Pages

03 Oktober 2016

Ummu Aiman Wanita Syurga

Ummu Aiman Wanita Syurga

Gambar Hiasan

Ummu Aiman Wanita Syurga

Ummu Aiman bercerita,”Pada suatu malam Rasulullah s.a.w bangun dari tidurnya dan membuang air kecil di dalam sebuah bekas. Pada malam itu juga aku bangun kerana rasa haus yang amat sangat.Lantas aku mengambil bekas yang berisi air itu dan meminumnya tanpa mengetahui apa yang terdapat di dalamnya. Keesokan paginya baginda bertanya kepadaku,”Wahai Ummu Aiman, adakah engkau telah buang apa yang terdapat di dalam bekas itu?”. Aku menjawab,”Wahai Rasulullah, demi Tuhan yang mengutusmu dengan kebenaran, aku telah meminum air itu”. Ketawalah Rasulullah s.a.w sehingga kelihatan gigi gerahamnya lalu berkata,”Sesungguhnya ia membuatkanmu tidak akan merasa lapar selamanya”. Begitulah antara kisah baginda Rasulullah s.a.w bersama pemeliharanya, Ummu Aiman.



Beliau ialah Barkah bintu Tsa’labah, namun lebih dikenali dengan nama gelarannya Ummu Aiman iaitu bermaksud Ibu Aiman. Aiman adalah anak hasil perkahwinannya dengan ‘Ubayd bin al-Harith al-Khazrajiy. Aiman turut berperanan melakar sejarah hidupnya tersendiri bersama baginda Rsulullah s.a.w, turut berhijrah, berperang sehinggalah ia syahid pada Perang Hunain.

Pada asalnya, Ummu Aiman adalah hamba milik Abdullah bin Abdul Muttalib, bapa Rasulullah s.a.w. Apabila Abdullah wafat dan Aminah melahirkan nabi Muhammad s.a.w, beliaulah yang banyak berperanan mencarikan ibu susuan dan memelihara baginda dengan penuh kasih sayang setelah tempoh penyusuan dan kehidupannya bersama Halimatuussa’diah tamat.

Sebagai penghormatan dan pengiktirafan baginda Rasulullah s.a.w terhadap segala jasa, didikan dan keikhlasan Ummu Aiman terhadap baginda, Ummu Aiman dimerdekakan ketika baginda mengahwini Khadijah. Dikhabarkan bahawa Ummu Aiman menerima Islam sejak di peringkat awal dakwah lagi. Beliau sangat elok keislamannya dan ini dibuktikan dengan kemuliaan yang Allah berikan padanya iaitu berhijrah pada kedua-dua hijrah ke Habsyah dan Madinah.

Suatu ketika dalam salah satu perjalanan hijrahnya, Ummu Aiman menempuhnya dengan berpuasa. Tiba saat berbuka, tak ada bekal air yang dapat digunakan untuk melepaskan dahaganya yang sangat. Tiba-tiba didapatinya setimba air terhulur dari langit dengan tali timba yang berwarna putih. Ummu Aiman pun meminumnya. Ummu Aiman menuturkan, “Semenjak itu, aku berpuasa di siang yang panas dan berjalan di bawah terik matahari agar aku merasa haus, namun aku tidak pernah merasakan dahaga.” Itulah kelebihan beliau yang diberikan oleh ALlah kepadanya.

Hijrahnya ke Madinah ditempuhnya selang beberapa waktu setelah Rasulullah s.a.w hijrah ke Madinah. Ketika itu Rasulullah s.a.w mengutus Zaid bin Haritsah dan Abu Rafi’ radhiallahu ‘anhuma dengan berbekalkan dua ekor unta dan 500 dirham untuk membawa dua puteri beliau, Fatimah dan Ummu Kaltsum r.a, serta Saudah bintu Zam’ah r.a. Pada saat itu pulalah Ummu Aiman bersama puteranya Usamah bin Zaid bertolak menuju Madinah bersama rombongan ini.

“Inilah ahliku yang kekal”, itulah kata-kata baginda Rasulullah s.a.w yang menjanjikan Ummu Aiman dengan ganjaran syurga. Baginda turut menyebarkan khabar tersebut kepada para sahabatnya dengan mengatakan, “Siapa yang berasa senang untuk menikahi seorang wanita ahli syurga, maka nikahilah Ummu Aiman”. Seruan itu disambut oleh Zaid b. Harithah anak angkat Rasulullah s.a.w yang mengahwini Ummu Aiman dan perkahwinan mereka dianugerahi seorang anak lelaki bernama Usamah bin Zaid seorang pahlawan terbilang. 

Ummu Aiman terus mengiringi kehidupan Rasulullah s.a.w hingga wafatnya baginda. Setelah kewafatan baginda, Abu Bakr r.a berkata kepada ‘Umar bin Al-Khaththab r.a, “Mari kita mengunjungi Ummu Aiman sebagaimana dulu Rasulullahs.a.w biasa mengunjunginya.” Keduanya pun beranjak menemui Ummu Aiman. Ketika keduanya tiba, Ummu Aiman dalam keadaan menangis, hingga mereka pun bertanya, “Apa yang membuatmu menangis? Apa yang di sisi Allah lebih baik bagi RasulNya.” Beliau menjawab,”Aku menangis bukan kerana tidak mengetahui apa yang di sisi Allah itu lebih baik bagi RasulNya, tetapi aku menangis kerana wahyu dari langit telah terputus.” Mendengar penuturan Ummu Aiman, berlinanglah air mata Abu Bakr dan Umar radhiallahu ‘anhuma hingga keduanya pun turut menangis bersama Ummu Aiman.

Beliau pergi menemui Ilahi pada zaman Khilafah Uthman bin Affan, 20 hari selepas pembunuhan Uthman. Allah merahmati beliau. Betapa besarnya jasa beliau sehingga baginda Rasulullah s.a.w menggambarkan beliau dengan kata-katanya, “Ummu Aiman, ibuku selepas ibuku”.

Kredit/Sumber: Mahmud Ta’mah Halbi(2000), Nisa’ Haul al-Rasul, Beirut; Darul Makrifah.