Keringnya Tasik Galilee, turunnya Imam Mahdi dan Nabi Isa

Keringnya Tasik Galilee, turunnya Imam Mahdi dan Nabi Isa 

Ada beberapa pertanda yang menunjukkan ke arah itu. Di antaranya ialah Nabi s.a.w telah bersabda berkaitan dengan pengalaman sahabat Tamim Ad-Dari ra yang belayar dengan rakan-rakan beliau dan terbabas di sebuah pulau. Selepas mereka bertemu makhluk hodoh yang memperkenalkan dirinya sebagai pengintip, mereka telah bertemu dengan makhluk berbadan besar yang memperkenalkan dirinya sebagai Dajal), “.. 

Dajal berkata: ‘Beritahu aku tentang pohon-pohon tamar di Baisan, adakah ia masih berbuah?’ Kami berkata: ‘Ya’. Berkata Dajal: ‘Tidak lama lagi ia tidak akan berbuah’. Dajal bertanya lagi: ‘Bagaimana dengan Tasik Tiberia, adakah masih dipenuhi air?’ Kami menjawab: ‘Ya, ia masih dipenuhi air’. Dajal berkata: ‘Tidak lama lagi airnya akan kering’..(Riwayat Imam Muslim dalam Sahih Muslim) Hadis ini memberitahu saya dan anda semua bahawa bila keringnya tasik ini, maka tunggulah kamu akan turunnya Al-Masih Isa, itulah saatnya dan perhatikan lah tasik ini sebagai antara sempadan begitu hampirnya tanda2 besar. 

Menjadi kerisauan saya sekarang ialah, tasik ini sudah pun kering dengan derasnya setiap hari turun beberapa milimeter sejak tahun 2000 masihi lagi, dan 9 tahun telah pun berlalu. Anda semua harus beringat. Bila tasik ini kering, maka itulah saat di mana Nabi Isa akan turun ke planet bumi, membantu Imam Mahdi dan memburu Dajjal ke seluruh pelusuk bumi. Tasik Galilee sedang kering dengan lajunya. Mengikut kajian sains, tasik ini akan kering dalam tempoh masa 50 tahun sahaja dan menemui dasarnya. Ketika itulah Nabi Isa akan turun. Dan anda semua kena faham, sebelum Nabi Isa turun dalam tempoh 50 tahun akan datang (plus-minus), sudah pastilah proses2 untuk menjadi Asbab perlunya baginda turun, Asbab itu mestilah terjadi, ini bermakna wahai tuan2. 

Proses ini “sepatutnya” sudah berlaku: - Tasik Galilee sedang mengering dengan derasnya setiap hari. - Ini bermakna sistem dajal akan mencapai kemuncaknya (yang membolehkan dajal muncul dengan sempurna) - Bila dajjal akan keluar itu kita tak pasti, namun semua tanda kecil & fitnah yang membolehkan dia keluar itu sudah pun wujud di sekeliling kita - Anda kena faham, banyak hadis sahih mengatakan pemuda tampan dari timur itu dilantik menjadi imam mahdi adalah dalam sekitar umurnya mencecah 40 tahun. - dan ini bermakna, adalah amat saya yakini, bahawasanya, pemimpin tampan dari timur itu sudah pun berada di kalangan kita, samada baginda di saat ini baru dilahirkan? atau masih kanak-kanak ? atau sedang belajar di sekolah menengah, atau pun sedang dalam alam remaja, kita tak pasti. 

Ingatlah saudara-saudaraku… Mereka ber-3 akan muncul selang silih sahaja dan mereka ber-3 berkongsi gelaran yang sama, mereka bertiga adalah manusia belaka. Dua daripada mereka mendapat rahmat berupa umur yang panjang, sedangkan 1 dari mereka bertiga berumur pendek tapi dapat meminpin dunia. Ketahuilah mereka bertiga ialah: - Al Masih Imam Mahdi - Al Masih Dajjal - Al Masih Isa Sekiranya umur anda adalah sekitar 20-an 30-an (pada hari ini). Percayalah, dalam tempoh 50 tahun ini sahaja semua tanda-tanda untuk munculnya tanda-tanda besar, pasti 100% muncul di zaman anda, samada anda ditakdirkan untuk mati sebelum peristiwa itu muncul atau anak-anak anda yang bakal berhadapan dengan ujian itu, 

Ketahuilah Tasik Galilee sudah pun mulai mengering sejak tahun 2000 masihi lagi dan proses pengeringan ini amat dasyat sehingga yahudi2 di Israel meminta bantuan dunia untuk menaikkan kembali aras tasik Galilee ini. 9 tahun sudah pun berlalu, ada baki lagi 41 tahun (plus-minus) sebelum turunnya Nabi Isa ke planet bumi dan anda harus ingat…!!! Ketahuilah, Kita ada tak sampai 41 tahun sahaja lagi sebelum tasik Galilee kering sepenuhnya, kita ada hanya purata 41 tahun lagi sebelum turunnya Nabi Isa ke planet Bumi ini. 

Sebelum Nabi Isa itu turun, sudah pastilah Imam Mahdi itu sudah pun ada di keliling kita. Dan sudah pastilah peperangan besar pasti terjadi, dan sudah semestinya lah akibat perang itu, dengan sebab sistem yang lengkap di keliling kita, menyebabkan Dajjal itu pasti juga akan keluar. Dajjal akan muncul dulu sebelum turunnya Nabi Isa, dan Imam Mahdi akan muncul dulu sebelum Dajjal keluar dari Khurasan. Sekali lagi saya ingatkan anda hanya ada 41 tahun lebih sahaja sebelum 1 tanda besar pertama keluar. Bila 1 tanda besar keluar, maka lengkaplah semua tanda-tanda kecil. 

