Pages

31 Ogos 2010

Kisah Nabi Shuib



NABI Shuib adalah keturunan Nabi Luth daripada pihak anak perempuannya. Baginda diutuskan Allah ke negeri Madyan yang penduduknya ingkar kepada Allah serta mengamalkan pergaulan hidup jauh daripada batasan agama.

Mereka merampas harta orang lain secara haram, menipu dan berbohong. Kaum Madyan ­diutuskan oleh Allah seorang Rasul iaitu Nabi Shuib.

Baginda adalah bangsa Arab yang tinggal di sebuah daerah bernama Ma’an di pinggir negeri Syam. Mereka terdiri daripada masyarakat kafir yang tidak mengenali Tuhan Yang Maha Esa.

Mereka menyembah ‘Aikah’ iaitu padang pasir yang ditumbuhi beberapa jenis pohon dan tanaman.

Nabi Shuib mengajak mereka meninggalkan penyembahan itu semua kerana ia tidak bermanfaat dan baginda menyeru mereka agar menyembah dan sujud kepada Allah Yang Maha Esa.

Cara hidup dan adat istiadat mereka terpesong daripada ajaran agama dan pengajaran nabi-nabi sebelum Shuib.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan kepada Madyan (Kami utus) saudara mereka Shuib. Dia berkata: ‘Hai kaumku! Sembahlah Allah kerana tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Sesungguhnya datang kepada kamu satu keterangan dari ­Tuhan kamu. Lantaran itu cukup­kanlah sukatan dan timbangan dan janganlah kamu kurangkan (dari) manusia akan hak-hak mereka dan janganlah kamu berbuat kebinasaan di bumi. Yang demikian itu baik buat kamu jika kamu orang yang beriman.’” (Surah al-A’raf ayat 85)

Seruan Nabi Shuib kepada kaumnya sedikit pun tidak dihiraukan, malah beranggapan bahawa kepercayaan mereka itu adalah yang benar sedangkan Nabi Shuib dianggap sebagai seorang yang menimbulkan huru-hara dan pergaduhan.

Namun Nabi Shuib tidak berputus asa, malah terus bersemangat mengajar dan mendidik mereka. Nabi Shuib mengingat­kan mereka bahawa apabila mereka tidak mahu sedar dan kembali kepada jalan benar mengikuti ajaran dan perintah Allah yang dibawanya, nescaya Allah akan menarik nikmat dan kurniaan-Nya kepada mereka.

Bahkan menurunkan azabnya ke atas mereka di dunia selain seksa dan azab menanti mereka kelak di akhirat.

Allah Maha Kuasa dan berkenan menerima permohonan Nabi Shuib maka diturunkan kepada ke atas mereka udara yang sangat panas lalu ­mengeringkan tekak kerana dahaga.

Ia tidak dapat dihilangkan dengan air selain membakar kulit yang tidak dapat diubati walaupun berteduh di bawah atap rumah atau pokok.

Ketika berada dalam situasi itu mereka mencari perlindungan daripada panas terik mentari itu. Tiba-tiba mereka ternampak di atas kepala mereka awan hitam yang tebal.

Semua berlari bertempiaran dengan harapan ingin berteduh di bawahnya. Namun ketika berada di bawah gumpalan awan hitam itu dalam keadaan bersesak-sesak itu jatuhlah ke atas mereka percikan api dari awan hitam itu dan diiringi ­dengan panahan petir serta guruh yang dahsyat.

Sementara itu, bumi di bawah mereka bergoyang sekuatnya menjadikan mereka jatuh ­bertimbun antara satu dan lain.

Demikian seksaan Allah yang datang secara tiba-tiba tanpa mengira malam ataupun siang, pagi atau petang.

Sebelum seksaan Allah datang kepada mereka, Nabi Shuib berserta orang yang ­beriman berhijrah ke negeri lain.

Ketika itu baginda berkata kepada kaumnya sebagaimana yang difirmankan di dalam ­al-Quran yang bermaksud: “Maka Nabi Shuib berpaling dari mereka, kemudian berkata: ‘Wahai kaumku! Sesungguhnya aku menyampaikan risalah Tuhan kepadamu dan memberikan nasihat. Bagaimanakah aku akan berdukacita atas orang kafir?’ (Surah al-A’raf ayat 93)

Nabi Shuib berhijrah ke Aikah iaitu sebuah dusun yang tidak jauh dari Madyan. Di situ rakyatnya juga tidak ada bezanya keadaan mereka sebagaimana penduduk Madyan. Mereka juga membangkang dan menderhaka Tuhan.

Nabi Shuib tidak mengalah menyeru serta mengajar mereka menyembah Allah. Nabi Shuib menjelaskan kepada mereka seksaan yang bakal menimpa bagi yang menderhaka kepada Allah.

30 Ogos 2010

Tongkat mukjizat Nabi Musa



NABI Musa adalah anak kepada Imran bin Yashar bin Qaahits. Nasab terakhirnya ialah Yaakub bin Ishaq bin Ibrahim yang dilahirkan di Mesir ketika pemerintahan Firaun dan bersaudara dengan Nabi Harun.

Kelahirannya mencemaskan kerana ketika itu Firaun atau nama sebenarnya Al-Walid ibnu Mus’ab menguatkuasakan undang-undang supaya setiap bayi lelaki daripada kalangan Bani Israel yang dilahirkan perlu terus dibunuh.

Tindakan itu diambil kerana dia terpengaruh dengan ahli nujum yang menafsirkan mimpinya mengatakan kuasa pemerintahan Mesir akan jatuh ke tangan lelaki Bani Israel.

Disebabkan khuatir kejatuhan pemerintahannya, Firaun memerintahkan supaya setiap rumah penduduk diperiksa bagi memastikan tiada bayi lelaki.

Jika mendapati bayi lelaki maka perlu dibunuh tanpa sebarang alasan. Musa dilahirkan secara rahsia kerana bimbang turut menjadi mangsa tindakan tidak bertamadun Firaun.

Musa disusui ibunya secara senyap-senyap. Masyarakat tidak mengetahui Musa satu-satunya bayi lelaki Bani Israel yang terselamat daripada kekejaman Firaun.
Apabila usianya tiga bulan, Musa dihanyutkan ke Sungai Nil. Allah Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui segala-galanya.

Kemudian Musa dijumpai isteri Firaun sendiri, Asiah yang membawanya ke istana. Melihat tindakan isterinya membawa Musa yang ketika itu masih bayi ke dalam istana, Firaun dengan pantas menghunuskan pedang untuk membunuh Musa.

Baginya, bayi lelaki tidak boleh dibenarkan hidup. Lalu Asiah merayu kepada suaminya supaya Musa tidak dibunuh dengan berkata: “Janganlah dibunuh anak ini kerana aku menyayanginya. Baik kita menjadikannya seperti anak sendiri kerana aku tidak mempunyai anak.”


Mendengar luahan hati isteri tercinta itu, Firaun tidak sampai hati untuk membunuh Musa. Asiah berasa lega dan amat gembira kerana Musa terselamat.

Dia mencari pengasuh untuk menjaga Musa, tetapi tidak seorang pun yang dapat menjaga Musa dengan baik. Musa asyik merengek dan menangis dan memberikan isyarat tidak mahu disusui.

Tidak lama kemudian, ibunya mendapat tahu Musa berada di istana Firaun lalu tampil untuk memberikan khidmat kepada Asiah. Dialah me­ngasuh dan membesarkan Musa di istana Firaun.

Pada satu hari, Firaun sendiri mendukung Musa yang masih kanak-kanak sehingga tiba janggutnya ditarik menyebabkannya berasa sakit.

Disebabkan tindakan Musa itu, Firaun berkata kepada isterinya: “Wahai isteriku, mungkin kanak-kanak ini yang akan menjatuhkan kekuasaanku.”

Isterinya berkata: “Sabarlah, dia masih kanak-kanak, belum berakal dan mengetahui apa pun.”

Musa tinggal di istana itu cukup lama, sejak usianya tiga bulan hingga dewasa, sehingga orang ramai memanggil dan menggelarkannya Musa bin Firaun.
Nama Musa sendiri diberikan keluarga Firaun. ‘Mu’ bermakna air dan ‘sa’ bermaksud pokok sempena tempat penemuan­nya di tepi Sungai Nil oleh Asiah.

Pada suatu hari Nabi Musa meninjau keadaan di sekitar kota. Baginda terserempak dengan dua lelaki sedang berkelahi, masing-masing dari kalangan Bani Israel dan bangsa Firaun.

Melihat pergaduhan itu, Musa mahu mendamaikan mereka, tetapi ditepis lelaki berbangsa Firaun itu. Tanpa berlengah Musa terus melepaskan penumbuk ke atas lelaki itu lalu dia tersungkur dan meninggal dunia.

Apabila mendapati lelaki itu rebah dan mati kerana tumbukannya, Musa memohon ampun ke hadrat Allah seperti dinyatakan dalam al-Quran: “Musa berdoa: ‘Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku menganiayai diriku sendiri kerana itu ampunilah aku. Maka Allah mengampuninya, sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’”

Berita kematian lelaki berbangsa Firaun disebabkan Musa tersebar meluas dan diketahui masyarakat. Baginda turut diketahui pemimpin kanan Firaun lalu mereka mahu menangkap Musa.

Musa melarikan diri dari bumi Mesir menuju ke Madyan berjalan kaki, tanpa bekalan makanan, hanya mengalas perut dengan daun kayu dalam perjalanan selama lapan malam.

Tiba di sana, Musa berehat di bawah pokok dan ketika itu Baginda terlihat dua pengem­bala kambing yang mahu memberi minum ternakan mereka di telaga besar.

Musa memberikan pertolongan kepada dua wanita terbabit. Sekembalinya ke rumah, wanita itu memaklumkan mengenai pertolongan Musa kepada bapanya, Nabi Syuaib. Lalu Musa dijemput ke rumah mereka.

Kemudian, Musa bekerja di rumah Syuaib sebagai pe­ngembala kambing bertahun-tahun sebagai mas kahwin untuk mengahwini seorang daripada anaknya.

Selepas 10 tahun di bumi Madyan, Musa rindu mahu kembali ke Mesir. Baginda memulakan perjalanan ke Mesir dalam keadaan sungguh gelap dan dingin.

Isteri yang mengandung ketika itu sudah sampai waktu untuk bersalin. Musa dalam keadaan bingung, Baginda merenung ke ufuk.

Ketika itu Baginda melihat di Bukit Thur Sina satu cahaya, di sana dia merasakan bakal mendapatkan api untuk memanaskan badan.

Baginda mendekati bukit itu dan merasa gementar manakala anggota badannya bergerak-gerak ketika mendengar Allah berbicara terhadapnya dengan memerintahkannya melepaskan terompahnya.

Kemudian Baginda memasuki lembah suci bukit itu kerana Allah berbicara dengannya menjadikannya utusan dan disuruh bertemu dengan Firaun menyampaikan risalah Allah.

Allah memberikan kepada­nya bukti yang menunjukkan kebenaran kenabiannya iaitu mukjizat dengan tongkat dan tangan.

29 Ogos 2010

Nabi Ishak berakhlak tinggi

NABI Ishak adalah anak kedua Nabi Ibrahim daripada perkahwinannya dengan Sarah. Dia anak yang soleh. Perkataan Ishak berasal daripada bahasa Ibrani iaitu Yashhak.

Ini disebabkan Sarah sebelum itu mandul dan kelahiran Ishak terlalu lama jaraknya dengan kelahiran Ismail. Jadi, tidak hairan Sarah tertawa bersendirian kerana gembira apabila diberitahu malaikat dia bakal melahirkan anak.

Jika keturunan Nabi Ismail melahirkan bangsa Arab Musta’ribah, keturunan Nabi Ishak pula melahirkan Bani Israel. Bermula daripada anaknya, Yaakub, muncul ramai nabi daripada kalangan Bani Israel. Firman Allah: “Dan Kami jadikan kenabian dan al-Kitab pada keturunannya.” Ishak adalah seorang yang soleh. Keberkatannya dikhususkan Allah seperti keberkatan pada bapanya, Nabi Ibrahim. Firman Allah bermaksud: “Dan Kami beri dia khabar gembira dengan (kelahiran) Ishak, seorang nabi yang termasuk orang soleh. Kami limpahkan keberkatan atasnya dan atas Ishak dan antara cucunya ada yang berbuat baik dan ada yang zalim terhadap dirinya sendiri dengan nyata.” Allah menghuraikan kebijaksanaan Ibrahim, anaknya, Ishak dan cucunya, Yaakub dalam firmannya: “Dan ingatlah hamba Kami bahawa Ibrahim, Ishak dan Yaakub mempunyai perbuatan besar dan ilmu tinggi. Sesungguhnya Kami menyucikan mereka dengan (menganugerahkan mereka) akhlak tinggi, iaitu sentiasa mengingatkan (manusia) kepada akhirat. Dan mereka pada sisi Kami benar-benar termasuk orang pilihan yang paling baik.” Kenabian Ishak dijelaskan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami memberikan wahyu kepadanya sebagaimana Kami memberikan wahyu kepada Nuh dan nabi yang kemudiannya. Dan Kami memberikan wahyu kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub dan anak cucunya, Isa, Yunus, Harun, Sulaiman. Dan Kami berikan Zabur kepada Daud.” Al-Quran tidak menjelaskan mengenai Nabi Ishak secara khusus. Namun, menurut riwayat, pada saat Nabi Ibrahim hampir menemui ajal, Nabi Ishak mahu berkahwin.

Namun Nabi Ibrahim tidak mahu Ishak berkahwin dengan wanita Kan’an kerana mereka tidak mengenali Allah. Bapanya kemudian mengutuskan seorang hamba untuk melamar gadis di Hanan (Iraq). Gadis yang dipilih bernama Rifqah binti Bitauel bin Nahur. Nahur adalah saudara Nabi Ibrahim, manakala Rifqah adalah cucu saudaranya.

