Home » , , » Kisah Qarun dan Nabi Musa

Kisah Qarun dan Nabi Musa

qarun, nabi musa, musa, emas, harta
Gambar Hiasan: Emas salah satu daripada harta kekayaan Qarun

Kisah Qarun dan Nabi Musa

Qarun (Bahasa Arab قارون ) adalah seorang dari umat Nabi Musa AS dan mempunyai pertalian kekeluargaan dengan baginda. Dia merupakan salah seorang sepupu Nabi Musa, berasal dari Bani Israel. Qarun disebut dalam Al-Quran sebanyak empat kali, dua kali di surah Al-Qasas, satu kali di surah Al-'Ankabut dan satu kali di surah Al-Mu’min.

Qarun ialah anak dari Yashar adik kandung Imran ayah Musa. Baik Musa mahupun Qarun masih berketurunan Yaqub, kerana keduanya merupakan cucu dari Quhas putra Lewi, Lewi bersaudara dengan Yusuf anak dari Yaqub, hanya berlainan ibu. Salasilah lengkapnya adalah Qarun bin Yashar bin Qahit/ Quhas bin Lewi bin Yaqub bin Ishaq bin Ibrahim.

Awal kehidupan Qarun sangatlah miskin dan memiliki banyak anak. Sehingga pada suatu hari dia meminta Nabi Musa untuk mendoakannya kepada Allah supaya diberikan harta kekayaan dan permintaan tersebut dimakmulkan oleh Allah. Dikisahkan pula dalam Al-Qur'an dia juga sering mengambil harta dari Bani Israel yang lain dan dia memiliki ribuan gudang harta melimpah ruah, penuh berisikan emas dan perak.

Harta Qarun yang Melimpah Ruah

Qarun dikurniakan oleh Allah SWT rezeki dan harta kekayaan yang tidak ternilai banyaknya. Dia hidup mewah, selalu beruntung dalam usahanya mengumpulkan kekayaan, sehingga hartabendanya bertimbun-timbun sehinggakan para pembawa kunci hartanya tidak berdaya membawa atau memikul kunci-kunci peti khazanahnya kerana terlalu banyak dan berat.

Qarun hidup mewah dan terkenal di dalam masyarakatnya. Segala-gala tentangnya adalah luar biasa dan lain dari yang lain. Mahligai-mahligai tempat tinggalnya, pakaiannya sehari-hari, pelayan-pelayannya serta hamba-hamba sahayanya melebihi keperluannya. Namun begitu, dia masih merasa belum puas dengan kekayaan yang dimilikinya dan sentiasa berusaha untuk menambahkan hartanya, sifat manusia yang haloba yang tidak pernah puas dengan apa yang sudah dicapai. Jika ia sudah memiliki segantang emas ia ingin memperolehi segantang yang kedua dan demikianlah seterusnya.

Sebagaimana halnya dengan kebanyakan orang-orang kaya yang telah dimabukkan oleh harta bendanya, Qarun tidak sedikit pun merasa bahawa dia mempunyai kewajiban terhadap fakir miskin dengan harta kekayaannya itu. Dalam hidupnya, ia hanya memikirkan kesenangan dan kesejahteraan peribadinya, memikirkan bagaimana ia dapat menambahkan lagi kekayaannya yang sudah melimpah ruah itu.

Qarun telah dinasihatkan oleh pemimpin-pemimpin kaumnya agar menyumbangkan sebahagian daripada kekayaannya bagi menolong fakir miskin dan orang-orang yang tidak berpakaian dan kelaparan. Beliau telah diperingatkan bahawa kekayaan yang diperolehi itu adalah kurniaan dari Tuhan semata-mata yang wajib disyukuri dengan melakukan amal kebajikan terhadap sesama manusia dan meringankan penderitaan fakir miskin dan orang-orang yang ditimpa musibah. Diperingatkan kepadanya bahawa Allah SWT yang telah memberinya rezeki yang banyak itu, dapat pula menarik semula nikmat kesenangan apabila kewajipannya terhadap masyarakat diabaikan.