Bila 1 tanda besar keluar, akan datang tanda-tanda besar seterusnya tanpa ragu-ragu. Dan ingatlah wahai Muslimin, Doa Nabi Ibrahim makbul sehingga akhir zaman. Dari susur galur bagindalah berakhirnya Rasul terakhir Nabi Muhammad. Dari susur galur Nabi Muhammad saw lah, akan munculnya pemuda bernama Muhammad Bin Abdullah (di zaman kita “mungkin”), yang mana dia sendiri tidak tahu bahawa dia adalah bakal Imam Mahdi. Di dalam darahnya ada kombinasi DNA Nabi Ibrahim & DNA Nabi Muhammad kerana mereka berdua dari keturunan yang sama. Sedangkan Mahdi adalah waris dari keturunan yang tak pernah meninggalkan Solat. Carilah balik doa Nabi Ibrahim itu (ada dalam Alquran) dan kerana itulah, solat 5 Waktu di tahiyat akhir akan selalu kita bacakan nama-nama Nabi

Kisah Nabi Luth dan Misteri Laut Mati



Laut Mati

Laut Mati merupakan tasik air masin yang terletak di sempadan Jordan dan Tebing Barat. Pantainya berada di kedudukan serendah 418 m di bawah aras laut yang merupakan kedudukan terendah di atas daratan dunia dan juga tasik masin yang terdalam dengan kedalaman 330m.

Airnya mempunyai kemasinan kedua tertinggi di dunia selepas Laut Asal di Djibouti dengan kemasinan sebanyak 33.7%. Ini lebih kurang 8.6 kali lebih masin dari laut biasa. Oleh sebab itu tiada satu pun hidupan yang boleh hidup di dalamnya dan kapal tidak boleh berlayar di atas permukaannya. Tasik ini berukuran 67 km panjang dan 18 km lebar. Cabang sungai utamanya ialah Sungai Jordan.

Pemandangan Laut Mati yang diambil pada tahun 1989 dari Columbia Space Shuttle (STS-28). Bahagian selatan terpisah daripada separuh bahagian utara akibat kemerosotan paras air laut. 


Pemandangan Laut Mati hampir 12 tahun kemudian (STS-102). Bahagian utara dan bahagian kecil tenggara telah bertambah dan kolam poligon besar terbahagi ke beberapa bahagian.

Pemandangan Laut Mati di waktu senja



Tiang yang terbentuk daripada garam karang dipanggil ‘isteri Luth’ di Gunung Sodom, Israel  

Terapung di Laut Mati

Kaitan kisah Nabi Luth dan Laut Mati

LUTH bin Haran bin Tarah (Azar) adalah anak saudara Nabi Ibrahim. Luth adalah antara orang beriman yang mengikut Nabi Ibrahim berpindah dari Babylon ke Palestin dan Mesir. Kemudian Nabi Luth mendiami kota Sadum (Sodom) di wilayah Jordan.

Namun, penduduk kota itu berakhlak keji, malah mereka derhaka dan kufur dengan nikmat Tuhan. Kegiatan merompak barangan yang dibawa kafilah dan mengunjungi pusat maksiat menjadi darah daging mereka. Lebih menjijikkan mereka mengamalkan liwat (homoseks).

Nabi Luth menasihati kaumnya supaya meninggalkan perkara maksiat, Sebaliknya beriman kepada Allah, Selain mengingati mereka mengenai azab yang bakal diturunkan jika terus bergelumang dengan perbuatan keji itu. Kaumnya tidak pedulikan nasihat itu, Malah berani memberi amaran kepada Nabi Luth: “Jika kamu tidak berhenti memperlekehkan kami, kami akan mengusirmu dari negeri ini.” Luth berkata: “Sesungguh aku mengingkari dan benci perbuatan yang kamu lakukan.”

Seterusnya mereka mencabar Nabi Luth dengan berkata: “Jika benar dengan azab yang kamu ancam ke atas kami, segerakanlah dan datangkan ia kepada kami.”

Mendengar perkataan mereka, Nabi Luth berdoa kepada Allah. Dalam al-Quran dijelaskan, maksudnya: “Luth berdoa, wahai Tuhanku, tolonglah aku dengan menimpakan azab ke atas kaum yang melakukan kebinasaan itu.” Doa Nabi Luth diterima Allah, lalu diutuskan-Nya beberapa malaikat untuk menurunkan azab ke atas kaumnya.

Sebelum itu, malaikat berkenaan mengunjungi Nabi Ibrahim dan memberitahu tujuan kedatangan mereka. Nabi Ibrahim berkata: “Ya Allah, di dalam negeri itu ada Luth dan
bagaimana dengan beliau jika negeri itu dimusnahkan.”

Perkara ini dapat diperhatikan melalui al-Quran, maksudnya: “Berkata Ibrahim; sesungguhnya di kota itu ada Luth. Malaikat berkata: “Kami lebih mengetahui siapa yang ada di kota itu. Kami akan menyelamatkan dia dan pengikutnya, melainkan isterinya, dia termasuk orang yang tertinggal, dibinasakan.”

Setelah mengunjungi Nabi Ibrahim, tidak berapa lama selepas itu malaikat dengan menyamar sebagai lelaki yang tampan pergi ke Sadum. Sampai di Sadum, mereka berjumpa dengan anak perempuan Luth.

“Wahai saudari, sudikah saudari menerima kami sebagai tetamu keluargamu?” ujar salah seorang daripada tiga malaikat yang menjelma sebagai pemuda tampan bertubuh sasa itu.