Genap 10 tahun perkahwinan mereka, Ishak dikurniakan dua anak lelaki, iaitu ‘Iso (dalam bahasa Arab disebut Al-Ish) dan Yaakub. Ishak lebih menyayangi Al-Ish daripada Yaakub kerana berasa tidak senang berikutan Rifqah menyayangi Yaakub. Ishak selalu meminta Al-Ish menghidangkan makanan untuknya, namun pada satu ketika Rifqah meminta Yaakub terlebih dulu menghidangkan makanan. Kemudian Ishak terus makan dan mendoakan kebaikan untuk Yaakub. Al-Ish yang nampak keadaan itu lantas memarahi Yaakub, lalu mengugut saudaranya.

Rifqah yang melihat kejadian itu meminta kebenaran Ishak untuk menyuruh Yaakub pergi ke rumah saudaranya bernama Laban di kawasan Haron, Iraq. Ia bertujuan supaya Yaakub akhirnya tinggal di sana dan berkahwin dengan anak saudaranya. Setiba di Haron, Yaakub menghambakan diri kepada ibu saudaranya. Dia ingin berkahwin dengan anak gadis ibu saudaranya yang bernama Rahil tetapi bapa saudaranya mahu mengahwinkannya dengan Lai’ah, iaitu kakak kepada Rahil.

Yaakub berkata: “Saya hanya mahu berkahwin dengan Rahil, puteri pakcik yang lebih cantik berbanding kakaknya.” Bapa saudaranya berkata: “Menurut kebiasaan, kami tidak memperkenankan perkahwinan anak yang lebih muda mendahului kakaknya. Jika kamu mahukan adiknya, kamu perlu bekerja lagi selama tujuh tahun.” Bagaimanapun, akhirnya Yaakub mengahwini kedua-dua anak bapa saudaranya (syariat yang diizinkan ketika itu). Yaakub tinggal selama 20 tahun bersama ibu dan bapa saudaranya sebelum kembali ke pangkuan keluarganya di Kan’an (Palestin). Yaakub berasa kepulangan akan dihalang saudaranya, Al-Ish. Bagi mengelak kejadian tidak diingini, Yaakub mengutuskan anaknya supaya memberi hadiah kepada Al-Ish, sekali gus menggembirakannya.

Al-Ish mengosongkan kediamannya kepada Yaakub, manakala dia sendiri berpindah ke gunung Sya’ir. Yaakub terus berada di samping bapanya. Selepas itu Nabi Ishak memberikan tempat tinggal di Habrun kepada Yaakub. Kawasan itu kemudian dipanggil Al-Halil. Ahli sejarah menjelaskan, nama Yaakub digunakan sebagai perkataan Israel. Isra membawa erti hamba, kesucian, manusia atau muhajir, manakala el bererti Allah. Jadi, Israel adalah merujuk kepada hamba daripada kesucian Allah.

Nabi Ishak yang wafat ketika berusia 180 tahun dikebumikan di Jirun (kini Madinah). Ada juga mengatakan Nabi Ishak disemadikan di al-Mughirah, tempat bapanya dikebumikan.

28 Ogos 2010

Kisah Nabi Ismail Reda disembelih

Kisah Nabi Ismail Reda disembelih

Nabi Ismail adalah anak Nabi Ibrahim dan ibunya Siti hajar. Nabi Ibrahim mempunyai dua orang isteri yang pertama Siti Sarah di mana perkahwinan beliau dengan Siti Sarah pada peringkat awal tidak dikurniakan anak.

Baginda kemudian berkahwin dengan Siti Hajar yang juga hamba sahaya Raja Mesir. Isteri pertama baginda, Siti Sarah tidak dapat melahirkan anak pada usia muda kerana mandul. iti Sarah sentiasa menginginkan zuriat dan hanya selepas usianya lanjut dia dikurniakan seorang putera bernama Ishak. Siti Sarah sebenarnya tidak selesa meletakkan Siti Hajar sebagai madunya.

Begitulah lumrah sifat wanita apatah lagi madunya sudah mampu melahirkan anak sedangkan dia sendiri belum dapat merasainya. Nabi Ibrahim kemudian berhijrah bersama isterinya Siti Hajar bersama putera beliau Ismail ke Makkah yang waktu itu masih lautan padang pasir yang belum didiami walau seorang manusia pun.

Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud: "Ya Tuhan kami! Sesungguhnya aku menempatkan anak keturunan aku di lembah yang tiada tanaman (Makkah) dekat Kaabah yang mulia. Ya Tuhan kami! semoga mereka tetap mendirikan solat. Hendaklah Engkau jadikan hati manusia rindu kepada mereka, berilah mereka rezeki yang berupa buah-buahan mudah-mudahan mereka mengucapkan syukur kepada Tuhan." (Surah Ibrahim ayat 37).

Sepeninggalan Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan puteranya Ismail tinggal berdua di kawasan terpencil dan sunyi itu. Mereka harus menerima nasib yang ditakdirkan Allah ke atas dirinya dengan penuh kesabaran dan keyakinan terhadap perlindungan-Nya.

Makanan dan minuman yang dibawanya dalam perjalanan akhirnya habis dimakan selama beberapa hari sepeninggalan Nabi Ibrahim. Ketika Hajar kehabisan air, dia terasa haus dan susunya semakin berkurangan. Bayinya Ismail turut lapar kerana kekurangan susu. Ibu menjadi panik dan cemas mendengar tangisan anaknya yang begitu menyayat hati. Dia menoleh ke kanan dan ke kiri sambil berlari-lari anak mencari air.

Namun usahanya sia-sia. Demi memikirkan kehidupan anak yang tersayang, Siti Hajar bermundar-mandir berlari-lari anak sehingga tujuh kali di antara bukit Safa dan Marwah. Siti Hajar akhirnya duduk termenung kerana penat dan hampir berputus asa. Diriwayatkan bahawa ketika Siti Hajar berada dalam keadaan tidak bermaya dan hampir putus asa itu datanglah rahmat dari Allah bersama pertolongan-Nya. Malaikat Jibril turun lalu bertanya: "Siapakah sebenarnya engkau? Aku adalah hamba sahaya Ibrahim," jawab Siti Hajar. "Kepada siapa engkau diamanahkan di sini?" Tanya Jibril. "Hanya kepada Allah," jawab Siti Hajar. Lalu berkata Jibril; "Jika demikian, maka engkau diamanahkan kepada zat yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih, yang akan melindungimu, memenuhi keperluan hidupmu dan tidak akan mensia-siakan kepercayaan Ibrahim kepada-Nya." Siti Hajar kemudian diajak pergi bersamanya ke satu tempat di mana Jibril memijakkan telapak kakinya sekeras-keras mungkin di atas tanah. Dengan serta merta terpancut air yang jernih pada tempat itu berikutan kekuasaan Allah. Ia di kenali sebagai air Zam Zam yang hingga kini masih ada telaganya.

Sejarah menyebutkan mata air itu dikenali sebagai 'Injakan Jibril'. Siti Hajar terasa amat gembira dan lega melihat air yang terpancut itu. Dia segera membasahkan puteranya dengan menggunakan air Zam Zam untuk mengembalikan kesegaran bayinya. Raut wajah Siti Hajar kelihatan ceria dan bahagia menerima kedatangan mukjizat dari Allah itu.

Allah mengembalikan kesegaran hidup kepada mereka berdua anak beranak sesudah dibayangi kematian akibat kebuluran. Malaikat Jibril berkata: "Wahai Siti Hajar! Janganlah engkau takut akan kehausan ketika berada di sini kerana sesungguhnya Allah menjadikan air ini sebagai bekalan minuman buat seluruh penghuni kawasan ini. Air ini akan terus mengalir tanpa henti dan Ibrahim akan kembali semula ke sini untuk mendirikan kaabah.

Pada satu hari, tibalah rombongan masyarakat Arab Jurham. Mereka secara kebetulan terasa kehausan sehingga mencari bekalan air. Mereka kemudian memerhatikan burung yang berterbangan ke arah sebuah bukit. Masyarakat Arab tahu bahawa biasanya burung itu gemar kepada air. Mereka mengagak bahawa di sana pasti ada air lalu berjalan menuju ke arah bukit itu untuk mencari air. Sangkaan tepat mereka mendapatkan air dan bertemu dengan Siti Hajar bersama bayinya Ismail. Mereka meminta air kepada Siti Hajar untuk diminum sehingga puas.

Nabi Ibrahim kembali ke Makkah untuk menemui anak dan isterinya. Baginda terkejut melihat air yang memancut tanpa henti dan sungguh banyak sekali. Siapa yang tidak merasa bahagia apabila berjumpa dengan keluarga selepas lama berpisah. Begitulah keadaan Nabi Ibrahim ketika bertemu dengan anaknya Ismail dan isterinya Siti Hajar di Makkah.

Siti Hajar menceritakan pengalaman hidup kepada suaminya. Nabi Ibrahim memuji kebesaran Allah yang mengabulkan doanya. Kemudian Nabi Ibrahim mendirikan Kaabah (Baitullah) yang menjadi kiblat seluruh umat Islam beribadah kepada Allah.

Pada satu ketika, sewaktu Nabi Ismail berusia remaja, Nabi Ibrahim bermimpi bahawa baginda perlu menyembelih Ismail. Mimpi itu adalah salah satu cara penyampaian wahyu daripada Allah kepada Nabi pilihannya. Perintah yang diterimanya dalam mimpi itu harus dilaksanakan Nabi Ibrahim. Baginda duduk sejurus termenung memikirkan ujian yang berat yang perlu dihadapinya. Baginda berfikir, sebagai seorang ayah yang dikurniakan seorang putera selepas puluhan tahun perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh ayahnya.

Seorang putera yang diharapkan sebagai pewaris dan penyambung zuriat keturunan terpaksa dijadikan korban oleh ayahnya sendiri. Sebagaimana disebutkan dalam al-Quran yang bermaksud: "Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah akan pendapatmu! Baginda menjawab: Wahai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu: Insya-Allah kamu akan melihat diriku sebagai golongan orang-orang sabar." (Surah as-Shaffaat ayat 102).

Perintah Allah dilaksanakan ayahnya Ibrahim. Allah berfirman yang bermaksud: "Kami menyeru kepada Ibrahim: "Sesungguhnya engkau menurut mimpi itu dan Kami akan membalas kepada orang yang melakukan kebaikan dan sesungguhnya ini adalah cubaan yang terang dari Allah, maka kami tebus anaknya itu dengan seekor biri-biri besar." (Surah as-Shafaat ayat 104-107).

Selepas meningkat dewasa Nabi Ismail berkahwin dengan seorang wanita dari Jurhum. Baginda merasa bahagia mendirikan rumah tangga bersama isterinya. Walaupun Ismail sudah dewasa dan berkeluarga, Nabi Ibrahim tidak lupa mengunjunginya sekali-sekala kerana kerinduan kepada puteranya.

Pada satu ketika, dalam kunjungan Nabi Ibrahim ke Makkah, baginda datang ke rumah Nabi Ismail tetapi baginda tiada di rumah. Ketika berbual bersama isteri Ismail, dia mengeluh memikirkan keadaan rumah tangganya dan kehidupan mereka yang melarat.

Isteri Ismail itu juga tidak menjamu sesuatu pun kepada tetamunya itu. Nabi Ibrahim meminta diri dan berpesan kepada menantunya agar menyampaikan salamnya kepada Ismail disertai nasihat supaya ambang pintu rumahnya diubah dan diganti. Selepas itu, Nabi Ismail pun pulang dan isterinya menyampaikan khabar berita dan pesan tetamunya tadi. Isterinya turut memberitahu bahawa Nabi Ibrahim berpesan, agar pintu rumahnya diganti.

Nabi Ismail segera mengetahui bahawa tetamu tua yang dimaksudkan itu adalah ayahnya, Nabi Ibrahim. Maksud nasihat itu alah agar ia menceraikan isterinya. Nasihat itu segera dilaksanakan Nabi Ismail. Isterinya diceraikan dan dikembalikan kepada keluarganya. Tidak lama kemudian baginda menyunting seorang gadis lain yang juga berasal daripada suku Bani Jurhum sebagai isteri barunya. Tidak lama kemudian, Nabi Ibrahim datang mengunjungi puteranya di Makkah dan kali ini baginda tidak dapat menemui Ismail di rumah.

Baginda mengetuk pintu rumah, isteri Nabi Ismail yang baru keluar lalu mempelawanya masuk. Dia menerima kunjungan ayah mentuanya dengan wajah manis dan peramah. Nabi Ibrahim bertanyakan mengenai keadaan suaminya dan rumah tangganya. Isteri Nabi Ismail menerangkan suaminya masih kuat mencari nafkah walaupun keadaan rumah tangganya sudah cukup baik, sejahtera dan bahagia.

Melihat perwatakan menantunya menyambut serta menerima dan kata-kata manis yang memberikan kepuasan hati. Nabi Ibrahim meminta diri dan meninggalkan rumah dan berpesan kepada menantunya agar menyampaikan salam kepada Ismail supaya ambang pintu rumahnya dipertahankan. Ia tidak perlu diubah atau diganti kerana masih cukup kuat.

Begitulah gambaran ketinggian dan ketaatan Nabi Ismail dalam melaksanakan perintah Allah. Nabi Ismail dianugerahkan Allah keturunan yang ramai. Anaknya adalah pemimpin kaumnya dan mereka di kenali sebagai masyarakat Arab Musta'ribah. Untuk mengembalikan bangsa Arab terselamat daripada kesesatan menyembah berhala, Allah mengutuskan seorang nabi yang berasal daripada keturunan Nabi Ismail dan Ibrahim iaitu Nabi Muhammad. 

Kredit/Sumber: harianmetro

Kelahiran Nabi Isa luar biasa

Nabi Isa adalah putera Maryam yang tiada berbapa. Itu adalah kekuasaan Allah. Ketika itu Maryam sedang beriktikaf di mihrabnya, bersolat, bersujud, bertasbih dan berzikir dengan penuh ketekunan sebelum tiba-tiba dihantui perasaan takut lalu dia berpeluh.

