Pages

01 Disember 2018

Air Wuduk Sayyidah Nafisah Menyembuhkan Sakit Lumpuh

Air Wuduk Sayyidah Nafisah Menyembuhkan Sakit Lumpuh

Sayyidah Nafisah dilahirkan pada tahun 145 Hijrah. Beliau merupakan anak kepada Sayyidina Hassan bin Ali bin Abi Talib, iaitu cicit kepada Nabi s.a.w. Sayyidah Nafisah dinikahkan dengan Mu'tamin bin Ja'far As Siddiq yang juga merupakan keturunan Rasulallah s.a.w. Setelah berkahwin dengan suaminya, beliau telah mengikuti suaminya ke Mesir.

Sayyidah Nafisah adalah seorang yang sangat kuat beribadah kepada Allah. Siang hari dia berpuasa sunat sedangkan pada malamnya dia bertahajjud menghidupkan malam dengan berzikir dan membaca Al Quran. Dia sungguh zuhud dengan kehidupannya. Hatinya langsung tidak terpaut dengan kehidupan dunia yang menipu daya. Jiwanya rindu dengan syurga Allah dan sangat takut dengan syurga Allah. Disamping itu Sayyidah Nafisah sangat taatkan suaminya. Beliau sangat mematuhi perintah suami dan melayan suaminya dengan sebaik-baiknya.

Terlalu banyak kisah mengenai kehebatan Sayyidah Nafisah, yang merupakan seorang wali wanita yang dapat menjadi contoh kepada wanita di akhir zaman ini. Diantaranya, semasa di Mesir, jirannya adalah seorang yahudi. Anak perempan mereka lumpuh. Suatu hari siibu hendak pergi ke satu tempat, sedangkan suaminya tiada di rumah. Lalu siibu mencadangkan agar anaknya itu tinggal sementara waktu di rumah Sayyidah Nafisah. Si anak bersetuju, lalu dihantar ke rumah Sayyidah Nafisah yang sememangnya sangat menghormati tetamu. Anak wanita yahudi itu diletakkan di satu sudut di rumah Sayyidah Nafisah, dan ketika itu azan pun berkumandang menandakan masuk waktu sembahyang.

Sayyidah Nafisah yang menunggu waktu solat meminta kebenaran tetamunya untuk segera bersolat. Sayyidah Nafisah lalu dihadapan anak wanita Yahudi yang lumpuh itu untuk mengambil wudhuknya. Setelah selesai, beliau lalu lagi dihadapan anak wanita yahudi tersebut dan air wudhu Sayyidah Nafisah jatuh dihadapannya. Lalu datanglah ilham kepada anak yahudi yang lumpuh itu untuk menyapu air wudhu Sayyidah Nafisah yang jatuh itu ke kakinya. Dengan izin Allah, kakinya yang lumpuh itu bergerak-gerak dan terasa boleh berjalan, sedangkan Sayyidah Nafisah tetap khusyuk mengerjakan solat. 

Kemudian, terdengarlah pula ibunya telah balik dan mengetuk pintu, sedangkan di waktu itu Sayyidah Nafisah masih lagi mengerjakan solat. Anak perempuan Yahudi itu memberanikan diri dengan berdiri dan ternyata dia mampu berdiri setelah menyapukan air wudhu Sayyidah Nafisah yang jatuh di hadapannya. Dia membuka pintu dan memeluk ibunya. Ibunya sangat terkejut, dan bertanya apa yang telah terjadi, anak wanita Yahudi yang lumpuh itu menceritakan segala-galanya. 

Air wudhuk Sayyidah Nafisah yang jatuh dihadapannya itu telah menjadi penawar untuk menyembuhkan sakit lumpuh yang telah dialaminya sekian lama. Menangislah si ibu mendengarkan hal yang sangat ajaib itu. Lalu dia mendapatkan Sayyidah Nafisah, dan memeluknya seraya berkata: "Aku mengaku bahawa engkau adalah cucu Rasulullah dan datukmu itu adalah Rasul Allah dan Allah adalah Tuhan sekalian alam." Islamlah perempuan Yahudi tersebut. Melihatkan hal tersebut Sayyidah Nafisah memberitahu itu semua adalah kehendak dan izin Allah semata-mata. 

