Malaikat Jibrail Dan Kudanya (Haizum) Dalam Perang Badar

Malaikat Jibrail Dan Kudanya Haizum, Perang Badar
Gambar Hiasan: Malaikat Jibrail Dan Kudanya (Haizum) Dalam Perang Badar

Malaikat Jibrail Dalam Perang Badar

Malaikat merupakan hamba dan ciptaan Allah SWT yang dijadikan daripada cahaya lagi mulia dan terpelihara daripada maksiat. Mereka tidak berjantina, tidak bersuami atau isteri, tidak beribu atau berbapa dan tidak beranak. Mereka tidak tidur dan tidak makan serta tidak minum. Mereka mampu menjelma kepada rupa yang dikehendaki dengan izin Allah SWT. Sebagai contoh malaikat datang kepada kaum Lut menyerupai lelaki yang kacak. 

(Mendengarkan yang demikian), tetamunya berkata: "Wahai Lut! Sesungguhnya kami (adalah Malaikat) utusan Tuhanmu. Kaum engkau yang jahat itu tidak sekali-kali akan dapat melakukan kepadamu (sebarang bencana). Oleh itu, pergilah berundur dari sini bersama-sama dengan keluargamu pada tengah malam, dan janganlah seorangpun di antara kamu menoleh ke belakang. Kecuali isterimu, sesungguhnya ia akan ditimpa azab yang akan menimpa mereka (kerana ia memihak kepada mereka). Sesungguhnya masa yang dijanjikan untuk menimpakan azab kepada mereka ialah waktu subuh bukankah waktu subuh itu sudah dekat?" 

Selain daripada mencatitkan amalan, dan menjalankan tugas-tugas lain yang telah ditentukan, para malaikat yang juga merupakan bala tentera Allah SWT yang diturunkan ketika umat Islam berperang menghadapi tentera musuh. Ia adaah bagi untuk membantu tentera Islam menghadapi sejumlah besar tentera musuh yang sejak lama dahulu tidak pernah luntur semangatnya untuk menghancurkan Islam. Perang Badar misalnya, terbukti disertai oleh sebilangan besar para malaikat. Ini jelas terbukti dengan catitan dalam beberapa sumber-sumber Islam.

Memetik bicara Imam Bukhari dalam kitab Shahih-nya, bab "Syuhuudul Malaa-ikah Badran" yang berkata :

Dari Mu'adz bin Rafa'ah ibn Rafi' az-Zargi dari ayahnya yang ikut serta dalam Perang Badar al-Kubra. Dia berkata, "Malaikat Jibril as mendatangi Nabi Muhammad SAW dan berkata, "Apa pendapatmu tentang pengikut Perang Badar dari kalanganmu?" Rasulullah SAW menjawab, "Dari kalangan kaum Muslimin yang paling utama." Malaikat Jibril as kembali berkata, "Demikian juga dengan para malaikat yang ikut serta dalam Perang Badar."

Jelaslah disini bahawa malaikat Jibril sendiri terlibat di dalam Perang Badar dengan bertindak membantu tentera-tentera Islam menentang tentera Musyrikin. Hendaklah diingatkan bahawa Allah SWT itu Maha Berkuasa dan mampu berbuat apa sahaja akan tetapi Allah SWT juga Maha Adil. Sebenarnya boleh sahaja, golongan Musyrikin itu dimatikan sebelum perang, dan tidak perlu pun untuk malaikat Jibril turut bersama tentera Islam bagi menewaskan tentera musuh. Tetapi setiap yang berlaku ada hikmahnya, dan ada beberapa hal yang tidak mampu atau boleh kita pertikaikan/fikirkan kerana sesungguhnya akal fikiran manusia tidak akan mencapai hingga ke tahap infiniti. Ianya mustahil sama sekali. Apa yang perlu ditekankan disini ialah, malaikat mampu menjelma dengan apa jua rupa bentuk yang baik (kecuali buruk atau wanita) dengan izin Allah SWT. 

