Imam Syafie Ditangkap Dan Dirantai

Imam Syafie Ditangkap Dan Dirantai

Imam Syafie bernama Muhammad bin Idris. Salasilah keturunan beliau adalah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Usman bin Syafie bin Saib bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Keturunan beliau bertemu dengan keturunan Nabi Muhammad SAW pada datuk Nabi Muhammad yang ketiga iaitu Abdul Manaf.



Beliau dilahirkan di Ghuzah nama sebuah kampung yang termasuk daerah Palestin, pada bulan Rejab 150 H atau 767 Masehi. Tempat asal ayah dan bonda beliau ialah di Kota Makkah. Imam Syafie lahir di Palestin kerana ketika itu bondanya pergi ke daerah itu demi keperluan penting. Namun di dalam perjalanan menuju Palestin tersebut ayahnya meninggal dunia, sementara Imam Syafie masih dalam kandungan ibunya. Setelah berumur dua tahun baru Imam Syafie dan ibunya kembali ke Kota Makkah.

Ketika berumur 9 tahun beliau telah hafal Al-Quran 30 juz. Umur 19 tahun telah mengerti isi kitab Al-Muwatha, karangan Imam Malik, tidak lama kemudian Al-Muwatha telah dihafalnya. Kitab Al-Muwatha tersebut berisi hadith-hadith Rasulullah SAW, yang dihimpun oleh Imam Malik.

Kerana kecerdasannya pada umur 15 tahun beliau telah diizinkan memberi fatwa di hadapan masyarakat dan menjawat sebagai guru besar ilmu hadith serta menjadi mufti dalam Masjidil Haram di Makkah.

Ketika berumur 20 tahun beliau pergi belajar ke tempat Imam Malik di Madinah, setelah itu beliau ke Irak, Parsi dan akhirnya kembali ke Madinah. Dalam usia 29 tahun beliau pergi ke Yaman untuk menuntut ilmu pengetahuan.

Tentang ketaatan beliau dalam beribadah kepada Allah diceritakan bahawa setiap malam beliau membagi malam itu kepada tiga bahagian. Sepertiga malam beliau gunakan kewajipan sebagai manusia yang mempunyai keluarga, sepertiga malam untuk solat dan zikir dan sepertiga lagi untuk tidur.

Ketika Imam Syafie di Yaman, beliau diangkat menjadi setiausaha dan penulis istimewa Gabenor di Yaman, sekaligus menjadi guru besar di sana. Kerana beliau termasuk orang pendatang, secara tiba-tiba memangku jawatan yang tinggi, maka ramai orang yang memfitnah beliau.

Ahli sejarah telah menceritakan bahawa waktu sultan Harun Ar-Rasyid sedang marah terhadap kaum Syiah, sebab golongan tersebut berusaha untuk meruntuhkan kekuasaan Abbasiyah, mereka berhasrat mendirikan sebuah kerajaan Alawiyah iaitu keturunan Saidina Ali bin Abi Talib. Kerana itu di mana kaum Syiah berada mereka diburu dan dibunuh.

Suatu kali datang surat baginda Sultan dari Baghdad. Dalam surat yang ditujukan kepada Wali negeri itu diberitahukan supaya semua kaum Syiah ditangkap. Untuk pertama kali yang paling penting adalah para pemimpinnya, jika pekerjaan penangkapan telah selesai semua mereka akan dikirimkan ke Baghdad. Semuanya harus dibelenggu dan dirantai. Imam Syafie juga ditangkap, sebab di dalam surat tersebut bahawa Imam Syafie termasuk dalam senarai para pemimpin Syiah.

Ketika peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadhan, Imam Syafie dibawa ke Baghdad dengan dirantai kedua belah tangannya. Dalam keadaan dibelenggu itu para tahanan disuruh berjalan kaki mulai dari Arab Selatan (Yaman) sampai ke Arab Utara (Baghdad), yang menempuh perjalanan selama dua bulan. Sampai di Baghdad belenggu belum dibuka, yang menyebabkan darah-darah hitam melekat pada rantai-rantai yang mengikat tangan mereka.

Pada suatu malam pengadilan pun dimulai. Para tahanan satu persatu masuk ke dalam bilik pemeriksaan. Setelah mereka ditanya dengan beberapa kalimat, mereka dibunuh dengan memenggal leher tahanan tersebut. Supaya darah yang keluar dari leher yang dipotong itu tidak berserak ia dialas dengan kulit binatang yang diberi nama dengan natha.

Imam Syafie dalam keadaan tenang menunggu giliran, dengan memohon keadilan kepada Allah SWT. Kemudian beliau dipanggil ke hadapan baginda Sultan. Imam Syafie menyerahkan segalanya hanya kepada Allah SWT. Dengan keadaan merangkak kerana kedua belah kaki beliau diikat dengan rantai, Imam Syafie mengadap Sultan. Semua para pembesar memperhatikan beliau.

