Kisah Nabi Musa dan Pemuda beribu bapa babi

Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah. Setiap kali dia hendak bermunajat, NabiMusa akan naik ke Bukit Tursina.

Di atas bukit itulah baginda akan bercakap dengan Allah. Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tiada pada nabi lain.

Suatu hari Nabi Musa bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?" Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Selepas beberapa hari dalam perjalanan, Nabi Musa sampai ke tempat itu dan dengan pertolongan beberapa penduduk, Baginda bertemu dengan orang itu. Selepas memberi salam, Baginda dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu. Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke bilik dan melakukan sesuatu di dalam sebelum keluar dan membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?” kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.


Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Selepas itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.


Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid," jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu," Kata Nabi Musa.


"Wahai tuan hamba," kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua-dua babi itu adalah ibu bapa kandungku. Oleh kerana mereka melakukan dosa besar, Allah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh. “Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. “Hari-hari aku berbakti kepada ibu bapaku seperti mana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka babi, aku tetap melaksanakan tugasku.


"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia sebenar tetapi Allah belum memakbulkan," tambah pemuda itu lagi.


Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa, “Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di syurga nanti kerana berbakti kepada ibu bapanya. “Ibu bapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh di sisi Kami." Allah berfirman lagi yang bermaksud: "Oleh kerana dia berada di maqam anak yang soleh di sisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat ibu bapanya yang Kami sediakan di neraka, Kami pindahkan ke syurga." Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibu bapa yang akan masuk ke neraka pindah ke syurga. Ini hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibu bapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibu bapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.


Walau bagaimana buruk sekali pun perangai ibu bapa kita, itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.


Doa anak yang soleh akan membantu ibu bapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan ibu bapa di alam kubur.


Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak kepada ibu bapanya ialah dengan doanya supaya mereka mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah.

Nabi Idris naik ke langit

Diriwayatkan Nabi Idris naik ke langit pada hari Isnin. Firman Allah bermaksud: “Dan ceritakanlah (Wahai Muhammad kepada mereka) kisah, Idris di dalam al-Quran.

“Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang nabi. Dan Kami mengangkatnya ke martabat yang tinggi.” (Surah Maryam ayat 56-57). Nama sebenar Nabi Idris ialah ‘Akhnukh’. Baginda dinamakan Idris, kerana banyak membaca, mempelajari (tadarrus) kitab Allah. Setiap hari Nabi Idris menjahit qamis (baju kemeja) dan apabila memasukkan jarum, Baginda mengucapkan tasbih. Selepas baju itu siap, ia diserahkan kepada orang yang menempah tanpa meminta upah. Dalam keadaan itu, Nabi Idris masih mampu beribadah dengan amalan yang sukar digambarkan sehingga Malaikat Maut amat rindu berjumpanya. Lalu Malaikat Maut bermohon kepada Allah menemui Nabi Idris. Selepas memberi salam, malaikat pun duduk. Nabi Idris mempunyai kebiasaan berpuasa sepanjang masa. Apabila waktu berbuka, datanglah malaikat dari syurga membawa makanan lalu Baginda menikmati makanan itu. Baginda beribadah sepanjang malam. Pada suatu malam Malaikat Maut datang menemuinya, sambil membawa makanan dari syurga. Nabi Idris menikmati makanan itu. “Wahai tuan, marilah kita nikmati makanan ini bersama-sama.” Tetapi malaikat itu menolaknya. Nabi Idris terus melanjut­kan ibadahnya, sedang­kan Malaikat Maut setia menung­gu sampai terbit matahari. Nabi Idris hairan melihat sikap malaikat itu. Kemudian baginda berkata: “Wahai tuan, mahukah bersiar-siar bersama saya melihat keindahan alam sekitar?” Malaikat Maut menjawab: “Baiklah wahai Nabi Allah Idris.” Maka, berjalanlah mereka melihat alam persekitaran dengan berbagai jenis tumbuh-tumbuhan hidup di situ. Akhirnya ketika mereka sampai pada suatu kebun, maka Malaikat Maut berkata kepada Nabi Idris: “Wahai Idris, adakah tuan izinkan saya mengambil ini untuk dimakan?” Nabi Idris pun menjawab: “Subhanallah, mengapa malam tadi tuan enggan makan makanan halal, sedangkan tuan mahu memakan yang haram pula?” Kemudian Malaikat Maut dan Nabi Idris meneruskan perjalanan mereka. Tidak terasa mereka bersiar-siar selama empat hari. Selama bersahabat, Nabi Idris menemui beberapa keanehan Malaikat Maut. Segala tindak-tanduknya berbeza dengan sifat manusia biasa. Akhirnya Nabi Idris tidak dapat menahan hasrat ingin tahu. Baginda bertanya: “Wahai tuan, bolehkah saya tahu, siapakah tuan sebenarnya?” “Saya adalah Malaikat Maut.” “Tuankah yang bertugas mencabut semua nyawa makhluk?” “Benar ya Idris.” “Sedangkan tuan bersama saya selama empat hari, adakah tuan akan mencabut nyawa makhluk?” “Wahai Idris, selama empat hari ini banyak sekali nyawa yang saya cabut. Roh makhluk itu bagaikan hidangan di hadapanku, aku ambil mereka bagaikan seseorang sedang menyuap makanan.” “Wahai Malaikat, apakah tujuan tuan datang, apakah untuk ziarah atau mencabut nyawaku?” “Saya datang menziarahimu dan Allah mengizinkan niatku itu.” “Wahai Malaikat Maut, kabulkanlah satu permintaanku iaitu agar tuan mencabut nyawaku, kemudian tuan mohon kepada Allah menghidupkan saya kembali, supaya aku dapat menyembah Allah selepas merasakan dahsyatnya sakaratul maut itu.” Malaikat Maut menjawab: “Sesungguhnya saya tidaklah mencabut nyawa seseorang melainkan de­ngan izin Allah.” Lalu Allah mewahyukan kepada Malaikat Maut, agar mencabut nyawa Idris. Maka tercabutlah nyawa Idris saat itu dan Baginda merasakan kematian. Ketika melihat kematian Nabi Idris, Malaikat Maut menangis. Dengan rasa hiba dan sedih, dia bermohon Allah menghidupkan kembali sahabatnya itu. Allah mengabulkan permohonannya, dan Nabi Idris pun dihidupkan Allah kembali. Malaikat Maut memeluk Nabi Idris, dan bertanya: “Wahai saudaraku, bagaimanakah tuan merasakan kesakitan maut itu?” “Bila seekor binatang dilapah kulitnya ketika ia masih hidup, sakitnya maut itu seribu kali lebih sakit daripadanya.” Padahal ke­lembutan yang saya lakukan terhadap tuan, ketika mencabut nyawa tuan itu, belum pernah saya lakukan terhadap sesiapa pun sebelum tuan.” “Wahai Malaikat Maut, saya mempunyai permintaan iaitu saya teringin melihat neraka, supaya dapat beribadah kepada Allah lebih banyak selepas menyaksikan dahsyatnya api neraka itu.” “Wahai Idris, saya tidak dapat ke neraka tanpa izin Allah.” Akhirnya Allah mewahyukan kepada Malaikat Maut agar ia membawa Nabi Idris ke neraka. Di neraka itu, Nabi Idris melihat semua yang diciptakan Allah untuk menyeksa musuh-Nya seperti rantai panas, ular berbisa, kala, api yang membara, timah yang mendidih, pokok yang penuh berduri serta air panas mendidih. Selepas itu, mereka pun pulang. Nabi Idris berkata: “Wahai Malaikat Maut, saya berhajat agar tuan membawa saya ke syurga supaya dapat melihat apa-apa yang disediakan Allah bagi kekasih-Nya. Ini dapat meningkatkan lagi ibadah saya kepada Allah. “Saya tidak dapat membawa tuan masuk ke syurga, tanpa perintah dari Allah,” jawab Malaikat Maut. Lalu Allah memerintahkan Malaikat Maut membawa Nabi Idris ke syurga. Mereka sampai di pintu syurga dan melihat ­pemandangan di dalamnya. Baginda melihat segala macam kenikmatan disediakan Allah untuk wali-Nya seperti buah-buahan, pokok yang ­indah dan sungai yang mengalir.

Kemudian Nabi Idris berkata: “Wahai saudaraku Malaikat Maut, saya merasakan pahitnya maut dan saya melihat dahsyatnya api neraka. “Maka mahukah tuan memohonkan kepada Allah untukku, agar Allah mengizinkan aku memasuki syurga untuk dapat meminum airnya, untuk menghilangkan kesakitan mati dan dahsyatnya api neraka?” Malaikat Maut pun bermohon kepada Allah. Kemudian Allah memberi izini. Nabi Idris masuk ke syurga dan meletak kasutnya di bawah salah satu pohon lalu keluar dari syurga. Apabila di luar, Nabi Idris berkata: “Wahai Malaikat Maut, aku meninggalkan kasutku di syurga.” Malaikat Maut pun berkata: “Masuklah ke syurga, dan ambil kasut tuan.” Maka masuklah Nabi Idris, namun Baginda tidak keluar lagi, sehingga Malaikat Maut memanggilnya: “Ya Idris, keluarlah!” “Tidak, wahai Malaikat Maut, kerana Allah SWT berfirman bermaksud: Setiap yang berjiwa akan merasakan mati. (Surah Ali-Imran ayat 185). “Sedangkan saya merasakan kematian. Dan Allah berfirman yang bermaksud: Dan tiada seorang pun daripadamu, melainkan mendatangi neraka itu. (Surah Maryam ayat 71). “Dan saya pun mendatangi neraka itu. Dan firman Allah lagi yang bermaksud: ... Dan mereka sekali-kali tidak akan dikeluarkan daripadanya (syurga).” (Surah Al-Hijr ayat 48). Maka Allah menurunkan wahyu kepada Malaikat Maut itu: “Biarkanlah dia, kerana Aku menetapkan di azali, bahawa tempat tinggalnya di syurga.”

Nabi Adam diarak malaikat selama 100 tahun

Pada suatu ketika, Allah menitahkan malaikat Jibrail ke bumi mengambil sebahagian tanahnya mencipta Adam.