Si gadis yang sedari tadi begitu leka mencedok air dari perigi itu terkejut. Hampir sahaja timba yang sedang dipegangnya lucut ke dalam perigi. Wajahnya menjadi pucat. Lidahnya serta-merta kelu. Dia tidak dapat berkata apa-apa. Hatinya tiba-tiba diserang bimbang. Kebimbangan yang bukan disebabkan oleh kehadiran pemuda-pemuda kacak di hadapannya itu. Tetapi kerana dia telah dapat mengagak apa yang bakal berlaku sekiranya mereka diterima bertamu di rumahnya.

Anak gadis Nabi Luth itu cukup arif dengan amalan buruk warga Sadum yang pantang melihat lelaki muda, berwajah tampan dan bertubuh sasa. Pasti anak muda itu menjadi mangsa untuk memuaskan nafsu serakah mereka. Pada mereka, wanita tidak ada daya tarikan langsung. Lelaki hanya untuk lelaki, manakala wanita untuk wanita.

“Apa yang harus aku jawab kepada mereka,” bisik si gadis itu sendiri. Dia menjadi begitu serba salah.

“Apakah kedatangan kami ini menganggu saudari?” tanya pemuda itu kembali.

“Oh tidak. Tapi... bolehkah tuan-tuan tunggu di sini sebentar. Biar saya maklumkan dahulu kepada bapa saya,” balas si gadis terputus-putus. Dia mencapai bekas air yang hampir penuh dan pulang dengan tergesa-gesa.

Demi mendengar kedatangan tiga tetamu muda remaja itu, Nabi Luth mula gusar dan berasa tidak tenteram. “Ini adalah hari yang amat sulit bagiku,” kata Nabi Luth. Nabi Luth yang pada mulanya tidak mengetahui tetamu itu adalah malaikat berasa cemas kerana bimbang mereka yang berwajah lelaki begitu tampan itu menjadi mangsa kaumnya yang bernafsu gila, iaitu homoseks.

Baginda amat mengerti apakah akibatnya seandai kedatangan para tetamunya itu diketahui oleh kaumnya. Namun tabiatnya yang suka menerima tetamu, tetap kuat mendesak meskipun risiko yang terpaksa diterimanya sangat tinggi. Hari sudah menjelang malam, baginda sendiri pergi menjemput para tetamunya itu.

Kepada isteri dan puteri-puterinya dipesan agar perkara itu dirahsiakan, jangan sampai tersebar kepada orang ramai. Kelak mengundang bahaya yang besar. Malangnya, si isteri tidak mampu berlaku setia. Dihebahnya berita perihal tetamu-tetamu mereka kepada kaumnya. Berita kedatangan tetamu (malaikat) itu diketahui kaumnya, lalu ramai kalangan mereka pergi ke rumah Nabi Luth, semata-mata untuk melakukan perbuatan terkutuk itu dengan tetamu Nabi Luth.

Apabila kaumnya berkumpul di pekarangan rumahnya, Nabi Luth cuba menghalang mereka daripada melakukan perbuatan terkutuk itu dengan menawarkan anak perempuannya untuk diperisterikan, supaya tetamunya itu tidak diusik. Kaum Luth langsung tidak mengendahkan larangannya, malah berkata: “Sesungguhnya kamu tahu kami tidak mempunyai selera sedikit pun terhadap anak perempuan kamu. Sesungguhnya tidak ragu-ragu lagi, kamu tahu apa yang kami inginkan.”

Seketika keadaan di pekarangan rumah Nabi Luth kacau-bilau. Nabi Luth gagal mententeramkan kaumnya yang dahagakan hubungan sejenis daripada tetamunya itu. Tanpa berlengah malaikat yang menyamar sebagai tetamu itu terus membutakan mata mereka. Perkara ini diceritakan al-Quran: “Dan sesungguhnya mereka telah memujuknya (agar menyerahkan) tetamunya (kepada mereka), lalu Kami butakan mata mereka, maka rasakanlah azab-Ku dan ancaman-Ku.”

Selepas itu tetamu berkenaan memperkenalkan diri kepada Nabi Luth mereka sebenarnya malaikat. Kedatangan mereka semata-mata untuk menghancurkan kaum Luth. Ketika itu juga Luth diminta membawa bersama ahli keluarganya keluar dari negeri berkenaan pada waktu malam.

Al-Quran memperjelaskan: “Utusan malaikat berkata; wahai Luth, sesungguhnya kami adalah utusan Tuhanmu. Sekali-kali mereka tidak dapat mengganggu kamu. Oleh itu, pergilah dengan membawa keluarga dan pengikut kamu pada lewat malam. Dan janganlah ada seorang pun antara kamu yang tertinggal, melainkan isterimu. Sesungguhnya dia akan ditimpa azab kerana saat jatuhnya azab ke atas mereka adalah pada waktu Subuh. Bukankah Subuh itu sudah dekat?”Kaum Luth ditelan bumi

Kemudian azab yang ditunggu kaum Luth menimpa mereka. Kehancuran mereka pada waktu Subuh dalam keadaan sungguh dahsyat kerana bumi negeri itu diterbalikkan. Mereka turut ditimpa batu daripada tanah keras dan terbakar. Al-Quran menyebut azab yang menimpa mereka: “Maka Kami jadikan bahagian atas kota itu terbalik ke bawah dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah yang keras.”

Ustaz Azhar Idrus bercakap tentang Laut Mati

Dalam ilmu fardhu ain fiqih tentang masalah hukum air, disebutkan senarai air makruh yang terbagi kepada tiga iaitu air yang sangat hangat, air yang sangat sejuk dan air yang terjemur pada suatu wilayah yang sangat panas.

Air yang sangat hangat dan sejuk itu jadi makruh digunakan disebabkan ia boleh menimbulkan merasa sakit pada badan ketika menggunakan air itu, dan pendapat para ahli kesihatan menggunakan air yang sangat hangat akibat terjemur itu dapat menyebabkan penyakit kulit, dan tidak makruh memakai air yang sedang hangatnya atau sejuknya.