“Assalamualaika, ya Amirul Mukminin wabarakatuh"
Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak disempurnakan iaitu “Warahmatullah"

“Wa alaikassalam warahmatullah wabarakatuh" Jawab baginda. Kemudian baginda bertanya: “Mengapa engkau mengucap salam dengan ucapan yang tidak diperintahkan oleh sunnah, dan mengapa engkau berani berkata-kata dalam majlis ini sebelum mendapat izin dari saya"

Imam Syafie menjawab: “Tidak saya ucapkan kata “Warahmatullah" kerana rahmat Allah itu terletak dalam hati baginda sendiri". Mendengar kata-kata itu hati baginda jadi lembut. Kemudian Imam Syafie membaca surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud:

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa".

Setelah membaca ayat di atas kemudian Imam Syafie berkata: “Demikianlah Allah telah menepati janjiNya, kerana sekarang baginda telah menjadi khalifah, jawapan salam baginda tadi membuat hati saya menjadi aman". Hati baginda menjadi bertambah lembut. Baginda Harun ar Rashid bertanya kembali: “Kenapa engkau menyebarkan faham Syiah, dan apa alasanmu untuk menolak tuduhan atas dirimu".

“Saya tidak dapat menjawab pertanyaan baginda dengan baik bila saya masih dirantai begini, jika belenggu ini dibuka Insya-Allah saya akan menjawab dengan sempurna". Lalu baginda memerintahkan kepada pengawal untuk membukakan belenggu yang mengikat lmam Syafie itu.

Setelah rantai yang membelenggu kedua kaki dan tangannya itu dibuka, maka Imam Syafie duduk dengan baik kemudian membaca surah Hujarat ayat 6:

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu".

“Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya berita yang sampai kepada baginda itu adalah dusta belaka. Sesungguhnya saya ini menjaga kehormatan Islam. Dan bagindalah yang berhak memegang adab kitab Allah kerana baginda adalah putera bapa saudara Rasulullah SAW iaitu Abbas. Kita sama-sama menghormati keluarga Rasulullah. Maka kalau saya dituduh Syiah kerana saya sayang dan cinta kepada Rasulullah dan keluarganya, maka demi Allah, biarlah umat Islam sedunia ini menyaksikan bahawa saya adalah Syiah. Dan tuan-tuan sendiri tentunya sayang dan cinta kepada keluarga Rasulullah". Demikian jawab Imam Syafie.

Baginda Harun ar Rasyid pun menekurkan kepalanya kemudian ia berkata kepada Imam Syafie: “Mulai hari ini bergembiralah engkau agar lenyaplah perselisihan antara kami dengan kamu, kerana kami harus memelihara dan menghormati pengetahuanmu wahai Imam Syafie".

Demikianlah kehidupan Imam Syafie sebagai ulama besar, yang tidak lepas dari berbagai cubaan serta seksaan dari pihak yang tak mengerti akan hakikat kebenaran yang sesungguhnya. Hanya ketabahan dan keimanan serta pengetahuanlah yang dapat menghadapi setiap cubaan itu sebagai suatu ujian dari Allah SWT yang harus kita hadapi.

Kredit/Sumber: jaipk.perak.gov.my

Latar Belakang Pengasas Mazhab Syafie, Imam Al-Syafie

Latar Belakang Pengasas Mazhab Syafie, Imam Al-Syafie 


Kelahiran Imam Al-Syafie


Pengasas Madzhab Al-Syafie ialah Muhammad bin Idris Al-Syafie. Beliau dilahirkan pada tahun 150 H, pada tahun yang sama dengan kewafatan ulama besar yang hebat iaitu Imam Abu Hanifah (pengasas Madzhab Hanafi). Sampai sebahagian orang mengatakan, “seorang imam telah meninggal dunia dan lahir pula seorang imam yang lain”.

Menurut Dr. Ahmad Nahrawi Abdus Salam, Imam Al-Syafie dilahirkan di Gaza, Palestin. Desa Gaza ini berdekatan dengan sebuah kota yang dikenali sebagai ‘Asqalan. Dan kebanyakan kabilah yang tinggal berhampiran dengan tempat lahir Imam Al-Syafie ini adalah orang-orang Yaman. Pendapat ini turut dibentangkan oleh Prof. Muhammad Abu Zahrah. Seorang pengkaji sejarah, Al-Himawi, berkata, “Pentakwilan ini bagus sekiranya riwayat-riwayat tersebut Sahih.”

Nasab Imam Al-Syafie

Menurut pendapat yang tepat, Imam Al-Syafie berketurunan Quraisy dari jalur keturunan bapanya. Nama lengkap Imam Al-Syafie ialah Muhammad bin Idris bin Al-‘Abbas bin Usman bin Syafi’i bin Al-Sa’ib bin ‘Ubaid bin Abd Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutallib bin Abd Manaf. Nasab Imam Al-Syafie bertemu dengan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam pada Abd Manaf.

