Home » , , , » Nabi Daud mempunyai suara yang merdu

Nabi Daud mempunyai suara yang merdu

Nabi Daud mempunyai suara yang merdu

Makan Nabi Daud di Jerusalem, Israel 
NABI Daud adalah anak bongsu daripada 13 bersaudara. Ayahnya bernama Yisya. Baginda adalah generasi ke-13 daripada keturunan Nabi Ibrahim.

Baginda berasal dari keluarga Bani Israel. Mereka bermukim di Baitullaham yang menjadi kota kelahiran Nabi Isa. Ketika dewasa, Daud dan dua kakaknya ikut berperang melawan pasukan Jalut dari Palestin yang menjajah Bani Israel.

Selepas mengalahkan Jalut, Daud dinikahkan oleh Raja Talut dengan Mikyal, puterinya. Mikyal sangat setia kepada Daud. Raja Talut, yang sebelumnya berniat membunuh Daud, akhirnya meninggalkan mahkota kerajaannya. Daud dinobatkan menjadi raja Bani Israel ketika berusia 20-an tahun. Dia kemudian menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu kota kerajaannya. Ketika berusia 40 tahun, Daud menerima risalah kenabian. 

Allah memberinya kitab Zabur dan beberapa mukjizat. Nabi Daud memerintah Bani Israel kira-kira 40 tahun dan dianugerahi usia 100 tahun enam bulan. Diceritakan, suatu ketika Talut ke medan perang bersama pasukannya. Daud yang baru berusia sembilan tahun ketika itu ikut mengangkat senjata bersama kedua-dua kakaknya. Di tengah perjalanan, pasukan Talut menghadapi berbagai ujian. Kebanyakan anggota pasukan Talut tidak sanggup menjalani ujian itu. Pada awalnya, pasukannya berjumlah 80,000 orang (riwayat lain menyatakan seramai 303,313 orang).

Kemudian bilangan menyusut menjadi 319 (riwayat lain 313). Meskipun demikian, Talut tetap maju melawan Jalut. Kedua-dua pasukan bertemu dan terjadilah perang satu lawan satu. Daud mendapat giliran. Dia berani melawan Jalut, pemimpin pasukan lawan. Melihat susuk kecil Daud, Jalut menggertak: "Aku tidak suka membunuh anak kecil." Enggan mengaku kalah, Daud menyahut: "Aku suka membunuhmu." Serangan Daud ternyata mampu mengalahkan, bahkan membunuh Jalut. Dengan demikian, pasukan Talut mendapat kemenangan. Kepahlawanan Daud meniti di bibir kalangan Bani Israel. Suatu ketika Allah mengutus seorang pemimpin agama, Samuel ke tengah Bani Israel. Berkat kepemimpinannya, Bani Israel bersatu kembali, namun mereka tidak memiliki seorang pemimpin yang mampu menghimpun kekuatan. 

Samuel menerima petunjuk daripada Allah untuk memilih Talut menjadi raja dan pemimpin perang Bani Israel, padahal dia belum mengenal Talut. Tiba-tiba Talut menemui Samuel, ketika dia sedang mencari ternakannya yang hilang. Mereka berdua menemui bangsa Israel. Di hadapan mereka, Samuel menegaskan bahawa Talut adalah raja dan pemimpin Bani Israel. Bagaimanapun, bukan semua yang patuh kepada Talut kerana dia hanya seorang petani dan penternak yang miskin dari desa. Kebanyakan menghormati Talut sebagai raja pertama Israel dan memintanya menjadi pemimpin untuk melawan pasukan Jalut dan bangsa Palestin. 

Sebelum Talut diangkat sebagai pemimpin, Bani Israel dipimpin hakim selama 356 tahun. Mereka melupakan ajaran Nabi Musa dan tidak pernah lagi membuka tabut iaitu peti pemberian Allah yang berisi kitab Taurat. Diceritakan juga Nabi Daud dikurniakan suara yang sangat merdu. Ketika mendengar Daud melagukan ayat kitab Zabur, orang dan jin yang sakit menjadi sembuh, burung terbang mendekat, angin menjadi tenang, gunung serta burung pun bertasbih kepada Allah.

Daud turut dikurniakan beberapa mukjizat oleh Allah iaitu berkemampuan melembutkan besi dengan tangannya tanpa api.

Daud juga dikurniakan ilmu pengetahuan dan kepandaian untuk menghakimi suatu perkara secara bijaksana. Banyak ajaran Nabi Musa yang ditaati oleh Bani Israel. Salah satu antaranya adalah larangan berdagang dan melaksanakan hal duniawi pada Sabtu. Nabi Daud mempertahankan larangan itu bagi seluruh Bani Israel. Daud meminta bangsa Israel menyucikan hari Sabtu, tetapi ada yang mengabaikannya. Pada satu hari Sabtu, pasar menjadi sepi. Ikan berenang bebas di permukaan air dekat desa Ailat di tepi Laut Merah. Nelayan Ailat belum pernah melihat ikan sebanyak itu pada hari lain. 

Mereka menggunakan kesempatan sebaik-baiknya dengan menangkap ikan. Nabi Daud berdoa kepada Allah agar mereka diberi ganjaran dengan seksa dan azab yang setimpal. Doa itu dikabulkan Allah lalu terjadilah gempa bumi dahsyat yang membinasakan mereka yang membangkang serta mengabaikan hari Sabtu. Talut dan pengikutnya terus mengejar Daud. Tetapi Daud mengetahuinya, lalu mengutus mata-mata untuk mengintai tentara Talut. Utusan itu melaporkan Talut bersama tenteranya sedang tidur nyenyak di sebuah lembah. Daud menggunakan kesempatan itu dan menyusup ke persembunyian Talut.

Kemudian memotong baju Raja (kisah lain menyebutkan 'mengambil lembing raja). Daud tidak jemu mengingatkan Talut bahawa pengawalnya tidak akan mampu menyelamatkannya apabila Allah hendak mencabut nyawanya.

Peringatan itu menyedarkan Talut. Dia menanggalkan mahkotanya, lalu pergi ke luar kota. Di sana ia mengisi hidupnya dengan taubat hingga akhir hayatnya (sekitar 1010 SM). Setelah Talut meninggalkan tahtanya, Daud dinobatkan rakyat menjadi raja Israel. Daud memerintah selama 40 tahun (1010 SM - 970 SM). 

Kredit/Sumber: Harian metro

Peringatan! Informasi di blog ini dipetik daripada pelbagai sumber untuk bahan bacaan kepada pembaca kami dan tidak boleh dijadikan sebagai bahan rujukan utama. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang masalah atau kemudaratan hasil daripada bacaan di blog ini Terima kasih..

0 comments:

Post a Comment