Air yang sangat hangat itu makruh digunakannya dengan empat syarat iaitu :
❀ air yang terjemur pada negeri atau wilayah yang bercuaca sangat panas seperti di kota mekah.
❀ air yang terjemur yang menggunakan tempat atau wajan yang terkena tukul, seperti gayung dan sebagainya yang terbuat dari besi, tembaga dan sebagainya. Selain dari emas, perak, tanah, batu dan kayu.
❀ air bekas terpakai pada badan manusia sekalipun bekas memandikan mayit, bekas mandi kuda atau hewan sejenisnya selain babi dan anjing, serta bekas orang yang berpenyakit kulit.
❀ Dan makruh memakai air dan tanahnya yang dimurkai, dibenci kaumnya atau penduduknya seperti air pada kaum negeri Samud, air kaum Luth, air telaga Barhud, air kaum negeri Babil dan air telaga Dzarra.

Tempat-tempat yang kena laknat oleh Allah Taala bukanlah tempat untuk kita berseronok seperti bermandi-manda dan bermain lumpur. Pada zaman sahabat dulu, para sahabat dilarang untuk pergi ke Laut Mati kerana ianya telah dilaknat Allah. Jika terpaksa melalui kawasan Laut Mati pun, mereka akan menundukkan kepala supaya mereka tidak melihat ke kawasan yang berair itu. Jadikanlah tempat yang tiada hidupan di dalamnya itu sebagai iktibar dan lambang kebesaran Allah Taala, juga sebagai tanda keadilan-Nya di dunia lagi agar manusia sentiasa mengagungkan dan membesarkan syariat-Nya.

Jauhi Enam Golongan Yang Akan di Masukan ke Dalam Neraka Tanpa Hisab

 
Kesemua manusia yang beriman akan melalui hisab iaitu timbangan amal di atas dosa dan pahala yang telah dikerjakannya ketika di dunia. Tetapi amat malang terdapat 6 golongan manusia yang akan dimasukkan ke dalam neraka tanpa hisab di sebabkan dosa besar dan kemugkaran yang mereka lakukan ketika di dunia.
 
Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya :
"Enam kerana enam akan dimasukkan ke neraka pada hari kiamat sebelum hisab (perhitungan amal) iaitu :
1. Kerajaan yang zalim
2. Orang yang fanatik (menyombongkan kebangsaannya)
3. Ketua kampung/pemimpin yang sombong.
4. Pedagang atau ahli perniagaan yang berkhianat.
5. Orang kampung yang kerana kebodohannya.
6. Dan ahli ilmu kerana hasad dengkinya."
 
