Home » » Zakaria tak henti berdoa

Zakaria tak henti berdoa

NABI Zakaria adalah bapa Nabi Yahya, putera tunggalnya yang lahir selepas baginda mencapai usia 90 tahun. Isterinya Hanna adalah ibu saudara Maryam.

Zakaria mendapat anak yang akan menjadi pewarisnya. Siang dan malam dia tidak henti berdoa kepada Allah dikurniakan seorang putera yang akan dapat meneruskan tugasnya memimpin Bani Israel. Dia bimbang kerana tiada anak penyambung keturunannya. Selain itu, dia bimbang kaumnya akan kehilangan pemimpin dan akan kembali kepada cara hidup mereka yang penuh dengan mungkar dan kemaksiatan.

Bahkan mereka akan mengubah syariat Musa dengan menambah atau mengurang isi kitab Taurat sesuka hati. Setiap hari Nabi Zakaria ke mihrab besar bagi melakukan solat dan menjenguk Maryam yang diserahkan kepada mihrab oleh ibunya sesuai dengan nazarnya ketika masih dalam kandungan. Dan, Zakaria ditugaskan mengawasi Maryam. Tugas itu diterima Baginda melalui undian pengurus mihrab ketika menerima Maryam sebagai bayi. Peristiwa menakjubkan itu terjadi ketika Zakaria ke mihrab seperti biasa. Dia melihat Maryam bersolat di sudut mihrab sehingga tidak menghiraukan bapa saudaranya. Zakaria melihat di depan Maryam pelbagai jenis buah-buahan musim panas. Bertanya Nabi Zakaria dalam hatinya, dari mana datangnya buah-buahan musim panas itu padahal mereka masih dalam musim sejuk. Selesai anak saudaranya bersolat, baginda menegur: "Wahai Maryam, dari manakah engkau dapat ini semua?" Maryam menjawab: "Ini adalah pemberian Allah yang aku dapat tanpa aku mencari dan meminta. Pada waktu pagi ketika matahari terbit aku dapati rezeki ini di depan mataku, demikian pula bila matahari terbenam di waktu senja. Mengapa bapa saudaranya merasa hairan dan takjub? Bukankah Allah berkuasa memberikan rezekinya kepada siapa yang Dia kehendaki tanpa perhitungan?" Maryam adalah anak tunggal dari Imran seorang daripada ulama Bani Israel. Ibunya saudara ipar dari Nabi Zakaria adalah seorang perempuan yang tidak mempunyai anak sejak bersuamikan Imran.

Dia berasa sunyi hidup tanpa anak lalu mengharapkan keturunan untuk menjadi pengikat kuat dalam kehidupan suami isteri.

Apabila melihat wanita mengandung atau burung memberi makan kepada anaknya, dia cemburu. Tahun demi tahun berlalu, usia makin hari makin lanjut, namun keinginan tetap tinggal keinginan. Selepas segala usahanya gagal, isteri Imran itu mengakui hanya Allah satu-satunya yang dapat mengkabulkan permintaannya walaupun usianya lanjut. Maka, dia bertekad berharap kepada Allah dengan bersujud siang dan malam dengan penuh khusyuk. Dia bernazar kepada Allah apabila permohonannya dikabulkan dia akan menyerahkan anaknya ke Baitulmaqdis untuk menjadi penjaga dan memelihara rumah suci itu.

Harapan isteri Imran tidak sia-sia kerana Allah menerima permohonannya dan mempersembahkan doanya sesuai dengan apa yang disuratkan dalam takdir-Nya bahawa suami isteri itu akan dikurniakan seorang nabi besar. Tanda permulaan kehamilan yang dirasakan setiap perempuan yang mengandung mulai nampak pada isteri Imran yang lama kelamaan merasa gerakan janin dalam perutnya yang makin membesar. Alangkah bahagia isteri yang sedang hamil itu, impiannya akan menjadi kenyataan dan kesunyian rumah tangganya akan diserikan apabila lahirnya seorang bayi. Dia dan suami merancang apa yang akan diberikan kepada bayi yang akan lahir itu. Suasana suram yang selalu menyelubungi rumah tangga Imran bertukar riang gembira. Wajah suami isteri itu berseri-seri dengan mereka sungguh bahagia. Imran sangat mencintai dan menyayangi isterinya dan berharap dapat bersama ketika isterinya bersalin.

Allah Maha berkuasa suaminya Imran pergi mengadap Ilahi. Tinggallah isteri seorang diri dalam keadaan hamil. Rasa sedih ditinggalkan suami yang disayangi. Segala persiapan menyambut kedatangan bayi dilakukan dengan sempurna maka lahirlah dari kandungan ibunya. Agak kecewa si ibu selepas mengetahui bayi yang lahir itu seorang puteri sedangkan dia menanti seorang putera. Dengan nada kecewa dengan menghadapkan wajahnya ke atas: "Wahai Tuhanku, aku melahirkan seorang puteri, sedangkan aku bernazar menyerahkan seorang putera yang lebih layak menjadi penjaga Baitulmaqdis. Allah akan mendidik puterinya itu dengan pendidikan yang baik dan akan menjadikan Zakaria, iparnya dan bapa saudara Maryam sebagai penjaganya. Demikianlah tatkala Maryam diserahkan ibunya kepada pengurus Baitulmaqdis, masing-masing berebut ingin ditunjuk sebagai wali yang bertanggungjawab atas pengawasan dan pemeliharaan Maryam. Kerana tidak ada yang mahu mengalah, maka terpaksalah diundi di antara mereka yang akhirnya undian jatuh kepada Zakaria sebagaimana dijanjikan Allah kepada ibunya.

Tindakan pertama Zakaria ialah menjauhkan Maryam dari keramaian sekeliling dan pengunjung yang tiada henti-hentinya datang ingin melihatnya. Zakaria amat bangga mendapat undian itu. Baginda mencurahkan cinta dan kasih sayangnya sepenuhnya kepada Maryam apatah lagi baginda tidak mempunyai anak.

Rasa cinta dan kasih sayang Zakaria terhadap Maryam semakin bertambah selepas satu peristiwa yang menandakan Maryam bukan gadis biasa, tetapi adalah wanita pilihan Allah untuk yang berperanan besar kemudian hari.

Pada suatu hari ketika Zakaria datang mengunjungi Maryam, dia mendapati wanita itu di mihrabnya berzikir dan bersujud kepada Allah. Dia terperanjat ketika pandangan matanya menangkap hidangan makanan berupa buah-buahan musim panas di depan Maryam yang lagi bersujud. Demikianlah Allah memberikan tanda pertamanya sebagai mukjizat bagi Maryam, gadis suci, yang dipersiapkan oleh-Nya melahirkan seorang nabi besar iaitu Isa.

Peringatan! Informasi di blog ini dipetik daripada pelbagai sumber untuk bahan bacaan kepada pembaca kami dan tidak boleh dijadikan sebagai bahan rujukan utama. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang masalah atau kemudaratan hasil daripada bacaan di blog ini Terima kasih..

0 comments:

Post a Comment