Jauhi Enam Golongan Yang Akan di Masukan ke Dalam Neraka Tanpa Hisab

 
Kesemua manusia yang beriman akan melalui hisab iaitu timbangan amal di atas dosa dan pahala yang telah dikerjakannya ketika di dunia. Tetapi amat malang terdapat 6 golongan manusia yang akan dimasukkan ke dalam neraka tanpa hisab di sebabkan dosa besar dan kemugkaran yang mereka lakukan ketika di dunia.
 
Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya :
"Enam kerana enam akan dimasukkan ke neraka pada hari kiamat sebelum hisab (perhitungan amal) iaitu :
1. Kerajaan yang zalim
2. Orang yang fanatik (menyombongkan kebangsaannya)
3. Ketua kampung/pemimpin yang sombong.
4. Pedagang atau ahli perniagaan yang berkhianat.
5. Orang kampung yang kerana kebodohannya.
6. Dan ahli ilmu kerana hasad dengkinya."
 
Huraiannya adalah seperti berikut :
Golongan pertama : Kerajaan yang zalim.
Pemimpin yang telah dipilih oleh rakyat dan diberikan amanah untuk mentakbirkan negara sekiranya ia melakukan kezaliman kepada rakyat dan tidak berlaku adil tidak akan dapat mencium keharuman syurga dan dimasukkan kedalam neraka sebelum hisab (perhitungan amal).
Ma’qil Ibnu Yasar r.a berkata “ Saya mendengar Nabi S.A.W bersabda maksudnya : “ Tidak ada seorang hamba yang Allah serahkan kepadanya untuk memimpin segolongan rakyat lalu ia tidak memelihara rakyatnya itu dengan menuntut dan memimpin mereka kepada kemaslahatan dunia dan akhirat melainkan tiadalah ia mencium bau syurga.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sabda Rasulullah S.A.W maksudnya : "Sebaik-baik pemerintah kamu adalah pemerintah yang kamu sayangi mereka, dan mereka menyayangi kamu. Kamu mendoakan ke atas mereka, dan mereka mendoakan ke atas kamu. (Adapun) Sejahat-jahat pemerintah kamu adalah mereka yang kamu benci dan mereka pula benci kepada kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu.Berkata (Auf), kami bertanya : Wahai Rasulullah, apakah boleh kami menyerang mereka dengan pedang ? Nabi menjawab : “Tidak boleh, selama mereka menunaikan solat.” (Hadis Riwayat Muslim)
Abdullah bin Mas’ud.Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : “Sesungguhnya kamu akan melihat selepasku sikap (pemerintah) mementingkan diri dan kamu akan melihat perkara-perkara yang kamu ketahui ia mungkar (pada pemerintah). Mereka berkata: Apa yang engkau perintahkan kami (lakukan) wahai Rasulullah? Sabda baginda: Tunaikan untuk mereka hak mereka dan mintalah kepada ALLAH hak kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Dalam realiti kita hari ini di dalam seluruh dunia Islam pemimpin negara Islam kebanyakkannya tidak berlaku adil kepada rakyat dibawah pemerentahannya. Selagi mereka tidak berhukum dengan hukum yang diturunkan Allah S.W.T. selagi itulah mereka tidak akan dapat berlaku adil. Pemimpin kerapkali merampas hak rakyat, rasuah, menyalah gunakan dana kerajaan dan menagkap dan memenjarakan rakyat yang tidak berdosa tanpa dibicarakan di mahkamah terbuka. Para ulama yang bertanggungjawab menyampaikan dakwah kepada rakyat disekat dan dikenakan berbagai halangan dan sekatan sehingga rakyat yang dahagakan ilmu terbiar tanpa mendapat tarbiah dan kesedaran Islam.
Perkembangan terkini dua buah negara Arab yang mana pemimpinnya cukup zalim dan kejam, rakyatnya telah bangkit memberontak dan mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran, yang satu telah jatuh dan menanti yang satu lagi bila-bila masa akan jatuh dibawah gelombang rakyat yang dahagakan keadilan dan kebebasan. Cuba kita bayangkan bagaimana zalimnya seorang pemimpin Islam sanggup menjadi 'budak suruhan' Yahudi laknatullah, saudara kita Palestin membawa makanan dan ubat-ubatan melalui trowong bawah tanah pihak tentera telah melepaskan gas beracun hinggakan mereka yang berada di trowong mati kerana sesak nafas. Tunggulah balasan Allah kepada mereka yang menzalimi saudara muslim yang tidak berdosa!
Para pemimpin pergerakan Islam di dua negara tersebut telah di tangkap dan diseksa dengan berbagai-bagai seksaan sedangkan mereka bukan penjenayah, mereka hanya menyampaikan dakwah untuk menyelamatkan umat daripada kejahilan dan kemurkaan Allah. Kebangkitan gelombang rakyat adalah suatu yang tidak dapat disekat lagi kerana rakyat memerlukan pemimpin yang adil , amanah dan pemimpin berhati rakyat.
Ingatlah wahai pemimpin umat Islam! Kedudukan kalian sentiasa dibawah pengawasan Allah! Andainya kalian adil , kalian akan mendapat naungan Arasy di Padang Mahsyar nanti. Sebaliknya jika kalian zalim dan menindas rakyat maka kalian adalah golongan pertama akan di masukkan ke dalam neraka tanpa hisab kerana betapa besarnya dosa kalian disisi Allah S.W.T.
Golongan Kedua : Orang yang fanatik (menyombongkan kebangsaannya)
Islam melarang umatnya mengutamakan kemegahan atau taksub kepada sesuatu kaum/bangsa dan sifat separti ini dipanggil memperjuangkan asabiyah.
"Seorang lelaki (ayah perempuan yang meriwayatkan hadis) bertanya: 'Wahai Rasulullah, adakah dianggap asabiyah puak orang yang sayang kepada kaum bangsanya?' Jawab baginda S.A.W : 'Tidak, tetapi asabiyah ialah apabila seorang itu menolong bangsanya kepada kezaliman". (Hadis Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan sebagainya)
Imam Al-Munawi ketika mensyarahkan perkataan asabiyah lalu berkata:
“Iaitu membantu kezaliman…” (rujuk Aun Al-Ma’bud)
Dapat difahami bahawa sayang kepada bangsa sendiri yang di amanahkan pula oleh Allah untuk menerajui Islam di negara ini tanpa melakukan penindasan kepada bangsa-bangsa lain adalah tidak di larang. Dalam masa yang sama sebarang kezaliman , kemungkaran dan kemaksiatan tetap dibenteras walaupun dilakukan oleh bangsa sendiri.
Maksud umum kepada asabiyah bukan setakat berlaku apabila pembelaan kezaliman kepada bangsa tetapi ia juga boleh berlaku apabila kezaliman yang dilakukan oleh kumpulan, puak, organisasi, keluarga, parti atau jamaah lalu dibela dan dipertahankan.
Dalam hadis yang lain Nabi S.A.W bersabda maksdnya : "Bukan termasuk kalangan ummatku orang yang mengajak pada asabiyah, dan bukan termasuk kalangan umatku orang yang berperang atas dasar asabiyah, dan bukan termasuk kalangan umatku orang yang mati atas dasar asabiyah." (Hadis Riwayat Abu Dawud).
Golongan Ketiga : Ketua kampung/ pemimpin yang sombong.
Sifat sombong adalah satu sifat yang amat dimurkai oleh Allah S.W.T. Tiada sebab manusia mesti sombong kerana sesuatu kekuasaan dan kekayaan kerana semuanya adalah milik Allah. Bila-bila masa sahaja Allah boleh menarik kesemua itu.
Dari Abdullah bin Mas'ud dari Nabi s.a.w., bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud, "Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan."
Salah seorang berkata, "Sesungguhnya ada orang yang menyukai baju dan sandal yang bagus."
Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan mencintai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia."
(Hadis Riwayat Muslim)
Seorang ketua kampung atau pemimpin dikawasan mukim tidak seharusnya dia bersifat sombong kerana tugas untuk memimpin kampung atau mukim adalah satu amanah bukan satu keistimewaan dan boleh bermegah-megah.
Begitu juga orang kaya tidak sepatutnya merasa sombong bila melihat orang miskin. Mereka merasakan usaha mereka menjadikan mereka kaya sedangkan orang miskin adalah orang yang bodoh dan malas berusaha.
Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya Qarun adalah daripada kalangan kaum Musa. Namun dia bertindak melampaui batas terhadap mereka dan Kami telah anugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepada beliau, 'Janganlah kamu terlalu bangga, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri (sombong)' ” (Surah al-Qashash ayat 76)
Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Dan (juga) Qarun, Firaun dan Haman. Sesungguhnya telah datang kepada mereka Musa dengan segala mukjizat yang jelas sebagai bukti kenabiannya , namun mereka tetap takabbur di muka bumi dan mereka tidak terlepas daripada azab perit Allah Taala".
(Surah al-Ankabut ayat 39).
Jauhilah sifat sombong kerana sifat ini akan menjadikan seseorang termasuk di dalam golongan ketiga akan masuk neraka tanpa hisab.
Keempat : Pedagang atau ahli perniagaan yang berkhianat.
Salah satu cara untuk mendapatkan harta dengan cara yang halal adalah dengan perniagaan.
Perniagaan adalah suatu kegiatan ekonomi yang amat dianjurkan Islam kepada umatnya. Ini kerana aktiviti perniagaan menjanjikan hasil pulangan berlipat ganda kepada peniaga yang berusaha bersungguh-sungguh.
Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud: “9/10 (90%) rezeki itu adalah datang daripada perniagaan.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Peniaga yang berniaga melakukan penipuan dengan menaikkan harga barang atau menyorok barang keperluan harian tanpa memilirkan kesusahan orang lain adalah dikira berkhianat dan menipu orang ramai.
Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Allah memberikan rahmat-Nya pada setiap orang yang bersikap baik ketika menjual, membeli dan membuat suatu kenyataan.” (Hadis riwayat Bukhari).
Tujuan perniagaan mengikut Islam sebenarnya ialah untuk memperbesarkan, memperpanjangkan dan memperluaskan aktiviti syariat dan dengan tujuan beribadah dan mendapat pahala yang banyak. Justeru di dalam perniagaan, hendaklah kita sentiasa mencari keredaan Tuhan dengan niat yang betul serta perlaksanaan yang betul.
Sekiranya seorang peniaga itu berkhianat atau menipu dalam perniagaannya, menipu timbangan atau mengurangkan spesifikasi yang telah ditetapkan sesuatu barangan/ pembinaan maka dia termasuk golongan keempat akan di masukkan kedalam neraka sebelum di hisab.
Kelima : Orang kampung yang kerana kebodohannya. ( Orang bodoh yang mempertahankan kejahilannya)
Islam amat mengambil berat tentang keperluan menuntut ilmu, mengamalkan ilmu yang dipelajari dan menyampaikan pula ilmu tersebut untuk di maanfaatkan oleh orang lain.
Nabi S.A.W. bersabda yang maksudnya, ”Barangsiapa menuntut ilmu bererti menuntut jalan ke syurga”. (Hadis Riwayat Muslim)
Sesungguhnya orang yang berilmu adalah tidak sama dengan orang jahil (bodoh). Orang jahil yang melakukan maksiat dan membuat dosa, tidak akan terlepas seksaan Allah S.W.T di atas kejahiliannya kerana kemalasannya untuk menuntut ilmu. Pepatah ada mengatakan 'bodoh sombong'.
Orang jahil jika dia memberi pendapat ia hanya berkata menurut fikiran logik sahaja dan mengikut hawa nafsu, dan keadaan ini amat berbahaya jika silap memberi komen bab agama boleh sesat dan menyesatkan orang lain.
Golongan kelima yang jahil ini akan di masukkan kedalam neraka sebelum hisab kerana kejahilannya.
 