Huraiannya adalah seperti berikut :
Golongan pertama : Kerajaan yang zalim.
Pemimpin yang telah dipilih oleh rakyat dan diberikan amanah untuk mentakbirkan negara sekiranya ia melakukan kezaliman kepada rakyat dan tidak berlaku adil tidak akan dapat mencium keharuman syurga dan dimasukkan kedalam neraka sebelum hisab (perhitungan amal).
Ma’qil Ibnu Yasar r.a berkata “ Saya mendengar Nabi S.A.W bersabda maksudnya : “ Tidak ada seorang hamba yang Allah serahkan kepadanya untuk memimpin segolongan rakyat lalu ia tidak memelihara rakyatnya itu dengan menuntut dan memimpin mereka kepada kemaslahatan dunia dan akhirat melainkan tiadalah ia mencium bau syurga.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sabda Rasulullah S.A.W maksudnya : "Sebaik-baik pemerintah kamu adalah pemerintah yang kamu sayangi mereka, dan mereka menyayangi kamu. Kamu mendoakan ke atas mereka, dan mereka mendoakan ke atas kamu. (Adapun) Sejahat-jahat pemerintah kamu adalah mereka yang kamu benci dan mereka pula benci kepada kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu.Berkata (Auf), kami bertanya : Wahai Rasulullah, apakah boleh kami menyerang mereka dengan pedang ? Nabi menjawab : “Tidak boleh, selama mereka menunaikan solat.” (Hadis Riwayat Muslim)
Abdullah bin Mas’ud.Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : “Sesungguhnya kamu akan melihat selepasku sikap (pemerintah) mementingkan diri dan kamu akan melihat perkara-perkara yang kamu ketahui ia mungkar (pada pemerintah). Mereka berkata: Apa yang engkau perintahkan kami (lakukan) wahai Rasulullah? Sabda baginda: Tunaikan untuk mereka hak mereka dan mintalah kepada ALLAH hak kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Dalam realiti kita hari ini di dalam seluruh dunia Islam pemimpin negara Islam kebanyakkannya tidak berlaku adil kepada rakyat dibawah pemerentahannya. Selagi mereka tidak berhukum dengan hukum yang diturunkan Allah S.W.T. selagi itulah mereka tidak akan dapat berlaku adil. Pemimpin kerapkali merampas hak rakyat, rasuah, menyalah gunakan dana kerajaan dan menagkap dan memenjarakan rakyat yang tidak berdosa tanpa dibicarakan di mahkamah terbuka. Para ulama yang bertanggungjawab menyampaikan dakwah kepada rakyat disekat dan dikenakan berbagai halangan dan sekatan sehingga rakyat yang dahagakan ilmu terbiar tanpa mendapat tarbiah dan kesedaran Islam.
Perkembangan terkini dua buah negara Arab yang mana pemimpinnya cukup zalim dan kejam, rakyatnya telah bangkit memberontak dan mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran, yang satu telah jatuh dan menanti yang satu lagi bila-bila masa akan jatuh dibawah gelombang rakyat yang dahagakan keadilan dan kebebasan. Cuba kita bayangkan bagaimana zalimnya seorang pemimpin Islam sanggup menjadi 'budak suruhan' Yahudi laknatullah, saudara kita Palestin membawa makanan dan ubat-ubatan melalui trowong bawah tanah pihak tentera telah melepaskan gas beracun hinggakan mereka yang berada di trowong mati kerana sesak nafas. Tunggulah balasan Allah kepada mereka yang menzalimi saudara muslim yang tidak berdosa!
Para pemimpin pergerakan Islam di dua negara tersebut telah di tangkap dan diseksa dengan berbagai-bagai seksaan sedangkan mereka bukan penjenayah, mereka hanya menyampaikan dakwah untuk menyelamatkan umat daripada kejahilan dan kemurkaan Allah. Kebangkitan gelombang rakyat adalah suatu yang tidak dapat disekat lagi kerana rakyat memerlukan pemimpin yang adil , amanah dan pemimpin berhati rakyat.
Ingatlah wahai pemimpin umat Islam! Kedudukan kalian sentiasa dibawah pengawasan Allah! Andainya kalian adil , kalian akan mendapat naungan Arasy di Padang Mahsyar nanti. Sebaliknya jika kalian zalim dan menindas rakyat maka kalian adalah golongan pertama akan di masukkan ke dalam neraka tanpa hisab kerana betapa besarnya dosa kalian disisi Allah S.W.T.
Golongan Kedua : Orang yang fanatik (menyombongkan kebangsaannya)
Islam melarang umatnya mengutamakan kemegahan atau taksub kepada sesuatu kaum/bangsa dan sifat separti ini dipanggil memperjuangkan asabiyah.
"Seorang lelaki (ayah perempuan yang meriwayatkan hadis) bertanya: 'Wahai Rasulullah, adakah dianggap asabiyah puak orang yang sayang kepada kaum bangsanya?' Jawab baginda S.A.W : 'Tidak, tetapi asabiyah ialah apabila seorang itu menolong bangsanya kepada kezaliman". (Hadis Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan sebagainya)
Imam Al-Munawi ketika mensyarahkan perkataan asabiyah lalu berkata:
“Iaitu membantu kezaliman…” (rujuk Aun Al-Ma’bud)
Dapat difahami bahawa sayang kepada bangsa sendiri yang di amanahkan pula oleh Allah untuk menerajui Islam di negara ini tanpa melakukan penindasan kepada bangsa-bangsa lain adalah tidak di larang. Dalam masa yang sama sebarang kezaliman , kemungkaran dan kemaksiatan tetap dibenteras walaupun dilakukan oleh bangsa sendiri.
Maksud umum kepada asabiyah bukan setakat berlaku apabila pembelaan kezaliman kepada bangsa tetapi ia juga boleh berlaku apabila kezaliman yang dilakukan oleh kumpulan, puak, organisasi, keluarga, parti atau jamaah lalu dibela dan dipertahankan.
Dalam hadis yang lain Nabi S.A.W bersabda maksdnya : "Bukan termasuk kalangan ummatku orang yang mengajak pada asabiyah, dan bukan termasuk kalangan umatku orang yang berperang atas dasar asabiyah, dan bukan termasuk kalangan umatku orang yang mati atas dasar asabiyah." (Hadis Riwayat Abu Dawud).
Golongan Ketiga : Ketua kampung/ pemimpin yang sombong.
Sifat sombong adalah satu sifat yang amat dimurkai oleh Allah S.W.T. Tiada sebab manusia mesti sombong kerana sesuatu kekuasaan dan kekayaan kerana semuanya adalah milik Allah. Bila-bila masa sahaja Allah boleh menarik kesemua itu.
Dari Abdullah bin Mas'ud dari Nabi s.a.w., bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud, "Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan."
Salah seorang berkata, "Sesungguhnya ada orang yang menyukai baju dan sandal yang bagus."
Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan mencintai keindahan. Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia."
(Hadis Riwayat Muslim)
Seorang ketua kampung atau pemimpin dikawasan mukim tidak seharusnya dia bersifat sombong kerana tugas untuk memimpin kampung atau mukim adalah satu amanah bukan satu keistimewaan dan boleh bermegah-megah.
Begitu juga orang kaya tidak sepatutnya merasa sombong bila melihat orang miskin. Mereka merasakan usaha mereka menjadikan mereka kaya sedangkan orang miskin adalah orang yang bodoh dan malas berusaha.
Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya Qarun adalah daripada kalangan kaum Musa. Namun dia bertindak melampaui batas terhadap mereka dan Kami telah anugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepada beliau, 'Janganlah kamu terlalu bangga, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri (sombong)' ” (Surah al-Qashash ayat 76)
Firman-Nya lagi yang bermaksud : "Dan (juga) Qarun, Firaun dan Haman. Sesungguhnya telah datang kepada mereka Musa dengan segala mukjizat yang jelas sebagai bukti kenabiannya , namun mereka tetap takabbur di muka bumi dan mereka tidak terlepas daripada azab perit Allah Taala".
(Surah al-Ankabut ayat 39).
Jauhilah sifat sombong kerana sifat ini akan menjadikan seseorang termasuk di dalam golongan ketiga akan masuk neraka tanpa hisab.
Keempat : Pedagang atau ahli perniagaan yang berkhianat.
Salah satu cara untuk mendapatkan harta dengan cara yang halal adalah dengan perniagaan.
Perniagaan adalah suatu kegiatan ekonomi yang amat dianjurkan Islam kepada umatnya. Ini kerana aktiviti perniagaan menjanjikan hasil pulangan berlipat ganda kepada peniaga yang berusaha bersungguh-sungguh.
Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud: “9/10 (90%) rezeki itu adalah datang daripada perniagaan.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Peniaga yang berniaga melakukan penipuan dengan menaikkan harga barang atau menyorok barang keperluan harian tanpa memilirkan kesusahan orang lain adalah dikira berkhianat dan menipu orang ramai.
Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Allah memberikan rahmat-Nya pada setiap orang yang bersikap baik ketika menjual, membeli dan membuat suatu kenyataan.” (Hadis riwayat Bukhari).
Tujuan perniagaan mengikut Islam sebenarnya ialah untuk memperbesarkan, memperpanjangkan dan memperluaskan aktiviti syariat dan dengan tujuan beribadah dan mendapat pahala yang banyak. Justeru di dalam perniagaan, hendaklah kita sentiasa mencari keredaan Tuhan dengan niat yang betul serta perlaksanaan yang betul.
Sekiranya seorang peniaga itu berkhianat atau menipu dalam perniagaannya, menipu timbangan atau mengurangkan spesifikasi yang telah ditetapkan sesuatu barangan/ pembinaan maka dia termasuk golongan keempat akan di masukkan kedalam neraka sebelum di hisab.
Kelima : Orang kampung yang kerana kebodohannya. ( Orang bodoh yang mempertahankan kejahilannya)
Islam amat mengambil berat tentang keperluan menuntut ilmu, mengamalkan ilmu yang dipelajari dan menyampaikan pula ilmu tersebut untuk di maanfaatkan oleh orang lain.
Nabi S.A.W. bersabda yang maksudnya, ”Barangsiapa menuntut ilmu bererti menuntut jalan ke syurga”. (Hadis Riwayat Muslim)
Sesungguhnya orang yang berilmu adalah tidak sama dengan orang jahil (bodoh). Orang jahil yang melakukan maksiat dan membuat dosa, tidak akan terlepas seksaan Allah S.W.T di atas kejahiliannya kerana kemalasannya untuk menuntut ilmu. Pepatah ada mengatakan 'bodoh sombong'.
Orang jahil jika dia memberi pendapat ia hanya berkata menurut fikiran logik sahaja dan mengikut hawa nafsu, dan keadaan ini amat berbahaya jika silap memberi komen bab agama boleh sesat dan menyesatkan orang lain.
Golongan kelima yang jahil ini akan di masukkan kedalam neraka sebelum hisab kerana kejahilannya.
 