Dia ternampak seorang lelaki tidak dikenali berdiri tegak di hadapannya. Maryam tidak mengetahui dari mana dan bagaimana dia masuk ke mihrabnya. Nabi Isa dilahirkan hasil perantaraan ibunya, tidak seperti kelahiran manusia biasa melalui hubungan suami isteri.

Baginda dilahirkan pada tahun 622 sebelum Hijrah. Kelahiran tanpa bapa adalah ujian besar buat dirinya. Apakah manusia percaya kekuasaan Allah? Maryam atau Imran Matsan, seorang wanita soleh. Pada satu hari malaikat Jibril datang membawa khabar dia akan mendapat bayi lelaki.

Jibril datang kepadanya dalam keadaan menyerupai manusia lalu ditolaknya Maryam dengan berkata: "Jauhi diri engkau dari sini dan aku berlindung kepada Tuhan atas kejahatan yang akan terjadi dan aku takut kepada Allah." Jibril meniupkan roh yang suci ke dalam kandungannya yang membawa kepada kehamilannya. Hal itu dinyatakan di dalam al-Quran yang bermaksud: Jibril berkata: "Aku ini pesuruh Tuhanmu dan aku memberi khabar gembira bahawa engkau akan melahirkan seorang anak lelaki yang suci." (Surah Maryam ayat 19) Maryam berkata: "Bagaimana aku akan mendapat anak sedangkan aku belum bersuami dan aku bukan orang jahat." (Surah Maryam ayat 20) Maryam disahkan hamil dan kandungannya semakin membesar. Penduduk kampung gempar melihat seorang anak gadis hamil dan menuduh Maryam melakukan maksiat dengan lelaki.

Sewaktu kandungannya menjangkau usia tujuh bulan diceritakan Maryam terpaksa melalui segala kepayahan dan duka dengan penuh derita. Dia melalui proses kandungan yang luar biasa. Apabila berada dalam kesakitan ketika tanda tempoh kelahiran, dia ke kawasan sunyi jauh daripada masyarakat.

Maryam kemudian berhenti di bawah satu pohon kurma kerana rasa sakit yang semakin kuat, Berkat keizinan Allah, lahirlah bayi itu tanpa bantuan sesiapa, hanya di bawah pohon kurma yang gersang.

Maryam bergelar ibu ketika dia masih anak dara. Dia memandang raut wajah bayi itu dengan linangan air mata kerana sedih bayi itu ditakdir lahir tanpa ikatan perkahwinan. Maryam amat malu memikirkan keadaan dirinya hamil tanpa bersuami sehingga menerima cemuhan masyarakat.

Maryam ditanyakan soalan bertubu-tubi: "Bagaimana kamu mendapat zuriat berkenaan? Kami melihat kamu belum pernah bersuami sedangkan orang tuamu orang yang baik. Mengapa sekarang engkau menjadi insan tercemar?" Maryam tidak menjawab. Namun, berkat kekuasaan Allah, bayi itu dapat berbicara seperti diceritakan dalam al-Quran, bermaksud: "Ia berkata: 'Sesungguhnya aku ini hamba Allah, Dia berikan kepadaku Kitab Injil dan Dia menjadikan aku Nabi. Dan Dia menjadikan aku orang yang berbakti di mana saja aku berada dan Dia mewajibkan aku sembahyang dan zakat selama aku hidup. Dan (Dia menjadikan aku) berbakti kepada ibuku dan tidak pula Dia menjadikan aku orang yang sombong celaka. Dan keselamatan (bercucuran) atasku pada hari aku dilahirkan dan pada hari aku akan mati dan pada hari aku akan dibangkitkan dalam keadaan hidup. Dia itu Isa anak Maryam. Allah berfirman perkataan benar yang ditentangnya mereka berselisihan.'" (Surah Maryam ayat 30-34).

Maryam berpindah ke Mesir untuk menyelamatkan anaknya daripada dibunuh. Dia menetap di Mesir kira-kira 11 tahun. Kemudian, mereka berpindah ke Syam apabila tiba waktunya Isa dilantik menjadi Rasul seperti diceritakan dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan diajarkan kepadanya ilmu al-Kitab dan ilmu pengetahuan yang lain, mengetahui isi Kitab Taurat dan Injil dan ia diutuskan untuk kaumnya iaitu Bani Israel." (Surah Ali Imran ayat 48-49) Sebagai bukti kerasulannya, Nabi Isa dikurniakan mukjizat, antaranya boleh mencipta burung daripada tanah, menyembuhkan orang buta, penyakit kusta dan menghidupkan orang mati dengan izin Allah, memberitahu apa yang dimakan dan disimpan di rumah orang dan turun dari langit ketika diminta oleh kaumnya.

Nabi Isa menghadapi pelbagai rintangan dalam menjalankan tugasnya. Baginda sentiasa ditentang kaum kafir. Golongan munafik merancang menangkap dan membunuh Nabi Isa. Bagaimanapun, Allah menyelamat pesuruh-Nya dan orang yang mereka tangkap dan disangka Nabi Isa ialah seorang lelaki munafik. Allah mengangkat Nabi Isa ke alam ghaib (mikraj).

Allah menerangkan di dalam al-Quran yang bermaksud: "Adapun orang yang derhaka itu tiadalah mereka membunuh dan menyalib Isa hanya orang yang menyerupai dengan Isa yang tersalib." Pandangan Islam terhadap Nabi Isa dinyatakan di dalam surah al-Maidah ayat 72 yang bermaksud: "Maka sesungguhnya kafirlah orang yang mengatakan bahawa Tuhan itu ialah Isa anak Maryam dan Isa berkata kepada orang Bani Israel: "Sembahlah Allah. Itulah Tuhanku dan Tuhanmu! Ingatlah barang siapa yang mempersekutukan-Nya, maka Allah haramkan ia masuk syurga dan tempatnya dalam neraka. Tidak ada penolong bagi yang zalim.'" Isa hanyalah seorang nabi utusan Allah. Kelebihan yang ada padanya tiada melebihi pemberian Allah sebagai mukjizat dan bukti kerasulannya. Justeru, tidak benar jika ada berpendapat Nabi Isa itu ada sifat ketuhanan.

Allah berfirman yang bermaksud: "Tidaklah (Isa) sal-Masih itu anak Maryam melainkan seorang Rasul Allah (sebagaimana) rasul-rasul yang terdahulu daripadanya, dari ibunya seorang perempuan yang sangat taat; adalah dua-duanya memakan makanan. Lihatlah bagaimana Kami terangkan kepada mereka tanda-tanda, kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan." (Surah Maryam ayat 75)

27 Ogos 2010

Nabi Daud mempunyai suara yang merdu

Nabi Daud mempunyai suara yang merdu

Makan Nabi Daud di Jerusalem, Israel 
NABI Daud adalah anak bongsu daripada 13 bersaudara. Ayahnya bernama Yisya. Baginda adalah generasi ke-13 daripada keturunan Nabi Ibrahim.

Baginda berasal dari keluarga Bani Israel. Mereka bermukim di Baitullaham yang menjadi kota kelahiran Nabi Isa. Ketika dewasa, Daud dan dua kakaknya ikut berperang melawan pasukan Jalut dari Palestin yang menjajah Bani Israel.

Selepas mengalahkan Jalut, Daud dinikahkan oleh Raja Talut dengan Mikyal, puterinya. Mikyal sangat setia kepada Daud. Raja Talut, yang sebelumnya berniat membunuh Daud, akhirnya meninggalkan mahkota kerajaannya. Daud dinobatkan menjadi raja Bani Israel ketika berusia 20-an tahun. Dia kemudian menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu kota kerajaannya. Ketika berusia 40 tahun, Daud menerima risalah kenabian. 

Allah memberinya kitab Zabur dan beberapa mukjizat. Nabi Daud memerintah Bani Israel kira-kira 40 tahun dan dianugerahi usia 100 tahun enam bulan. Diceritakan, suatu ketika Talut ke medan perang bersama pasukannya. Daud yang baru berusia sembilan tahun ketika itu ikut mengangkat senjata bersama kedua-dua kakaknya. Di tengah perjalanan, pasukan Talut menghadapi berbagai ujian. Kebanyakan anggota pasukan Talut tidak sanggup menjalani ujian itu. Pada awalnya, pasukannya berjumlah 80,000 orang (riwayat lain menyatakan seramai 303,313 orang).

Kemudian bilangan menyusut menjadi 319 (riwayat lain 313). Meskipun demikian, Talut tetap maju melawan Jalut. Kedua-dua pasukan bertemu dan terjadilah perang satu lawan satu. Daud mendapat giliran. Dia berani melawan Jalut, pemimpin pasukan lawan. Melihat susuk kecil Daud, Jalut menggertak: "Aku tidak suka membunuh anak kecil." Enggan mengaku kalah, Daud menyahut: "Aku suka membunuhmu." Serangan Daud ternyata mampu mengalahkan, bahkan membunuh Jalut. Dengan demikian, pasukan Talut mendapat kemenangan. Kepahlawanan Daud meniti di bibir kalangan Bani Israel. Suatu ketika Allah mengutus seorang pemimpin agama, Samuel ke tengah Bani Israel. Berkat kepemimpinannya, Bani Israel bersatu kembali, namun mereka tidak memiliki seorang pemimpin yang mampu menghimpun kekuatan. 

Samuel menerima petunjuk daripada Allah untuk memilih Talut menjadi raja dan pemimpin perang Bani Israel, padahal dia belum mengenal Talut. Tiba-tiba Talut menemui Samuel, ketika dia sedang mencari ternakannya yang hilang. Mereka berdua menemui bangsa Israel. Di hadapan mereka, Samuel menegaskan bahawa Talut adalah raja dan pemimpin Bani Israel. Bagaimanapun, bukan semua yang patuh kepada Talut kerana dia hanya seorang petani dan penternak yang miskin dari desa. Kebanyakan menghormati Talut sebagai raja pertama Israel dan memintanya menjadi pemimpin untuk melawan pasukan Jalut dan bangsa Palestin. 

Sebelum Talut diangkat sebagai pemimpin, Bani Israel dipimpin hakim selama 356 tahun. Mereka melupakan ajaran Nabi Musa dan tidak pernah lagi membuka tabut iaitu peti pemberian Allah yang berisi kitab Taurat. Diceritakan juga Nabi Daud dikurniakan suara yang sangat merdu. Ketika mendengar Daud melagukan ayat kitab Zabur, orang dan jin yang sakit menjadi sembuh, burung terbang mendekat, angin menjadi tenang, gunung serta burung pun bertasbih kepada Allah.

Daud turut dikurniakan beberapa mukjizat oleh Allah iaitu berkemampuan melembutkan besi dengan tangannya tanpa api.

Daud juga dikurniakan ilmu pengetahuan dan kepandaian untuk menghakimi suatu perkara secara bijaksana. Banyak ajaran Nabi Musa yang ditaati oleh Bani Israel. Salah satu antaranya adalah larangan berdagang dan melaksanakan hal duniawi pada Sabtu. Nabi Daud mempertahankan larangan itu bagi seluruh Bani Israel. Daud meminta bangsa Israel menyucikan hari Sabtu, tetapi ada yang mengabaikannya. Pada satu hari Sabtu, pasar menjadi sepi. Ikan berenang bebas di permukaan air dekat desa Ailat di tepi Laut Merah. Nelayan Ailat belum pernah melihat ikan sebanyak itu pada hari lain. 

Mereka menggunakan kesempatan sebaik-baiknya dengan menangkap ikan. Nabi Daud berdoa kepada Allah agar mereka diberi ganjaran dengan seksa dan azab yang setimpal. Doa itu dikabulkan Allah lalu terjadilah gempa bumi dahsyat yang membinasakan mereka yang membangkang serta mengabaikan hari Sabtu. Talut dan pengikutnya terus mengejar Daud. Tetapi Daud mengetahuinya, lalu mengutus mata-mata untuk mengintai tentara Talut. Utusan itu melaporkan Talut bersama tenteranya sedang tidur nyenyak di sebuah lembah. Daud menggunakan kesempatan itu dan menyusup ke persembunyian Talut.

Kemudian memotong baju Raja (kisah lain menyebutkan 'mengambil lembing raja). Daud tidak jemu mengingatkan Talut bahawa pengawalnya tidak akan mampu menyelamatkannya apabila Allah hendak mencabut nyawanya.

Peringatan itu menyedarkan Talut. Dia menanggalkan mahkotanya, lalu pergi ke luar kota. Di sana ia mengisi hidupnya dengan taubat hingga akhir hayatnya (sekitar 1010 SM). Setelah Talut meninggalkan tahtanya, Daud dinobatkan rakyat menjadi raja Israel. Daud memerintah selama 40 tahun (1010 SM - 970 SM). 

Kredit/Sumber: Harian metro

Kisah Penciptaan Tubuh Rasulullah

Ka’ab al Ahbaar radhiy-Allahu ‘anhu mengatakan, “Ketika Allah SWT menginginkan untuk menciptakan Muhammad sall-Allahu ‘alaihi wasallam, Ia memerintahkan Malaikat Jibril untuk membawa kepada-Nya tanah liat yang menjadi jantung dari bumi, yang menjadi kemegahan dan cahayanya. Jibril pun turun, ditemani beberapa malaikat dari Tempat Tertinggi di Syurga. Ia mengambil segenggam tanah untuk penciptaan Nabi sall-Allahu ‘alaihi wasallam dari suatu tempat yang kini menjadi makam suci beliau sall-Allahu ‘alaihi wasallam; tanah itu berkilau putih cerah. Kemudian ia meramas dan mengadun tanah itu dengan air ciptaan terbaik dari Air Terjun SyurgawiT asn iim, yang berada dalam sungai-sungai jernih yang mengalir di Syurga. Ia mengaduninya sampai tanah itu menjadi suatu mutiara putih dengan pancaran warna putihnya yang cemerlang.