MALAIKAT JIBRAIL DAN KUDA TUNGGANGANNYA (HAIZUM) DALAM PERANG BADAR


Haizum dikenali sebagai kuda milik Jibrail as. Jibrail as adalah ketua kepada segala Malaikat. Haizum beberapa kali diungkap Rasullulah SAW dalam hadith Baginda. Antaranya adalah:

Rasulullah bersabda, “Bergembiralah wahai Abu Bakar, pertolongan Allah telah datang. Ini adalah Jibril yang sedang memegang kendali tunggangannya di atas gulungan-gulungan debu.” 

Diriwayatkan juga dari Abu Zumail, ia berkata, "Ibnu Abbas berkata kepadaku, 'Salah seorang lelaki Muslim yang sedang menghadapi seorang musyrik di depannya menerangkan kepada kita bahawa tiba-tiba dia mendengar suara pukulan cemeti di atasnya dan suara seorang pahlawan yang mengatakan 'Hadapilah Haizum (nama kuda tunggangan malaikat Jibril as). Lalu ia melihat lelaki musyrik itu menggeletak. Dia melanjutkan, 'Lelaki Muslim itu mengamatinya, ternyata kepalanya telah remuk dan wajahnya terkoyak seperti (bekas) lecutan cemeti. Lalu ia menghadirkan sekelompok kaumnya. Kemudian orang Anshar itu datang dan menceritakannya kepada Rasulullah SAW. Baginda bersabda, 'Engkau benar bahawa itu bantuan langit yang ketiga. Pada hari itu mereka membunuh tujuh puluh orang (musuh) dan menawan tujuh puluh orang lainnya." 

Rasullulah SAW bersabda ketika beberapa detik sebelum berlakunya Perang Badar. Perang Badar diketahui sebagai perang hidup dan mati Islam. Jika Islam kalah, maka tertimbuslah Islam dan tidak lagi mampu bangkit menyebarkan syiarnya. Jika Islam menang, Islam bakal mendapat motivasi yang besar dan akan terus bangkit untuk menyebar syiarnya kepada masyarakat Mekah, Madinah dan seluruh dunia.

Oleh kerana itu, Rasullulah SAW berdoa bercucuran air mata untuk meminta bantuan Allah SWT ketika peperangan Badar ini. Allah SWT adalah perancang yang Maha Hebat, Islam mendapat sokongan moral yang hebat dengan turunnya tentera berpakaian serba hijau iaitu para Malaikat Allah SWT. Ini diakui sendiri oleh Rasullulah SWT dan para sahabat.

Rasulullah SAW ketika meniup api semangat jihad ke dalam jiwa 312 orang tentera Islam, menyeru kaum Muslimin pun bertempur hebat dibantu oleh para Malaikat. Baginda berseru dengan lantang dan berkobar-kobar.

Catatan hadith menyebut, Ibnu Ishhaq berkata, ketika salah seorang tentera kaum Muslimin mengejar seorang tentera Musyrikin yang berada di depannya. Tiba-tiba dia mendengar suara hencutan cambuk dan suara penunggang kuda yang berkata, “Terus maju wahai Haizum”. Lalu dia menyaksikan orang musyrik yang ada di depannya sudah terjerembab ke tanah dengan wajah yang hancur. 

Seseorang dari kaum Ansar yang melihat kejadian ini menceritakan kepada Rasulullah SAW, lalu Rasulullah kemudiannya bersabda :

"Engkau benar, itulah pertolongan dari langit yang ketiga.”

Dalam riwayat lain pula, oleh Ibnu Sa’ad menyebutkan daripada Ikrimah: “Pada hari itu (perang Badar) ada kepala orang Quraisy yang gugur tanpa diketahui siapa yang memenggalnya dan ada tangan yang terpelanting tanpa diketahui siapa yang mencantasnya.”

Abu Dawud al-Mazini berkata, “Aku sedang mengejar seorang tentera Musyrikin pada masa itu, tiba-tiba kepalanya sudah ditebas sebelum aku mengayunkan pedangku. Aku yakin ada orang lain yang membunuhnya terlebih dahulu.”