Golongan Keenam : Ahli ilmu kerana hasad dengkinya.
Hasad atau dengki diertikan sebagai sifat seseorang yang tidak suka orang lain lebih daripadanya atau tidak suka orang lain mendapatkan kenikmatan Allah. Ia ingin nikmat itu hilang daripada orang lain. Perasaan dan sifat ini adalah sifat yang dimiliki oleh Iblis laknatullah betapa dia cukup irihati kepada Nabi Adam a.s. dan anak cucunya.
Hasad dengki yang paling membahaya adalah apabila ulama menaruh hasad dengki kepada ulama yang lain. Apabila seseorang itu di gelar alim ulama maka dia adalah seorang yang berilmu dan mengetahui dosa dan pahala.
Dalam sejarah umat Islam yang terdahulu seorang ulama Islam yang besar Imam Abu Hanifah telah difitnahkan oleh beberapa ulama dizamannya. Mereka menaruh hasad dengki kepada beliau kerana ilmunya yang luas dan ramainya anak murid yang mengikuti pengajiannya. Fitnah yang mereka lemparkan keatas beliau hingga pemerentah masa itu telah memasukkan beliau masuk kedalam penjara. Tetapi dengan izin Allah, Allah S.W.T. membantu hamba-hamba-Nya yang dianianya dan Abu Hanifah dapat buktikan bahawa segala tuduhan dan tohmahan tersebut adalah fitnah semata-mata dan beliau dibebaskan.
Dari Abu Yazid Usamah bin Zaid bin Haritsah r.a yang berkata, "Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud : 'Seseorang didatangkan pada hari Qiyamat, lalu dilempar ke Neraka. Maka keluarlah isi perutnya. Dengan isi perut yang keluar itu ia berputar-putar seperti himar yang mengitari porosnya. Para penghuni neraka berkumpul di dekatnya, seraya mengatakan, 'Wahai si Fulan! Apa yang terjadi padamu? Bukankah (dulu) kamu memerentah kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar?' Ia menjawab, 'Ya, memang dulu aku memerintahkannya kepada yang makruf , namun aku tidak melaksanakannya dan mencegah dari yang mungkar, namun aku melanggarnya'."
(Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)
Biasanya ulama yang memiliki sifat hasad dengki adalah ulama dunia, ulama yang mementingkan diri sendiri dan tidak mahu menyatakan kebenaran kepada pemimpin zalim walaupun kezaliman itu terang-terangan berlaku dihadapan matanya. Ulama seperti ini akan masuk neraka tanpa hisab dan dia lebih dahulu masuk neraka daripada penyembah berhala .

3 Golongan Awal Ahli Neraka

 
Setiap amalan yang hendak dilaksanakan mestilah ikhlas kemata-mata kerana Allah SWT. Allah SWT. tidak akan memandang sesuatu amalan yang dilaksanakan kerana riyak atau untuk mendapat pujian daripada manusia.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Barangsiapa beramal kerana riyak, Allah akan menolak amal itu pada hari kiamat." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Abu Hurairah r.a. berkata, "Aku telah mendengar Rasulullah SAW. bersabda, "Allah SWT berfirman yang bermaksud, 'Aku adalah Dzat Yang paling kaya dari persekutuan-persekutuan yang ada. Barangsiapa beramal dengan suatu amalan bercampur dengan syirik (persekutuan) di dalamnya antara Aku dengan selain Aku, Aku akan meninggalkannya dan apa yang dipersekutukan itu'." (Hadis Riwayat Muslim).

