Rasulullah lihat pelbagai perkara dahsyat

PENUH dengan iktibar. Itulah yang dapat diterjemahkan daripada peristiwa Israk dan Mikraj yang dilalui pemimpin agung, Nabi Muhammad s.a.w sebagai 'perjalanan' yang penuh dengan pengajaran.

Israk dan Mikraj menyimpan pelbagai rahsia yang membongkar kelebihan terutamanya martabat Rasulullah s.a.w di sisi Allah.

Dalam 'pengembaraan' luar biasa itu, Nabi Muhammad s.a.w menyaksikan banyak perkara dahsyat terutama balasan serta seksaan yang diterima manusia lantaran melakukan kemungkaran di dunia.

Antaranya, Nabi Muhammad s.a.w melihat wanita digantung dengan rambutnya dan otak di kepalanya mendidih kerana mereka tidak mahu melindungi rambutnya daripada dilihat lelaki lain.

Ada pula wanita yang digantung dengan lidahnya dan tangannya dikeluarkan daripada punggung, minyak panas dituangkan ke dalam kerongkong kerana mereka suka menyakiti hati suami.

Baginda turut melihat bagaimana wanita digantung buah dadanya dari arah punggung dan air pokok zakum dituang ke dalam kerongkongnya kerana perempuan itu menyusui anak orang lain tanpa keizinan suaminya.

Manakala ada wanita diikat dua kakinya serta dua tangannya sampai ke ubun dan dibelit beberapa ular dan kala jengking kerana mereka yang boleh solat dan berpuasa tetapi tidak mahu mengerjakannya, tidak berwuduk dan tidak mahu mandi junub.

Terdapat wanita yang memakan daging tubuhnya sendiri manakala di bawahnya ada api yang menyala. Mereka adalah perempuan yang berhias untuk dilihat lelaki lain dan suka menceritakan aib orang lain.

Kemudian, wanita yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka akibat mereka suka memasyhurkan diri sendiri supaya orang melihat akan perhiasannya.

Selain itu, ada wanita yang kepalanya seperti kepala babi dan badannya pula seperti keldai. Mereka adalah wanita yang suka mengadu domba dan sangat suka berdusta.

Ada wanita menyerupai anjing dan beberapa ular serta kala jengking masuk ke mulutnya dan keluar melalui duburnya kerana mereka suka marah kepada suaminya dan memfitnah orang lain.

Begitulah antara seksaan yang menimpa kaum wanita ketika peristiwa Nabi Muhammad s.a.w melakukan Israk dan Mikraj. Ini membuatkan Baginda sedih setiap kali mengenangkan peristiwa itu.

Allah berfirman yang bermaksud: "Maha suci Allah yang memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah al-Israak ayat 1).

Peristiwa yang berlaku pada 27 Rejab berkenaan adalah peristiwa yang membuktikan kehebatan dan kekuasaan Allah.

Bukti paling nyata terhadap kekuasaan Allah adalah Dia berkuasa 'membenarkan' Rasulullah diangkat ke langit untuk bertemu-Nya dalam masa yang singkat.

Ia berlaku setahun sebelum Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah iaitu bersamaan dengan tahun 721 Masihi. Peristiwa berkenaan berlaku ketika Rasulullah dan sahabat berada dalam tekanan kuat daripada golongan Musyrikin Makkah seperti Abu Jahal dan Abu Lahab.

Sebelum Israk dan Mikraj Rasulullah mengalami pembedahan dada yang dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda dicuci dengan air Zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was wasnya.
Selesai pembedahan, bermulalah perjalanan luar biasa Nabi (Israk) dengan menunggang binatang yang bernama Buraq.

Semasa perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa itu, Rasulullah s.a.w diiringi Malaikat Jibrail dan Israfil.

Apabila tiba di tempat tertentu iaitu tempat yang mulia dan bersejarah, Malaikat Jibril mengarahkan Rasulullah bersolat dua rakaat.

Antara tempat berkenaan adalah Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah s.a.w melakukan hijrah, Bukit Tursina, dan Baitul-Laham (tempat Nabi Isa dilahirkan).

Selepas itu, Rasulullah turun ke langit dunia semula seterusnya ke Baitul Maqdis dengan menunggang Buraq pulang ke Makkah pada malam yang sama.

Menurut sarjana, kecepatan Buraq membolehkan Nabi pergi antara dua tempat hanya dengan sekelip mata. Ia menyamai kecepatan cahaya, iaitu 300,000 kilometer sesaat.

Baginda kemudian naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah dengan melalui tujuh lapis langit kemudian kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.

Sebuah hadis Rasulullah yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik katanya: Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Aku didatangi Buraq. Iaitu seekor binatang yang berwarna putih rupanya, panjang (tinggi) lebih besar dari keldai tetapi lebih kecil dari baghal. Ia merendahkan tubuhnya sehinggalah perut buraq mencecah bumi. Baginda bersabda lagi: Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya, ia melangkah kakinya cepatnya sejauh penghabisan mata memandang sehinggalah sampai ke Baitulmuqaddis.