Lalu seorang Ansar datang membawa tawanan bernama al-Abbas bin Abdul Muthallib, al-Abbas berkata, “Demi Allah bukan orang ini yang tadi menawanku, tadi aku di tawan oleh seorang lelaki tinggi yang berwajah tampan dengan menunggang seekor kuda yang gagah. Dan aku tidak pernah melihat dia ditengah-tengah mereka ini.”

Allah SWT menghadiah seekor kuda gagah perkasa kepada Jibrail as untuk menjadi tunggangannya di medan Perang Badar. Kuda ini memiliki kelebihan yang luar biasa berbanding kuda biasa. Dalam peperangan Badar ini, bukan Jibrail as sahaja turut serta malah beribu malaikat lain turut serta berjihad di pihak mukmim. Oleh kerana itu, iblis begitu gementar melihat kejadian itu. 

Dalam Perang Badar ini, Iblis yang menyertai kaum musyrikin dengan menjelma sebagai Suraqah bin Malik bin Jaksyam al-Mudlaji. Dalam perang ini, Suraqah telah mendapati kumpulan para malaikat telah bersama kaum muslimin untuk melawan musuh-musuh mereka. Kaum musyrikin telah cabut lari, dan berpaling tadah, al-Harith bin Hisyam yang memegang orang yang disangka Suraqah telah menendang ke dadanya menyebabkan beliau tersungkur jatuh, kemudian ianya cabut lari, sedang kaum musyrikin melaung: “Ke mana Suraqah? Tidakkah kau mengatakan yang engkau membantu kami dan tidak akan berpisah dari kami?” Jawab Iblis: “Sebenarnya aku telah melihat sesuatu yang kamu tidak melihatnya, aku takut seksaan Allah yang amat pedih itu, Iblis lari dan mencampak dirinya ke dalam laut”.

Qarin? Siapakah Qarin disisi manusia?

qarin, jin, genie, qareen
Gambar Hiasan : Qarin 

Siapakah Qarin? 

Tentu ramai daripada kita telah tahu tentang kewujudan qarin ini tetapi kemungkinan ada yang masih tidak mengetahui tentang Qarin ini. Hakikatnya, begitulah kehendak Allah SWT bahawa setiap manusia yang dilahirkan sehinggalah matinya anak Adam, kita mempunyai satu jin kafir yang menjadi peneman ke mana sahaja kita pergi samada siang mahupun.

Qarin ini akan mengajak kita melakukan kejahatan dan menahan daripada melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Oleh kerana ia terlalu rapat dengan manusia maka ianya digelar Qarin atau Jin pendamping manusia.

Qarin dijadikan Allah sebagai pendamping setiap manusia.Oleh yang demikian, maka Allah mengutuskan pula malaikat yang mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencegah daripada melakukan kejahatan. Maka manusialah pula yang membuat pilihan sama ada mentaati arahan malaikat ataupun jin qarin.

Rasulullah SAW ada bersabda :

مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدً إِلَّا وَمَعَهُ قَرِينُهُ مِنَ الجِنِّ وَقَرِينُهُ مِنَ المَلَائِكَةِ قَالُوا وَإِيَّاكَ يَا رسولَ اللهِ قَالَ وَإِيَّايَ وَلَكِنِّ اللهَ تعالى أَعَانَنِي عليه فَأَسْلَمَ فَلَا يَأْمُرُنِي إِلَّا بِخَيْرٍ

“Setiap kamu ada Qarin daripada bangsa jin, dan juga Qarin daripada bangsa malaikat. Mereka berkata, “Engkau juga ya Rasulullah “ sabdanya “ Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat kuIslamkan dan menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja.” (Abdullah bin Mas’ud RA)

Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping manusia. Boleh dikatakan ianya sebagai “kembar” setiap manusia. Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini pasti ada qarinnya sendiri. Rasulullah SAW sendiri tidak terkecuali. Cuma bezanya, qarin Rasulullah adalah muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir.