Para malaikat membawanya, mengelilingi ‘Arasy Syurgawi dan gunung-gunung dan samudera. Dengan begitu, para malaikat dan seluruh makhluq mengetahui akan keberadaan junjungan kita Muhammad sall-Allahu ‘alaihi wasallam dan kehormatan beliau; sebelum mereka mengetahui Adam.” Ibn ‘Abbas radhiy-Allahu ‘anhumengatakan, “Asal usul dari tanah liat Nabi Muhammad
sall-Allahu ‘alaihi wasallam adalah dari pusat bumi, di Makkah, di titik di mana Ka’bah berdiri. Kerana itu pula, Muhammad sall-Allahu ‘alaihi wasallam menjadi asal usul penciptaan, dan semua makhluq ciptaan adalah pengikut-pengikut beliau.”

Pengarang Awarif al Ma’arif [al-Suhrawardi], berkata bahawa ketika Banjir meluap, menebarkan buih ke seluruh penjuru, esensi dari Nabi sall-Allahu ‘alaihi wasallam berhenti hingga ke suatu tempat di dekat tanah kubur baginda di Madinah, sehingga baginda sall-Allahu ‘alaihi wasallam menjadi seseorang yang termasuk dalam Makkah mahupun Madinah.

Diriwayatkan bahawa ketika Allah Subhanahu Wa Ta’ala menciptakan Adam ‘alaihissalam, Ia Subhanahu Wa Ta’ala mengilhamkan kepada Adam untuk bertanya, “Wahai Tuhan, mengapakah Engkau memberiku nama panggilan, Abu Muhammad (ayah dari Muhammad)?” Allah menjawab, “Wahai Adam, angkat kepalamu.” Adam pun mengangkat kepalanya dan ia melihat cahaya dari Muhammad sall-Allahu ‘alaihi wasallam dalam kubah ‘Arsy. Adam kemudian bertanya lagi, “Wahai Tuhan, cahaya apakah ini?” Allah menjawab, “Ini adalah cahaya dari seorang Nabi keturunanmu. Namanya di Syurga adalah Ahmad, dan di Bumi namanya Muhammad sall- Allahu ‘alaihi wasallam. Jika bukan demi dirinya, tentu Aku tidak akan menciptakan dirimu, tidak pula Langit, tidak pula Bumi.” ‘Abd al-Razzaq meriwayatkan, dari Jabir bin ‘Abdullah radhiy-Allahu ‘anhu, bahawa ia berkata, “Ya RasulAllah, semoga ayahku dan ibuku dikorbankan demi dirimu, ceritakan padaku tentang hal pertama yang Allah ciptakan, sebelum yang lain-lainnya.” Beliau menjawab, “Wahai Jabir, Allah menciptakan, sebelum apa pun yang lain, cahaya Nabimu dari cahaya-Nya. Cahaya itu mulai bergerak ke mana pun Allah kehendaki dengan Qudrat Ilahiah Allah.
Pada saat itu belum ada Tablet (Lauh) belum pula Pena; belum ada Syurga mahupun Neraka, tidak ada malaikat; tidak ada Langit, tidak pula Bumi; tak ada Matahari mahupun Bulan, tak ada Jinn ataupun manusia. Ketika Allah ingin untuk menciptakan makhluq-Nya, Ia membahagi cahaya itu menjadi empat bahagian.
Dari bahagian pertama, Ia menciptakan Pena, dari yang kedua, Tablet (Lauh), dan dari yang ketiga, ‘Arasy. Kemudian, Ia membahagi bahagian keempat menjadi empat bahagian: bahagian pertama membentuk para pembawa ‘Arasy, bahagian kedua menjadi penunjang kaki ‘Arasy, dan dari bahagian ketiga Ia menciptakan malaikat- malaikat lainnya. Ia kemudian membahagi bahagian keempat menjadi empat bahagian lagi: Ia menciptakan langit dari bahagian pertama, bumi-bumi dari bahagian kedua, Syurga dan Neraka dari bahagian ketiga. Kemudian Ia membahagi lagi bahagian keempat sisanya menjadi empat bahagian: menciptakan cahaya firasat orang-orang beriman dari bahagian pertama, cahaya kalbu-kalbu mereka(iaitu ma’rifat Allah) dari bahagian kedua, dan dari bahagian ketiga Ia ciptakan cahaya kesenangan dan kegembiraan (Uns, iaitu Laa ilaha illa Allah, Muhammadun Rasuulullah).

Suatu riwayat lain dari ‘Ali ibn Al-Husain radhiy-A llahu ‘anhu dari ayahnya [iaitu Husain ibn 'Ali ibn Abi Talib, peny.] radhiy-Allahu ‘anhu, dari datuknya [iaitu 'Ali ibn Abi Talib] karram-Allahu wajhahu, dari Nabi sall-Allahu ‘alaihi wasallam yang bersabda, “Aku adalah suatu cahaya di hadapan Tuhanku, empat belas ribu tahun sebelum penciptaan Adam.” Telah pula diriwayatkan bahawa ketika Allah menciptakan Adam‘alaihiss alam, Ia Subhanahu Wa Ta’ala menaruh cahaya itu di punggung Adam, dan cahaya itu biasa berkilau dari bahagian depannya, menelan seluruh sisa cahayanya. Kemudian Allah menaruh cahaya itu ke ‘Arasy Kekuasaan-Nya, dan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya membawanya di pundak mereka, dan memerintahkan mereka pula untuk membawa Adam berkeliling di Langit dan mempertunjukkan padanya keindahan-keindahan Kerajaan-Nya.

Ibn ‘Abbas radhiy-Allahu ‘anhu berkata, Penciptaan Adam adalah pada hari Jumat di siang hari. Allah kemudian menciptakan baginya Hawa’, istrinya, dari satu tulang rusuk kirinya ketika ia sedang tertidur. Saat ia bangun dan melihat Hawa’, Adam merasa tenteram dengannya, dan ia mulai merentangkan tangannya ke Hawa’. Malaikat berkata, “Berhenti, Adam.” Adam berkata, “Kenapa, tidakkah Allah menciptakannya untukku?” Mereka menjawab, “Tidak boleh hingga kau membayar mas kawin padanya”. Adam bertanya, “Apa mas kawinnya?” Para Malaikat menjawab, “Dengan membaca salawat atas Muhammad tiga kali.” [ dan dalam riwayat lain, dua puluh kali].

Telah pula diriwayatkan bahawa ketika Adam‘alaihis salam meninggalkan Syurga, ia melihat tertulis di kaki ‘Arasy dan di setiap titik dalam Syurga, nama Muhammad sall-Allahu ‘alaihi wasallam di samping nama Allah. Adam bertanya, “Wahai Tuhan, siapakah Muhammad?” Allah menjawab, “Dia adalah anakmu, yang jika seandainya tidak demi dirinya, tentu Aku tidak akan menciptakanmu.”Kemudian Adam berkata, “Wahai Tuhan, demi anak ini, kurniakanlah rahmat pada ayahnya.” Allah memanggil, “Wahai Adam, seandainya engkau akan bersyafa’at melalui
Muhammad sall-Allahu ‘alaihi wasallam bagi seluruh penduduk Langit dan Bumi, Kami akan kabulkan permohonan syafa’atmu.”

‘Umar Ibn al-Khattab radhiy-Allahu ‘anhu berkata bahawa Sayyidina Muhammads all- Allahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Ketika Adam berbuat dosa, ia berkata, ‘Ya Allah, aku memohon kepadamu demi Muhammad untuk mengampuniku.’ AllahSubhan ahu Wa Ta’ala berfirman padanya, ‘Bagaimana dirimu tahu akan Muhammad padahal Aku belum menciptakannya?’ Adam menjawab, ‘Kerana ketika Engkau, Ya Tuhanku, menciptakanku dengan Tangan- Mu, dan meniupkan padaku dari Ruh-Mu, aku memandang ke atas dan melihat tertulis di kaki-kaki ‘Arasy, Laa ilaaha illallah, Muhammadun Rasuulullah. Aku tahu bahawa Engkau tidak akan menaruh suatu nama di samping Nama-Mu, melainkan pastilah itu adalah nama seseorang yang paling Kau-cintai dari makhluq-Mu.’ Allah berfirman,

‘Oh, Adam, kau telah mengatakan kebenaran: dialah yang paling Kucintai di antara makhluk ciptaan-Ku. Dan kerana engkau telah memohon pada-Ku demi dirinya, engkau kuampuni. Seandainya tidak untuk Muhammad, Aku tak akan menciptakanmu. Dialah penutup para Nabi dari keturunanmu.’”

Dalam Hadits Salman radhiy-Allahu ‘anhu, diriwayatkan bahawa Jibril turun menemui Nabi sall-Allahu ‘alaihi wasallam dan berkata, “Tuhanmu mengatakan, ‘Jika Aku telah menjadikan Ibrahim sebagai yang Ku-cintai, sahabat dekat (khalil), Aku pun menganggapmu demikian. Tak pernah Ku-ciptakan makhluk apa pun yang lebih berharga bagi-Ku daripada dirimu, dan telah Ku-ciptakan dunia ini dan penduduknya dengan maksud untuk membiarkan mereka mengetahui kehormatanmu dan mengetahui erti keberadaanmu bagi-Ku; dan seandainya tidak
untukmu, tidaklah Kuciptakan dunia ini’”.

Hawa melahirkan empat puluh anak dari Adam, dalam dua puluh kali kelahiran; tetapi ia melahirkan Seth [atau Syits]‘alaihiss alam secara terpisah, sebagai kehormatan bagi junjungan kita Muhammad sall-Allahu ‘alaihi wasallam, yang cahayanya berpindah dari Adam ke Seth. Sebelum wafatnya, Adam menitipkan pemeliharaan anak-anaknya kepada Seth, dan ia pun, sebagai gilirannya, mempercayakan pada anak-anak tersebut, wasiat dari Adam: untuk menaruh cahaya itu hanya pada wanita yang suci. Wasiat ini berlanjutan, abad demi abad, sampai Allah memberikan cahaya itu kepada Abdul Muttalib dan puteranya, Abdullah. Dengan cara inilah, Allah menjaga kemurnian salasilah tanpa cela dari Nabi Muhammads all- Allahu
‘alayhi wasallam, dari perzinaan orang-orang bodoh. Ibn ‘Abbas radiyAllahu ‘anhu berkata,“Muhammad sall-Allahu ‘alaihi wasallam bersabda, ‘Tak satu pun perzinaan jahil menyentuh kelahiranku. Aku dilahirkan tidak lain hanya dengan pernikahan Islam.’” Hisyam ibn Muhammad Al-Kalbi meriwayatkan bahawa ayahnya berkata, “Aku menghitung bagi (silsilah) Nabi Muhammad sall-Allahu ‘alaihi wasallam ada lima ratus ribu ibu, dan tak kutemukan di antara mereka satu jejak pun perzinaan, atau apa pun dari interaksi orang-orang bodoh.”


Ali radiyAllahu ‘anhu berkata bahawa Nabi sall-Allahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Aku datang dari pernikahan, aku tidak datang dari perzinaan; dari Adam hingga diriku dilahirkan dari ayah dan ibuku, tak satu pun perzinaan orang jahil yang menyentuh diriku.”

Ibn ‘Abbas radiyAllahu ‘anhu berkata bahawa Nabi Muhammad sall-Allahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Orang tua moyangku tak pernah melakukan perzinaan. Allah menjaga memindahkanku dari sulbi yang baik ke rahim yang suci, murni dan tersucikan; bila saja ada dua jalan untuk berpindah, aku menuju ke yang terbaik di antara mereka.” Anas radiyAllahu ‘anhu berkata bahawa Nabi Muhammad sall-Allahu ‘alaihi wasallammembaca, “La qad jaa-akum Rasuulum min Anfusikum” [QS. 9:128], dan bersabda, “Aku adalah yang terbaik di antara kalian dalam silsilahku, dalam hubungan-hubungan-ku dan nenek moyangku: tak ada perzinaan pada ayah-ayahku dalam setiap tingkat hingga ke Adam.”

‘Aisyah radiyAllahu ‘anhu meriwayatkan dari Nabi sall-Allahu ‘alaihi wasallam bahawa Jibril‘alaihis s alam berkata, “Aku telah meneliti Bumi dari timur ke barat, dan tak kutemui seorang manusia pun yang lebih baik dari Muhammadsall- Allahu ‘alaihi wasallam, dan tak kutemui seorang anak laki-laki dari ayah mana pun yang lebih baik dari anak-anak Hasyim (Bani Hasyim).” Dalam Sahih Al-Bukhari, Abu Hurairah radiyAllahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Nabi sall-Allahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Aku telah diutus dari generasi terbaik dari Anak-anak Adam, satu demi satu hingga aku mencapai keadaanku sekarang ini.” Dalam Sahih Muslim, Watsila ibn al-Aska’ meriwayatkan bahawa Muhammadsall- Allahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Allah telah memilih Kinana dari anak-anak Isma’il, dan Quraisy dari Kinana, dan dari Quraish, anak-anak Hasyim, dan akhirnya memilihku dari Bani Hasyim.” Al ‘Abbas radiyAllahu ‘anhu berkata Nabi Muhammad sall-Allahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Allah menciptakan makhluq, dan menempatkanku dalam kelompok- kelompok terbaik, dan yang terbaik dari dua kelompok; kemudian Ia memilih suku, dan menaruhku pada yang terbaik di antara keluarga-keluarga mereka. Kerana itulah, aku memiliki keperibadian terbaik, roh dan sifat terbaik, dan memiliki asal-usul terbaik di antara mereka.”

Ibn ‘Umar radiyAllahu ‘anhu berkata bahawa Muhammad sall-Allahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Allah memeriksa ciptaan-Nya dan memilih Bani Adam (manusia) dari mereka; Ia memeriksa Bani Adam dan memilih orang-orang Arab darinya; Ia memeriksa kaum Arab dan memilihku dari antara mereka. Kerananya, aku selalu menjadi yang terpilih di antara yang terpilih. Lihatlah, orang-orang yang mencintai kaum Arab, adalah kerana cinta kepadaku hingga mereka mencintai kaum Arab, dan mereka yang membenci kaum Arab, adalah kerana mereka membenciku hingga mereka pun membenci Arab.”