Wanita Yahudi dan anaknya yang telah Islam itu kembali ke rumahnya dan bertemu pula dengan suaminya yang bernama Ayub. Dan dia sangat terkejut melihatkan anaknya telah boleh berjalan. Mendengarkan penjelasan dari isteri dan anaknya, Ayub menadah tangannya lalu berkata: 

" Maha suci engkau ya Allah ! Engkau sesatkan orang yang engkau kehendaki dan engkau beri petunjuk kepada sesiapa yang engkau kehendaki. Demi Allah, benarlah agamamu ini." 

Sejak itu Ayub dan keluarganya Islam, maka kemudian ramailah orang-orang Yahudi yang menjadi kenalan Ayub pula Islam, setelah mendengar kisah Ayub dan keluarganya. 

Demikianlah salah satu dari kisah yang sangat menyentuh perasaan bagaimana dengan air wudhunya sahaja Sayyidah nafisah telah mengislamkan berapa ramai orang. Hal yang demikian adalah dengan kehendak Allah jua. Sayyidah Nafisah adalah seorang yang terkenal zuhud dan mengasihi manusia yang lain. Pernah satu ketika, beliau menerima wang sebanyak 1000 dirham dari raja untuk keperluan dirinya. Beliau telah membahagikan wang tersebut kepada fakir miskin sebelum sempat memasuki rumahnya. Wang hadiah dari raja itu sedikit pun tidak diambilnya untuk kepentingan dirinya. Semuanya disedekahkan kepada fakir dan miskin. Demikianlah dermawannya sayyidah Nafisah terhadap fakir miskin. 

Sayyidah Nafisah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 208 hijrah sewaktu sedang membaca Al Quran dan sedang berpuasa. Beliau telah dikuburkan di dalam kubur yang telah dibinanya sendiri di dalam rumahnya. Kubur yang dibinanya itu adalah untuk beliau sentiasa mengingatkan akan kematian. Sewaktu disembahyangkan sangat ramai orang yang menghadirinya. Sehingga kini maqamnya diziarahi oleh pengunjung dari seluruh pelusuk dunia. Demikian kehebatan yang Alah anugerahkan kepada Sayyidah Nafisah Al Hassan yang terkenal dengan kewarakan kepada Allah dan ketaatannya kepada suami. Semoga ianya menjadi contoh buat genarasi wanita akhir zaman ini. 

Kredit/Sumber: jaipk.perak.gov.my

Air gelegak, nanah minuman neraka

Air Gelegak, Nanah Minuman Neraka


AIR mendidih, peluh, nanah, minuman penghuni neraka yang ketika di dunia hidup bergelumbang dengan rasuah, minum arak dan memakan benda-benda haram. Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau'izati berkata, manusia di Padang Mahsyar menginginkan air dari Telaga Kauthar untuk menghilangkan kehausan mereka dan antara jalan bagi mendapatkannya ialah dengan mengikuti sunah Rasulullah SAW di sepanjang kehidupan. 

BERDOA mohon keredaan Ilahi sepanjang hidup di dunia supaya sentiasa menjadi Mukmin bertakwa. Apabila tiba hari kebangkitan, manusia berada dalam keadaan sangat lapar dan kehausan yang lebih 70 kali ganda dahsyatnya daripada yang dirasakan ketika hidup di dunia dahulu. Melalui slot Mau'izati di IKIMfm, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani berkata, manusia di Padang Mahsyar menginginkan air dari Telaga Kauthar untuk menghilangkan kehausan dan antara jalan mendapatkannya ialah dengan mengikuti sunah Rasulullah SAW di sepanjang kehidupan. 

Walaupun hanya seteguk sahaja air Telaga Kauthar, ia mampu menghilangkan segala kelaparan, dahaga dan kesedihan sepanjang tempoh berada di Padang Mahsyar. Namun, tidak semua umat Nabi Muhammad SAW berpeluang meneguk air di telaga itu. Sebaliknya, mereka beroleh minuman yang disediakan di dalam neraka iaitu hamim. Abdullah bin Isa al-Kharras menyebut daripada Daud, daripada Iqrimah bahawa Ibnu Abbas menyebut, hamim adalah panas yang membakar iaitu air yang masuk ke dalam kerongkong dalam keadaan panas. Air panas itu mendidih sejak Allah SWT menciptakan langit dan bumi sehinggalah tiba waktu penghuni neraka meminumnya dan dituangkan di atas kepala sehingga terlerai anggota tubuh badan mereka. 