Golongan Keenam : Ahli ilmu kerana hasad dengkinya.
Hasad atau dengki diertikan sebagai sifat seseorang yang tidak suka orang lain lebih daripadanya atau tidak suka orang lain mendapatkan kenikmatan Allah. Ia ingin nikmat itu hilang daripada orang lain. Perasaan dan sifat ini adalah sifat yang dimiliki oleh Iblis laknatullah betapa dia cukup irihati kepada Nabi Adam a.s. dan anak cucunya.
Hasad dengki yang paling membahaya adalah apabila ulama menaruh hasad dengki kepada ulama yang lain. Apabila seseorang itu di gelar alim ulama maka dia adalah seorang yang berilmu dan mengetahui dosa dan pahala.
Dalam sejarah umat Islam yang terdahulu seorang ulama Islam yang besar Imam Abu Hanifah telah difitnahkan oleh beberapa ulama dizamannya. Mereka menaruh hasad dengki kepada beliau kerana ilmunya yang luas dan ramainya anak murid yang mengikuti pengajiannya. Fitnah yang mereka lemparkan keatas beliau hingga pemerentah masa itu telah memasukkan beliau masuk kedalam penjara. Tetapi dengan izin Allah, Allah S.W.T. membantu hamba-hamba-Nya yang dianianya dan Abu Hanifah dapat buktikan bahawa segala tuduhan dan tohmahan tersebut adalah fitnah semata-mata dan beliau dibebaskan.
Dari Abu Yazid Usamah bin Zaid bin Haritsah r.a yang berkata, "Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud : 'Seseorang didatangkan pada hari Qiyamat, lalu dilempar ke Neraka. Maka keluarlah isi perutnya. Dengan isi perut yang keluar itu ia berputar-putar seperti himar yang mengitari porosnya. Para penghuni neraka berkumpul di dekatnya, seraya mengatakan, 'Wahai si Fulan! Apa yang terjadi padamu? Bukankah (dulu) kamu memerentah kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar?' Ia menjawab, 'Ya, memang dulu aku memerintahkannya kepada yang makruf , namun aku tidak melaksanakannya dan mencegah dari yang mungkar, namun aku melanggarnya'."
(Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)
Biasanya ulama yang memiliki sifat hasad dengki adalah ulama dunia, ulama yang mementingkan diri sendiri dan tidak mahu menyatakan kebenaran kepada pemimpin zalim walaupun kezaliman itu terang-terangan berlaku dihadapan matanya. Ulama seperti ini akan masuk neraka tanpa hisab dan dia lebih dahulu masuk neraka daripada penyembah berhala .