Qarin mendorong manusia ke arah kejahatan (gambar hiasan sahaja). Pada umumnya qarin yang kafir ini kerjanya mendorong manusia membuat kejahatan. Sebagai contoh dalam situasi kita hari ini, qarin akan sering membisikkan was-was, melalaikan solat, berasa berat hendak membaca al-Quran, terasa manisnya tatkala melakukan maksiat dan sebagainya. Malah ia akan bekerja sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya daripada membuat ibadah dan kebaikan.

Maka dengan itu, untuk mengimbangi usaha qarin ini lalu Allah utuskan malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat.

Amalan zikir menjadi pendinding manusia daripada gangguan syaitan

Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca “Bismillah” sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyakkan berzikir, membaca al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah.

Sayyidatina Aisyah menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah SAW keluar dari rumahnya (Aisyah), lalu Aisyah berkata:

“Aku merasa cemburu.” tiba-tiba Baginda berpatah balik dan bertanya: “Wahai Aisyah apa yang terjadi, apakah yang menyebabkan engkau cemburu?”

Maka Aisyah berkata: “Bagaimana aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah.”

Sabda Baginda: “Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitan?” Aisyah bertanya lagi : “Apakah aku juga mempunyai syaitan?”

Sabda Baginda: “Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin.” Aisyah bertanya : “Adakah engkau pun ada syaitan ya Rasulullah?”

Jawab Baginda: “Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk Islam.” (Hadis Riwayat Muslim)

Di dalam hadis lain daripada Ibnu Umar RA, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

فُضِّلْتُ عَلَى آدَمَ بِخَصْلَتَيْنِ كَانَ شَيْطَانِي كَافِرًا فَأَعَانَنِي اللهُ عَلَيْهِ حَتَّى أَسْلَمَ وَكَانَ أَزْوَاجِي عَوْنًا لِي وَكَانَ شَيْطَانُ آدَمَ كَافِرًا وَزَوْجَتُهُ عَوْنًا على خَطِيئَتِهِ

“Aku dilebihkan daripada Nabi Adam AS dengan dua perkara, iaitu pertama syaitanku kafir lalu Allah menolong aku sehingga dia Islam. Kedua, para isteriku membantu akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan isterinya membantunya membuat kesalahan.” (Riwayat Baihaqi)

Ibn Muflih al-Muqaddasi pula menceritakan: “Suatu ketika syaitan yang mendampingi orang yang beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan yang megikuti orang kafir itu gemuk.

Maka ditanya mengapa engkau kurus? Jawab syaitan tadi “Bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah dia berzikir, tatkala makan dia ingat Allah, apabila minum pun begitu.” Sebaliknya syaitan yang mengikuti orang kafir itu pula berkata: “Aku sentiasa makan bersama dengannya dan begitu juga minum.”

Saat Qarin Berpisah Dengan Manusia

Seterusnya, Qarin hanya akan berpisah dengan “kembar”nya hanya apabila manusia itu meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh, sedangkan qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang.Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan manusia.

Source: Jambubatumedia

Kisah Malaikat Israfil

Kisah Malaikat Israfil

Malaikat Israfil adalah salah satu di antara empat malaikat yang paling mulia dan bersaiz besar di sisi Allah SWT Ia ditugaskan untuk meniup sebanyak tiga kali tiupan sangkakala pada hari kiamat. Seperti malaikat-malaikat yang lain ia diperbuat dari Nur. Ia berbulu dari kepala hingga kedua telapak kakinya dan mempunyai banyak mulut dan lidah. Jika seluruh air di lautan dan sungai di dunia disiramkan di atas kepalanya, nescaya tidak setitik pun akan jatuh melimpah.

Jumlah sayap malaikat Israfil itu ada empat. Sayapnya yang pertama panjangnya sampai ke barat, sayapnya yang kedua sampai ke timur, yang ketiga boleh menutupi seluruh badannya dan yang keempat menutupi kepalanya. Ia mempunyai seribu tentera malaikat yang serupa dengan kejadiannya.At-Tabrani meriwayatkan dari Ibnu Abbas RA:"Sewaktu Rasulullah SAW bersama-sama dengan malaikat Jibrail tiba-tiba ufuk langit terpecah, maka menghadaplah satu lembaga malaikat tertunduk dan condong ke bumi. 