Adapun ibu Imam Al-Syafie berasal dari keturunan Al-Azd. Ini adalah berdasarkan riwayat yang sahih kerana Imam Al-Syafie pernah berkata, “Ibuku berasal dari suku Azdi. Nama kunyahnya ialah Habibah Al-Azdiyah.” Tetapi, nama lengkap ibunya tidak dapat diketahui dengan pasti. Apa pun, ibu Imam Al-Syafie seorang yang cergas dan pandai mendidik, memang wajar jika sifat ibunya ini dijadikan tauladan.

Kembara Pertama Imam Al-Syafie

Buat kali pertamanya, Imam Al-Syafie telah dibawa oleh ibunya melakukan perjalanan dari Palestin ke Mekah ketika Imam Al-Syafie berusia 2 tahun. Dan perjalanan kedua Imam Al-Syafie ke Mekah adalah pada usia Imam Al-Syafie 10 tahun. Beginilah sebagaimana yang diterangkan oleh Prof. Muhammad Abu Zahrah.

Tujuan Imam Al-Syafie dibawa ke Mekah adalah untuk mendekatkan dirinya dengan nasab keluarganya. Al-Khatib menulis di dalam kitabnya, Tarikh Baghdad, bahawa Imam Al-Syafie berkata, “Saya dilahirkan di Yaman (berdekatan dengan kabilah Yaman), kemudian ibu saya bimbang nasab saya. Kata ibu saya: Kamu mesti berada di daerah asalmu, sehingga kamu jadi seperti mereka. Ibuku bimbang nasabku akan hilang. Kemudian ibu mempersiapkan diri untuk menuju kota Mekah. Saya tiba di kota Mekah, dan waktu itu usia saya baru 10 tahun. Lalu, ibu mula mengarahkan saya supaya mencintai ilmu pengetahuan.”

Kembara Pertama Imam Al-Syafie

Buat kali pertamanya, Imam Al-Syafie telah dibawa oleh ibunya melakukan perjalanan dari Palestin ke Mekah ketika Imam Al-Syafie berusia 2 tahun. Dan perjalanan kedua Imam Al-Syafie ke Mekah adalah pada usia Imam Al-Syafie 10 tahun. Beginilah sebagaimana yang diterangkan oleh Prof. Muhammad Abu Zahrah.

Tujuan Imam Al-Syafie dibawa ke Mekah adalah untuk mendekatkan dirinya dengan nasab keluarganya. Al-Khatib menulis di dalam kitabnya, Tarikh Baghdad, bahawa Imam Al-Syafie berkata, “Saya dilahirkan di Yaman (berdekatan dengan kabilah Yaman), kemudian ibu saya bimbang nasab saya. Kata ibu saya: Kamu mesti berada di daerah asalmu, sehingga kamu jadi seperti mereka. Ibuku bimbang nasabku akan hilang. Kemudian ibu mempersiapkan diri untuk menuju kota Mekah. Saya tiba di kota Mekah, dan waktu itu usia saya baru 10 tahun. Lalu, ibu mula mengarahkan saya supaya mencintai ilmu pengetahuan.”

Imam Al-Syafie Mendalami Bahasa Arab

Imam Al-Syafie sedar bahawa mustahil seseorang itu dapat memahami makna-makna Al-Qur’an, hukum-hakam dan khazanah rahsianya tanpa menguasai bahasa Arab dengan baik. Ini kerana Al-Qur’an diturunkan dengan bahasa Arab yang fasih.

Kata Imam Al-Syafie, “Saya meninggalkan kota Mekah dan tinggal di pedalaman Arab Badwi bersama suku Hudzail. Saya mempelajari adat istiadat mereka. Ini kerana Hudzail adalah suku yang paling fasih berbahasa Arab. Ketika kembali ke Mekah, saya sering membuat syair, menceritakan kisah-kisah sastera dan menghuraikan riwayat-riwayat yang saya perolehi”.

Imam Al-Syafie melanjutkan ceritanya tentang suku Hudzail, “Suku Hudzail itu seperti jin dari kalangan manusia. Mereka mampu melihat kesalahan bahasa Arab yang orang lain menganggapnya sudah benar.”

Kemampuan Imam Al-Syafie dalam bidang bahasa dan kesusasteraan arab memang diakui oleh para ulama. Al-Ashma’i, seorang yang terkenal dalam dunia kesusasteraan arab, berkata, “Saya telah mendapat pembetulan tentang syair-syair Hudzail dari seorang pemuda Quraisy yang bernama Muhammad bin Idris (Al-Syafie).”

Prof. Abdul Halim Al-Jundi pernah mengkaji dan menjelaskan mengenai gaya bahasa yang sering digunakan oleh Imam Al-Syafie di dalam kitabnya, Al-Imam Al-Syafie, iaitu:
(1) Kefasihan bahasanya.
(2) Kata-kata yang ringkas.
(3) Menyentuh perasaan pembaca.