Nasihat yang baik dan peringatan yang jujur oleh pemimpin-pemimpin kaumnya itu tidak diendahkan oleh Qarun, malah tidak mendapat tempat di dalam hatinya. Bahkan ia merasa bahawa kekayaannya menjadikannya pemberi nasihat dan bukan penerima nasihat. Orang ramai harus tunduk kepadanya, mematuhi perintahnya, mengiakan kata-katanya serta membenarkan segala tindak tanduknya.

Qarun Mula Angkuh dan Sombong 

Qarun menyombongkan diri dengan mengatakan kepada orang-orang yang memberikan nasihat bahawa kekayaan yang beliau miliki adalah semata-mata hasil jerih payahnya dan hasil kecekapan dan kepandaiannya berusaha dan bukan merupakan kurniaan atau pemberian dari sesiapapun. Oleh itu, ia bebas menggunakan harta kekayaannya semahunya dan tidak merasa terikat oleh kewajipan sosial untuk membantu golongan yang memerlukan. Sebagai tentangan bagi para orang yang menasihatinya, Qarun makin meningkatkan cara hidup mewahnya dan sengaja menunjuk-nunjuk kekayaannya dengan berlebih-lebihan.

Apabila ia keluar, ia mengenakan pakaian dan perhiasan yang bergemerlapan, membawa pembantu yang ramai dari kebiasaannya dan menunggang kuda-kuda yang dihiasi dengan indah. Kemewahan yang ditonjolkan itu, menjadikan ramai orang iri hati terhadapnya terutama mereka yang masih lemah imannya. 

Mereka berbisik-bisik di antara sesama mereka, mengeluh dengan berkata: “Mengapa kami tidak diberi rezeki dan kenikmatan seperti yang telah diberikan kepada Qarun? Alangkah mujurnya nasib Qarun dan alangkah bahagianya dia dalam hidupnya di dunia ini! Dan mengapa Tuhan melimpahkan kekayaan yang besar itu kepada Qarun yang tidak mempunyai rasa belas kasihan terhadap orang-orang yang melarat dan sengsara, orang-orang yang fakir dan miskin yang memerlukan pertolongan berupa pakaian mahupun makanan. Dimanakah letak keadilan Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih itu?” 

Qarun yang tidak mempedulikan nasihat agar bersedekah akhirnya didatangi oleh Nabi Musa AS yang menyampaikan kepadanya bahawa Allah SWT telah mewahyukan perintah berzakat bagi tiap-tiap orang yang kaya dan berada.

Diterangkan oleh Nabi Musa AS kepadanya bahawa di dalam harta kekayaan, ada bahagian yang telah ditentukan oleh Tuhan sebagai hak fakir miskin yang wajib diserahkan kepada mereka. Qarun merasa jengkel untuk menerima perintah wajib berzakat itu dan menyatakan keraguan dan kesangsian terhadap Nabi Musa AS. Ia berkata: “Hai Musa, kami telah membantumu dan menyokongmu dalam dakwahmu kepada agama barumu. Kami telah menuruti segala perintahmu dan mendengarkan segala kata-katamu. 

Sikap kami yang lunak itu terhadap dirimu telah memberanikan engkau bartindak lebih jauh dari apa yang sepatutnya dan mulailah engkau ingin meraih harta benda kami. Engkau rupanya ingin juga menguasai harta kekayaan kami setelah kami serahkan kepadamu hati dan fikiran kami sebulat-bulatnya. Dengan perintah wajib zakatmu ini engkau telah membuka topengmu dan menunjukkan dustamu dan bahawa engkau hanya seorang pendusta dan ahli sihir belaka.”

Tuduhan Qarun yang ingin melepaskan dirinya dari kewajipan berzakat itu ditolak oleh Nabi Musa AS yang menegaskan bahawa kewajipan berzakat itu mesti dilaksanakan kerana ia adalah perintah Allah yang wajib ditaati. Qarun tidak dapat mengelakkan diri dari kewajiban zakat itu setelah berbantah dan berdebat dengan Musa, maka ia menyerah dan ditentukan berapa besar zakat yang harus dikeluarkan dari harta kekayaannya.