Tetapi, bumi enggan membenarkan tanahnya diambil untuk dijadikan Adam, kerana bumi bimbang Adam berbuat maksiat kepada Allah.

Lalu Jibrail kembali menemui Tuhan, ia tidak dapat berbuat apa-apa, mendengar sumpah bumi. Kemudian, Allah memerintah malaikat Mikail, jawapan bumi tetap sama dan Allah menitah pula malaikat Israfil, tetapi bumi masih enggan dan masing-masing kembali dengan tangan penuh hampa.

Lalu yang terakhir, Allah menyuruh malaikat Izrail ke bumi. Kata Allah: " Hai Izrail engkaulah kini yang aku tugaskan mengambil tanah.

Meskipun bumi menyumpah dengan ucapan bagaimanapun jangan engkau undur. Katakan kamu melakukan atas perintah dan atas nama-Ku."

Apabila Izrail ke bumi dan menyampaikan perintah Allah, bumi akhirnya akur tanahnya diambil.

Setelah Izrail mengambil beberapa jenis tanah, dia kembali ke hadrat Allah. Lalu Allah berfirman: "Ya Izrail, pertama engkau yang Ku-tugaskan mengambil tanah, dan kelak Ku-tugaskan engkau mencabut roh manusia."

Maka Izrail bimbang dibenci manusia. Lalu Allah berfirman: "Tidak, mereka tidak akan memusuhi kamu, Aku Yang mengaturnya, dan aku jadikan kematian mereka itu bersebab, terbunuh, terbakar atau sakit."

Tanah bagaimana dijadikan Adam?
1. Tanah tempat bakal berdirinya Baitul Mugaddis
2. Tanah Bukit Tursina
3. Tanah Iraq
4. Tanah Aden
5. Tanah Al-Kautsar
6. Tanah tempat bakal berdirinya Baitullah
7. Tanah Paris
8. Tanah Khurasan
9. Tanah (Babylon)
10. Tanah India
11. Tanah syurga
12. Tanah Tha'if

Kata Ibnu Abbas :
1. Kepala Adam dari tanah Baitul Muqadis, kerana di situlah berada otak manusia, dan di situlah tempatnya akal.
2. Telinganya dari tanah Bukit Thursina, kerana dia alat pendengar dan tempat menerima nasihat.
3. Dahinya dari tanah Iraq, kerana di situ tempat sujud kepada Allah.
4. Mukanya dari tanah Aden, kerana di situ tempat berhias dan tempat kecantikan.
5. Matanya dari tanah telaga Al-Kautsar, tempat menarik perhatian.
6. Giginya dari tanah Al-Kautsar, tempat manis.
7. Tangan kanannya dari tanah Kaabah, untuk mencari nafkah dan kerjasama sesama manusia.
8. Tangan kirinya dari tanah Paris, tempat beristinjak.
9. Perutnya dari tanah Babylon. Di situlah tempat seks (berahi) dan tipu daya syaitan untuk menjerumuskan manusia ke lembah dosa.
10. Tulangnya dari tanah Bukit Thursina, alat peneguh tubuh manusia.
11. Dua kakinya dari tanah India, tempat berdiri dan jalan.
12. Hatinya dari tanah syurga Firdaus, kerana di situlah iman, keyakinan, ilmu dan kemahuan.
13. Lidahnya dari tanah Tha'if, tempat mengucap syahadah, bersyukur dan mendoakan kepada Tuhan.

Bagaimanakah prosesnya :
1. Ketika Allah menjadikan Adam, tanah itu bercampur air tawar, air masin, air hanyir, angin, api. Kemudian Allah resapkan Nur kebenaran dalam diri Adam dengan pelbagai macam "sifat".
2. Lalu tubuh Adam itu digenggam dengan genggaman "Jabarut" kemudian diletakkan di dalam "Alam Malakut".
3. Sesungguhnya tanah yang akan dijadikan "tubuh Adam" adalah tanah pilihan. Maka sebelum dijadikan patung, tanah itu dicampurkan dengan rempah-rempah, wangi-wangian dari sifat nur sifat Allah, dan dirasmi dengan air hujan "Barul Uluhiyah".
4. Kemudian tubuh itu dibenamkan di dalam air "Kudral-Izzah-Nya" iaitu sifat "Jalan dan Jammal". Lalu diciptakan menjadi tubuh Adam yang sempurna.
5. Demikian pula roh, ketika itu diperintah masuk ke tubuh Adam, ia malas dan enggan, malah berputar-putar, mengelilingi patung Adam yang terlantar.
Kemudian Allah menyuruh malaikat Izrail untuk memaksa roh itu masuk, akhirnya ia menyerah kepada Izrail.

Menurut riwayat ketika Adam masih di syurga, sangat baik sekali kulitnya. Tidak seperti warna kulit kita sekarang ini.

Kerana Adam diturunkan ke dunia, terjadilah perubahan pada warna kulitnya. Sebagai peringatan yang masih tertinggal warnanya hanyalah pada kuku manusia.