Imam Al-Syafie Jaguh Sukan

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam memang menggalakkan umat Islam supaya memilih sukan memanah dan berkuda. Sukan ini jugalah yang menjadi kebiasaan Imam Al-Syafie dalam kehidupannya.

Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam:
وارموا واركبوا وأن ترموا أحب إلى من أن تركبوا

Ertinya: “Panah dan berkudalah! Memanah lebih aku sukai buat kalian dari berkuda.” Hadis riwayat Abu Daud, Al-Nasa’i dan Al-Hakim. Al-Hakim berkata: Sanad hadis ini Sahih.

Imam Al-Syafie berkata, “Hobiku adalah memanah dan mencari ilmu. Kehebatanku dalam memanah 10 persepuluh. Jika ada 10 sasaran memanah, maka sepuluh itu jugalah yang terpanah (dengan tepat).”

Di masa lain Imam Al-Syafie berkata pula, “Saya suka sekali memanah, sehingga seorang tabib memberi peringatan kepadaku agar tidak berjemur kepanasan, kerana bimbang paru-paru rosak.”

Al-Rabi’ bin Sulaiman, salah seorang murid Imam Al-Syafie bercerita, “Dulu Imam Al-Syafie sangat pandai berkuda dan benar-benar berani. Ketika kudanya sedang makan, dia menjentik telinganya dan tiba-tiba kuda itu melompat di atas punggungnya.”

Demikianlah kehandalan Imam Al-Syafie dalam sukan memanah dan berkuda.

Imam Al-Syafie Hafaz Hadis

Keinginan Imam Al-Syafie terhadap ilmu-ilmu Islam semakin membara. Setelah menghafal Al-Qur’an dan mendalami bahasa Arab, beliau cenderung pula untuk mendalami ilmu Hadis. Memang beginilah ‘Adab Mencapai Mujtahid’ yang sebenar.

Di dalam kitab Al-Muhaddits Al-Fashil ada kisah yang hampir sama dengan kisah Imam Al-Syafie. Hafs bin Ghiyats berkata: Saya datang kepada al-A’masy dan berkata kepadanya: Riwayatkanlah hadis kepadaku! Al-A’masy bertanya: Apakah engkau sudah menghafal Al-Qur’an? Saya menjawab: Belum. Lalu dia berkata kepadaku: Pergilah hafalkan al-Qur’an! Kemudian (jika sudah), barulah aku bersedia meriwayatkan hadis kepadamu. Hafs berkata: Kemudian saya pergi untuk menghafal al-Qur’an. Lalu, saya datang semula kepadanya. Dia meminta saya untuk membaca al-Qur’an dan saya pun membaca (di hadapannya). Setelah itu, barulah dia meriwayatkan hadis kepadaku.

Imam Al-Syafie telah mendapat khabar tentang seorang ulama besar Madinah yang hebat dalam bidang hadis, iaitu Imam Malik. Majlis pengajian Imam Malik dikenali sebagai Madrasah Ahli Hadis. Lantas, Imam Al-Syafie segera meminjam kitab Al-Muwattha’ susunan Imam Malik dari seorang kenalan di kota Mekah. Kitab itu dibaca dan dihafalkan olehnya. Usianya ketika telah menghafal kitab Al-Muwattha’ ialah 13 tahun. Kemudian, Imam Al-Syafie berangkat pergi berjumpa dengan Imam Malik di Madinah serta berguru dengannya sampai kewafatan Imam Malik.

Imam Al-Syafie berhasil menimba ilmu hadis dan ilmu fiqh daripada Imam Malik. Dan mazhab Imam Malik inilah yang juga merupakan mazhab Imam Al-Syafie sebelum beliau berlepas diri dari mazhab Imam Malik. Demikian ini telah diterangkan oleh Prof. Muhammad Abu Zahrah di dalam kitabnya, Imam Al-Syafie.

Imam Al-Syafie turut dikenali sebagai “Pembela Hadis atau Nashir al-Hadis” di kota Mekah. Seorang anak murid Imam Al-Syafie yang bernama Ahmad bin Hanbal pernah ditanya tentang status Imam Al-Syafie sama ada beliau seorang ahli hadis ataupun bukan? Lalu, Amirul Mukminin fil Hadis, Imam Ahmad bin Hanbal berkata, “Ya, demi Allah, beliau adalah ‘Ahli Hadis’.”

Pernah imam bagi sekalian para imam yakni Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah (Imam Ibnu Khuzaimah) ditanya tentang perihal Imam Al-Syafie, “Apakah anda mengetahui tentang adanya hadis sahih yang belum sempat ditulis oleh Al-Syafie? Maka jawabnya, “Tidak”.