Ketahuilah bahawa Muhammad sall-Allahu ‘alaihi wasallam tidaklah terkait (memiliki) secara langsung pada saudara laki-laki atau perempuan siapa pun dari orang tua-orang tuanya; beliau sall-Allahu ‘alaihi wasallam adalah anak satu-satunya mereka dan silsilah mereka berhenti pada beliau. Dengan begitu, beliau secara eksklusif ‘memegang penuh’ suatu silsilah yang Allah (SWT)inginkan menjadi yang tertinggi yang dapat dicapai suatu kenabian, dan yang memegang puncak kehormatan.

Jika Anda memeriksa status silsilah beliau sall-Allahu ‘alaihi wasallam dan mengetahui kesucian kelahiran beliau sall-Allahu ‘alaihi wasallam, Anda akan yakin bahawa silsilah beliau adalah suatu keturunan dari ayah-ayah yang terhormat, kerana beliau adalah Al-Nabi sall-Allahu ‘alaihi wasallam, Al ‘Arabi sall-Allahu ‘alaihi wasallam, Al Abtahi sall-Allahu ‘alaihi wasallam, Al Harami sall-Allahu ‘alaihi wasallam, Al Hasyimi sall-Allahu ‘alaihi wasallam, Al Quraisyi sall-Allahu ‘alaihi
wasallam, elite dari Bani Hasyim, seseorang yang telah dipilih dari suku-suku terunggul bangsa Arab, dari silsilah terbaik, keturunan paling mulia, cabang yang paling subur, pilar tertinggi, asal usul terbaik, akar-akar terkuat, memiliki lidah terfasih, gaya bicara terhalus, darjat kebajikan) yang paling memberatkan, iman paling sempurna, persahabatan paling kuat, kaum kerabat paling terhormat dari kedua pihak orang tua, dan dari tanah Allah yang paling mulia. Beliaus all- Allahu ‘alaihi wasallam memiliki banyak nama dan yang paling terkemuka adalah Muhammad sall-Allahu ‘alaihi wasallam ibn (putera) Abdullah. Beliau juga adalah putera Abdul Muttalib, yang namanya adalah Syaybat-ul Hamd, anak Hasyim, yang namanya adalah Amr; anak dari Abd Manaaf, yang namanya adalah al-Mughiirah, anak dari Qusai, yang namanya adalah Mujammi’, anak dari Kilaab, yang namanya Hakiim, ibn Murra, ibn Ka’b (dari suku Quraisy), ibn Lu’ai, ibn Ghalib, ibn Fihr, yang namanya adalah Kinana, ibn Khuzaima, ibn Mudrika, ibn Ilias, ibn Mudhar, ibn Nizar, ibn Ma’add, ibn Adnan.

Ibn Dihia berkata, “Para ulama setuju dan kesepakatan ulama adalah bukti bahawa Nabi Muhammad sall-Allahu ‘alaihi wasallam telah menyebutkan silsilah beliau hingga Adnan, dan tidak menyebutkan di atas itu.” Ibn ‘Abbas radiyAllahu ‘anhu meriwayatkan bahawa bila saja Muhammads all- Allahu ‘alaihi wasallam menyebutkan silsilahnya beliau tak pernah menyebut di atas Ma’add, ibn Adnan, dan akan berhenti, dengan mengatakan, “Para genealogis (ahli silsilah) telah berbohong.” Beliau akan mengulangi ucapannya itu dua atau tiga kali. Ibn ‘Abbas juga berkata, “Di antara Adnan dan Isma’il ada tiga puluh ayah yang tak diketahui [namanya, red.].”

Ka’b al-Ahbaar radiyAllahu ‘anhu berkata, “Ketika cahaya Muhammadsall- Allahu ‘alaihi wasallam sampai pada Abdul Muttalib, dan dia telah mencapai usia kedewasaan, dia tidur suatu hari di halaman Ka’bah; ketika ia bangun, matanya terhitamkan dengan antimony (kohl), rambutnya terminyaki, ia terhiasi dengan jubah yang indah dan cantik. Ia terkejut, tak mengetahui siapa yang telah melakukan hal itu padanya. Ayahnya menggapai tangannya dan segera membawanya ke tukang ramal Quraisy; mereka menasihatinya untuk menikah, dan ia pun menikah. Bau dari misk terbaik biasa memancar keluar dari dirinya, dengan Nur (cahaya) dari Muhammad sall-Allahu ‘alaihi wasallam berkilauan dari dahinya. Bila saja terjadi kekeringan, kaum Quraisy biasa membawanya ke Gunung Tsabiir, dan berdoa kepada Allah melalui dirinya memohon Allah untuk menurunkan hujan. Allah akan menjawab doa mereka dan menurunkan hujan kerana barakah dari Nur Muhammad sall-Allahu ‘alaihi wasallam.” Ketika Abrahah, raja Yaman datang untuk menghancurkan rumah suci (Ka’bah) dan khabar tentang ini sampai ke kaum Quraisy, Abd al-Muttalib berkata pada mereka, “Ia tak akan sampai ke Rumah ini, kerana Rumah ini di bawah perlindungan Tuhannya.”

Dalam perjalanannya ke Makkah, Abrahah menjarah unta-unta dan domba kaum Quraisy, di antaranya empat ratus unta betina milik Abd Al-Muttalib. Ia dan banyak dari kaum Quraisy pergi ke Gunung Tsabiir. Setelah mendaki gunung tersebut, cahaya dari NabiyAllah sall-Allahu ‘alaihi wasallam muncul dalam bentuk suatu lingkaran di dahinya seperti sebuah bulan sabit, dan sinarnya terpantulkan ke Rumah Suci Ka’bah. Ketika ‘Abdul Muttalib melihat hal itu, ia berkata, “Wahai, kaum Quraisy, engkau boleh kembali sekarang, sudah aman. Demi Allah, kini cahaya ini telah membentuk suatu lingkaran pada diriku, tak ada keraguan bahawa kemenangan menjadi milik kita.”

Mereka kembali ke Makkah, di mana mereka bertemu seorang laki-laki yang diutus Abrahah. Saat melihat wajah ‘Abdul Muttalib, laki-laki tersebut tertegun, lidahnya tergagap-gagap. Ia pun pingsan, sambil melenguh seperti lembu jantan yang tengah disembelih. Ketika ia sedar kembali, ia pun jatuh bersujud kepada Abdul Muttalib, sambil berkata, “Aku bersaksi bahawa engkau benar-benar Pemimpin Kaum Quraisy.”

Telah diriwayatkan pula bahawa ketika Abdul Muttalib muncul di depan Abrahah, gajah putih yang besar dalam pasukannya melihat ke wajah Abdul Muttalib dan jatuh berlutut seperti seekor unta, dan jatuh bersujud. Allah membuat gajah tersebut berbicara, berkata, “Keselamatan bagi cahaya di sulbimu, wahai Abd al-Muttalib.” Ketika pasukan Abrahah mendekat untuk menghancurkan Ka’bah suci, gajah tadi berlutut kembali. Mereka memukulinya kepalanya dengan hebat untuk membuatnya berdiri, yang tak mahu ia lakukan. Tetapi, ketika mereka memutarnya menuju Yaman, ia pun berdiri. Kemudian Allah mengirimkan untuk melawan mereka, armada-armada burung dari lautan, setiap ekor dari mereka membawa tiga batu: satu dalam paruhnya, dan satu dalam setiap cakar kakinya. Batu-batu itu memiliki ukuran seperti miju-miju, dan jika satu batu mengenai seorang prajurit, prajurit itu akan terbunuh. Pasukan Abrahah lari tunggang langgang. Abrahah sendiri terserang suatu penyakit. Hujung jari-hujung jarinya terlepas, satu demi satu. Tubuhnya mengeluarkan darah dan nanah, dan akhirnya jantungnya terbelah, dan ia pun tewas.

Peristiwa inilah yang diacu oleh Allah ketika Ia berfirman pada Nabi-Nyas all- Allahu ‘alaihi wasallam, mengatakan, “Tahukah engkau bagaimana Tuhanmu memperlakukan Pasukan Gajah…” (QS Al-Fiil:1-5). Peristiwa ini adalah suatu tanda akan martabat dari junjungan kita, Muhammad sall-Allahu ‘alaihi wasallam, dan suatu tanda akan kenabiannya, dan kedudukannya. Peristiwa ini juga menunjukkan kehormatan yang dikurniakan pada masyarakatnya, dan bagaimana mereka dilindungi, yang membuat kaum Arab menyerah pada mereka, dan percaya pada kemuliaan dan keunggulan mereka, kerana adanya perlindungan Allah atas diri mereka dan pembelaan-Nya pada mereka melawan plot dari Abrahah yang seakan-akan tak dapat dikalahkan .

Kisah Wali Allah Rabiatul Adawiyah

Rabiatul Adawiyah adalah seorang wali Allah yang mengabdikan dirinya kepada Allah. Kesabaran dan perjuangan harus dicontohi oleh wanita islam hari ini. Walaupun sejarah hidupnya bermula dari seorang wanita yang tidak mentaati Allah, akhirnya di memilih jalan sufi dalam mencari ketenangan hidup.

Kisah bermula pada zaman dahulu di mana kejahilan menyelebungi masyarakat arab kebanyakan sekolah agama telah ditutup. Ayah Rabiatul Adawiyah adalah guru agama tapi terpaksa menjadi pendayung sampan. Untuk menarik minat orang menaiki sampannya dia akan mendendangkan lagu yang merdu ketika mendayung sampan. Rabiatul Adawiyah sentiasa disamping ayahnya hinggalah dia dewasa, apabila ayahnya meninggal dunia. Dia menggantikan tempat ayah sebagai pendayung sampan dan mendendangkan lagu yang merdu. Mendengarkan suaranya yang merdu itu menarik hati seorang lelaki untuk membawanya untuk dipersembahkan kepada raja dan dia terpaksa berkhidmat untuk raja. Setiap hari dia menyanyi dan menuang arak kepada raja dan tetamu raja.

Suatu hari timbul kesedaran di hatinya merasa insaf dengan segala perbuatannya kerana kejahilannya itu sedangkan bapanya adalah seorang guru agama. Dari hari itu Rabiatul Adawiyah tidak mahu lagi menyanyi dan menuang arak. Dia sering duduk bersendirian berzikir kepada Allah. Dia juga diseksa oleh raja dengan kerja yang berat. Pernah suatu hari pengawal raja disuruh melepaskan ular dan kala jengking ke dalam bilik Rabiatul Adawiyah kerana raja tidak senang melihat dia sentiasa berzikir. Tetapi akhirnya ular tersebut menerkam pengawal raja. Rabiatul Adawiyah tetap tenang, walaupun dia tidak diberi makan dia tetap mampu menjalankan ibadat kepada Allah. Apabila raja mengintainya di dalam bilik, kelihatan dia sedang munajat memohon doa kepada Allah. di dalam kegelapan biliknya kelihatan cahaya yang menyuluh ke arahnya. Pada suatu malam raja bermimpi seorang tua datang dan mengatakan supaya melepaskan Rabiatul Adawiyah dan jangan lagi menyeksanya kemudia raja melihat Rabiatul Adawiyah berpakaian serba putih naik ke atas langit. Beliau terus ke bilik Rabiatul Adawiyah untuk melihat sama ada Rabiatul Adawiyah masih ada atau sudah pergi. Kelihatan Rabiatul Adawiyah masih berzikir dan berdoa.

Sampai habis tempoh masa Rabiatul berkhidmat dengan raja, akhirnya dia dilepaskan oleh raja. Rabiatul Adawiyah berterima kasih kepada raja dan tidak meminta apa-apa daripada raja walaupun raja memberi peluang kepadanya untuk meminta apa saja sebelum dia pergi. Apabila dia pulang ke kampungnya, rumah telah roboh dan penduduk kampungnya juga ramai yang telah berpindah. Dia meminta orang menyediakan sebuah pondok kecil untuknya. Pada suatu malam, seorang pencuri terpandang pondok Rabiatul Adawiyah lalu dia ingin pergi mencuri di situ. Ketika itu Rabiatul Adawiyah sedang solat. Dia tidak menjumpai apa-apa di dalam rumah Rabiatul Adawiyah melainkan sebiji tempayan. Lalu dia merasa kecewa dan ingin bunuh Rabiatul Adawiyah. Apabila dia mengeluarkan pisau dan ingin menikam Rabiatul Adawiyah tiba-tiba dia menjadi keras dan pisaunya terjatuh. Rabiatul Adawiyah terkejut. Rabiatul mengatakan pada pencuri itu ambillah apa yang dia inginkan jika dia seorang pencuri tetapi mengapa ingin membunuhnya. Lalu dia menyuruh pencuri itu mengambil wuduk dan bersolat serta memohon pada Allah apa yang dia inginkan. Lalu pencuri itu bersolat dan meminta pada Allah agar mendapat rezeki yang banyak supaya dia tidak perlu menjadi pencuri lagi.

Pada masa yang sama diluar kelihatan kereta kuda yang membawa banyak harta yang menuju ke arah pondok Rabiatul Adawiyah. Raja menghantar orang untuk memberi Rabiatul Adawiyah harta yang banyak. Apabila orang itu datang menemui Rabiatul Adawiyah kerana ingin menyerahkan harta itu, Rabiatul Adawiyah mengatakan dia tidak pernah meminta harta dari Allah tetapi orang disebelahnya yang memohon kepada Allah jadi berikanlah harta itu kepada orang yang memintanya. Pencuri itu gembira kerana mendapat harta dan dia membuat sebuah mahligai yang indah. Pada suatu hari ada seorang lelaki menemui pencuri itu dan bertanya bagaimana dia mendapat harta yang begitu banyak dalam sekelip mata. Dia pun menceritakan kisahnya kepada lelaki itu. Lelaki itu menjelaskan kepadanya bahawa wanita yang ditenuinya itu adalah wali Allah. Dia berasa terkejut dan menyesal kerana tidak berterima kasih kepada Rabiatul Adawiyah lalu dia ke pondok rabiatul Adawiyah untuk menemuinya. Ketika itu Rabiatul Adawiyah sedang nazak. Akhirnya Rabiatul Adawiyah pergi menemui kekasihnya

26 Ogos 2010

Kisah bidadari syurga memandikan mayat ibu Nabi Isa

Nabi Isa adalah nabi yang dilahirkan tanpa ayah dengan izin Allah dan Maryam adalah ibu yang telah melahirkan, menjaga dan mendidik Nabi Isa dengan penuh kasih sayang. Suatu hari Nabi Isa telah bekata kepada ibunya, “Sesungguhnya dunia ini adalah kampung yang akan musnah dan sesungguhnya akhirat itu adalah kampung yang kekal, oleh itu, marilah ibu besama saya”.