3 Golongan Awal Ahli Neraka

 
Setiap amalan yang hendak dilaksanakan mestilah ikhlas kemata-mata kerana Allah SWT. Allah SWT. tidak akan memandang sesuatu amalan yang dilaksanakan kerana riyak atau untuk mendapat pujian daripada manusia.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Barangsiapa beramal kerana riyak, Allah akan menolak amal itu pada hari kiamat." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Abu Hurairah r.a. berkata, "Aku telah mendengar Rasulullah SAW. bersabda, "Allah SWT berfirman yang bermaksud, 'Aku adalah Dzat Yang paling kaya dari persekutuan-persekutuan yang ada. Barangsiapa beramal dengan suatu amalan bercampur dengan syirik (persekutuan) di dalamnya antara Aku dengan selain Aku, Aku akan meninggalkannya dan apa yang dipersekutukan itu'." (Hadis Riwayat Muslim).

Sufyan Ash-Ashbahiny bercerita kepada 'Uqah ibn Muslim bahawa semasa memasuki Madinah, dia melihat orang sedang mengerumuni Abu Hurairah r.a. Sufyan pun menghampirinya, lalu dia duduk di hadapan Abu Hurairah yang sedang menyampaikan hadis kepada jemaah itu. Ketika Abu Hurairah berdiam diri seketika, Sufyan meminta agar dia menyampaikan hadis yang benar-benar difahami untuk dihayati. Abu Hurairah pun bersetuju seraya berkata. "Akan aku sampaikan kepadamu satu hadis yang telah disampaikan Rasulullah SAW kepadaku" Selepas berkata begitu,tiba-tiba Abu Hurairah menangis tersedu-sedu hingga hampir pengsan.

Kemudian dia diam sebentar dan setelah kembali tersedar dia berkata, "Akan aku sampaikan kepadamu satu hadis yang telah disampaikan Rasulullah SAW kepadaku di rumah ini,tidak ada orang lain selain aku dan baginda." Tiba-tiba Abu Hurairah menangis kembali tersedu-sedu sehingga hampir pengsan.

Ketika itu Abu Hurairah kembali sedar dan dia menceritakan : "Bahawa pada hari kiamat nanti, Allah SWT akan turun kepada hambanya untuk memberikan keputusan kepada mereka. Setiap umat ketika itu berlutut. Golongan terawal yang akan dipanggil adalah "orang alim" , orang kaya dan orang yang berperang di jalan Allah SWT.

Allah SWT bertanya kepada orang alim itu,"Bukankah Aku telah mengajarkanmu kitab yang telah Aku turunkan kepada rasul-Ku?"

Orang itu menjawab. "Benar,wahai Tuhan.''

Allah SWT kembali bertanya. ''Apa yang engkau kerjakan dengan ilmu yang kau miliki?''

Orang tersebut menjawab, ''Dengannya aku beribadat kepada-Mu di malam hari dan siang hari''

Malaikat berkata kepadanya, "Engkau berdusta".

Allah SWT berfirman "Engkau hanya ingin dikatakan bahawa engkau seorang yang alim''.

Kemudian dipanggil orang kaya. Allah SWT berfirman, ''Engkau telah Aku beri rezeki sehingga berkeadaan cukup".

Orang itu menjawab, ''Benar wahai Tuhan''.

Allah SWT kemudian bertanya, ''Apa yang telah engkau kerjakan dengan hartamu itu?'',

Dia menjawab, ''Dengannya aku bersillaturrahim dan juga bersedekah.''

Allah SWT berfirman kepadanya, "Engkau dusta".

Malaikat juga berkata begitu. Allah SWT berfirman, ''Engkau hanya ingin dikatakan bahawa engkau seorang dermawan.''

Kemudian didatangkan orang yang terbunuh selepas berperang di jalan Allah SWT.

Maka Allah SWT berfirman, ''Apa yang menyebabkanmu terbunuh?''

Dia menjawab, ''Telah diperintahkan kepadaku untuk berjihad di jalan-Mu, maka aku berperang sehingga terbunuh.''

Maka Allah SWT berfirman kepadanya ,''Engkau berdusta, malaikat juga berkata begitu."

Allah SWT berfirman, ''Engkau hanya ingin dikatakan bahawa engkau seorang yang berani''.

"Kemudian Rasulullah SAW menepuk lututku sambil bersabda, ''Wahai Abu Hurairah, ketiga-tiga orang itu adalah orang-orang yang pertama sekali merasakan seksaan api neraka pada hari kiamat.''"

