Home » » Kisah Nabi Shuib

Kisah Nabi Shuib



NABI Shuib adalah keturunan Nabi Luth daripada pihak anak perempuannya. Baginda diutuskan Allah ke negeri Madyan yang penduduknya ingkar kepada Allah serta mengamalkan pergaulan hidup jauh daripada batasan agama.

Mereka merampas harta orang lain secara haram, menipu dan berbohong. Kaum Madyan ­diutuskan oleh Allah seorang Rasul iaitu Nabi Shuib.

Baginda adalah bangsa Arab yang tinggal di sebuah daerah bernama Ma’an di pinggir negeri Syam. Mereka terdiri daripada masyarakat kafir yang tidak mengenali Tuhan Yang Maha Esa.

Mereka menyembah ‘Aikah’ iaitu padang pasir yang ditumbuhi beberapa jenis pohon dan tanaman.

Nabi Shuib mengajak mereka meninggalkan penyembahan itu semua kerana ia tidak bermanfaat dan baginda menyeru mereka agar menyembah dan sujud kepada Allah Yang Maha Esa.

Cara hidup dan adat istiadat mereka terpesong daripada ajaran agama dan pengajaran nabi-nabi sebelum Shuib.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan kepada Madyan (Kami utus) saudara mereka Shuib. Dia berkata: ‘Hai kaumku! Sembahlah Allah kerana tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Sesungguhnya datang kepada kamu satu keterangan dari ­Tuhan kamu. Lantaran itu cukup­kanlah sukatan dan timbangan dan janganlah kamu kurangkan (dari) manusia akan hak-hak mereka dan janganlah kamu berbuat kebinasaan di bumi. Yang demikian itu baik buat kamu jika kamu orang yang beriman.’” (Surah al-A’raf ayat 85)

Seruan Nabi Shuib kepada kaumnya sedikit pun tidak dihiraukan, malah beranggapan bahawa kepercayaan mereka itu adalah yang benar sedangkan Nabi Shuib dianggap sebagai seorang yang menimbulkan huru-hara dan pergaduhan.

Namun Nabi Shuib tidak berputus asa, malah terus bersemangat mengajar dan mendidik mereka. Nabi Shuib mengingat­kan mereka bahawa apabila mereka tidak mahu sedar dan kembali kepada jalan benar mengikuti ajaran dan perintah Allah yang dibawanya, nescaya Allah akan menarik nikmat dan kurniaan-Nya kepada mereka.

Bahkan menurunkan azabnya ke atas mereka di dunia selain seksa dan azab menanti mereka kelak di akhirat.

Allah Maha Kuasa dan berkenan menerima permohonan Nabi Shuib maka diturunkan kepada ke atas mereka udara yang sangat panas lalu ­mengeringkan tekak kerana dahaga.

Ia tidak dapat dihilangkan dengan air selain membakar kulit yang tidak dapat diubati walaupun berteduh di bawah atap rumah atau pokok.

Ketika berada dalam situasi itu mereka mencari perlindungan daripada panas terik mentari itu. Tiba-tiba mereka ternampak di atas kepala mereka awan hitam yang tebal.

Semua berlari bertempiaran dengan harapan ingin berteduh di bawahnya. Namun ketika berada di bawah gumpalan awan hitam itu dalam keadaan bersesak-sesak itu jatuhlah ke atas mereka percikan api dari awan hitam itu dan diiringi ­dengan panahan petir serta guruh yang dahsyat.

Sementara itu, bumi di bawah mereka bergoyang sekuatnya menjadikan mereka jatuh ­bertimbun antara satu dan lain.

Demikian seksaan Allah yang datang secara tiba-tiba tanpa mengira malam ataupun siang, pagi atau petang.

Sebelum seksaan Allah datang kepada mereka, Nabi Shuib berserta orang yang ­beriman berhijrah ke negeri lain.

Ketika itu baginda berkata kepada kaumnya sebagaimana yang difirmankan di dalam ­al-Quran yang bermaksud: “Maka Nabi Shuib berpaling dari mereka, kemudian berkata: ‘Wahai kaumku! Sesungguhnya aku menyampaikan risalah Tuhan kepadamu dan memberikan nasihat. Bagaimanakah aku akan berdukacita atas orang kafir?’ (Surah al-A’raf ayat 93)

Nabi Shuib berhijrah ke Aikah iaitu sebuah dusun yang tidak jauh dari Madyan. Di situ rakyatnya juga tidak ada bezanya keadaan mereka sebagaimana penduduk Madyan. Mereka juga membangkang dan menderhaka Tuhan.

Nabi Shuib tidak mengalah menyeru serta mengajar mereka menyembah Allah. Nabi Shuib menjelaskan kepada mereka seksaan yang bakal menimpa bagi yang menderhaka kepada Allah.

Peringatan! Informasi di blog ini dipetik daripada pelbagai sumber untuk bahan bacaan kepada pembaca kami dan tidak boleh dijadikan sebagai bahan rujukan utama. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang masalah atau kemudaratan hasil daripada bacaan di blog ini Terima kasih..

0 comments:

Post a Comment