Imam Al-Syafie Pakar Fiqh

Diriwayatkan dari Al-Humaidi bahawa Imam Al-Syafie berkata, “Ketika saya sedang berjalan untuk mempelajari ilmu nahwu dan kesusasteraan Arab, tiba-tiba saya bertemu dengan Muslim bin Khalid Az-Zanji. Ia bertanya: Wahai anak muda, kamu berasal dari mana? Dari keturunan orang Mekah, jawabku. Dari kabilah apa?, tanya beliau lagi. Kabilah Abd Manaf, jawabku. Lalu ia pun berkata: Bagus, bagus. Sungguh Allah telah memuliakanmu di dunia dan di akhirat. Andai kamu gunakan kecerdasanmu untuk mempelajari fiqh, maka hal itu lebih baik bagimu.”

Sufyan bin ‘Uyainah (guru Imam Al-Syafie) berkata, “Kenabian merupakan anugerah Allah yang paling mulia. Anugerah yang paling mulia setelah kenabian adalah ilmu dan fiqh.”

Peristiwa dan kata-kata guru Imam Al-Syafie tersebut telah mendorong beliau untuk menekuni fiqh secara serius. Kemudian beliau berguru dengan ramai fuqaha’ yang terkenal pada zamannya seperti Muslim bin Khalid Az-Zanji, Sufyan bin ‘Uyainah, Imam Malik bin Anas dan lain-lain.

Sebenarnya kefakihan Imam Al-Syafie sudah terserlah sejak usianya masih muda remaja. Oleh sebab itu, beliau telah diizinkan oleh Muslim bin Khalid Az-Zanji (Mufti Mekah) supaya memberikan fatwa ketika umurnya 15 tahun.

Pada kesempatan yang lain, Imam Al-Syafie menjelaskan tentang syarat-syarat untuk menjadi mufti (pemberi fatwa), katanya, “Tidak diperkenankan bagi siapa pun untuk memberikan fatwa mengenai agama Allah, kecuali:

(1) Orang yang benar-benar menguasai Kitab Allah (Al-Qur’an).
(2) Mengetahui nasikh dan mansukh.
(3) Mengetahui Muhkam dan Mutasyabih.
(4) Mengetahui Takwil-Tanzil.
(5) Mengetahui Makkiyah-Madaniyah.
(6) Benar-benar mengerti maksud suatu ayat.
(7) Menguasai hadis Rasulullah SAW.
(8) Ilmu-ilmu hadis lainnya.
(9) Bersikap adil.
(10) Mengetahui perbezaan pendapat para ulama.

Jika kesemua syarat ini telah dipenuhi, maka seseorang diperkenankan untuk memberikan fatwa mengenai hukum halal atau haram. Tetapi, jika persyaratannya masih kurang, ia tidak diperbolehkan memberi fatwa.” Seperti inilah yang dirakamkan dari kitab I’lamul Muwaqqiin karya Ibnu al-Qayyim.

Prof. Muhammad Abu Zahrah di dalam kitabnya Usul al-Fiqh telah menjelaskan bahawa Imam Al-Syafie adalah merupakan pendahulu yang menulis dan membukukan penulisan tentang Usul al-Fiqh secara sistematik yang dikenali sebagai kitab ‘Al-Risalah’. Ini menunjukkan kefakihan Imam Al-Syafie terhadap dasar-dasar ilmu fiqh dan segala cabangnya.

Imam Al-Syafie Pakar Debat

Imam Al-Syafie sangat pandai berdebat. Kehebatannnya berdebat dan mengalahkan pihak lawan telah masyhur diketahui ramai. Sebagaimana yang diceritakan oleh Yunus bin Abdul A’la bahawa sekiranya Imam Al-Syafie sudah terlibat dalam perdebatan, maka dia akan terus mendebat lawannya sampai dapat membungkamnya.
Pernah Imam Al-Syafie bercerita, “Saya terlibat dalam perdebatan yang sengit bersama Muhammad bin Al-Hasan. Lalu, sedikit demi sedikit saya mulai meruntuhkan argumen-argumennya.”

Imam Muhammad bin Al-Hasan: Seseorang tidak boleh berdoa di dalam solatnya kecuali doa yang redaksinya berasal dari Al-Qur’an atau redaksinya sama dengan redaksi Al-Qur’an.

Imam Al-Syafie: Bolehkah seseorang berdoa seperti ini, “Ya Allah, kurniakanlah aku makanan mentimun, bawang merah dan bawang putih” atau “Kurniakanlah aku rezeki berupa makanan-makanan tersebut”, atau Keluarkanlah ia dari bumiku?”

Imam Al-Hasan: Tidak.

Imam Al-Syafie: Bukankah doa seperti itu memang terdapat di dalam Al-Qur’an? Jika orang yang bersolat hanya boleh berdoa dengan doa yang terdapat di dalam Al-Qur’an maka redaksi doa tadi ada di dalam Al-Qur’an. Tetapi sekiranya kamu melarang doa yang bukan dari Al-Qur’an, kenapa kamu melarang doa tertentu dan membolehkan doa tertentu?

Imam Al-Hasan: Bagaimana pula pendapatmu?

