinkannya mengimamkan orang Islam menunaikan solat. Akhirnya, baginda wafat pada Isnin 12 Rabiulawal tahun 11 Hijrah (8 Jun 632 Masihi) selepas sakit selama 13 hari di rumah isterinya, Aisyah pada usia 63 tahun.

Tiada harta ditinggalkan baginda, melainkan dua saja. “Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara (pusaka). Kamu tidak tersesat selama-lamanya selagi kamu berpegang kepada kedua-duanya, iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Rasul-Nya.”

Nabi Ishak hidup 180 tahun


Nabi Ishak hidup 180 tahun

SELEPAS Ismail, Nabi Ibrahim ada seorang lagi putera, bernama Ishak melalui perkongsian hidup dengan isteri pertamanya, Sarah.

Ishak dilahirkan ketika ibunya berusia 90 tahun manakala Ibrahim berusia 100 tahun. Perkataan 'Ishak' berasal daripada bahasa Ibrani yang disebut 'Yashhak.' Nama itu diberi kerana ibunya tertawa sendirian apabila mengetahui akan melahirkan Ishak. Daripada Ishak lahirlah keturunan Bani Israel. Bermula daripada anaknya, Yaakub muncul ramai nabi daripada kalangan Bani Israel. Firman Allah bermaksud: "Dan Kami jadikan kenabian dan al-Kitab pada keturunannya." (al-Ankabut:27) 

Ishak seorang yang soleh dan keberkatannya dikhususkan Allah seperti keberkatan kepada bapanya, Nabi Ibrahim. Baginda berkahwin dengan Rifqah binti Bitauel bin Nahur iaitu cucu saudara bapanya sendiri kerana Nahur ialah saudara Nabi Ibrahim. Selama 10 tahun perkahwinan mereka, Ishak dikurniakan dua putera iaitu Iso atau Isu (dalam bahasa Arab disebut Al-Ish) dan Yaakub. Ishak lebih menyayangi Al-Ish daripada Yaakub kerana berasa tidak senang berikutan Rifqah menyayangi Yaakub. 

Baginda selalu meminta Al-Ish menghidangkan makanan untuknya, namun pada satu ketika Rifqah meminta Yaakub terlebih dulu menghidangkan makanan. Kemudian Ishak terus makan dan mendoakan kebaikan untuk Yaakub. Al-Ish yang nampak keadaan itu memarahi Yaakub dan mengugutnya. Menyedari kejadian itu, Rifqah meminta kebenaran Ishak supaya Yaakub dihantar ke rumah saudaranya, Laban di kawasan Haron, Iraq supaya tinggal dan berkahwin di sana dengan anak saudaranya. Di Haron, Yaakub menghambakan diri kepada ibu saudaranya itu. Kemudian, Baginda mahu berkahwin dengan anak gadis ibu saudaranya bernama Rahil. Namun bapa saudaranya mahu mengahwinkannya dengan Lai'ah iaitu kakak kepada Rahil. Yaakub berkata: "Saya hanya mahu berkahwin dengan Rahil, puteri pak cik yang lebih cantik berbanding kakaknya." Bapa saudaranya berkata: "Biasanya, kami tidak memperkenankan perkahwinan anak yang lebih muda mendahului kakaknya. 

Jika kamu mahukan adiknya, kamu perlu bekerja lagi selama tujuh tahun." Akhirnya Yaakub mengahwini kedua-dua anak bapa saudaranya itu (syariat diizinkan ketika itu). Yaakub tinggal selama 20 tahun bersama ibu dan bapa saudaranya sebelum kembali ke pangkuan keluarganya di Kanan (Palestin). Yaakub berpendapat kepulangannya akan dihalang saudaranya, Al-Ish. Bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, Yaakub mengutuskan anaknya supaya memberikan hadiah kepada Al-Ish supaya dapat menggembirakannya. 

Al-Ish mengosongkan kediamannya kepada Yaakub, manakala dia sendiri berpindah ke gunung Sya'ir. Yaakub terus berada di samping bapanya. Selepas itu, Nabi Ishak memberikan tempat tinggal di Habrun kepada Yaakub. Kawasan itu kemudian dipanggil Al-Halil. Nabi Ishak hidup selama 180 tahun. Beliau meninggal dunia di bumi Kananiyin dan dimakamkan di Khalil (Habran) di al-Maghar, tempat bapanya dimakamkan.
Please Subscribe my youtube channel. Tq.

Translate

CLOSE