Hal ini kita biasa lihat meskipun orang kulitnya hitam, warna kukunya adalah sama, ialah putih kemerah-merahan. Dijadikan pada tubuh Adam ada sembilan rongga atau liang.

Tujuh buah liang di kepala dan dua liang di bawah badan letaknya.
Tujuh buah letaknya di kepala: dua liang mata, dua liang telinga, dua liang hidung dan sebuah liang mulut.

Yang dua macam di bawah: sebuah liang kemaluan dan liang dubur.

Dijadikan pula lima pancaindera:
1. Mata alat penglihatan
2. Hidung alat penciuman
3. Telinga alat pendengaran
4. Mulut alat perasa manis, masin dan sebagainya.
5. Anggota tubuh lainnya seperti kulit, telapak tangan, untuk merasa halus, kasar dan sebagainya.

Selepas roh masuk tubuh Adam perlahan-lahan sehingga ke kepalanya yang mengambil masa 200 tahun.

Demikianlah Allah memberi kekuatan pada Izrail memasukkan roh ke tubuh Adam. Dahulu Izrail ditugaskan mengambil tanah untuk Adam, dan kini mencabut nyawa manusia.

Selepas meresap ke kepala Adam, maka terjadilah otak dan tersusun urat sarafnya dengan sempurna. Kemudian terjadilah matanya seketika itu matanya terus terbuka melihat dan melirik ke kiri dan ke kanan.

Dan juga melihat ke bawah di mana bahagian badannya masih adalah tanah keras. Dilihatnya kiri dan kanan malaikat yang sedang menyaksikan kejadian dia.
Ketika itu Adam mendengar malaikat mengucapkan tasbih dengan suara merdu dan mengasyikkan. Ketika roh sampai ke hidungnya lalu ia bersin, serta mulutnya terbuka.

Ketika itulah Allah mengajarnya mengucap Alhamdulillah. Itulah ucapan Adam yang pertama kepada Allah.

Lalu Allah berkata: "Yarkhamukallah" yang ertinya: "semoga engkau diberi rahmat Allah". Oleh kerana itu jika orang bersin menjadi ikutan sunat mengucap "Alhamdulillah" dan orang yang mendengarnya sunat mengucapkan
"Yarkhamukallah".

Kemudian ketika roh sampai pada dadanya, tiba-tiba saja ia mahu bangun. Padahal bahagian badannya ke bawah masih menjadi tanah keras.

Di sini menunjukkan sifat manusia yang suka tergesa-gesa (tidak sabar). Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Dan adalah manusia itu, suka tergesa-gesa".

Maka, ketika roh itu sampai di perutnya, terjadilah susunan isi perut dengan sempurna. Maka seketika itu terasa lapar.

Kemudian terus roh itu meresap ke seluruh tubuh Adam, tangan, kaki lalu terjadi darah daging dan tulang, urat-urat, berkulit dengan sempurna, kian lama kian bagus dan halus.

Apabila kejadian Adam sempurna sebagai manusia baru, maka dialah adalah jenis makhluk manusia yang pertama.

Wajahnya cukup cantik, semua malaikat kagum melihat Adam yang menawan. Adam diarak malaikat selama 100 tahun lalu diperkenalkan kepada seluruh penghuni langit pertama hinggalah ketujuh sebelum dibawa ke syurga tempat mula-mula Adam dijadikan.

Malam Lailatul Qadar

Lailatul Qadar merupakan satu malam yang mempunyai kelebihan lebih seribu bulan yang lain. Ini dapat kita lihat daripada apa yang telah dinukilkan oleh Allah di dalam al-Quran dalam surah al-Qadar. Begitu juga dengan apa yang telah diberitahukan oleh Rasulullah S.A.W dalam beberapa hadis yang sohih. Kita disuruh untuk menghidupkan malam lailatul qadar dan tidak membiarkannya berlalu begitu saja. Rasulullah S.A.W telah bersabda dalam hadis muttafaq 'alaih daripada Abu Hurairah yang artinya : Sesiapa yang menghidupkan malam lailatul qadar penuh keimanan dan keikhlasan akan diampun baginya dosa yang telah lalu.

Menurut imam Fakhrurrazi bahwa Allah menyembunyikan malam lailatul qadar dari pengetahuan kita sebagaimana Dia menyembunyikan segala sesuatu yang lain. Dia menyembunyikan keredhaanNya pada setiap ketaatan sehingga timbul dalam diri kita keinginan untuk melakukan semua ketaatan atau ibadat itu. Begitu juga Dia menyembunyikan kemurkaanNya pada setiap perkara maksiat agar kita berhati-hati dan menjauhi segala maksiat dan tidak memilih antara dosa besar dan kecil untuk melakukannya kerana dosa kecil jika terus dilakukan secara berterusan akan menjadi dosa besar jika kita tidak bertaubat dan berusaha meninggalkannya.