Air mata penghuni neraka Ibnu Wahab menyebut daripada Ibnu Zaid, hamim adalah air mata penghuni neraka yang terkumpul di dalamnya dan air itu diminum oleh mereka. Syabib menuturkan daripada Iqrimah, daripada Ibnu Abbas bahawa panasnya hamim itu sehingga tidak ada lagi tahap kepanasan selepasnya kerana kepanasan sudah berada di kemuncaknya. Diberi kepada penghuni neraka bersama besi pengait yang dimasukkan dalam tengkuk mereka. 

Manusia yang diazab begini adalah kalangan mereka yang meminum arak, memakan rasuah dan makanan yang diharamkan Allah SWT ketika hidup dahulu. Rasulullah SAW sentiasa berpesan supaya jangan sesekali memasukkan sesuatu yang haram ke dalam tubuh badan kerana setiap daging yang tumbuh daripada sumber yang haram, maka nerakalah tempat sesuai bagi mereka. 

Jenis minuman kedua diberi kepada penghuni neraka ialah ghassaq. Ibnu Abbas menyebut, ia mengalir daripada kulit dan daging orang kafir iaitu peluh yang ditadahkan, lalu diberi minum kepada ahli neraka lainnya. Ghassaq sejuk sifatnya dan apabila memasuki tubuh badan menyebabkan rasa amat sakit. Abdullah bin Amru menyebut, ghassaq adalah nanah kental yang keluar daripada tubuh badan orang kafir, bersifat pekat dan likat. Seandainya setitis sahaja ghassaq tumpah di bahagian barat, nescaya ia akan mencemari sehingga di bahagian timur neraka. 

Mujahid pula berkata ghassaq sesuatu yang tidak mungkin dapat dirasakan kerana terlalu sejuk sifatnya. Qaab berkata, ia sengatan racun daripada seluruh binatang berbisa yang dikumpulkan dan apabila anak Adam mencelupnya dengan sekali celupan, kulit serta dagingnya terlepas daripada tulangnya, melekat di tumit lalu ditarik seperti dilakukan oleh seorang penarik pakaian. Saidi berkata, ghassaq adalah air mata penghuni neraka yang diminum bersama hamim. Diriwayatkan oleh Dharraj daripada Abu Haisam kepada Said, Rasulullah SAW bersabda: "Seandainya satu timba daripada ghassaq ditumpahkan ke atas dunia, nescaya seluruh penghuninya akan berbau sangat busuk." Firman Allah SWT yang bermaksud: "Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya dan tidak pula sebarang minuman kecuali air panas yang menggelegak dan air nanah yang mengalir." (Surah al-Naba', ayat 24-25) 

Minuman ketiga bagi penghuni neraka ialah al-syadid seperti mana disebut dalam surah Ibrahim, ayat 17: "Ia meminumnya dengan terpaksa dan hampir tidak dapat diterima oleh tekaknya (kerana busuknya) dan ia didatangi (penderitaan) maut dari segala arah, sedang ia tidak pula mati (supaya terlepas dari azab seksa itu); dan selain dari itu, ada lagi azab seksa yang lebih berat." Qatadah berkata, al-syadid adalah nanah bercampur darah yang mengalir antara daging dan kulit. Imam Ahmad dan al-Tarmizi meriwayatkan daripada Abu Umamah, sabda Rasulullah SAW: "Ia didekatkan kepada air nanah lalu mereka meminumnya dengan terpaksa. 

Apabila air nanah itu berada dekat dengan mukanya maka terbakarlah ia dan berguguranlah kulit, kepala dan rambutnya. Apabila diminum air itu menyebabkan putus ususnya hingga keluar daripada duburnya." Arak rosakkan akal manusia Daripada Jabir, Rasulullah SAW bersabda: "Allah SWT berjanji, bagi sesiapa yang meminum satu minuman memabukkan yang dilarang di dalam Islam, kerana ia akan merosakkan akal dan menjatuhkan nilai dirimu lebih rendah daripada binatang. Dia akan diberi minuman di dalam neraka dengan peluh dan air bisa ahli neraka. 

Mereka terbabit dengan minuman memabukkan seperti arak termasuklah 10 golongan, di antaranya mereka yang menuangnya, menghidang atau membawanya, akan turut menerima azab diberi minuman itu di dalam neraka kelak. Di dalam neraka terdapat sungai yang dipenuhi dengan nanah bercampur darah dan berbau busuk. Penghuni neraka akan disembam ke dalamnya, dibukakan mulutnya dan dipaksa meminum air itu."

Kredit/sumber: bharian.com.my