28 August 2010

Kisah Nabi Ismail Reda disembelih

Posted by Admin  |  at  8/28/2010 05:32:00 pm No comments

Nabi Ismail adalah anak Nabi Ibrahim dan ibunya Siti hajar. Nabi Ibrahim mempunyai dua orang isteri yang pertama Siti Sarah di mana perkahwinan beliau dengan Siti Sarah pada peringkat awal tidak dikurniakan anak.

Baginda kemudian berkahwin dengan Siti Hajar yang juga hamba sahaya Raja Mesir. Isteri pertama baginda, Siti Sarah tidak dapat melahirkan anak pada usia muda kerana mandul.

Siti Sarah sentiasa menginginkan zuriat dan hanya selepas usianya lanjut dia dikurniakan seorang putera bernama Ishak. Siti Sarah sebenarnya tidak selesa meletakkan Siti Hajar sebagai madunya.

Begitulah lumrah sifat wanita apatah lagi madunya sudah mampu melahirkan anak sedangkan dia sendiri belum dapat merasainya.

Nabi Ibrahim kemudian berhijrah bersama isterinya Siti Hajar bersama putera beliau Ismail ke Makkah yang waktu itu masih lautan padang pasir yang belum didiami walau seorang manusia pun.

Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud: "Ya Tuhan kami! Sesungguhnya aku menempatkan anak keturunan aku di lembah yang tiada tanaman (Makkah) dekat Kaabah yang mulia. Ya Tuhan kami! semoga mereka tetap mendirikan solat. Hendaklah Engkau jadikan hati manusia rindu kepada mereka, berilah mereka rezeki yang berupa buah-buahan mudah-mudahan mereka mengucapkan syukur kepada Tuhan." (Surah Ibrahim ayat 37).

Sepeninggalan Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan puteranya Ismail tinggal berdua di kawasan terpencil dan sunyi itu. Mereka harus menerima nasib yang ditakdirkan Allah ke atas dirinya dengan penuh kesabaran dan keyakinan terhadap perlindungan-Nya.

Makanan dan minuman yang dibawanya dalam perjalanan akhirnya habis dimakan selama beberapa hari sepeninggalan Nabi Ibrahim. Ketika Hajar kehabisan air, dia terasa haus dan susunya semakin berkurangan. Bayinya Ismail turut lapar kerana kekurangan susu. Ibu menjadi panik dan cemas mendengar tangisan anaknya yang begitu menyayat hati. Dia menoleh ke kanan dan ke kiri sambil berlari-lari anak mencari air.

Namun usahanya sia-sia. Demi memikirkan kehidupan anak yang tersayang, Siti Hajar bermundar-mandir berlari-lari anak sehingga tujuh kali di antara bukit Safa dan Marwah. Siti Hajar akhirnya duduk termenung kerana penat dan hampir berputus asa. Diriwayatkan bahawa ketika Siti Hajar berada dalam keadaan tidak bermaya dan hampir putus asa itu datanglah rahmat dari Allah bersama pertolongan-Nya. Malaikat Jibril turun lalu bertanya: "Siapakah sebenarnya engkau? Aku adalah hamba sahaya Ibrahim," jawab Siti Hajar. "Kepada siapa engkau diamanahkan di sini?" Tanya Jibril. "Hanya kepada Allah," jawab Siti Hajar. Lalu berkata Jibril; "Jika demikian, maka engkau diamanahkan kepada zat yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih, yang akan melindungimu, memenuhi keperluan hidupmu dan tidak akan mensia-siakan kepercayaan Ibrahim kepada-Nya." Siti Hajar kemudian diajak pergi bersamanya ke satu tempat di mana Jibril memijakkan telapak kakinya sekeras-keras mungkin di atas tanah. Dengan serta merta terpancut air yang jernih pada tempat itu berikutan kekuasaan Allah. Ia di kenali sebagai air Zam Zam yang hingga kini masih ada telaganya.

Sejarah menyebutkan mata air itu dikenali sebagai 'Injakan Jibril'. Siti Hajar terasa amat gembira dan lega melihat air yang terpancut itu. Dia segera membasahkan puteranya dengan menggunakan air Zam Zam untuk mengembalikan kesegaran bayinya. Raut wajah Siti Hajar kelihatan ceria dan bahagia menerima kedatangan mukjizat dari Allah itu.

Allah mengembalikan kesegaran hidup kepada mereka berdua anak beranak sesudah dibayangi kematian akibat kebuluran. Malaikat Jibril berkata: "Wahai Siti Hajar! Janganlah engkau takut akan kehausan ketika berada di sini kerana sesungguhnya Allah menjadikan air ini sebagai bekalan minuman buat seluruh penghuni kawasan ini. Air ini akan terus mengalir tanpa henti dan Ibrahim akan kembali semula ke sini untuk mendirikan kaabah.

Pada satu hari, tibalah rombongan masyarakat Arab Jurham. Mereka secara kebetulan terasa kehausan sehingga mencari bekalan air. Mereka kemudian memerhatikan burung yang berterbangan ke arah sebuah bukit. Masyarakat Arab tahu bahawa biasanya burung itu gemar kepada air. Mereka mengagak bahawa di sana pasti ada air lalu berjalan menuju ke arah bukit itu untuk mencari air. Sangkaan tepat mereka mendapatkan air dan bertemu dengan Siti Hajar bersama bayinya Ismail. Mereka meminta air kepada Siti Hajar untuk diminum sehingga puas.