Dia menyembunyikan wali-waliNya agar manusia tidak terlalu bergantung kepada mereka dalam berdoa sebaliknya berusaha sendiri dengan penuh keikhlasan dalam berdoa untuk mendapatkan sesuatu daripadaNya kerana Allah menerima segala doa orang yang bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa. Dia menyembunyikan masa mustajab doa pada hari Jumaat supaya kita berusaha sepanjang harinya. Begitulah juga Allah menyembunyikan penerimaan taubat dan amalan yang telah dilakukan supaya kita sentiasa istiqamah dan ikhlas dalam beramal dan sentiasa bersegera dalam bertaubat.

Demikianlah juga dengan penyembunyian malam lailatul qadar agar kita membesarkan dan menghidupkan keseluruhan malam Ramadhan dalam mendekatkan diri kepadaNya bukan hanya sekadar menunggu malam lailatu qadar sahaja untuk beribadat dan berdoa. Tetapi inilah penyakit besar yang menimpa umat Islam yang menyebabkan malam-malam Ramadhan lesu kerana mereka hanya menanti malam yang dianggap malam lailatul qadar sahaja untuk beribadat. Kerana mengejar kelebihan lailatul qadar yang mana kita tidak mengetahui masanya yang tertentu menyebabkan kita terlepas dengan kelebihan Ramadhan itu sendiri yang hanya datang setahun sekali.

Antara tanda-tanda dalam mengetahui malam lailatul qadar adalah berdasarkan beberapa hadis di bawah :

1. Abi Ibnu Ka'ab telah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda mengenai lailatul qadar yang artinya : Sesungguhnya matahari yang keluar pada hari itu tidak begitu bercahaya (suram). - Hadis riwayat imam Muslim dalam kitab puasa -

2. Telah diriwayatkan daripada Nabi S.A.W bahawa baginda telah bersabda yang artinya : Sesungguhnya tanda-tanda lailatul qadar, bahawa malamnya bersih suci seolah-olah padanya bulan yang bersinar, tenang sunyi, tidak sejuk padanya dan tidak panas, tiada ruang bagi bintang untuk timbul sehingga subuh, dan sesungguhnya tanda-tandanya matahari pada paginya terbit sama tiada baginya cahaya seperti bulan malam purnama tidak membenarkan untuk syaitan keluar bersamanya pada hari itu. - Hadis riwayat imam Ahmad dengan isnad jayyid daripada Ibadah bin As-Somit -

3. Dalam Mu'jam At-Tobarani Al-Kabir daripada Waailah bin Al-Asqa' daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang artinya : Malam lailatul qadar bersih, tidak sejuk, tidak panas, tidak berawan padanya, tidak hujan, tidak ada angin, tidak bersinar bintang dan daripada alamat siangnya terbit matahari dan tiada cahaya padanya(suram).

4. Telah meriwayat Al-Barraz dalam musnadnya daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang artinya : Malam lailatul Qadar bersih tidak panas dan tidak pula sejuk.

Qadhi 'Iyad telah mengatakan ada dua pendapat mengenai matahari yang terbit tanpa cahaya iaitu:

1) Ia merupakan tanda penciptaan Allah SWT.
2) Menunjukkan bahawa kerana terlalu banyak para malaikat yang berzikir kepada Allah pada malamnya dan mereka turun ke bumi yang menyebabkan sayap-sayap dan tubuh mereka yang halus menutupi dan menghalangi matahari dan cahayanya.


Daripada hadis-hadis di atas bolehlah kita buat kesimpulan bahawa antara tanda-tanda lailatul qadar ialah :

a. Pada malamnya keadaan bersih dengan cuaca tidak sejuk dan tidak pula panas.

b. Malamnya tenang yang mana terang dan angin tidak bertiup sebagaimana biasa dan awan agak nipis.

c. Malamnya tidak turun hujan dan bintang pula tidak bercahaya seolah-olah tidak timbul.

d. Pada siangnya pula matahari terbit dalam keadaan suram.

Unta Patah Rancangan Abu Jahal

Setelah pelbagai usaha oleh kaum Quraisy untuk menyekat dan menghapuskan penyebaran agama Islam menemui kegagalan, maka Abu Jahal semakin benci terhadap Rasulullah S.A.W. Kebencian Abu Jahal ini tidak ada tolok bandingnya, malah melebihi kebencian Abu Lahab terhadap Rasulullah S.A.W.
Melihatkan agama Islam semakin tersebar, Abu Jahal pun berkata kepada kaum Quraisy di dalam suatu perhimpunan, "Hai kaumku! Janganlah sekali-kali membiarkan Muhammad menyebarkan ajaran barunya dengan sesuka hatinya. Ini adalah kerana dia telah menghina agama nenek moyang kita, dia mencela tuhan yang kita sembah. Demi Tuhan, aku berjanji kepada kamu sekalian, bahawa esok aku akan membawa batu ke Masjidil Haram untuk dibalingkan ke kepala Muhammad ketika dia sujud. Selepas itu, terserahlah kepada kamu semua samada mahu menyerahkan aku kepada keluarganya atau kamu membela aku dari ancaman kaum kerabatnya. Biarlah orang-orang Bani Hasyim bertindak apa yang mereka sukai."