Umar dan pemuda yang menepati janjinya

 
 
Ketika Umar bin Khattab sedang duduk-duduk dengan para sahabat, tiba-tiba dia didatangi dua orang lelaki dengan seorang pemuda yang terikat kedua belah tangannya.

“Pemuda ini telah membunuh bapa kami wahai Amirul Mukminin,” kata kedua orang itu.

“Saya harap kamu mahu mendengar cerita saya dulu wahai Amirul Mukminin,” pemuda yang terikat tangannya berkata memohon ihsan.

“Cerita kamu? Huh, Yang penting, kamu telah membunuh bapa kami. Kamu harus bersyukur kami tidak membalas dendam, sebaliknya membawa kamu ke Khalifah Umar,” ucap kedua pemuda tadi dengan marah.

“Adalah lebih baik untuk kamu berdua diam terlebih dahulu. Aku hendak mendengar cerita tentang bagaimana kejadian sebenarnya,” kata Umar.

Pemuda yang terikat tangannya itu segera bercerita. “Pada suatu hari, saya menaiki unta untuk pergi ke satu tempat. Oleh kerana terlalu letih, saya tertidur. Apabila bangun, saya mendapati unta saya telah hilang, lalu saya segera mencarinya. Saya mendapati unta itu sedang makan tanaman di sebuah kebun, lalu saya cuba menghalaunya, tetapi unta itu enggan dan menderum,” dia berhenti seketika.

“Tidak lama kemudian, datanglah seseorang dan terus melempar batu kearah unta saya. Oleh kerana lemparan itu tepat kearah kepalanya, unta saya mati. Saya menjadi marah lalu mengambil batu dan melempar semula kearah orang itu. Dengan tidak disangka, batu itu mengenai kepalanya dan dia juga jatuh tersungkur lalu mati. Sebenarnya, saya tidak berniat langsung untuk membunuhnya.” Pemuda itu berhenti bercerita dan wajahnya mengharapkan ihsan daripada Umar.

Setelah Umar mendengar cerita pemuda tadi, ia berkata, “Kalau begitu hukumannya adalah kamu dibunuh sebagai balasan (qisas).”

“Saya tidak menolak hukuman itu, tapi saya mempunyai adik dan ayah saya telah meninggal dunia. Sebelum meninggal, dia ada meninggalkan harta dan saya menyimpannya di tempat yang tidak diketahui oleh adik saya,” kata pemuda itu.

“Jadi, apa yang kamu mahu?” sergah Umar.

“Saya minta tiga hari untuk pulang ke kampung dan memberikan harta itu kepada adik saya,” jawab si pemuda.

“Siapakah yang akan menjadi penjaminmu?” tanya Umar lagi.

“Dia ini penjamin saya,” kata pemuda itu sambil menunjuk ke Abu Dzar Al-Ghiffary yang ada bersama Umar ketika itu.
“Ya saya bersedia.” Serta merta Abu Dzar mengiyakan kata-kata pemuda itu.

Pada hari ketiganya, Umar, para sahabat dan dua lelaki itu menunggu pemuda tadi. Sehingga tengahari, pemuda itu belum lagi tiba dan dua lelaki tersebut mulai gelisah.

“Hari sudah siang tapi pemuda itu belum datang. Kalau tidak datang, Abu Dzar akan menjadi penggantinya untuk menerima hukuman bunuh,” kata salah seorang lelaki itu.

Tidak berapa lama kemudian, pemuda itu sampai. Ternyata dia begitu menepati janjinya biarpun dia tahu itu bermakna dia nyawanya akan melayang.

“Terima kasih wahai sahabat yang berani kerana setuju menjadi penjamin saya,” ucap pemuda itu kepada Abu Dzar. Dia tahu, jika dia tidak datang, nyawa Abu Dzar akan menjadi penggantinya kerana Abu Dzar adalah penjaminnya, biarpun mereka tidak kenal mengenali langsung.

Kedua lelaki itu merasa terharu akan kehadiran pemuda yang mengotakan janjinya itu.
“Kami mohon untuk menggugurkan tuntutan kami wahai Amirul Mukminin, dan kami maafkan pemuda al-wafi (penepat janji) ini,” mereka berkata serentak.

“Kamu sungguh berani wahai Abu Dzar, dan kamu adalah al-wafi wahai pemuda. Dan kamu berdua adalah sangat mulia. Bersalam-salamlah kalian dan kuatkan ukhuwah di antara kalian,” kata Umar yang gembira melihat peristiwa itu berlangsung dalam keadaan baik.

Debat Imam Hambali

 
Ketika zaman Imam Ahmad bin Hanbal, terdapat penganut fahaman atheis yang berusaha mengganggu keimanan umat Islam tentang kewujudan Tuhan. Mereka berjaya memutarbelitkan fakta berdasarkan kepada perdebatan dan logik yang mereka lakukan.