Sufyan Ash-Ashbahiny bercerita kepada 'Uqah ibn Muslim bahawa semasa memasuki Madinah, dia melihat orang sedang mengerumuni Abu Hurairah r.a. Sufyan pun menghampirinya, lalu dia duduk di hadapan Abu Hurairah yang sedang menyampaikan hadis kepada jemaah itu. Ketika Abu Hurairah berdiam diri seketika, Sufyan meminta agar dia menyampaikan hadis yang benar-benar difahami untuk dihayati. Abu Hurairah pun bersetuju seraya berkata. "Akan aku sampaikan kepadamu satu hadis yang telah disampaikan Rasulullah SAW kepadaku" Selepas berkata begitu,tiba-tiba Abu Hurairah menangis tersedu-sedu hingga hampir pengsan.

Kemudian dia diam sebentar dan setelah kembali tersedar dia berkata, "Akan aku sampaikan kepadamu satu hadis yang telah disampaikan Rasulullah SAW kepadaku di rumah ini,tidak ada orang lain selain aku dan baginda." Tiba-tiba Abu Hurairah menangis kembali tersedu-sedu sehingga hampir pengsan.

Ketika itu Abu Hurairah kembali sedar dan dia menceritakan : "Bahawa pada hari kiamat nanti, Allah SWT akan turun kepada hambanya untuk memberikan keputusan kepada mereka. Setiap umat ketika itu berlutut. Golongan terawal yang akan dipanggil adalah "orang alim" , orang kaya dan orang yang berperang di jalan Allah SWT.

Allah SWT bertanya kepada orang alim itu,"Bukankah Aku telah mengajarkanmu kitab yang telah Aku turunkan kepada rasul-Ku?"

Orang itu menjawab. "Benar,wahai Tuhan.''

Allah SWT kembali bertanya. ''Apa yang engkau kerjakan dengan ilmu yang kau miliki?''

Orang tersebut menjawab, ''Dengannya aku beribadat kepada-Mu di malam hari dan siang hari''

Malaikat berkata kepadanya, "Engkau berdusta".

Allah SWT berfirman "Engkau hanya ingin dikatakan bahawa engkau seorang yang alim''.

Kemudian dipanggil orang kaya. Allah SWT berfirman, ''Engkau telah Aku beri rezeki sehingga berkeadaan cukup".

Orang itu menjawab, ''Benar wahai Tuhan''.

Allah SWT kemudian bertanya, ''Apa yang telah engkau kerjakan dengan hartamu itu?'',

Dia menjawab, ''Dengannya aku bersillaturrahim dan juga bersedekah.''

Allah SWT berfirman kepadanya, "Engkau dusta".

Malaikat juga berkata begitu. Allah SWT berfirman, ''Engkau hanya ingin dikatakan bahawa engkau seorang dermawan.''

Kemudian didatangkan orang yang terbunuh selepas berperang di jalan Allah SWT.

Maka Allah SWT berfirman, ''Apa yang menyebabkanmu terbunuh?''

Dia menjawab, ''Telah diperintahkan kepadaku untuk berjihad di jalan-Mu, maka aku berperang sehingga terbunuh.''

Maka Allah SWT berfirman kepadanya ,''Engkau berdusta, malaikat juga berkata begitu."

Allah SWT berfirman, ''Engkau hanya ingin dikatakan bahawa engkau seorang yang berani''.

"Kemudian Rasulullah SAW menepuk lututku sambil bersabda, ''Wahai Abu Hurairah, ketiga-tiga orang itu adalah orang-orang yang pertama sekali merasakan seksaan api neraka pada hari kiamat.''"

Umar dan pemuda yang menepati janjinya

 
 
Ketika Umar bin Khattab sedang duduk-duduk dengan para sahabat, tiba-tiba dia didatangi dua orang lelaki dengan seorang pemuda yang terikat kedua belah tangannya.

“Pemuda ini telah membunuh bapa kami wahai Amirul Mukminin,” kata kedua orang itu.

“Saya harap kamu mahu mendengar cerita saya dulu wahai Amirul Mukminin,” pemuda yang terikat tangannya berkata memohon ihsan.

“Cerita kamu? Huh, Yang penting, kamu telah membunuh bapa kami. Kamu harus bersyukur kami tidak membalas dendam, sebaliknya membawa kamu ke Khalifah Umar,” ucap kedua pemuda tadi dengan marah.

“Adalah lebih baik untuk kamu berdua diam terlebih dahulu. Aku hendak mendengar cerita tentang bagaimana kejadian sebenarnya,” kata Umar.

Pemuda yang terikat tangannya itu segera bercerita. “Pada suatu hari, saya menaiki unta untuk pergi ke satu tempat. Oleh kerana terlalu letih, saya tertidur. Apabila bangun, saya mendapati unta saya telah hilang, lalu saya segera mencarinya. Saya mendapati unta itu sedang makan tanaman di sebuah kebun, lalu saya cuba menghalaunya, tetapi unta itu enggan dan menderum,” dia berhenti seketika.

“Tidak lama kemudian, datanglah seseorang dan terus melempar batu kearah unta saya. Oleh kerana lemparan itu tepat kearah kepalanya, unta saya mati. Saya menjadi marah lalu mengambil batu dan melempar semula kearah orang itu. Dengan tidak disangka, batu itu mengenai kepalanya dan dia juga jatuh tersungkur lalu mati. Sebenarnya, saya tidak berniat langsung untuk membunuhnya.” Pemuda itu berhenti bercerita dan wajahnya mengharapkan ihsan daripada Umar.

Setelah Umar mendengar cerita pemuda tadi, ia berkata, “Kalau begitu hukumannya adalah kamu dibunuh sebagai balasan (qisas).”

“Saya tidak menolak hukuman itu, tapi saya mempunyai adik dan ayah saya telah meninggal dunia. Sebelum meninggal, dia ada meninggalkan harta dan saya menyimpannya di tempat yang tidak diketahui oleh adik saya,” kata pemuda itu.