Tatkala mendengar jaminan daripada Abu Jahal, maka orang ramai yang menghadiri perhimpunan itu berkata secara serentak kepadanya, "Demi Tuhan, kami tidak akan sekali-kali menyerahkan engkau kepada keluarga Muhammad. Teruskan niatmu."
Orang ramai yang menghadiri perhimpunan itu merasa bangga mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Abu Jahal bahawa dia akan menghapuskan Muhammad kerana jika Abu Jahal berjaya menghapuskan Nabi Muhammad S.A.W bererti akan terhapuslah segala keresahan dan kesusahan mereka selama ini yang disebabkan oleh kegiatan Rasulullah S.A.W menyebarkan agama Islam di kalangan mereka.

Dalam pada itu, terdapat juga para hadirin di situ telah mengira-ngira perbelanjaan untuk mengadakan pesta sekiranya Nabi Muhammad S.A.W berjaya dihapuskan. Pada pandangan mereka adalah mudah untuk membunuh Nabi Muhammad S.A.W yang dikasihi oleh Tuhan Yang Maha Esa serta sekalian penghuni langit. Padahal Allah tidak akan sekali-kali membiarkan kekasih-Nya diancam dan diperlakukan seperti binatang.
Dengan perasaan bangga, keesokan harinya di sebelah pagi, Abu Jahal pun terus pergi ke Kaabah iaitu tempat biasa Nabi Muhammad S.A.W bersembahyang. Dengan langkahnya seperti seorang satria, dia berjalan dengan membawa seketul batu besar di tangan sambil diiringi oleh beberapa orang Quraisy yang rapat dengannya. Tujuan dia mengajak kawan-kawannya ialah untuk menyaksikan bagaimana nanti dia akan menghempapkan batu itu di atas kepala Nabi Muhammad S.A.W.

Sepanjang perjalanan itu dia membayangkan bagaimana keadaan Nabi Muhammad nanti setelah kepalanya dihentak oleh batu itu. Dia tersenyum sendirian apabila membayangkan kepala Nabi Muhammad S.A.W pecah dan tidak bergerak lagi. Dan juga membayangkan bagaimana kaum Quraisy akan menyambutnya sebagai pahlawan yang telah berjaya membunuh musuh nombor satu mereka.
Sebaik sahaja Abu Jahal tiba di perkarangan Masjidil Haram, dilihatnya Rasulullah S.A.W baru sahaja sampai dan hendak mengerjakan sembahyang. Dalam pada itu, Nabi Muhammad S.A.W tidak menyedari akan kehadiran Abu Jahal dan kawan-kawannya di situ. Baginda tidak pernah terfikir apa yang hendak dilakukan oleh Abu Jahal terhadap dirinya pada hari itu.

Sebaik-baik sahaja Abu Jahal melihat Rasulullah S.A.W telah mula bersembahyang, dia berjalan perlahan-lahan dari arah belakang menuju ke arah Nabi Muhammad S.A.W. Abu Jahal melangkah dengan berhati-hati, setiap pergerakannya dijaga, takut disedari oleh baginda.
Dari jauh kawan-kawan Abu Jahal memerhatikan dengan perasaan cemas bercampur gembira. Dalam hati mereka berkata, "Kali ini akan musnahlah engkau hai Muhammad."
Sebaik sahaja Abu Jahal hendak menghampiri Nabi Muhammad S.A.W dan menghayun batu yang dipegangnya itu, tiba-tiba secepat kilat dia berundur ke belakang. Batu yang dipegangnya juga jatuh ke tanah. Mukanya yang tadi merah kini menjadi pucat lesi seolah-olah tiada berdarah lagi. Rakan-rakannya yang amat ghairah untuk melihat Nabi Muhammad S.A.W terbunuh, tercengang dan saling berpandangan.

Kaki Abu Jahal seolah-olah terpaku ke bumi. Dia tidak dapat melangkahkan kaki walaupun setapak. Melihatkan keadaan itu, rakan-rakannya segera menarik Abu Jahal dari situ sebelum disedari oleh baginda. Abu Jahal masih terpinga-pinga dengan kejadian yang dialaminya.
Sebaik sahaja dia sedar dari kejutan peristiwa tadi, rakan-rakannya tidak sabar untuk mengetahui apakah sebenarnya yang telah berlaku. Kawannya bertanya, "Apakah sebenarnya yang terjadi kepada engkau, Abu Jahal? Mengapa engkau tidak menghempapkan batu itu ke kepala Muhammad ketika dia sedang sujud tadi?"

Akan tetapi Abu Jahal tetap membisu, rakan-rakannya semakin kehairanan. Abu Jahal yang mereka kenali selama ini seorang yang lantang berpidato dan menyumpah seranah Nabi S.A.W, tiba-tiba sahaja diam membisu.
Dalam pada itu, Abu Jahal masih terbayang-bayang akan kejadian yang baru menimpanya tadi. Dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya, malah dia sendiri tidak menyangka perkara yang sama akan berulang menimpa dirinya.
Perkara yang sama pernah menimpa Abu Jahal sewaktu Rasulullah S.A.W pergi ke rumah Abu Jahal apabila seorang Nasrani mengadu kepada baginda bahawa Abu Jahal telah merampas hartanya. Pada masa itu Abu Jahal tidak berani berkata apa-apa pada baginda apabila dia terpandang dua ekor harimau menjadi pengawal peribadi Rasulullah S.A.W.

