Detik-Detik Rasulullah S.A.W Dijemput Sakaratul Maut


Detik-Detik Rasulullah S.A.W Dijemput Sakaratul Maut

Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan Rasul-Nya. Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap.

Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan kutbah;
“Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertaqwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara pada kalian, Al Qur’an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku.”

Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba. “Rasulullah akan meninggalkan kita semua,” keluh hati semua sahabat kala itu. Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia.

Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Di saat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu. Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. “Bolehkah saya masuk?” tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, “Maafkanlah, ayahku sedang demam,” kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.

Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, “Siapakah itu wahai anakku?” “Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya,” tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

“Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malakul maut,” kata Rasulullah. Fatimah pun menahan ledakan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggillah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut roh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

“Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?” Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah. “Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti rohmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu,” kata Jibril.

Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan. “Engkau tidak senang mendengar khabar ini?” Tanya Jibril lagi. “Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?” “Jangan khuatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: ‘Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya,” kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan roh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. “Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini.” Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka. “Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?” Tanya Rasulullah pada Malaikat Penghantar Wahyu itu. “Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal,” kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi. “Ya Allah, dahsyat rasa maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.” Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan-akan hendak membisikkan sesuatu. Ali segera mendekatkan telinganya, “Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku” – “Peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.”

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan, “Ummatii, ummatii, ummatiii” – “Umatku, umatku, umatku…” Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu.

Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Allahumma solli ‘ala Muhammad wa baarik wa salim ‘alaihi… Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.

Umar Amanah Menjaga Harta Baitulmal


Umar Amanah Menjaga Harta Baitulmal

UMAR al-Khattab adalah khalifah Islam yang kedua. Pada ketika itu pusat pemerintahan berada di kota Madinah. Umar adalah khalifah yang sangat disegani, bertanggungjawab dan amanah pada tugasnya. Segala arahan yang dikeluarkannya adalah satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan jujur dan ikhlas termasuk oleh ahli keluarganya terlebih dahulu.

Tidak ada pengecualian kerana Umar amat teliti dengan segala suruhan Allah dan Nabi Muhammad. Terdapat kisah bagaimana semasa Umar sedang mengira dan membahagikan wang baitulmal, tiba-tiba anak perempuannya datang mengambil satu dirham wang itu.

"Saya jumpa wang. Ini wang saya. Saya ada wang sekarang," kata anak perempuan Umar sambil terlompat-lompat kerana gembira mendapat wang satu dinar. Seperti kanak-kanak lain, anak perempuan Umar itu memang tidak mengerti bahawa wang itu bukan milik ayahnya. Walaupun ayahnya adalah pemerintah pada masa itu, tidak bermakna anaknya dapat boleh mengambil wang baitulmal sesuka hati.

Wang itu diberikan kepada orang yang berhak menerimanya. Sudah menjadi tanggungjawab Umar membahagikan wang baitulmal itu kepada individu-individu yang berhak menerimanya. Umar menyuruh anak perempuannya menyerahkan kembali wang itu.

"Tolong berikan ayah wang itu kembali," kata Umar kepada anak perempuannya itu.

"Kembalikan wang itu," katanya lagi.

"Tidak mahu. Saya yang jumpa wang ini. Wang ini milik saya," kata anak perempuannya sambil berlari-lari anak.

Bagi Umar, sekiranya anaknya mengambil wang itu, bermakna beliau sendiri tidak bersifat amanah pada wang baitulmal itu. Khalifah Umar tidak mahu melanggar perintah Allah. Beliau juga tidak mahu menjadi pengkhianat kepada negara yang diperintahnya itu. Umar pun mengejar anaknya yang sedang menuju ke rumahnya. Anaknya menjadi takut melihat ayahnya mengejarnya. Lalu anak perempuannya menangis teresak-esak.

"Baik saya masukkan wang ini ke dalam mulut saya. Untung-untung ayah tidak dapat mengambil wang ini," bisik anak perempuannya itu. Anak perempuannya memasukkan wang satu dirham itu ke dalam mulutnya. Puas Umar memujuk anaknya.

"Kembalikan wang itu, wahai puteri ayah," pujuk Umar kepada anaknya itu.

Anaknya masih berdegil. Tanpa berlengah, Umar terpaksa memasukkan jarinya ke dalam mulut anaknya itu.

"Maafkan ayah kerana terpaksa mengorek mulut kamu bagi mendapatkan semula wang baitulmal ini," kata Umar kepada anak perempuannya itu.

Umar mengorek wang itu dengan jarinya. Wang itu berjaya dikeluarkan. Kemudian Umar berkata kepada anak perempuannya itu: "Maafkan ayah. Wang ini bukan kamu yang punya. Wang ini milik baitulmal." Anak perempuannya masih menangis, sementara ibunya memujuk anaknya itu. Orang lain yang berada di baitulmal turut melihat kejadian itu. Mereka sangat kagum dengan sikap Umar yang tegas.

Selepas berjaya mendapatkan wang satu dirham itu, Umar kembali ke baitulmal dan meletakkan semula wang itu ke tempat asalnya. Kemudian Umar berkata kepada orang Islam yang melihat kejadian itu: "Harta baitulmal bukan milik saya atau keluarga saya. Harta dan wang Baitulmal adalah milik orang Islam yang berhak menerimanya."

Peristiwa itu menjadi contoh teladan kepada semua masyarakat Islam. Ketegasan dan keadilan Umar dalam melaksanakan kepimpinannya, menjadikan beliau lebih dihormati oleh orang lain.
Please Subscribe my youtube channel. Tq.

Translate

CLOSE