Bagi umat Islam, peristiwa terbabit membawa misi penting iaitu bermulalah kewajipan melaksanakan perintah menunaikan solat.

Ia menjadi permulaan mukjizat Rasulullah yang menjadi salah satu Rukun Islam. Daripada Anas katanya: "Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: ...(Selain dari apa yang telah aku saksikan semasa aku dibawa Israk dan Mikraj pada malam itu), maka Allah fardukan (atasku) dan atas umatku lima puluh sembahyang... lalu aku memohon kepada-Nya (supaya dikurangkan lagi bilangan sembahyang itu yang telah pun dikurangkan sehingga tinggal lima sahaja); maka Allah berfirman yang bermaksud: "Sembahyang fardu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya); keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti." (Hadis riwayat Bukhari).

Baginda akhirnya mendapat keringanan solat fardu daripada 50 kali sehari menjadi lima kali sehari semalam.

Ia menerbitkan keyakinan manusia terhadap kekuasaan Allah dan kebenaran kenabian Muhammad.

Justeru, bulan Rejab adalah di antara bulan yang mulia dalam Islam. Berdasarkan catatan sejarah, pada tahun kesebelas dari kerasulan Nabi Muhammad berada di puncak kesedihan.

Baginda menghadapi dua musibah iaitu kehilangan dua insan yang amat berjasa dan sangat baginda kasihi iaitu wafatnya isterinya yang tercinta, Siti Khadijah. Tahun itu juga dikenali sebagai `Aam al Huzni atau tahun berduka cita.

Kemudian, giliran Abu Talib meninggalkan dunia. Bapa saudaranya itu sanggup berkorban serta melindunginya daripada ancaman orang kafir Quraisy.

Abu Talib adalah individu yang sangat disegani dan di hormati dikalangan bangsa Arab menyebabkan orang kafir Quraisy tidak berani mengganggu Nabi.

Begitu juga dengan kewafatan isteri kesayangannya yang di sifatkan sumber inspirasi dalam perjuangan Rasulullah.

Perunding Motivasi dan penceramah, Mohd Zawawi Yusoh, berkata peristiwa Israk dan Mikraj adalah perjalanan 'mencari' Tuhan.

"Ia peristiwa hebat menuju akhirat. Sebelum Nabi melakukan Israk dan Mikraj, terlebih dahulu hati Baginda dibersihkan.

"Bukan bermakna hati Nabi Muhammad kotor tetapi ia adalah simbolik kerana sebelum apa saja bentuk ibadat kita serahkan kepada Allah ia perlu dimulakan dengan hati yang bersih," katanya.

Beliau berkata, peristiwa itu satu isu yang tidak akan selesai sehingga hari kiamat dan memerlukan umat Islam melakukan perubahan untuk menjadi umat cemerlang.

"Peristiwa yang digambarkan Nabi Muhammad ketika Israk Mikraj adalah perbuatan dan tindakan yang tidak mampu dilakukan manusia biasa.

"Peristiwa itu benar, tepat dan menjangkaui sempadan masa. Ia relevan sehingga ke hari ini di mana berlaku pelbagai salah laku yang membabitkan moral masyarakat Islam seperti rogol, tidak membayar zakat, berebut kuasa, rasuah, zina, curang dan pecah amanah," katanya.

Mohd Zawawi berkata manusia perlu sentiasa mengadakan hubungan dengan Allah sama ada ketika ditimpa kesusahan atau dalam kesenangan.

"Hanya Allah mampu memberikan pertolongan dan menghilangkan segala kesedihan dan kesusahan dalam diri manusia.

"Sebelum Israk, Mikraj Nabi Muhammad ditimpa musibah. Ia memberi pengajaran kepada kita agar sentiasa mendekatkan diri kepada Allah jika diuji dengan musibah," katanya.

Beliau berkata ketika peristiwa Israk Mikraj, Nabi 'dihiburkan' dengan nikmat syurga sehingga Baginda lupa perjalanan yang ditempuhinya pada malam itu.

"Kita perlu sentiasa beringat bahawa tujuan kita hidup di dunia ini tidak akan terhenti di sini saja. Kehidupan yang kekal abadi adalah di akhirat sana yang menjanjikan balasan syurga buat mereka yang beramal soleh.

"Selain itu, Nabi juga mendapat perintah solat secara langsung daripada Allah tanpa melalui perantaraan Malaikat Jibril. Solat adalah amalan yang paling awal dihitung di akhirat kelak. Justeru, ia menunjukkan solat memiliki kelebihan berbanding ibadat lainnya," katanya.

Credit to Mymetro
Please Subscribe my youtube channel. Tq.

Translate

CLOSE