Menurut mereka, alam semesta terjadi melalui proses sendirinya tanpa campur tangan Zat Allah. Oleh itu, manusia tidak perlu menyembah Tuhan yang sebenarnya tidak wujud bagi mereka. Sudah banyak ulama yang berusaha berdebat dan membetulkan mereka, namun tiada siapa yang mampu mengalahkan mereka sehingga mereka menjadi bongkak dengan kehebatan tersebut.

Namun, Imam Ahmad berusaha untuk memberikan tentangan terhadap pendapat mereka dan mahu membuktikan bahawa pendapat mereka itu adalah salah. Biarpun penampilan Imam Ahmad tidak menunjukkan bahawa dia seorang ulama yang berilmu, kaum atheis tetap menerima pelawaan debatnya. Syaratnya ialah, pedebatan ini dilakukan secara terbuka dan dihadiri oleh orang ramai. Kaum athies setuju lalu menetapkan masa dan tempat.

Pada hari yang ditetapkan, Imam Ahmad lewat tiba hingga mengundang cacian dari kumpulan atheis manakala penonton yang menunggu pula merasa kesal.

“Sabar, sabar beri aku kesempatan menjelaskan sebab kelewatan ini,” ujarnya tenang. Walau merasa kesal, kumpulan atheis memberi peluang untuk Imam Ahmad bersuara.

“Begini, kamu tentu tahu bahawa saya tinggal di luar bandar. Di situ terdapat sebatang sungai yang cukup lebar. Ketika hendak datang kesini, saya mendapati tiada satu pun sampan yang membolehkan saya menyeberang. Itulah sebabnya saya terlambat datang.”

“Jadi, bagaimana kamu boleh tiba kalau tiada sebarang sampan?” tanya mereka kehairanan.

“Ah! Satu perkara yang ajaib telah berlaku,” kata Imam Ahmad.

“Secara tiba-tiba sekeping papan hanyut terapung-apung dan dengan sendirinya berhenti di depan saya. Kemudian disusuli oleh beberapa papan-papan lain yang juga hanyut lalu semuanya bergabung. Tiba-tiba muncul pula seutas tali. Papan-papan dan tali membentuk dengan sendirinya menjadi sampan yang elok dan baik. Sampan kecil itulah yang menyeberangkan saya hingga sampai ke tempat ini dengan selamat,” ungkapnya panjang lebar.

Kumpulan atheis itu ketawa terbahak-bahak. “Ah! Mengarut sahaja. Itu mustahil, dan tidak masuk akal,” kata salah seorang di antara mereka.

Imam Ahmad menjawab dengan lembut, “Kalau kamu tidak percaya sampan yang kecil itu boleh terbentuk dengan sendirinya, bagaimana pula dengan alam semesta ini yang besar dan boleh terjadi dengan sendirinya tanpa kekuasaan Allah SWT?”

Kumpulan atheis itu terdiam dan bungkam seribu bahasa. Oleh kerana tidak berjaya menemui jawapan bagi membalas kata-kata Imam Ahmad, mereka pergi begitu saja. Orang ramai yang hadir merasa amat gembira dengan kata-kata Imam ahmad yang kelihatan sederhana tapi amat mendalam hingga kumpulan atheis itu kalah sebelum bertanding.

Ketahui Sebab Yahudi Menggali Di Bawah Masjid Al-Aqsa

Gambar: Terowong yang di gali Israel di bawah Masjid Al-Aqsa
 
Pihak Israel sedang menggali di bawah Masjidil Al-Aqsa. Mereka mengakui secara terbuka niat mereka untuk menghancurkan Masjidil Al-Aqsa untuk “membangkitkan semula “Temple of Solomon.” iaitu Kuil Sulaiman. Arkeologi dan ahli kaji sejarah mengetahui bahawa runtuhan “Kuil Sulaiman” terletak di bawah Masjidil Al-Aqsa.
 
Kita tidak tahu berapa dalam penggalian tersebut, namun kita tidak boleh berdiam diri dan membiarkan sahaja perkara ini berlaku. Ini memerlukan perhatian dunia Islam. Saudara Islam seluruh dunia harus tahu apa yang berlaku dan kesan pengalian ini. Ini satu kebenaran yang mengejutkan. Kenapa pencerobohan harus dilakukan kepada Masjidil Al-Aqsa? Adakah disebabkan nilai tanahnya atau lain-lain sebab musabab yang dikehendaki oleh Yahudi! Nabi Sulaiman A.S Dan Rahsia Yang Tertanam Di Bawah Masjidil A-Aqsa Berbalik kepada sejarah silam kisah Nabi Sulaiman AS atau Raja Sulaiman yang bertanggungjawab membina apa yang dikenali sebagai Kuil Sulaiman”.
 