Imam Al-Syafie: Setiap redaksi doa yang diperbolehkan untuk dibaca selain dalam solat maka doa tersebut boleh dibaca ketika solat, bahkan disunatkan kerana solat merupakan media yang dapat mempercepat dikabulkannya doa seseorang. Di samping itu, solat juga bererti bacaan dan doa. Dalam solat, seseorang tidak boleh berkata-kata seperti perkataan yang biasa diucapkan selain pada waktu solat.

______________________***_____________________

Imam Al-Syafie juga pernah berdebat dengan Imam Ahmad bin Hanbal tentang masalah orang yang meninggalkan solat.

Imam Al-Syafie: Hai Ahmad, apakah kamu menganggap orang yang meninggalkan solat itu kafir?

Imam Ahmad: Ya.

Imam Al-Syafie: Jika jadi kafir maka bila pula ia menjadi Muslim?

Imam Ahmad: Apabila orang itu mengucap dua kalimah syahadah.

Imam Al-Syafie: Bukankah orang itu masih meyakini kalimah syahadah dan tidak mengingkarinya?

Imam Ahmad: Ia boleh dianggap Muslim jika solat.

Imam Syafie: Solatnya orang kafir tidak sah dan seseorang tidak boleh disebut Muslim hanya dengan solat sahaja.

Maka, Imam Ahmad pun terdiam dan perdebatan berakhir.

______________________***_____________________

Tujuan Imam Al-Syafie berdebat bukanlah untuk menyalahkan lawannya tetapi tujuan sebenar beliau adalah untuk mencapai kebenaran melalui perdebatan, tanpa mengira sama ada kebenaran itu akan memihak kepadanya atau kepada lawannya.

Romantik Imam Al-Syafie

Imam Al-Syafie telah berkahwin dengan seorang wanita yang bernama Humaidah binti Nafi’ bin ‘Uyainah bin Amr bin Usman bin Affan. Pada ketika itu, usianya 30 tahun. Pernikahan tersebut berlangsung setelah tragedi kewafatan guru beliau, Imam Malik bin Anas. Disamping itu, Imam Al-Syafie juga telah menikahi seorang budak perempuan (hamba).

Hasil pernikahan beliau dengan wanita yang berketurunan Usman ini, dianugerahkan oleh Allah seorang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Anak lelakinya yang sulung itu bernama Abu Usman Muhammad selaku hakim di kota Aleppo. Manakala dua puterinya bernama Fatimah dan Zainab. Adapun pernikahan denga budak perempuan (hamba), Imam Al-Syafie hanya dikurniakan seorang anak yang diberi nama Al-Hasan bin Muhammad bin Idris yang meninggal ketika masih kecil.

Ibnu Khillikan menuturkan bahawa Imam Al-Syafie berkata, “Saya menikahi wanita yang berketurunan Quraisy dan sering saya candakan (senda gurau) dengan bait syair:”

“Cinta bertepuk sebelah tangan adalah musibah”

Lalu isterinya menjawab:

“Wajahnya berpaling darimu. Namun, kamu tidak dapat melupakannya.”

Guru-guru Imam Al-Syafie

Imam Fakhr al-Razi telah menyebutkan guru-guru Imam Al-Syafie yang sangat banyak jumlahnya. “Kami hanya akan menyebutkan guru-gurunya yang masyhur dari kalangan mereka yang pandai dalam bidang fiqh dan fatwa. Dalam karya ayahku Dhiya’uddin Umar bin Al-Hasan menyebutkan jumlahnya 19 orang guru di antaranya 5 orang berasal dari Mekah, 6 orang berasal dari Madinah, 4 orang berasal dari Yaman dan 4 orang berasal dari Irak.”

Dari Mekah:
1. Sufyan bin ‘Uyainah. [Mufti Mekah]
2. Muslim bin Khalid Az-Zanji. [Mufti Mekah]
3. Sa’id bin Salim Al-Qaddah.
4. Daud bin Abd Rahman Al-‘Aththar. [Banyak meriwayatkan hadis]
5. Abdul Majid bin Abdul Aziz bin Abu Daud. [Banyak meriwayatkan hadis]

Dari Madinah:
1. Malik bin Anas. [Mufti Madinah]
2. Ibrahim bin Sa’d Al-Ansari. [Banyak meriwayatkan hadis]
3. Abdul Aziz Muhammad Ad-Darawardi. [Banyak meriwayatkan hadis]
4. Ibrahim bin Yahya Al-Aslami. [Banyak meriwayatkan hadis]
5. Muhammad bin Sa’id (sebenarnya Ismail, bukan Sa’id) bin Abu Fudaik. [Banyak meriwayatkan hadis]
6. Abdullah bin Nafi’ ash-Shaigh. [Murid Senior Imam Malik & sahabat Ibnu Abi Dz’ib]

Dari Yaman:
1. Muthraf bin Mazin.
2. Hisyam bin Yusuf. [Kadi kota Shan’a]
3. Umar bin Abi Salamah. [Sahabat Al-Auza’i]
4. Yahya bin Hasan. [Sahabat Al-Laits bin Saad]

Dari Iraq:
1. Waki’ bin Al-Jarrah. -Kufah.
2. Abu Usamah Hamad bin Usamah. -Kufah.
3. Ismail bin ‘Aliah. -Basrah.
4. Abdul Wahab bin Abdul Majid. -Basrah.

