Home » , , , , » Rasulullah difitnah sebab kahwini Zainab

Rasulullah difitnah sebab kahwini Zainab

APABILA Rasulullah SAW tidak segera mengahwini Zainab binti Jahsy sebagaimana diperintahkan Allah kerana bimbang timbul cemuhan masyarakat kerana mengahwini bekas isteri anak angkatnya sendiri, Allah menurunkan satu lagi wahyu buat baginda.

Firman Allah yang bermaksud: Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: "Jangan ceraikan isterimu itu dan bertakwalah kepada Allah", sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintah-Nya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku. (al-Ahzab: 37)

Apabila Rasulullah menerima wahyu itu, baginda perlu memberitahunya kepada Zainab agar wanita itu mengetahui maksud sebenar di sebalik perkahwinan yang bakal berlangsung.

Akhirnya mereka pun berkahwin setelah Zainab tamat idah dari perceraiannya dengan Zaid bin Harithah, anak angkat Rasulullah.

Dikatakan Zainab sangat gembira kerana merasakan perkahwinan dengan Rasulullah itu sangat istimewa.

Beliau dikatakan berkata kepada Rasulullah: "Rasulullah, bahawa aku (perkahwinan) sangat berbeza dengan isteri-isterimu yang lain. Mereka dikahwinkan oleh wali-wali mereka seperti ayah, saudara lelaki atau sanak keluarga. Sementara aku, Allahlah yang mengahwinkan aku denganmu."

Namun seperti yang dijangka, apabila baginda mengahwini Zainab apa yang dikhuatiri akhirnya terjadi. Masyarakat mula bercakap mengenainya.

Berita baginda mengahwini janda anak angkatnya sendiri tersebar di seluruh pelosok dan Kota Madinah itu sendiri.

Sedangkan hikmah di sebalik perkahwinan itu semata-mata bagi menghapuskan tradisi Arab jahiliah sebelum ini yang menganggap anak angkat mempunyai taraf seperti anak kandung.

Bukan sahaja tidak boleh dibin atau dibintikan dengan bapa angkat bahkan bagi menunjukkan bahawa anak angkat benar-benar berbeza keadaannya dengan anak kandung, bekas isteri mereka boleh dikahwini oleh bapa angkat.

Bekas isteri kepada anak angkat tidak termasuk dalam senarai calon isteri yang haram dinikahi dalam Islam sebagai mana ditetapkan oleh Allah dalam surah an-Nisa' ayat 23-24.

Namun, perkahwinan Rasulullah dengan Zainab tetap diputarbelitkan oleh para musuh Islam dari dahulu sehinggalah kini.

Walaupun telah jelas sebab musabab dan hikmah di sebalik perkahwinan itu, namun Rasulullah tetap dituduh dan difitnah.

Sesetengahnya mencipta kisah perkahwinan Rasulullah itu dengan menokok tambah cerita daripada peristiwa yang sebenarnya berlaku.

Antaranya, dikatakan selang beberapa hari selepas terjadinya perkahwinan antara Zaid dengan Zainab, Rasulullah ke rumah Zaid untuk mengunjungi anak angkat baginda itu. Kebetulan Zaid tidak ada di rumah pada masa itu, yang ada hanyalah isterinya, Zainab seorang diri.

Zainab dikatakan memberanikan diri bersemuka dengan Rasulullah dan berkata: "Zaid tidak ada di rumah, Ya Rasulullah! Silalah masuk dahulu!"

Namun Rasulullah pun memalingkan muka dengan cepat kerana adalah lebih baik lagi baginda beredar daripada menerima ajakan dari Zainab.

Akan tetapi secara tiba-tiba, angin bertiup agak kencang sehingga menyingkap hijab yang menutup wajah Zainab.

Maka dengan secara tidak sengaja, maka ternampaklah akan rupa paras Zainab yang menyebabkan baginda terpukau dan terpikat dengan kecantikan Zainab itu.

Namun baginda terus mengucapkan: "Maha Suci Allah yang mengawal hati!" berulang-ulang kali sehingga dapat didengari sendiri oleh Zainab.

Maka tahulah Zainab bahawa Rasulullah sudah jatuh hati terhadapnya.

Selepas itu Zaid pun pulang ke rumah lalu diceritakan oleh Zainab kepada Zaid akan kehadiran Rasulullah dan termasuk juga mengenai baginda yang kononnya sudah jatuh hati terhadapnya.

Mendengarkan itu dengan keadaan yang sangat marah Zaid pun segera menemui Rasulullah lalu berterus terang dengan baginda.

"Ya Rasulullah! Benarlah bagai dikatakan bahawa Zainab itu memang panjang lidahnya dan banyak mulutnya.

"Oleh itu saya hendak menceraikannya!"

Namun Rasulullah menasihatkan Zaid supaya bersabar dengan tingkah laku Zainab itu.

"Saya tidak tahan lagi dengannya, dia sangat suka bercakap yang bukan-bukan ya Rasulullah," kata Zaid.

"Sekiranya begitu, ceraikanlah Zainab itu kalau itu jalan terbaik yang mampu kita lakukan," kata baginda.

Sesudah itu, Zainab pun diceraikan oleh Zaid. Selang beberapa lama kemudian, Rasulullah pun meminang Zainab untuk diri baginda.

Akhirnya terjadilah pernikahan antara Zainab dan Rasulullah yang kononnya tidak ada kena mengena langsung dengan soal menghapuskan adat lama. Tetapi disebabkan Rasulullah sendiri dikatakan telah terpikat dengan Zainab.

Peringatan! Informasi di blog ini dipetik daripada pelbagai sumber untuk bahan bacaan kepada pembaca kami dan tidak boleh dijadikan sebagai bahan rujukan utama. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang masalah atau kemudaratan hasil daripada bacaan di blog ini Terima kasih..

0 comments:

Post a Comment