Berkata malaikat itu: "Hai Muhammad, sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu agar memilih antara menjadi nabinya hamba atau jadi rajanya nabi". Adapun "rajanya nabi" mengerjakan apa yang diwajibkan oleh Allah SWT kepadanya dan tidak melakukan apa yang diharamkan oleh Allah SWT kepadanya. Ia menjalankan pemerintahan atau kerajaannya dan membelanjakan harta negara terhadap hal-hal yang dicintai dan diredhai oleh Allah SWT. 

Mereka menghindari dari sesuatu yang menimbulkan dosa. Nabi yang menjadi raja adalah seperti nabi Sulaiman AS, nabi Daud AS dan lain-lain. Adapun "nabinya hamba" tidak memberikan sesuatu kepada seseorang kecuali dengan perintah Allah SWT. Ia tidak memberikan kepada sesiapa yang dikehendakinya dan tidak menghalangi kepada sesiapa yang mengkehendakinya, dia hanya memberi dan menghalangi atas perintah Allah SWT. 

Rasulullah SAW bersabda: "Jibrail memberi isyarat kepadaku dengan tangannya agar merendah. Maka tahulah aku bahawa itu nasihat untukku, maka aku berkata, "hambanya nabi". Kemudian malaikat itu naik ke langit maka aku berkata, hai Jibrail, aku sungguh ingin bertanya hal ini kepadamu, tapi aku melihat halmu menyusahkan aku untuk mengemukakan pertanyaan itu. Siapakah itu wahai Jibrail? Jibrail menjawab, Itulah dia malaikat Israfil Allah menciptakannya pada hari kejadiannya di hadapannya dengan dua kakinya lurus bersaf, tidak pernah mengangkat hujungnya."Ia tertutup di dalam beberapa lapisan dinding. 

Disebutkan bahawa jarak di antara malaikat Israfil dengan Arasy dilapisi dengan tujuh dinding yang mana satu dinding adalah sejauh lima ratus tahun perjalanan dan jarak malaikat Israfil dengan malaikat Jibrail kira kira tujuh puloh dinding. Imam Ahmad RAH. meriwayatkan dari Abu Said RA, Rasulullah SAW ada menyebutkan tentang malaikat peniup sangkakala, dengan sabdanya: "Disebelah kirinya ada malaikat Jibrail dan disebelah kanannya ada malaikat Mikail"Salah satu tiang Arasy berada di atas pundaknya. Menurut riwayat, Lauhil Mahfuzh itu bergantungan di bawah Arasy dan malaikat Israfil berada di hadapan Lauhil Mahfuzh tersebut. 

Adapun apabila setiap keputusan Allah SWT tercatit di Lauhil Mahfuzh, maka terbukalah dinding-dinding yang menghalanginya dan malaikat Israfil pun melihatnya. Apabila ia adalah tugas malaikat Jibrail, maka malaikat Israfil akan memerintahkan malaikat Jibrail untuk melaksanakanya, begitu juga apabila untuk tugasan-tugasan malaikat Mikail dan malaikat Izrail, ia akan memerintah mereka untuk melaksanakannya.

Malaikat Israfil sentiasa meletakkan terompet sangkakala di mulutnya. Disebutkan bahawa terompet malaikat Israfil itu bercabang empat. Satu cabang diarahkan ke barat, satu ke timur, satu ke bawah bumi dan satu diarah kan ke langit yang ke tujuh. Adapun lingkaran kepala terompet itu selebar langit dan bumi. Di dalamnya terdapat pintu-pintu sebanyak bilangan para arwah. Ada tujuh puluh rumah di dalamnya. Di antaranya rumah arwah para Nabi AS, arwah para manusia, para jin, syaitan, binatang, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain.