Murid-murid Imam Al-Syafie

Imam Al-Syafie mempunyai murid yang sangat ramai. Pernah digambarkan oleh Ibrahim al-Harbi tentang ramai orang yang mahu belajar kepada Imam Al-Syafie di saat beliau memperkenalkan fiqh barunya di Masjid Jami’ al-Gharbi, Baghdad, Irak:

“Ketika Al-Syafie datang ke Baghdad, di Masjid Jami’ Al-Gharbi terdapat 20 majlis fiqh rasional. Tetapi setelah Al-Syafie mula memperkenalkan fiqhnya pada hari Jumaat, majlis fiqh rasional tersebut bubar dan hanya tinggal 3 majlis saja, kerana majlis-majlis yang lain pindah ke majlis Al-Syafie.”

Berikut adalah sebahagian murid-murid Imam Al-Syafie.

Di Mekah:

1. Abu Bakar Al-Humaidi. [Mufti dan Ahli Hadis Mekah]
2. Abu Ishaq Ibrahim bin Muhammad Al-‘Abbasi. [Ahli Hadis Mekah]
3. Abu Bakar Muhammad bin Idris. [Sahabat Imam AL-Syafie]
4. Abu Al-Walid Musa bin Abu Al-Jarud. [Ahli Fiqh Mekah]

Di Baghdad:

1. Abu al-Hasan Ash-Shabbah Az-Za’farani. [Ahli Fiqh, Ahli Hadis Baghdad]
2. Abu Ali Al-Husain bin Ali al-Karabisi. [Ahli Fiqh, Ahli Hadis Baghdad]
3. Abu Tsaur Al-Kalbi. [Ahli Fiqh Mesir]
4. Abu Abdurrahman Ahmad bin Muhammad bin Yahya Al-Asy’ari. [Ahli Fiqh, Ahli Hadis Baghdad]
5. Ahmad bin Hanbal. [Mujtahid Mutlak, Pengasas madzhab Hanbali, Amirul Mukminin fil Hadis]

Di Mesir:

1. Harmalah bin Yahya Bin Harmalah. [Ahli Hadis Mesir]
2. Abu Ya’qub Yusuf bin Yahya Al-Buwaithi. [Imam Besar, Ahli Fiqh Mesir]
3. Abu Ibrahim Ismail bin Yahya Al-Muzani. [Imam Besar. Ahli Fiqh Mesir]
4. Muhammad bin Abdullah bin Abdul Hakam.[Ahli Fiqh Mesir]
5. Al-Rabi’ bin Sulaiman bin Daud Al-Jaizi. [Ahli Fiqh Mesir]
6. Al-Rabi’ bin Sulaiman Al-Muradi. [Ahli Fiqh, Muadzdzin di Masjid Jami’ Fusthath- Jami’ Amr bin Al-Ash.]

Pengembaraan Imam Al-Syafie

Sejak kecil Imam Al-Syafie telah mengembara dari Palestin ke Mekah. Tujuan perjalanan ini adalah untuk merapatkan Imam Al-Syafie dengan keturunannya. Selepas selesai menghafaz Al-Qur’an, maka Imam Al-Syafie bercadang pula untuk mendalami ilmu bahasa dan kesusasteraan Arab bersama suku Hudzail.

Setelah mendalami ilmi bahasa dan kesusasteraan, Imam Al-Syafie terdengar khabar yang menceritakan tentang keunggulan Imam Malik. Lalu, Imam Al-Syafie pergi bertemu dengan Imam Malik di Madinah untuk belajar kepadanya ilmu hadis dan fiqh.

Imam Al-Syafie menyedari bahawa dia juga perlu mula bekerja demi masa depannya dan bagi membiayai hidup keluarga. Demikian mendorongnya menerima tawaran bekerja sebagai pegawai di Yaman. Tetapi, sebahagian orang yang tidak senang dengan Imam Al-Syafie lantas memfitnahnya dan menuduhnya sebagai Syiah. Imam Al-Syafie kemudian dibawa ke Iraq untuk dihukum di depan Khalifah Harun Al-Rasyid. Mujurlah dengan kurniaan Allah, kepetahan lidah Imam Al-Syafie dapat menyelamatkan nyawanya dari dihukum bunuh. Setelah itu Imam Al-Syafie telah pulang semula ke Mekah dan mengajar di sana.