“Jadi, apa yang kamu mahu?” sergah Umar.

“Saya minta tiga hari untuk pulang ke kampung dan memberikan harta itu kepada adik saya,” jawab si pemuda.

“Siapakah yang akan menjadi penjaminmu?” tanya Umar lagi.

“Dia ini penjamin saya,” kata pemuda itu sambil menunjuk ke Abu Dzar Al-Ghiffary yang ada bersama Umar ketika itu.
“Ya saya bersedia.” Serta merta Abu Dzar mengiyakan kata-kata pemuda itu.

Pada hari ketiganya, Umar, para sahabat dan dua lelaki itu menunggu pemuda tadi. Sehingga tengahari, pemuda itu belum lagi tiba dan dua lelaki tersebut mulai gelisah.

“Hari sudah siang tapi pemuda itu belum datang. Kalau tidak datang, Abu Dzar akan menjadi penggantinya untuk menerima hukuman bunuh,” kata salah seorang lelaki itu.

Tidak berapa lama kemudian, pemuda itu sampai. Ternyata dia begitu menepati janjinya biarpun dia tahu itu bermakna dia nyawanya akan melayang.

“Terima kasih wahai sahabat yang berani kerana setuju menjadi penjamin saya,” ucap pemuda itu kepada Abu Dzar. Dia tahu, jika dia tidak datang, nyawa Abu Dzar akan menjadi penggantinya kerana Abu Dzar adalah penjaminnya, biarpun mereka tidak kenal mengenali langsung.

Kedua lelaki itu merasa terharu akan kehadiran pemuda yang mengotakan janjinya itu.
“Kami mohon untuk menggugurkan tuntutan kami wahai Amirul Mukminin, dan kami maafkan pemuda al-wafi (penepat janji) ini,” mereka berkata serentak.

“Kamu sungguh berani wahai Abu Dzar, dan kamu adalah al-wafi wahai pemuda. Dan kamu berdua adalah sangat mulia. Bersalam-salamlah kalian dan kuatkan ukhuwah di antara kalian,” kata Umar yang gembira melihat peristiwa itu berlangsung dalam keadaan baik.

Debat Imam Hambali

 
Ketika zaman Imam Ahmad bin Hanbal, terdapat penganut fahaman atheis yang berusaha mengganggu keimanan umat Islam tentang kewujudan Tuhan. Mereka berjaya memutarbelitkan fakta berdasarkan kepada perdebatan dan logik yang mereka lakukan.

Menurut mereka, alam semesta terjadi melalui proses sendirinya tanpa campur tangan Zat Allah. Oleh itu, manusia tidak perlu menyembah Tuhan yang sebenarnya tidak wujud bagi mereka. Sudah banyak ulama yang berusaha berdebat dan membetulkan mereka, namun tiada siapa yang mampu mengalahkan mereka sehingga mereka menjadi bongkak dengan kehebatan tersebut.

Namun, Imam Ahmad berusaha untuk memberikan tentangan terhadap pendapat mereka dan mahu membuktikan bahawa pendapat mereka itu adalah salah. Biarpun penampilan Imam Ahmad tidak menunjukkan bahawa dia seorang ulama yang berilmu, kaum atheis tetap menerima pelawaan debatnya. Syaratnya ialah, pedebatan ini dilakukan secara terbuka dan dihadiri oleh orang ramai. Kaum athies setuju lalu menetapkan masa dan tempat.

Pada hari yang ditetapkan, Imam Ahmad lewat tiba hingga mengundang cacian dari kumpulan atheis manakala penonton yang menunggu pula merasa kesal.

“Sabar, sabar beri aku kesempatan menjelaskan sebab kelewatan ini,” ujarnya tenang. Walau merasa kesal, kumpulan atheis memberi peluang untuk Imam Ahmad bersuara.

“Begini, kamu tentu tahu bahawa saya tinggal di luar bandar. Di situ terdapat sebatang sungai yang cukup lebar. Ketika hendak datang kesini, saya mendapati tiada satu pun sampan yang membolehkan saya menyeberang. Itulah sebabnya saya terlambat datang.”

“Jadi, bagaimana kamu boleh tiba kalau tiada sebarang sampan?” tanya mereka kehairanan.

“Ah! Satu perkara yang ajaib telah berlaku,” kata Imam Ahmad.

“Secara tiba-tiba sekeping papan hanyut terapung-apung dan dengan sendirinya berhenti di depan saya. Kemudian disusuli oleh beberapa papan-papan lain yang juga hanyut lalu semuanya bergabung. Tiba-tiba muncul pula seutas tali. Papan-papan dan tali membentuk dengan sendirinya menjadi sampan yang elok dan baik. Sampan kecil itulah yang menyeberangkan saya hingga sampai ke tempat ini dengan selamat,” ungkapnya panjang lebar.

Kumpulan atheis itu ketawa terbahak-bahak. “Ah! Mengarut sahaja. Itu mustahil, dan tidak masuk akal,” kata salah seorang di antara mereka.

Imam Ahmad menjawab dengan lembut, “Kalau kamu tidak percaya sampan yang kecil itu boleh terbentuk dengan sendirinya, bagaimana pula dengan alam semesta ini yang besar dan boleh terjadi dengan sendirinya tanpa kekuasaan Allah SWT?”

Kumpulan atheis itu terdiam dan bungkam seribu bahasa. Oleh kerana tidak berjaya menemui jawapan bagi membalas kata-kata Imam Ahmad, mereka pergi begitu saja. Orang ramai yang hadir merasa amat gembira dengan kata-kata Imam ahmad yang kelihatan sederhana tapi amat mendalam hingga kumpulan atheis itu kalah sebelum bertanding.
Please Subscribe my youtube channel. Tq.

Translate

CLOSE