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda tentang terompet malaikat Israfil: "Terompet itu adalah sebuah tanduk raksaksa yang terdiri dari cahaya. Besar tiap lingkaran dalam tanduk itu selebar langit dan bumi. Terompet itu akan ditiup tiga kali. Tiupan pertama membuat makhluk takut, tiupan kedua membuat makhluk mati, tiupan ketiga untuk membangkitkan makhluk dari kubur".

Warna malaikat Israfil adalah kuning tua, sedangkan sebab musabab wajahnya menjadi kuning adalah kerana getaran rasa takut kepada Allah SWT yang selalu meliputi malaikat Israfil Sabda Rasulullah SAW: "Bagaimana manusia boleh merasa senang sedangkan malaikat peniup sangkakala telah bersiap sedia meniupnya dan menundukkan keningnya serta memasang telinganya siap menunggu perintah".Wallahu'alam.

Malaikat Mikail


Malaikat Mikail

Malaikat Mikail a.s. adalah salah satu di antara pembesar malaikat yang empat. Ia dicipta oleh Allah s.w.t. selepas malaikat Israfil a.s. dengan selisih kira-kira lima ratus tahun. Dari kepala malaikat Mikail a.s. hingga kedua telapak kakinya berbulu za'faron. Jika seluruh air di lautan dan sungai di muka bumi ini disiramkan di atas kepalanya, nescaya tidak setitikpun akan jatuh melimpah. Di atas setiap bulu-bulunya, terdapat sebanyak satu juta muka.

Setiap muka malaikat Mikail a.s. ini pula mempunyai satu juta mulut dan setiap mulut mempunyai satu juta lidah manakala setiap lidah-lidahnya boleh berbicara satu juta bahasa atau lisan. Setiap satu juta lisan tersebut adalah membaca istighfar pada Allah s.w.t. bagi orang-orang mukmin yang berdosa.

Setiap satu juta muka atau wajahnya mempunyai satu juta mata. Tiap-tiap matanya sentiasa menangis kerana memohon rahmat bagi orang-orang mukmin yang berdosa. Tiap-tiap matanya yang menangis itu mengeluarkan tujuh ribu titisan air mata dan setiap titisan air mata itu Allah s.w.t. ciptakan satu malaikat Karubiyyuun yang serupa dengan kejadian malaikat Mikail a.s. Setiap malaikat-malaikat ini ditugaskan untuk bertasbih pada Allah s.w.t. sehingga hari kiamat.

Di samping bertasbih, para-malaikat Karubiyyuun ini juga berperanan sebagai pembantu bagi malaikat Mikail a.s. dalam menjalankan tugas menyelia angin, membahagikan rezeki pada manusia, tumbuh-tumbuhan juga haiwan-haiwan dan lain-lain di muka bumi ini. Dikatakan setiap satu makhluk yang memerlukan rezeki untuk hidup di dunia ini akan diselia rezekinya oleh satu malaikat Karubiyyuun

Imam Ahmad rah. dengan sanadnya, dari Anas bin Malik r.a., ketika Rasulullah s.a.w. Mikraj ke langit baginda ada bertanya pada malaikat Jibrail a.s.:"Mengapa aku tidak pernah nampak malaikat Mikail tertawa?" Malaikat Jibrail a.s. menjawab: "Malaikat Mikail tidak pernah tertawa semenjak neraka diciptakan"

Malaikat Jibrail

Perihal Malaikat Jibrail 

Malaikat Jibrail adalah salah satu dari para malaikat yang cantik, besar, kuat dan mempunyai kedudukan yang sangat tinggi di sisi Allah SWT Ia ditugaskan sebagai penyampai wahyu kepada para rasul AS. Imam Ahmad RAH dengan sanadnya dari Ibn Mas'ud RA Rasulullah SAW bersabda: "Aku melihat Jibrail di Sidratul Muntaha, dia mempunyai 600 sayap".Setelah Allah SWT mencipta Jibrail dengan bentuk yang cantik, Allah SWT mencipta pula baginya 600 sayap yang panjangnya antara timur dan barat. Dari sayapnya berjatuhan permata dan yakut yang berwarna warni. 