Setelah berkata demikian, maka berangkatlah mereka menuju ke gunung Lebnon. Apabila sampai di gunung tersebut, maka Nabi Isa dan ibunya berpuasa di siang hari dan mendirikan solat di malam hari. Makanan mereka terdiri daripada pohon kayu dan meminum air hujan sahaja.

Setelah sekian lama Nabi Isa dan ibunya tinggal di gunung tersebut, maka suatu hari Nabi Isa turun dari gunung tersebut untuk mencari daun kayu untuk mereka berdua berbuka puasa. Setelah Nabi Isa turun ke bawah, datanglah malaikat menghampiri Maryam dan berkata, “Assalamualaiki ya Maryam, orang yang sangat patuh mengerjakan puasa pada siang hari dan mengerjakan solat pada malam hari”.

Sebaik saja Maryam melihat orang yang memberi salam itu, maka Maryam berkata, “Siapakah kamu ini? Badan dan seluruh anggotaku menggeletar dan berasa takut mendengar suaramu”. Malaikat tersebut menjawab, “Aku adalah malaikat yang tidak mempunyai belas kasihan kepada sesiapa pun baik anak kecil, orang tua atau sebagainya sebab aku adalah malaikat pencabut nyawa (Izrail)”.

Mendengar penjelasan malaikat maut, maka Maryam bertanya, “Wahai malaikat maut, apakah tujuan kamu ke sini? Adakah kamu mahu menziarahi aku atau pun mencabut nyawaku?” Izrail menjawab, “Wahai Maryam, kedatanganku adalah untuk mencabut rohmu”. Maryam yang mengetahui ajalnya sudah hampir berkata lagi, “Wahai malaikat maut, apakah kamu tidak mahu memberikan peluang sehingga anakku yang menjadi penawar mengubati kerisauan hatiku?”

Malaikat maut memperjelaskan perintah Allah yang memerintahkannya untuk menjemput roh Maryam dan beliau tak dapat mengsia-siakan walau satu saat. mendengar penjelasan Izrail, dengan hati yang ikhlas, Maryam berkata, “Wahai malaikat maut, kamu telah menerima perintah Allah, oleh itu laksanakanlah perintah itu dengan segera.” Izrail segera mendekati Maryam dan mencabut rohnya.

Selesai waktu Isyak yang akhir, Nabi Isa pulang dengan mendaki gunung tersebut dan membawa bekalan berbuka puasa. Beliau melihat ibunya sedang berada di tempat solat dan menyangka bahawa ibunya sedang sembahyang. Beliau meletakkan bekalan makanan untuk berbuka puasa dekat dengan ibunya lalu beliau berdiri menghadap kiblat. Setelah sekian lama, beliau memanggil ibunya untuk berbuka puasa dan mengerjakan ibadah tanda syukur kepada Allah, namun beliau melihat tak sedikit pun makanan terusik oleh ibunya walau dua pertiga malam telah berlalu.

Nabi Isa memanggil lagi ibunya, “Assalamualaiki ya Ummaahu”. Oleh kerana fajar telah menjelma dan ibunya tidak lagi bangun, maka beliau menghampiri ibunya dan meletakkan pipinya pada pipi ibunya lalu menciumnya sambil menangis dan berkata, “Assalamualaiki ya Ummaahu. Malam telah berlalu dan fajar telah menjelma, ini adalah masa untuk menunaikan fardhu yang telah diwajibkan oleh Allah”.

Setelah Nabi Isa berkata demikian, maka menangislah para malaikat dan para jin yang berada di sekitarnya dan bergoncanglah gunung di bawahnya. Kemudian Allah mewahyukan kepada para malaikat, “Apakah yang menyebabkan kamu semua menangis?” Para malaikat berkata, “Tuhan kami, Engkau Maha Mengetahui”. Setelah itu tiba-tiba kedengaran satu suara berbunyi, “Wahai Isa, angkatlah kepalamu itu, sesungguhnya ibumu telah meninggal dunia dan Allah telah melipatgandakan pahalamu”.

Sebaik sahaja Nabi Isa mendengar suara tersebut, maka beliau sambil menangis berkata, “Siapakah yang akan menjadi temanku tatkala aku sunyi dan di kala aku menangis? Siapakah yang dapat aku ajak berkata-kata dan siapakah yang dapat membantu aku dalam ibadahku?” Kemudian Allah mewahyukan kepada gunung yang bermaksud, “Wahai gunung, nasihatilah Ruh-Ku (Isa A.S.)”.

Berkata-katalah gunung tersebut dengan izin Allah, “Wahai Ruh Allah, apakah erti kesusahanmu itu, ataukah kamu mahu Allah sebagai pendampingmu yang menggembirakan?” Setelah mendengar nasihat gunung, lalu Nabi Isa turun ke sebuah desa tempat tinggal Bani Israil dan meminta pertolongan mereka untuk menguruskan jenazah ibunya. Namun mereka tak mahu menolong Nabi Isa kerana takut pada ular-ular besar yang ada di gunung tersebut.

Nabi Isa dengan perasaan hampa naik kembali ke gunung dan beliau melihat dua orang pemuda yang sangat kacak rupa parasnya lalu beliau memberi salam dan meminta pertolongan mereka untuk memakamkan jenazah ibunya. Lalu berkata salah seorang dari pemuda itu, “Aku ini sebenarnya adalah malaikat Mikail dan sahabatku ini adalah malaikat Jibril. Aku ada membawa ubat tubuh dan kain kafan dari Tuhanmu dan para bidadari jelita sekarang sedang turun dari syurga untuk memandikan dan mengkafankan ibumu”.

Setelah itu, malaikat Jibril pun menggali kubur di atas gunung. Selesai sahaja kerja memandi dan mengkafankan dilakukan oleh para bidadari syurga, mereka menyembahyangkan jenazah Maryam dan mengebumikannya. Lalu Nabi Isa berdoa kepada Allah, “Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui tempatku dan Engkau mendengar kata-kataku dan tidak sedikit pun urusanku yang tersembunyi dariMu. Ibuku telah meninggal dunia sedang aku tidak menyaksikannya sewaktu dia wafat. Oleh itu izinkanlah dia berkata sesuatu kepadaku”.

Kemudian Allah mewahyukan kepada Nabi Isa, “Sesungguhnya aku telah memberi izin kepadanya”. Nabi Isa lalu pergi ke kubur ibunya dan berkata, “Assalamualaiki ya ibu, bagaimanakah dengan tempat pembaringanmu dan tempat kembalimu dan bagaimanakah pula kedatangan Tuhanmu?” Dengan izin Allah Maryam berkata, “Tempat pembaringanku dan tempat kembaliku adalah sebaik-baik tempat, sedang aku mengadap kepada Tuhanku, aku tahu bahawa Dia telah menerimaku dengan rela”.

Berkata Nabi Isa lagi, “Wahai ibu, bagaimanakah rasa sakitnya mati?” Ibunya menjawab, “Demi Allah yang telah mengutuskanmu sebagai nabi dengan sebenar-benarnya, belum hilang lagi rasa pedihnya mati, demikian juga dengan rupa malaikat maut yang belum hilang dari pandangan mataku. Alaikas salam wahai kasih sayangku sampai hari kiamat“.

Kisah Bidadari Bernama Ainaa’ ul Mardhiyah

Abu Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abdul Wahid bin Zaid: "Pada suatu hari ketika kami di dalam satu majlis persiapan untuk pergi berjihad, aku memerintahkan kawan-kawanku untuk mula keluar ke medan peperangan pada hari Isnin, lalu seorang dari kami membaca ayat 11 surah Attaubah yang bermaksud: "Sungguh Allah SWT telah membeli dari kaum Mukminin jiwa dan harta mereka dengan dibayar syurga".

Di dalam majlis itu ada seorang pemuda yang berumur 15 tahun. Beliau yang baru kematian bapanya telah menerima harta waris yang banyak telah berkata: "Ya Abdul Wahid, aku bersaksikan padamu untuk menjualkan diri dan hartaku untuk mendapatkan syurga itu". Aku berkata padanya: "Sungguh berat untuk menghadapi tajamnya pedang itu sedangkan kamu masih kanak-kanak, aku takut kamu tidak tabah, juga tidak sabar untuk menghadapinya sehingga tidak kuat meneruskan penjualan itu". Pemuda itu lantas berkata: " Wahai Abdul Wahid, apakah aku akan lemah kalau aku menjualkan diriku pada Allah SWT? Aku persaksikan padamu sekali lagi bahawa aku telah menjualkan diriku pada Allah SWT. Kami tidak merasakan anak kecil tidak boleh berbuat demikian". Maka pemuda itu menyerahkan semua hartanya yang ada kecuali pedang, kuda dan sedikit bekalan untuk ke medan peperangan.

Bila tiba hari Isnin, beliaulah orang yang pertama sampai untuk berangkat ke perbatasan dan mengucap salam kepada ku: "Assalamualaikum ya Abdul Wahid" Aku menjawab: "Wa alaikassalam warahmat Allah wabarakaatuh. Semoga Allah SWT memberi keuntungan dalam jualanmu itu."

Ketika perjalanan, pemuda itu berpuasa di siang hari dan bangun sembahyang serta menjaga keselamatan kami di waktu malam. Beliau jugalah yang menjaga ternakan yang kami bawa sambil melayani keperluan kami di siang hari. Ketika sampai di sempadan negeri Rum, tiba-tiba pada suatu hari selepas waktu Asar, pemuda itu datang meluru sambil menyeru: "Alangkah rindunya aku akan Ainaa’ ul Mardhiyah". Ramai di antara kami menyangka pemuda itu mengalami ganguan saraf ingatan.

Lalu aku menyambut kedatangannya seraya bertanya: "Wahai kesayanganku, apakah itu Ainaa’ ul Mardhiyah?" Lantas beliau menjawab: "Tadi aku tertidur sebentar. Aku bermimpi seseorang datang kepadaku seraya berkata, mari aku bawa kamu bertemu Ainaa’ ul Mardhiyah. Aku dibawa ke satu taman yang sangat cantik. Di situ ada sungai yang airnya sangat jernih. Aku melihat ramai gadis yang kecantikan mereka tidak dapat aku gambarkan, lengkap dengan perhiasan sedang bermain di taman itu. Apabila mereka menyedari kehadiranku, dengan wajah teramat gembira mereka berkata Demi Allah, itulah suami Ainaa’ ul Mardhiyah. Lantas aku memberikan salam kepada mereka, Assalamualaikunna, apakah di sini tempat Ainaa’ ul Mardhiyah? Mereka menjawab salamku dan berkata tidak, kami hanyalah budak dan pelayannya, majulah kamu ke depan lagi."

Pemuda itu meneruskan ceritanya: "Akupun meneruskan perjalananku sehingga sampai ke satu taman yang ada sungai susu yang tidak berubah rasa. Kehadiranku disambut oleh sekumpulan gadis yang lebih cantik dari yang pernah ku lihat sebelum mereka. Mereka berkata, Demi Allah lihatlah, suami Ainaa’ ul Mardhiyah sudah sampai. Akupun mengucapkan salam kepada mereka lantas bertanya, apakah ada di antara kamu ini Ainaa’ ul Mardhiyah? Sesudah menjawab salamku mereka berkata yang mereka adalah budak serta pelayan-pelayan Ainaa’ ul Mardhiyah. Mereka meminta agar aku meneruskan perjalananku."

Pemuda itu berkata lagi: "Aku meneruskan perjalananku sehingga sampai ke satu lembah yang ada sungai khamar pula. Di situ ramai gadis sedang bersuka ria, yang mana mereka lebih cantik sehingga menyebabkan aku lupa akan kecantikan gadis yang aku lihat sebelum mereka. Akupun mengucap Assalamualaikunna, apakah ada pada kamu Ainaa’ ul Mardhiyah? Mereka juga berkata tidak, kami hanyalah budak dan pelayannya, teruskan perjalanan kamu ke hadapan."

Pemuda itu menyambung cerita: "Tiba-tiba aku bertemu pula dengan sungai madu di dalam satu kebun. Ku lihat kebun itu dipenuhi dengan ramai gadis yang bagaikan cahaya dalam kecantikan mereka. Aku mengucap Assalamualaikunna, apakah di sini ada Ainaa’ ul Mardhiyah? Mereka menjawab Ya Wali Allah, kami hanyalah budak serta pelayannya sahaja. Majulah kamu ke hadapan".

Pemuda itu mengakhirkan cerita: "Akupun meneruskan perjalanan. Tiba-tiba aku sampai pada satu kemah yang diperbuat dari permata yang berlubang. Ku lihat ada seorang gadis yang lebih cantik dari sebelumnya sedang menjaga pintu kemah tersebut. Setelah ia melihat akan kehadiranku, dengan nada gembira ia berseru, wahai Ainaa’ ul Mardhiyah, suami kamu sudah sampai. Dengan rasa penuh rindu, akupun meluru masuk ke dalam kemah berkenaan. Di dalam kemah itu ada satu tempat tidur yang diperbuat dari emas yang bertaburan permata yakut serta berlian. Sungguh aku terpesona bila ku lihat akan kehadiran seorang gadis yang sangat cantik rupawan, menatap aku dalam senyuman duduk di atas tempat tidur berkenaan. Dengan alunan suara merdu ia menyambut aku dengan kalimat, Marhaban bi waliyir Rahman, sudah terlalu hampir saat pertemuan kita. Aku ingin mendakapnya. Tapi Ainaa’ ul Mardhiyah lantas berkata kepadaku, sabarlah dahulu wahai kekandaku kerana belum tiba masanya, kamukan masih hidup di alam dunia. Nanti bila malam kamu akan berbuka puasa di sini InsyaAllah. Kemudian akupun tersedar dari tidurku. Wahai Abdul Wahid, aku rasa tidak sabar lagi…"

Abdul Wahid berkata: "Belum sempat pemuda itu menghabiskan ceritanya, tiba-tiba kami diserang oleh pasukan musuh. Bersama pemuda itu kami melakukan serangan balas terhadap pasukan musuh berkenaan. Setelah ia berjaya membunuh sembilan orang kafir, akhirnya ku lihat pemuda itu rebah Akupun segera pergi ke arahnya. Dalam keadaan tubuhnya yang berlumuran darah, ku lihat pemuda itu dalam keadaan tersenyum sehinggalah ia meninggal dunia."