Setelah tiba di kediamannya, ia menghitung-hitung bahagian yang harus dizakatkan dari harta miliknya. Qarun merasa jumlah yang harus dizakatkan terlalu besar dan merasa sayang untuk mengeluarkan dari khazanahnya sejumlah wang tanpa memperolehi sesuatu keuntungan dan laba sebagai pulangan. Akhirnya Qarun mengambil keputusan untuk tidak mengeluarkan zakat walau apapun yang akan terjadi akibat tindakannya itu. Untuk menguatkan pemboikotannya terhadap kewajiban mengeluarkan zakat, Qarun menyebarkan fitnah terhadap Nabi Musa AS dengan mengajak orang ramai agar menentang perintah mengeluarkan zakat sebagaimana diperintahkan oleh Nabi Musa AS.

Tipu Daya Qarun Terhadap Nabi Musa

Ia menyebarkan fitnah seolah-olah Nabi Musa AS dengan dakwahnya dan penyiaran agama barunya bertujuan ingin memperkayakan diri dan bahawa perintah zakatnya itu adalah merupakan cara perampasan yang halus terhadap milik-milik para pengikutnya. Lebih jahat lagi untuk menjatuhkan Nabi Musa AS dan kewibawaannya, Qarun berpakat dengan seorang wanita agar mengaku di depan umum bahawa ia telah melakukan perbuatan zina dengan Nabi Musa AS. Akan tetapi Allah SWT tidak rela RasulNya difitnah oleh tuduhan palsu yang diaturkan oleh Qarun itu. Maka digerakkanlah hati wanita tersebut untuk menyatakan keadaan yang sebenar dan bahawa apa yang ia tuduhkan kepada Nabi Musa AS adalah fitnah Qarun semata-mata dan bahawasanya Nabi Musa AS adalah bersih dari perbuatan yang dituduh itu.

Nyatalah bagi Nabi Musa AS bahawa Qarun berniat tidak baik dan tidak dapat diharapkan untuk menjadi pengikut yang soleh yang mematuhi perintah Allah terutama perintah wajib zakat bahkan ia dapat merosakkan akhlak dan iman para pengikut Musa dengan sikap dan cara hidupnya yang berlebih-lebihan. Tambahan pula, Qarun sentiasa berusaha untuk merosakkan kewibawaan Nabi Musa AS dengan melontarkan fitnah serta berbagai hasutan. 


Qarun dan hartanya tenggelam ditelan bumi

Akhirnya, Nabi Musa berdoa kepada Allah SWT agar menurunkan azab ke atas diri Qarun yang sombong dan bongkak itu, agar menjadi pengajaran bagi kaumnya yang sudah mulai goyah imannya melihat kenikmatan yang berlimpah-limpah yang telah Allah kurniakan kepada Qarun. Maka dengan izin Allah SWT, maka terjadilah tanah runtuh yang dasyat di atas mana terletak bangunan yang mewah tempat tinggal Qarun dan gedung-gedung harta kekayaannya. Terbenamlah ketika itu juga Qarun hidup-hidup beserta semua harta kekayaan yang menjadi kebanggaannya.

Peristiwa yang menimpa Qarun dan harta kekayaannya itu menjadi contoh bagi pengikut-pengikut Nabi Musa AS serta ubat rohani bagi mereka yang iri hati dan menginginkan kenikmatan dan kemewahan hidup sebagaimana yang telah dimiliki oleh Qarun. Mereka berkata seraya bersyukur kepada Allah: “Sekiranya Allah telah melimpahkan rahmat dan kurniaNya, nescaya kami dibenamkan pula seperti Qarun yang selalu kami inginkan kedudukan duniawinya. Sesungguhnya kami telah tersesat ketika kami beriri hati dan menginginkan kekayaannya yang membawa binasa baginya. Aduhai benar-benar tidaklah beruntung orang-orang yang mengingkari nikmat Allah.”

Nota:

Cerita di atas terdapat dalam surah “Qashash” ayat 76 sehingga 82 dan surah “Al-Ahzab” ayat 69. Wallahua'lam.

Peringatan! Informasi di blog ini dipetik daripada pelbagai sumber untuk bahan bacaan kepada pembaca kami dan tidak boleh dijadikan sebagai bahan rujukan utama. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang masalah atau kemudaratan hasil daripada bacaan di blog ini Terima kasih..

0 comments:

Post a Comment