Nabi Sulaiman As berbeza dari Nabi-nabi yang lain kerana baginda di beri Allah SWT boleh menguasai umat manusia, dan bangsa jin. Nabi Sulaiman ditugaskan dengan menyebarkan ayat-ayat Allah SWT iaitu: keyakinan dan ibadah dalam hanya SATU tuhan sahaja. Perkara ini menjadi perhatian Nabi Sulaiman dimana terdapat kaum-kaumnya yang kuat mengamalkan ilmu sihir dan okultisme (ilmu ghaib). Baginda memerintahkan pengawalnya untuk pergi ke seluruh negeri dan merampas setiap buku, naskah, kitab-kitab yang tertulis segala ilmu sihir dimana amalan sesat ini diajar untuk berhubung dengan pemanggil roh. Amalan ini berkaitan berkaitan dengan jin dan setan.
 
Dalam Islam kita tahu bahawa ilmu sihir adalah haram. Al-Quran mengatakan kepada kita bahawa Jin dan Manusia tidak boleh berhubung kait walaupun hidup di dimensi yang sama dengan manusia, tetapi tidak boleh berkomunikasi antara satu sama lain. Jin tidak dapat dilihat, mereka boleh melihat kita, tapi kita tidak dapat melihat mereka. Tidak wujudnya seperti Jin “baik” atau membantu, kerana setiap jin yang bercakap dan berinteraksi dengan manusia secara langsung dilarang oleh Allah SWT. Jadi arahan Nabi Sulaiman AS supaya mereka membawa kesemua buku, kitab yang berkaitan dengan ilmu sihir kepadanya, dan kemudian baginda kuburkan semua buku, kitab dan apa jua yang berkaitan dengan amalan ini dimana baginda fikirkan paling selamat iaitu tidak akan ada sesiapa yang boleh mendapatkan atau mencurinya.
 
Baginda menanamkan buku-buku ajaran sihir itu di bawah tapak kuil tersebut. Baginda melantik beberapa orang kesatria yang di kenali sebagai “Knights of the temple of Solomon” (Knight Templar) untuk menjaga kuil Sulaiman itu siang dan malam. Kesatria melakukan tugasan yang diberikan pada awalnya. Selepas Nabi Sulaiman a.s wafat, The Knights menemui apa yang terdapat di bawah kuil itu. Mereka menyedari akan kepentingan perkara ini, rahsia amalan sihir berada di hujung jari mereka. Mereka mencuri dan mula berlatih. Mereka pindahkan kitab-kitab dan mula berlatih dan mengamalkan.
 
Mereka benar-benar jauh dari agama Nabi Musa dan Allah SWT. Dan tenggelam di bawah kuasa dan pengaruh Iblis. Kerana ritual yang mereka jalankan, mereka dengan segera menjadi orang yang berpengaruh dan terkaya di negara itu. Ahli okultisme menegaskan bahawa Syaitan memberi penghargaan kepada pengikutnya dengan kekayaan duniawi. Mereka boleh membuat apa sahaja seperti memberi dan menerima rasuah, maksiat, kerosakan di bumi, dan banyak lagi yang menyimpang dari ajaran sebenar di dalam Islam. Mereka juga percaya bahawa Syaitan meyakinkan mereka, melalui para imam dan pendeta tinggi, bahawa ‘kuasa’ itu adalah Allah yang nyata.

Yahudi dilaknat kerana mungkir janji


AL-SOBUNI berkata: Ayat-ayat al-Quran yang mulia sentiasa menyebut pelbagai jenayah Yahudi. Ayat-ayat ini merupakan misalan secara jelas dan terang tentang permusuhan dan melampaunya mereka di muka bumi. Antaranya mereka membatalkan perjanjian dengan melanggarinya sewenang-wenangnya sekalipun ia termaktub dalam kitab Taurat. Mereka juga membunuh manusia yang diharamkan Allah s.w.t., menghalalkan memakan harta manusia secara batil, dan begitu juga melampaunya terhadap saudara mereka dalam agama dengan menghalau mereka dari negeri mereka sendiri. Justeru, layaklah mereka menerima laknat, penghinaan dan juga balasan terhadap perbuatan mereka.’’

Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israel (dengan berfirman): "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat." Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil daripada kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.

Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu: "(Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, dan janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing." Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian setia itu, dan kamu sendiri pula menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya).(al-Baqarah: 83 dan 84)

Firman Allah s.w.t., Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israel (dengan berfirman): Sebagaimana Kami membuat perjanjian terhadap nenek-moyang mereka, hai golongan Yahudi dengan sesungguh-sungguhnya.”

Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, iaitu kamu hanya menyembah Allah tanpa menyekutukan-Nya. Imam al-Nasafi dalam Madarik al-Tanzil berkata: Perkhabaran di sini dengan makna larangan dan ia lebih kuat daripada lafaz larangan atau suruhan yang biasa.’’

Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa, di mana Kami arahkan mereka supaya berbuat ihsan terhadap ibu bapa dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin, juga kepada anak-anak yatim iaitu mereka yang kematian ayah ketika masih kecil (belum baligh). Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Imam al-Nawawi yang telah menghasankannya iaitu ’tidak dianggap yatim selepas baligh’. Dan orang miskin pula ialah mereka yang lemah daripada berusaha atau bekerja. Maksud asal perkataan miskin ialah keperluan bertapak dan singgah padanya.

Seterusnya arahan Allah, ‘Dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; seperti berkata dengan lemah-lembut, tawaduk dan memilih percakapan yang sesuai lagi manis’.

Ulama telah berselisih pendapat tentang siapakah yang ditujukan dengan ayat ini:

- Mereka adalah golongan Yahudi. Inilah pendapat Ibn Abbas r.a., Ibn Jubair dan Ibn Juraih. Maknanya ialah benarkanlah segala sifat Nabi s.a.w..

- Mereka itu ialah umat Muhammad s.a.w.. Inilah pendapat Abu al-‘Aliah. Maknanya berkatalah kepada manusia dengan cara yang makruf atau baik.

‘’Dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat.’’ Iaitu arahan supaya bersolat dan berzakat sebagaimana Allah s.w.t. fardukan ke atas kamu supaya menunaikan rukun-rukun tersebut kerana kedua-duanya merupakan sebesar-besar jenis ibadat sama ada badaniyah atau maliyah (harta benda).

Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil daripada kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya. Di mana kamu menolak dan menentang, begitu juga mereka sebelum kamu sehingga sedikit sahaja di kalangan kamu yang dapat melakukannya.

Sayyid Qutub berkata: ‘’Demikianlah terbukanya sesetengah rahsia daripada perubahan gaya penjelasan kisah-kisah dan lainnya dalam kitab al-Quran yang amat mengagumkan ini. Ayat yang berikut terus menunjukkan pembicaraannya kepada Bani Israel dengan mendedahkan tindakan-tindakan mereka yang bertentangan dengan perjanjian mereka dengan Allah.’’

Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu: “(Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, begitu juga ingatlah hai Bani Israel perjanjian yang begitu sungguh-sungguh supaya sebahagian kamu jangan membunuh yang lain tanpa hak dan sebenarnya.’’

Syeikh Sya’rawai dalam tafsirnya berkata: “Apabila kamu mendengar kalam Allah menyebut iz maka ketahuilah bahawa maknanya ingat atau sebut.’’ Sebagaimana kita ketahui bahawa sesungguhnya perjanjian yang kukuh iaitu beribadat kepada Allah sahaja, berbuat baik kepada ibu bapa, kaum keluarga, anak yatim, orang miskin, berkata baik sesama manusia, mendirikan solat hingga kepada arahan yang lain. Semuanya merupakan perintah-perintah yang memberi maksud lakukanlah sebagai penyempurnaan kepada perjanjian sedangkan dalam ayat ini Allah mengungkapkan ‘’jangan kamu buat.’’

Sebagaimana kita ketahui ibadat merupakan ketaatan segala arahan dan menegah segala larangan. Justeru, bermulalah larangan di sini. Antaranya jangan menumpahkan darah. Kenapa disebut darah? Ini kerana selepas Allah menyebut, ‘’Dan janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing’’, ia merupakan hukum iman yang ditujukan kepada sekumpulan iman bahawa ia adalah satu. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Perumpamaan orang yang beriman dalam kasih sayang dan merahmati sesama mereka seumpama jasad yang satu. Apabila mengadu sakit salah satu daripada anggotanya, maka seluruh anggota lain turut berjaga malam dan demam."

Di mana di kalangan kamu terdapat sebahagian yang melampau terhadap yang lain dengan menghalau orang dari negeri mereka.

Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian setia itu, dan kamu sendiri pula menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya). Iaitu kamu benar-benar mengetahui perjanjian yang semestinya kamu memeliharanya dan kamu sendiri menyaksikan hal tersebut.

Syeikh Syarawi berkata: Allah s.w.t. menujukkan ucapan kepada Yahudi sezaman Rasulullah s.a.w. bagi mengingatkan mereka tentang tindakan yang dilakukan oleh nenek moyang mereka. Begitu juga dengan pendirian mereka daripada mengambil perjanjian ketika diangkat Bukit Tur di atas kepala mereka. Dan al-Quran seolah-olah berkata: ‘’Sesungguhnya kamu telah mengubah dan meminda apa yang kamu ketahui. Maka yang datang mengikut hawa nafsumu kamu laksanakannya sedangkan apabila bersalahan dengan nafsumu kamu tidak lakukannya.’

Translate

CLOSE