Kemudian setelah habis mereka menghujani Abu Jahal dengan pelbagai soalan, maka Abu Jahal pun mula bersuara, "Wahai sahabatku! Untuk pengetahuan kamu semua, sebaik sahaja aku menghampiri Muhammad hendak menghempapkan batu itu ke kepalanya, tiba-tiba muncul seekor unta yang besar hendak menendang aku. Aku amat terkejut kerana belum pernah melihat unta yang sebegitu besar seumur hidupku. Sekiranya aku teruskan niatku, nescaya akan matilah aku ditendang oleh unta itu, sebab itulah aku berundur dan membatalkan niatku."

Rakan-rakan Abu Jahal berasa amat kecewa mendengar penjelasan itu, mereka tidak menyangka orang yang selama ini gagah dan beria-ia hendak membunuh Nabi Muhammad S.A.W hanya tinggal kata-kata sahaja. Orang yang selama ini diharapkan boleh menghapuskan Nabi Muhammad S.A.W dan pengaruhnya hanya berupaya bercakap seperti tin kosong sahaja.
Setelah mendengar penjelasan dari Abu Jahal yang tidak memuaskan hati itu, maka mereka pun berkata kepada Abu Jahal dengan perasaan kehairanan, "Ya Abu Jahal, semasa kau menghampiri Muhammad tadi, kami memerhatikan engkau dari jauh tetapi kai tidak napak akan unta yang engkau katakan itu. Malah bayangnya pun kami tidak nampak."

Rakan-rakan Abu Jahal mula sangsi dengan segala keterangan yang diberikan oleh Abu Jahal. Mereka menyangka Abu Jahal sentiasa mereka-reka cerita yang karut itu, mereka mula hilang kepercayaan terhadapnya. Akhirnya segala kata-kata Abu Jahal mereka tidak berapa endahkan lagi.

Nabi Yunus Ditelan Ikan Nun

Nabi Yunus Ditelan Ikan Nun

Yunus bin Matta adalah seorang nabi yang di utuskan oleh Allah SWT utnuk berdakwah di sebuah tempat bernama Niwana. Nabi Yunus seorang pendatang ke Niwana semata-mata atas perintah Allah SWT untuk berdakwah kepada penduduknya.

Nabi Yunus mendapati penduduk Niwana merupakan manusia yang menyekutukan Allah dengan menyembah berhala. Nabi Yunus mengajar mereka tentang ilmu tauhid dan keimanan. Nabi Yunus juga memberi nasihat kepada mereka tentang kebodohan mereka menyembah berhala sedangkan berhala itu adalah hasil buatan manusia. Nabi Yunus menasihatkan mereka bahawa berhala tersebut tidak dapat memberi apa-apa manfaat kerana berhala itu tidak boleh bergerak dan berkata-kata. Nabi Yunus mengingatkan mereka supaya menyembah Allah SWT yang telah menciptakan manusia dan Allah sajalah yang wajib ditaati.

Oleh kerana ajaran yang di bawa oleh Nabi Yunus itu ajaran baru, maka tidak ramai manusia yang mahu menerimanya. Mereka lebih suka menyembah berhala-berhala yang di sembah oleh datuk nenek mereka secara turun temurun. Walaupun Nabi Yunus memberi nasihat, tetapi mereka tetap berkeras dengan berkata "Ini adalah Tuhan kami (yakni berhala-berhala), datuk nenek kami telah lama menyembah tuhan-tuhan kami dan kami tetap tidak akan berganjak dari meninggalkan agama kami".

Nabi Yunus berkata "Aku hanya menyampai apa yang Allah menyuruh aku sampaikan kepada kamu semua, oleh itu kamu beriman dan bertauhidlah menurut agama yang aku bawa sebagai amanat Allah SWT". Berkata Nabi Yunus lagi "Aku ini hanyalah pesuruh yang mana Allah SWT telah perintahkan kepadaku supaya menyelamatkan kamu semua daripada lembah kesesatan dan lembah kegelapan serta menyiarkan kepada kamu tentang agama yang suci bersih lagi murni dan membersihkan hati-hati kamu dari kufur dan syirik, demi untuk kebaikan kamu di dunia dan di akhirat."

Walaupaun Nabi Yunus telah memberi nasihat serta pengajaran supaya kembali ke pangkal jalan, mereka tetap dengan pendiriannya dan berkata "walau apa sekalipun kamu katakan kepada kami, kami tetap tidak akan berganjak dari agama kami dan kami juga tidak takut walau apa pun ancaman yang kamu katakan dan kalau mahu cubalah datangkan ancaman itu kepada kami, kalau kamu memang orang yang benar."

Setelah Nabi Yunus melihat keadaan mereka yang tidak menerima peringatannya itu, maka Nabi Yunus pun meninggalkan Niwana dengan rasa amat marah. Nabi Yunus berdoa kepada Allah supaya mereka yang keras kepala menerima hukuman yang sewajarnya. Sejak Nabi Yunus meninggalkan Niwana mereka gelisah melihatkan perubahan yang berlaku di tempat tinggal masing-masing.