Di antara sayap-sayap itu, terdapat 2 sayap berwarna hijau seperti sayap burung merak. Setelah Jibrail memandang dirinya, ia berkata: "Wahai Tuhanku, adakah Engkau menciptakan makhluk yang lebih baik dari aku?". Allah SWT berfirman: "Tidak". Kemudian Jibrail berdiri serta solat 2 rakaat kerana syukur pada Allah SWT, dan tiap-tiap rakaat lamanya 20,000 tahun. Setalah Jibrail selesai bersolat, Allah SWT pun berfirman: "Wahai Jibrail, kamu telah menyembah Aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak seorangpun yang menyembah Aku seperti kamu. 

Akan tetapi, di akhir zaman nanti akan ada seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, nama Muhammad. Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa. Sekiranya mereka mengerjakan solat 2 rakaat yang hanya sebentar sahaja, mereka dalam keadaan lupa dan serba kurang. Fikiran mereka melayang dan bermacam-macam dan dosa merekapun besar juga. Maka demi kemuliaanKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu lebih Aku sukai dari solat kamu kerana mereka mengerja solat atas perintahKu sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu." 

Kemudian Jibrail berkata: "Ya Tuhanku, apakah yang engkau hadiahkan pada mereka sebagai imbalan ibadah mereka?" Lalu Allah SWT berfirman: "Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal"Malaikat Jibrail mampu terbang dalam keadaan yang sangat pantas. Seperti kalau ada orang bertanyakan sesuatu kemusykilan agama kepada Rasulullah SAW, belumpun selesai pertanyaan itu, malaikat Jibrail telah pun sampai dengan jawapan berupa wahyu dari Allah SWT padahal jarak antara setiap lapisan langit adalah sejauh 500 tahun perjalanan.

Di sebelah kanan sayap malaikat Jibrail terdapat gambar syurga beserta dengan isinya saperti bidadari, istana, pelayan dan sebagainya. Di sebelah kiri sayapnya terdapat gambar neraka dan segala isinya seperti ular, kala jengking, neraka yang bertingkat-tingkat, penjaganya yang terdiri dari malaikat yang garang iaitu malaikat Zabaniah dan sebagainya. Apabila sampai ajal seseorang yang beriman maka malaikat Jibrail akan menebarkan sayapnya yang sebelah kanan sehingga orang sedang nazak itu dapat melihat kedudukannya di dalam syurga. 

Apabila sampai ajal seseorang yang seorang yang munafik maka malaikat Jibrail akan menebarkan sayapnya yang sebelah kiri, maka orang yang sedang nazak itu akan melihat kedudukannya di dalam neraka.Ketika Allah SWT memerintahkan malaikat Jibrail turun untuk memusnahkan kaum nabi Lut AS, dikatakan malaikat Jibrail mampu mengangkat kesemua 7 bandar yang didiami oleh 400,000 orang, haiwan, rumah serta bangunan dan kesemuanya hanya dengan menggunakan hujung satu sayapnya sahaja, lalu diangkat hingga ke permukaan langit, sehinggalah para malaikat yang berada di langit dapat mendengar bunyi kokokan ayam dan lolongan anjing yang turut berada dalam bandar-bandar tersebut. Kemudian malaikat Jibrail membalikkan bandar-bandar tersebut hingga menjadilah bahagian atasnya terlungkup ke bawah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jibrail sentiasa mengharap hendak menjadi manusia kerana tujuh perkara :-

#Sembahyang lima waktu secara berjemaah

#Duduk bersama para ulamak

#Menziariahi orang sakit

#Menghantar jenazah

#Memberi air minum

#Mendamaikan di antara 2 orang yang bermusuh-musuhan

#Memuliakan jiran dan anak-anak yatimmaka bersungguh-sungguhlah kamu dalam perkara tersebut"

Wallahu'alam.
Please Subscribe my youtube channel. Tq.

Translate

CLOSE