Sepuluh tahun Imam Al-Syafie telah meninggalkan Iraq, lalu beliau berhasrat untuk hadir semula ke Iraq bagi memperkenalkan fiqh barunya. Di sana, di Masjid Jami’ Fusthath, Imam Al-Syafie telah didatangi ramai orang yang hendak mempelajari fiqhnya. Beliau juga sempat menerbitkan kitabnya yang berjudul ‘Al-Hujjah’. Setelah berada 2 tahun di Iraq, lalu Imam Al-Syafie kembali semula ke Mekah.

Namun, tidak lama kemudian Imam Al-Syafie berkunjung sekali lagi ke Iraq buat kali ketiganya pada tahun 198 H. Kunjungan ini hanya sebentar sekadar beberapa bulan sahaja. Ini kerana beliau berhasrat untuk berkunjung ke Mesir. Beliau mula berkunjung ke Mesir pada tahun 198 H dan sampai ke Mesir pada tahun 199 H. Inilah pendapat yang dekat dengan kebenaran.

Tujuan Imam Al-Syafie berkunjung ke Mesir adalah untuk meneruskan perjalanan mencari ilmu pengetahuan serta menyebarkan fiqhnya. Ketika berada di sana, beliau telah mengubah banyak pendapat lamanya kepada pendapat yang baru setelah mengetahui dalil-dalil yang baru dan menemui kekuatan serta kelemahan dalil-dalil. Akhirnya, beliau berjaya menyusun penulisan baru yang dinamakannya “Al-Umm”.

Kewafatan Imam Al-Syafie

Ketekunan Imam Al-Syafie dalam ilmu pengetahuan membuatkan dirinya kurang rehat dan terkena penyakit yang amat berat. Muhammad bin Abdullah bin Abdul Hakam menceritakan kondisi Imam Al-Syafie yang menderita kesakitan, “Al-Syafie menderita penyakit buasir yang sangat parah dan membimbangkan. Ia menyedari sakitnya itu kerana kurang penjagaan dan tidak mempedulikan pantang-larang.”

Akhirnya, Imam Al-Syafie wafat di Mesir pada malam Jumaat di hari akhir bulan Rejab, 204 H selepas selesai melaksanakan solat Maghrib. Al-Rabi’ pula bercerita, “Dalam tidurku, saya bermimpi Nabi Adam AS meninggal dunia. Lalu, saya tertanya-tanya tentang erti mimpi itu.” Ternyata selang beberapa ketika, ia mendapat khabar akan kewafatan Al-Syafie.

Menurut Imam Ibn al-Qayyim di dalam kitab Al-Ruh, mereka yang mati pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat tidak akan menghadapi seksaan kubur. Semoga Allah selalu merahmati Imam Al-Syafie.

Karya Imam Al-Syafie

Sebuah atsar ada menyebut, “Ikatlah ilmu dengan tulisan.” Atsar ini memberikan motivasi kepada para ulama’ supaya mereka mencatatkan segala macam pengetahuan yang mereka miliki pada tulisan agar dapat diwariskan kepada generasi seterusnya. Sememangnya penulisan merupakan salah satu medium penyampaian ilmu pengetahuan.

Imam Al-Syafie sangat rajin menulis. Beliau sering menulis karya apabila diminta oleh para ahli ilmu. Pernah ahli-ahli hadis meminta Imam Al-Syafie mengarang penulisan khusus bagi mengkritik mazhab ahli ra’yi dan membela mazhab ahli hadis. Lalu, Imam Al-Syafie pun menunaikan permintaan mereka itu.

Di antara karya Imam Al-Syafie ialah:

1. Ikhtilaf al-Hadits. Kitab ini dikarang oleh Imam Al-Syafie bagi membahaskan mengenai kehujahan hadis ahad secara khusus dan membela sunnah secara umum.

2. Al-Hujjah. Ini merupakan karya Imam Al-Syafie ketika beliau mengajar di Baghdad, Iraq. Kitab inilah yang membentangkan pendapat lama (Qaul Qodim) Imam Al-Syafie dalam ilmu fiqh.

3. Al-Mabsuth. Kitab ini merupakan karya Imam Al-Syafie yang menghidangkan beberapa tambahan dalam ilmu fiqh.

4. Al-Umm. Ini merupakan karya Imam Al-Syafie ketika beliau mengajar di Mesir. Kitab inilah yang membentangkan pendapat baru (Qaul Jadid) Imam Al-Syafie dalam ilmu fiqh.

5. Al-Risalah. Kitab ini ditulis oleh Imam Al-Syafie atas permintaan Abdurrahman bin Mahdi. Inilah karya Imam Al-Syafie yang membahaskan mengenai ilmu usul al-fiqh.

Bibliografi:

1. Al-Syafie karya Prof. Muhammad Abu Zahrah.
2. Al-Imam Al-Syafie fi Madzhabihil Qadim wal Jadid karya Dr. Ahmad Nahrawi Abdus Salam


Kredit/Sumber: demiislam.wordpress.com

#kisahnabi
#alkisahnabi
Please Subscribe my youtube channel. Tq.

Translate

CLOSE