Wallahu'alam.

Kaum pertama dibinasa

Kaum atau bangsa pertama yang dibinasakan Allah adalah kaum Nabi Nuh. Allah memusnahkan mereka dengan mendatangkan banjir besar yang menenggelamkan mereka.

“Maka mereka mendustakan Nuh, kemudian Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (mata hatinya).” (Surat Al-A’raaf ayat 64).

Namun menurut penyelidikan para ahli, banjir yang terjadi saat itu tidak melanda seluruh dunia, melainkan hanya terjadi di daerah Mesopotamia (kini termasuk wilayah Iraq), khususnya di daerah lembah antara sungai Eufrat dan sungai Tigris. Namun kerana lembah itu demikian luasnya sehingga ketika terjadi hujan amat lebat berhari-hari, melimpah kedua sungai itu lalu airnya menenggelamkan lembah di antara dua sungai itu. Demikian banyak airnya sehingga lembah itu berubah seperti laut lalu menenggelamkan seluruh umat Nabi Nuh yang ingkar di lembah itu. Pada 1922 hingga 1934 Leonard Woolley dari The British Museum dan University of Pensylvania mengetuai sebuah penggalian arkeologi di tengah padang pasir antara Baghdad dengan Teluk Persia. Di tempat yang dulunya pernah berdiri sebuah kota bernama Ur, mereka melakukan penggalian. Dari permukaan tanah hingga lima meter ke bawah terdapat sebuah lapisan tanah yang berisi berbagai benda yang dibuat daripada perak. Semua benda peninggalan bangsa Sumeria yang hidup sekitar 3,000 tahun sebelum Masihi. Mereka bangsa yang dapat membuat benda daripada logam.

Di bawah lapisan pertama itu mereka menemukan sebuah lapisan kedua berisi deposit pasir dan tanah liat setebal 2.5 meter. Pada lapisan itu masih terdapat sisa haiwan laut berukuran kecil. Yang mengejutkan, di bawah lapisan pasir dan tanah liat itu terdapat lapisan ketiga berisi benda-benda rumah tangga yang dibuat daripada tembikar. Tembikar itu dibuat oleh tangan manusia. Tidak ditemukan benda logam satu pun di lapisan itu. Dikatakan ia barang peninggalan masyarakat Sumeria kuno yang hidup di Zaman Batu.

Lapisan kedua itu adalah endapan lumpur akibat banjir yang terjadi pada zaman Nabi Nuh. Banjir itu menenggelamkan masyarakat Sumeria kuno yang kemungkinan besar mereka adalah kaum Nabi Nuh, dan lumpur yang dibawa banjir itu menimbun sisa perabadan masyarakat tersebut. Berabad-abad atau puluhan abad kemudian setelah banjir berlalu, barulah hadir kembali masyarakat baru di atas lapisan kedua itu, yakni masyarakat Sumeria ‘baru’ yang peradabannya jauh lebih maju daripada masyarakat Zaman Batu yang tertimbun lumpur itu.

Penyelidikan ahli arkeologi di beberapa tempat mendapatkan keterangan bahawa banjir melanda daerah yang memang sangat luas, yakni membentang 600 km dari utara ke selatan dan 160 km dari barat ke timur. Banjir itu menenggelamkan sedikitnya empat kota masyarakat Sumeria kuno, yakni Ur, Erech, Shuruppak dan Kish.

Terbukti, banjir itu tidak melanda seluruh dunia, tetapi hanya melanda wilayah yang didiami umat Nabi Nuh. Daerah lain yang bukan wilayah umat Nabi Nuh tidak dilanda banjir. Penemuan hasil penyelidikan ahli arkeologi terbabit sesuai dengan firman Allah dalam al-Quran bahawa Ia hanya membinasakan masyarakat suatu negeri yang telah diutus seorang Rasul kepada mereka, lalu mereka mengingkarinya. Negeri lain tidak. “ Dan tidaklah Tuhanmu membinasakan kota-kota sebelum Dia mengutus di kota itu seorang rasul yang membacakan ayat Kami kepada mereka; dan tidak pernah (pula) Kami membinasakan kota; kecuali penduduknya dalam keadaan melakukan kezaliman. (Surat Al-Qashash ayat 59).

Dalam al-Quran diriwayatkan, Allah memerintahkan Nabi Nuh untuk mengangkut masing-masing haiwan sepasang (jantan dan betina) ke dalam bahteranya: Hingga apabila perintah Kami datang dan dapur memancarkan air, Kami berfirman: ”Muatkanlah ke dalam bahtera itu dari masing-masing binatang sepasang (jantan dan betina), dan keluargamu kecuali orang yang terdahulu ketetapan terhadapnya dan (muatkan pula) orang-orang yang beriman”. Dan tidak beriman bersama dengan Nuh itu kecuali sedikit. (Surat Hud ayat 40).

Pertanyaan yang mungkin muncul, apakah semua haiwan di muka bumi ini dinaikkan ke perahu Nabi Nuh? Ahli kitab daripada kalangan Kristian menafsirkan, seluruh haiwan yang ada di muka bumi, masing-masing sepasang, dinaikkan ke perahu Nabi Nuh. Sebab, seperti dikatakan dalam kitab mereka, banjir terjadi secara global. Jadi yang harus diselamatkan harus seluruh spesies makhluk hidup yang ada di muka bumi ini. Penafsiran seperti itu jelas membingungkan mereka sendiri. Pertama, pengikut Nabi Nuh sangat sedikit kerana kebanyakan mereka ingkar. Dengan kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi yang sangat rendah serta mereka sangat sedikit, bagaimana mereka mengumpulkan ribuan spesies makhluk hidup yang ada di muka bumi ini? Maka perlu ada pengikut Nabi Nuh yang dikirim ke berbagai penjuru dunia, lalu membawa pulang ribuan spesies yang mereka temui dengan bahtera yang sangat besar. Bagaimana ratusan ribu spesies dari berbagai penjuru dunia boleh bertahan hidup terpisah dengan habitatnya hingga banjir surut? Al-Quran tidak menyebut banjir masa Nabi Nuh melanda seluruh dunia. Sebagaimana dijelaskan pada berbagai ayat Al-Quran, azab Allah hanya ditimpa kepada kaum yang zalim yang mendustakan ajaran nabinya, tidak kepada kaum lain. Haiwan yang dibawa Nabi Nuh pun tidak berasal dari seluruh dunia, melainkan hanya haiwan yang terdapat di wilayah itu, khususnya haiwan yang biasa dipelihara dan diternak manusia, seperti sapi, kambing, kuda, unggas, unta dan sejenisnya. Haiwan itulah yang dibawa Nabi Nuh dan pengikutnya.

Zakaria tak henti berdoa

NABI Zakaria adalah bapa Nabi Yahya, putera tunggalnya yang lahir selepas baginda mencapai usia 90 tahun. Isterinya Hanna adalah ibu saudara Maryam.

Zakaria mendapat anak yang akan menjadi pewarisnya. Siang dan malam dia tidak henti berdoa kepada Allah dikurniakan seorang putera yang akan dapat meneruskan tugasnya memimpin Bani Israel. Dia bimbang kerana tiada anak penyambung keturunannya. Selain itu, dia bimbang kaumnya akan kehilangan pemimpin dan akan kembali kepada cara hidup mereka yang penuh dengan mungkar dan kemaksiatan.

Bahkan mereka akan mengubah syariat Musa dengan menambah atau mengurang isi kitab Taurat sesuka hati. Setiap hari Nabi Zakaria ke mihrab besar bagi melakukan solat dan menjenguk Maryam yang diserahkan kepada mihrab oleh ibunya sesuai dengan nazarnya ketika masih dalam kandungan. Dan, Zakaria ditugaskan mengawasi Maryam. Tugas itu diterima Baginda melalui undian pengurus mihrab ketika menerima Maryam sebagai bayi. Peristiwa menakjubkan itu terjadi ketika Zakaria ke mihrab seperti biasa. Dia melihat Maryam bersolat di sudut mihrab sehingga tidak menghiraukan bapa saudaranya. Zakaria melihat di depan Maryam pelbagai jenis buah-buahan musim panas. Bertanya Nabi Zakaria dalam hatinya, dari mana datangnya buah-buahan musim panas itu padahal mereka masih dalam musim sejuk. Selesai anak saudaranya bersolat, baginda menegur: "Wahai Maryam, dari manakah engkau dapat ini semua?" Maryam menjawab: "Ini adalah pemberian Allah yang aku dapat tanpa aku mencari dan meminta. Pada waktu pagi ketika matahari terbit aku dapati rezeki ini di depan mataku, demikian pula bila matahari terbenam di waktu senja. Mengapa bapa saudaranya merasa hairan dan takjub? Bukankah Allah berkuasa memberikan rezekinya kepada siapa yang Dia kehendaki tanpa perhitungan?" Maryam adalah anak tunggal dari Imran seorang daripada ulama Bani Israel. Ibunya saudara ipar dari Nabi Zakaria adalah seorang perempuan yang tidak mempunyai anak sejak bersuamikan Imran.

Dia berasa sunyi hidup tanpa anak lalu mengharapkan keturunan untuk menjadi pengikat kuat dalam kehidupan suami isteri.

Apabila melihat wanita mengandung atau burung memberi makan kepada anaknya, dia cemburu. Tahun demi tahun berlalu, usia makin hari makin lanjut, namun keinginan tetap tinggal keinginan. Selepas segala usahanya gagal, isteri Imran itu mengakui hanya Allah satu-satunya yang dapat mengkabulkan permintaannya walaupun usianya lanjut. Maka, dia bertekad berharap kepada Allah dengan bersujud siang dan malam dengan penuh khusyuk. Dia bernazar kepada Allah apabila permohonannya dikabulkan dia akan menyerahkan anaknya ke Baitulmaqdis untuk menjadi penjaga dan memelihara rumah suci itu.

Harapan isteri Imran tidak sia-sia kerana Allah menerima permohonannya dan mempersembahkan doanya sesuai dengan apa yang disuratkan dalam takdir-Nya bahawa suami isteri itu akan dikurniakan seorang nabi besar. Tanda permulaan kehamilan yang dirasakan setiap perempuan yang mengandung mulai nampak pada isteri Imran yang lama kelamaan merasa gerakan janin dalam perutnya yang makin membesar. Alangkah bahagia isteri yang sedang hamil itu, impiannya akan menjadi kenyataan dan kesunyian rumah tangganya akan diserikan apabila lahirnya seorang bayi. Dia dan suami merancang apa yang akan diberikan kepada bayi yang akan lahir itu. Suasana suram yang selalu menyelubungi rumah tangga Imran bertukar riang gembira. Wajah suami isteri itu berseri-seri dengan mereka sungguh bahagia. Imran sangat mencintai dan menyayangi isterinya dan berharap dapat bersama ketika isterinya bersalin.

Allah Maha berkuasa suaminya Imran pergi mengadap Ilahi. Tinggallah isteri seorang diri dalam keadaan hamil. Rasa sedih ditinggalkan suami yang disayangi. Segala persiapan menyambut kedatangan bayi dilakukan dengan sempurna maka lahirlah dari kandungan ibunya. Agak kecewa si ibu selepas mengetahui bayi yang lahir itu seorang puteri sedangkan dia menanti seorang putera. Dengan nada kecewa dengan menghadapkan wajahnya ke atas: "Wahai Tuhanku, aku melahirkan seorang puteri, sedangkan aku bernazar menyerahkan seorang putera yang lebih layak menjadi penjaga Baitulmaqdis. Allah akan mendidik puterinya itu dengan pendidikan yang baik dan akan menjadikan Zakaria, iparnya dan bapa saudara Maryam sebagai penjaganya. Demikianlah tatkala Maryam diserahkan ibunya kepada pengurus Baitulmaqdis, masing-masing berebut ingin ditunjuk sebagai wali yang bertanggungjawab atas pengawasan dan pemeliharaan Maryam. Kerana tidak ada yang mahu mengalah, maka terpaksalah diundi di antara mereka yang akhirnya undian jatuh kepada Zakaria sebagaimana dijanjikan Allah kepada ibunya.

Tindakan pertama Zakaria ialah menjauhkan Maryam dari keramaian sekeliling dan pengunjung yang tiada henti-hentinya datang ingin melihatnya. Zakaria amat bangga mendapat undian itu. Baginda mencurahkan cinta dan kasih sayangnya sepenuhnya kepada Maryam apatah lagi baginda tidak mempunyai anak.

Rasa cinta dan kasih sayang Zakaria terhadap Maryam semakin bertambah selepas satu peristiwa yang menandakan Maryam bukan gadis biasa, tetapi adalah wanita pilihan Allah untuk yang berperanan besar kemudian hari.

Pada suatu hari ketika Zakaria datang mengunjungi Maryam, dia mendapati wanita itu di mihrabnya berzikir dan bersujud kepada Allah. Dia terperanjat ketika pandangan matanya menangkap hidangan makanan berupa buah-buahan musim panas di depan Maryam yang lagi bersujud. Demikianlah Allah memberikan tanda pertamanya sebagai mukjizat bagi Maryam, gadis suci, yang dipersiapkan oleh-Nya melahirkan seorang nabi besar iaitu Isa.