Penduduk melihat Niwawa mengalami kegelapan, binatang peliharaan mereka juga seperti tidak tenteram dan di tambah pula dengan angin yang sangat kuat serta guruh yang mengegarkan. Dengan berlakunya perkara-perkara ini maka tahulah mereka bahawa ajaran yang dibawa oleh Nabi Yunus itu adalah ajaran yang benar dan bukan satu ajaran yang direka. Akhirnya mereka menyesal dan keluar beramai-ramai dari kota pergi ke bukit lalu meminta ampun dan rahmat Allah SWT agar dijauhkan daripada sebarang malapetaka.

Allah SWT Maha Mengetahui akan hambaNya yang menyesal dan mohon ampun dariNya, maka Allah SWT pun menerima permintaan mereka, lalu Niwana yang gelap bertukar menjadi cerah, binatang ternakan tidak lagi dalam ketakutan dan mereka kembali tenang. Akhirnya mereka semua kembali dengan bersyukur kepada Allah SWT yang telah menyelamatkan mereka dari bahaya malapetaka. Nabi Yunus telah meninggalkan Niwana membawa diri tanpa tujuan.

Baginda naik bukit turun bulit, naik gunung turun gunung dan akhirnya ia sampai di pantai. Kebetulan pada masa itu dia melihat sebuah kapal hendak belayar, maka dia pun menghampiri pemilik kapal itu untuk turut serta belayar bersamanya. Setelah diberi keizinan maka Nabi Yunus menumpang kapal tersebut. Dalam pelayaran itu, kapal yang ditumpangi Nabi Yunus telah dilanda ribut taufan yang kuat.

Oleh itu kapten kapal telah memutuskan supaya barang yang dibawa hendaklah dikurangkan. Ini termasuk penghuni kapal kapal tersebut. Satu pengundian telah dibuat dan dalam undian tersebut Nabi Yunus dipilih sebagai orang yang harus dibuang ke laut. Oleh sebab Nabi Yunus adalah orang yang sangat dihormati dan disanjung, maka mereka mengadakan pemilihan sekali lagi dan kali kedua Nabi Yunus tetap terpilih.

Maka mereka mengundi sekali lagi dan akhirnya Nabi Yunus tahu bahawa ia adalah kehendak Allah. Nabi Yunus memikirkan kesalahannya kerana meninggalkan Niwana tanpa mendapat persetujuan Allah. Ia berfikir keputusan undi itu adalah disebabkan untuk menebus dosa yang telah dilakukannya. Nabi Yunus beristikharah, tanpa ragu-ragu Nabi Yunus terjun ke dalam laut yang sedang bergelombang ganas.

Ketika Nabi Yunus sedang berlawan dengan gelombang, maka Allah SWT mengarahkan seekor ikan nun (yu) supaya menelan Nabi Yunus hidup-hidup, maka ikan nun yang muncul itu pun menelan Nabi Yunus dan menyimpannya dalam perut tanpa ada cacat-celanya. Ketika Nani Yunus berada dalam perut ikan nun dia berdoa kepada Allah supaya mengampuni dosa yang telah dilakukan. Lalu Nabi Yunus membaca doa: "Tidak ada Tuhan yang benar di sembah hanya Engkau ya Alalh, mahasuci Engkau aku adalah orang yang membuat zalim atas diriku."

Maka Allah perkenankan permintaannya dan Allah lepaskan dia daripada kedukaan. Demikianlah Allah selamatkan orang yang beriman. Rasulullah bersabda maksudnya: "Nama tuhan yang mulia, siapa yang berdoa dengan nama itu akan diperkenankan doanya. Siapa yang meminta dengan nama itu, akan diberi apa yang diucapkan oleh Nabi Yunus dalam perut ikan nun." Firman Allah bermaksud "Jika tidak kerana dia (Nabi Yunus) daripada orang yang selalu mengucapkan tasbih, nescaya tidaklah ia dapat keluar dari perut ikan sampai hari kiamat."

Setelah beberapa lama Nabi Yunus berada dalam perut ikan nun, maka Allah pun melemparkan Nabi Yunus ke darat. Di tempat Nabi Yunus dilemparkan Allah menghidupkan pokok labu yang dapat Nabi Yunus bernaung di bawahnya dan dapat pula ia makan buat tersebut dan kembali segar. Ketika Nabi Yunus dilemparkan ke darat keadaannya amat letih.

Setelah Nabi Yunus berasa segar kembali maka Allah telah memerintahkannya supaya kembali ke Niwana. Nabi Yunus terkejut kerana penduduk sedang menanti kepulangannya. Penduduk tersebut meminta Nabi Yunus mengajar untuk menyempurnakan akidah dan imam mereka. Nabi Yunus berasa hairan kerana penduduk Niwana dahulunya terdiri daripada orang yang ingkar dengan perintah Allah tetapi kini hidup dan mati mereka semata-mata kerana Allah.

Wallaualam.
Please Subscribe my youtube channel. Tq.

Translate

CLOSE