24 Ogos 2010

Alam menyintai Nabi Yahya



YAHYA adalah seorang nabi yang menjadi cermin ibadah, zuhud dan cinta. Nabi Yahya mengungkapkan cinta kepada semua makhluk.

Baginda dicintai manusia, burung-burung, binatang buas, bahkan gurun dan gunung. Darah Nabi Yahya tertumpah ketika baginda mempertahankan kebenaran yang disampaikannya di istana raja yang zalim. Peristiwa tragis itu berkaitan dengan seorang pelacur. Yahya hidup sezaman dengan Nabi Isa. Kelahiran Yahya dipenuhi banyak mukjizat. Baginda lahir ketika ayahnya Nabi Zakaria berusia lanjut sehingga hampir putus asa mendapat keturunan. Baginda lahir melalui doa suci Nabi Zakaria. Ketika kecil, Yahya tidak seperti kanak-kanak lain. Yahya suka memberi makan kepada binatang dan burung, malah baginda makan daun pohon atau buahnya. Ketika usia dewasa, wajahnya semakin bersinar dan hatinya penuh dengan hikmah dan cinta kepada Allah. Yahya suka membaca. Ketika masih kecil, Allah memanggilnya: “Wahai Yahya, ambillah Kitab (Taurat) itu dengan sungguh-sungguh. Dan Kami berikan kepadanya hikmah selagi kanak-kanak.” Yahya mendapatkan perintah di saat Baginda masih kecil untuk mengambil kitab dengan kekuatan. Yahya seorang yang alim di zamannya dan paling banyak menerima hikmah. Baginda mempelajari syariat secara sempurna dan mampu me­nyelesaikan persoalan antara manusia dan menjelaskan rahsia agama. Yahya seseorang yang sangat dicintai masyarakatnya kerana dia memang seorang penya­yang, bertakwa, alim dan berbudi mulia. Baginda keluar dan ke gunung dan kebun bahkan gurun dan tinggal selama berbulan-bulan untuk menyembah Allah dan menangis di hadapan-Nya. Baginda makan belalang dan rumput selain tidur di gua yang ditemuinya sama ada gunung atau lubang.

Kadangkala ketika masuk ke gua, baginda bertemu haiwan buas seperti serigala atau singa, tetapi kesibukan berzikir kepada Allah dan bersolat menyebabkan baginda tidak mempedulikan haiwan itu.

Lebih pelik, haiwan buas itu menundukkan kepala ketika melihat Nabi Yahya dan mening­galkan tempat itu kerana tahu kenabiannya.

Baginda tidak takut memberi makan kepada haiwan buas dengan penuh kasih sayang, malah ada kalanya terpaksa berlapar untuk memberi makanan kepada binatang.

Solat dan zikir adalah makanan batinnya. Baginda bermalam dalam keadaan air matanya berlinangan saat berzikir kepada Allah dan sentiasa bersyukur kepada-Nya. Ketika Nabi Yahya berdiri di depan manusia untuk mengajak mereka menyembah Allah, baginda mampu membuat mereka menangis. Pada suatu hari, Nabi Yahya keluar menemui manusia. Masjid dipenuhi orang ramai dan baginda mula berbicara: “Sesungguhnya Allah memerintahkan aku untuk menyampaikan kalimat yang aku kerjakan dan aku memerintahkan kalian juga untuk mengerjakannya. “Hendaklah kalian menyem­bah Allah dan tidak me­nyekutukan-Nya. Barang siapa yang menyekutukan Allah dan menyembah selain-Nya, maka dia seperti seorang budak yang dibeli oleh majikannya lalu bekerja dan memberikan tenaganya kepada tuan selain tuannya. “Siapakah antara kalian yang ingin memiliki budak seperti itu. Dan aku memerintahkan kalian untuk melaksanakan solat. Sesungguhnya Allah melihat hamba-Nya saat mereka bersolat. Oleh kerana itu, jika kalian bersolat maka hendaklah kalian berusaha untuk khusyuk. “Aku pun memerintahkan kalian untuk berpuasa, maka siapa yang melakukan demikian, maka ia seperti seseorang lelaki yang mempunyai bingkisan yang baunya harum. Setiap lelaki ini berjalan, maka akan terpancarlah bau harum daripadanya. “Aku pun memerintahkan kalian agar banyak melakukan zikir kepada Allah maka orang seperti itu seperti seorang lelaki yang dicari-cari oleh musuhnya lalu ia segera berlindung dalam benteng yang kuat. Dan benteng yang paling kuat adalah zikrullah dan tiada keselamatan tanpa benteng itu.” Nabi Yahya mengakhiri nasihatnya dan kembali ke gurun yang tiada sesiapa selain suara angin dan pohon serta binatang buas. Di sanalah Yahya berdiri di tengah-tengah kesunyian itu. Baginda melaksanakan solat dan menangis. Kemudian berlaku pergolakan hebat antara Nabi Yahya dan pemerintah yang berkuasa. Salah seorang raja di zaman itu adalah seorang yang zalim. Dia mendengar berita mengenai Nabi Yahya. Dia hairan mengapa manusia memberikan penghormatan luar biasa kepada Nabi Yahya berbanding dirinya seorang raja.

Diceritakan, raja ingin memperkosa isteri saudaranya yang mempunyai anak perempuan yang amat jelita. Anak perempuan itu mampu melakukan tarian yang mengagumkan sambil memakai tujuh helai baju. Setiap kali menari, maka terlepaslah setiap baju yang dipakainya dan pada tarian yang terakhir dia dalam keadaan tanpa seurat benang.

Raja bertanya kepada Yahya sama ada dia boleh menikahi isteri saudaranya. Yahya menjawab, itu tidak dibolehkan. Raja mendesak perkara itu dibolehkan, tetapi Baginda tetap berkeras.

Yahya meninggalkan raja itu. Ini menimbulkan kemarahanan raja yang memerintahkan Nabi Yahya dipenjara. Ketiadaan Nabi Yahya membolehkan raja memperkosa isteri saudaranya. Anak perempuan wanita itu yang suka menari melihat Yahya ketika menghadapi perbicaraan di hadapan raja. Dia amat tertarik dengan ketampanan Yahya dan kemuliaan peribadiya.

Wanita itu jatuh cinta kepada Yahya dan menemui Baginda di penjara. Ketika itu Nabi Yahya duduk bersolat dan menangis. Wanita itu terus melihat baginda bersolat sehingga selesai. Kemudian, wanita itu meletakkan dirinya di bawah kaki Yahya dan meminta baginda mencintai dirinya. Yahya menjawab di dalam hatinya tidak ada cinta lain selain cinta kepada Allah. Wanita itu pun bangkit dari tempatnya dalam keadaan putus asa. Dia meninggalkan Yahya dengan hati dipenuhi kebencian. Dia kembali ke istana raja. Ketika akhir waktu Isyak, raja minum minuman kegemarannya, khamr dengan banyak sehingga mabuk. Penari wanita itu segera memakai pakaian tarian dan kembali kepada raja. Ketika melihat wanita itu, raja memukul rebana dan pelbagai alat muzik sehingga wanita itu menari dan menikmati tariannya.

Ketika tarian ketujuh, dia berhenti lalu memperlihatkan wajahnya sambil berkata kepada raja: “Wahai tuanku, aku ingin bertanya kepadamu.” Raja yang sedang mabuk itu berkata: “Segala sesuatu yang engkau inginkan akan kuberikan kepadamu sekarang juga.” Wanita itu berkata: “Aku menginginkan kepala Yahya bin Zakaria.” Mendengar perkataan itu, raja segera sedar daripada mabuknya lalu amat takut.

Dia berkata: “Mintalah kepadaku perkara yang lain.” Wanita itu berkata: “Aku menginginkan darah Yahya bin Zakaria.” Raja berkata: “Bunuhlah Yahya!” Akhirnya, raja mengeluarkan perintah kepada ternteranya membunuh Yahya. Demikian berakhir ajal Yahya, seorang pesuruh Allah.

23 Ogos 2010

Nabi Yusuf Tafsir Mimpi

Nabi Yusuf Tafsir Mimpi

PADA suatu hari, pembesar, penasihat dan orang arif dan bijaksana berkumpul di istana raja Mesir. Mereka diundang untuk memberi tafsir mimpi yang sering merunsing­kan hatinya.

Dia bermimpi seakan-akan melihat tujuh ekor sapi betina yang kurus-kurus. Di samping itu dia melihat dalam mimpinya tujuh butir gandum hijau di samping tujuh butir lain yang kering.

Tidak seorang pun daripada pembesar yang didatangkan itu yang dapat memberi tafsiran bagi mimpi raja itu bahkan sebahagian daripada mereka menganggapnya mimpi kosong. Pelayan raja, pemuda teman Yusuf dalam penjara, pada masa pertemuan Raja dengan tetamunya, kemudian teringat pesan Nabi Yusuf kepadanya sewaktu dia akan dikeluarkan dari penjara dan bahawa tafsir yang diberikan oleh Nabi Yusuf bagi mimpinya adalah tepat.

Ia terjadi sebagaimana yang ditakdirkan. Lalu dia memberanikan diri menghampiri raja dan berkata: “Wahai tuanku! Hamba mempunyai seorang teman kenalan di dalam penjara yang pandai mentafsir mimpi. Dia adalah seorang yang cekap, ramah dan berbudi pekerti luhur. “Dia tidak berdosa dan tidak melakukan kesalahan. Dia dipenjara kerana fitnah dan tuduhan palsu. Dia memberi tafsiran bagi mimpiku sewaktu hamba berada dalam tahanan bersamanya.

“Ternyata tafsirannya tepat dan benar sesuai dengan apa yang hamba alami. Jika Tuanku berkenan, hamba akan pergi mengunjunginya di penjara untuk menanyakan dia berkenaan mimpi tuanku.” Dengan izin Raja, pelayan itu pergi mengunjungi Nabi Yusuf dalam penjara. Dia menyampaikan kepada Nabi Yusuf kisah mimpi raja.

Tidak seorang pun daripada anggota dan penasihatnya dapat memberikan tafsiran yang dapat melegakan hati raja berkenaan. Dia mengatakan kepada Nabi Yusuf bahawa jika raja berpuas hati dengan tafsir mimpinya, mungkin dia akan dikeluarkan dari penjara. Dengan demikian akan berakhirlah penderitaan yang dialami selama bertahun-tahun Nabi Yusuf di dalam penjara. Nabi Yusuf menguraikan mimpi Raja: “Negara akan menghadapi masa makmur, subur selama tujuh tahun, di mana tumbuh-tumbuhan dan semua tanaman gandum, padi dan sayur-mayur akan mengalami masa menuai yang baik yang membawa hasil makanan berlimpah-ruah.

“Kemudian masuk musim kemarau selama tujuh tahun berikutnya di mana Sungai Nil tidak memberi air yang cukup bagi ladang yang kering, tumbuh-tumbuhan dan tanaman rosak dimakan hama sedang persediaan bahan makanan, hasil tuaian selama bertahun subur sudah habis dimakan.” Akan tetapi, Nabi Yusuf melanjutkan keterangannya, setelah mengalami kedua musim tujuh tahun itu akan tibalah tahun basah di mana hujan akan turun dengan lebatnya menyirami tanah yang kering dan kembali menghijau menghasilkan bahan makanan dan buah-buahan yang lazat.

Maka jika tafsiranku ini menjadi kenyataan, Nabi Yusuf berkata: “Seharusnya kamu menyimpan baik-baik apa dihasilkan dalam tahun-tahun subur serta berjimat dalam pemakaiannya untuk persiapan menghadapi masa kering, agar supaya rakyat terhindar daripada bencana kelaparan dan kesengsaraan.” Apa yang diceritakan nabi Yusuf berkenaan mimpinya, berasakan bahawa tafsir yang didengar itu masuk akal dan boleh dipercayai.

Apa yang diramalkan Yusuf menjadi kenyataan. Tafsiran Nabi Yusuf adalah tepat kerana dia seorang yang pandai dan bijaksana dan sangat berguna untuk negara. Maka raja menyuruh pelayannya ke penjara untuk membawa Yusuf menghadapnya di istana. Nabi Yusuf yang sudah cukup derita hidup sebagai orang tahanan dalam penjara itu bagaimanapun enggan keluar sebelum tuduhan serta fitnah yang dikenakan ke atas dirinya diterangkan. Nabi Yusuf ingin keluar dari penjara sebagai orang yang suci daripada dosa. Raja Mesir yang sudah banyak kali mendengar kehebatan Nabi Yusuf mentafsir mimpi mula berasa hormat kepadanya dan mendengar tuntutan­nya agar diselesaikan lebih dahulu. Ia adalah tuduhan dan fitnah yang dilemparkan atas dirinya. Tuntutan Nabi Yusuf diterima raja Mesir dan segera dikeluarkan dari penjara.

Kemudian raja memerintah­kan supaya mengumpulkan wanita yang menghadiri jamuan makan Zulaikha yang terhiris hujung jari tangan masing-masing ketika melihat wajahnya. Di hadapan raja mereka menceritakan apa yang mereka lihat dan alami. Mereka menyatakan Nabi Yusuf se­orang yang jujur, soleh, bersih dan bukan dialah yang salah dalam peristiwa dengan Zulaikha. Zulaikha pun dalam pertemuan itu, mengakui memang dialah yang berdosa dalam kejadian dengan Yusuf. Dialah yang menyuruh suaminya agar memenjarakan Yusuf untuk memberikan gambaran palsu kepada masyarakat dialah yang salah dan memperkosa kehormatannya.

Hasil pertemuan raja de­ngan wanita-wanita itu, dihebahkan agar seluruh lapisan masyarakat mengetahui hal yang sebenarnya. Dengan demikian tersingkaplah cerita sebenar peristiwa Nabi Yusuf dan Zulaikha. Atas perintah raja, Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara secara hormat, bersih dari segala tuduhan. Beliau kemudian pergi ke istana bagi memenuhi undangannya. 

Wallahualam.

Rujukan: Harian Metro