Nabi Ibrahim kembali ke Makkah untuk menemui anak dan isterinya. Baginda terkejut melihat air yang memancut tanpa henti dan sungguh banyak sekali. Siapa yang tidak merasa bahagia apabila berjumpa dengan keluarga selepas lama berpisah. Begitulah keadaan Nabi Ibrahim ketika bertemu dengan anaknya Ismail dan isterinya Siti Hajar di Makkah.

Siti Hajar menceritakan pengalaman hidup kepada suaminya. Nabi Ibrahim memuji kebesaran Allah yang mengabulkan doanya. Kemudian Nabi Ibrahim mendirikan Kaabah (Baitullah) yang menjadi kiblat seluruh umat Islam beribadah kepada Allah.

Pada satu ketika, sewaktu Nabi Ismail berusia remaja, Nabi Ibrahim bermimpi bahawa baginda perlu menyembelih Ismail. Mimpi itu adalah salah satu cara penyampaian wahyu daripada Allah kepada Nabi pilihannya. Perintah yang diterimanya dalam mimpi itu harus dilaksanakan Nabi Ibrahim. Baginda duduk sejurus termenung memikirkan ujian yang berat yang perlu dihadapinya. Baginda berfikir, sebagai seorang ayah yang dikurniakan seorang putera selepas puluhan tahun perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh ayahnya.

Seorang putera yang diharapkan sebagai pewaris dan penyambung zuriat keturunan terpaksa dijadikan korban oleh ayahnya sendiri. Sebagaimana disebutkan dalam al-Quran yang bermaksud: "Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah akan pendapatmu! Baginda menjawab: Wahai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu: Insya-Allah kamu akan melihat diriku sebagai golongan orang-orang sabar." (Surah as-Shaffaat ayat 102).

Perintah Allah dilaksanakan ayahnya Ibrahim. Allah berfirman yang bermaksud: "Kami menyeru kepada Ibrahim: "Sesungguhnya engkau menurut mimpi itu dan Kami akan membalas kepada orang yang melakukan kebaikan dan sesungguhnya ini adalah cubaan yang terang dari Allah, maka kami tebus anaknya itu dengan seekor biri-biri besar." (Surah as-Shafaat ayat 104-107).

Selepas meningkat dewasa Nabi Ismail berkahwin dengan seorang wanita dari Jurhum. Baginda merasa bahagia mendirikan rumah tangga bersama isterinya. Walaupun Ismail sudah dewasa dan berkeluarga, Nabi Ibrahim tidak lupa mengunjunginya sekali-sekala kerana kerinduan kepada puteranya.

Pada satu ketika, dalam kunjungan Nabi Ibrahim ke Makkah, baginda datang ke rumah Nabi Ismail tetapi baginda tiada di rumah. Ketika berbual bersama isteri Ismail, dia mengeluh memikirkan keadaan rumah tangganya dan kehidupan mereka yang melarat.

Isteri Ismail itu juga tidak menjamu sesuatu pun kepada tetamunya itu. Nabi Ibrahim meminta diri dan berpesan kepada menantunya agar menyampaikan salamnya kepada Ismail disertai nasihat supaya ambang pintu rumahnya diubah dan diganti. Selepas itu, Nabi Ismail pun pulang dan isterinya menyampaikan khabar berita dan pesan tetamunya tadi. Isterinya turut memberitahu bahawa Nabi Ibrahim berpesan, agar pintu rumahnya diganti.

Nabi Ismail segera mengetahui bahawa tetamu tua yang dimaksudkan itu adalah ayahnya, Nabi Ibrahim. Maksud nasihat itu alah agar ia menceraikan isterinya. Nasihat itu segera dilaksanakan Nabi Ismail. Isterinya diceraikan dan dikembalikan kepada keluarganya. Tidak lama kemudian baginda menyunting seorang gadis lain yang juga berasal daripada suku Bani Jurhum sebagai isteri barunya. Tidak lama kemudian, Nabi Ibrahim datang mengunjungi puteranya di Makkah dan kali ini baginda tidak dapat menemui Ismail di rumah.

Baginda mengetuk pintu rumah, isteri Nabi Ismail yang baru keluar lalu mempelawanya masuk. Dia menerima kunjungan ayah mentuanya dengan wajah manis dan peramah. Nabi Ibrahim bertanyakan mengenai keadaan suaminya dan rumah tangganya. Isteri Nabi Ismail menerangkan suaminya masih kuat mencari nafkah walaupun keadaan rumah tangganya sudah cukup baik, sejahtera dan bahagia.

Melihat perwatakan menantunya menyambut serta menerima dan kata-kata manis yang memberikan kepuasan hati. Nabi Ibrahim meminta diri dan meninggalkan rumah dan berpesan kepada menantunya agar menyampaikan salam kepada Ismail supaya ambang pintu rumahnya dipertahankan. Ia tidak perlu diubah atau diganti kerana masih cukup kuat.

Begitulah gambaran ketinggian dan ketaatan Nabi Ismail dalam melaksanakan perintah Allah. Nabi Ismail dianugerahkan Allah keturunan yang ramai. Anaknya adalah pemimpin kaumnya dan mereka di kenali sebagai masyarakat Arab Musta'ribah. Untuk mengembalikan bangsa Arab terselamat daripada kesesatan menyembah berhala, Allah mengutuskan seorang nabi yang berasal daripada keturunan Nabi Ismail dan Ibrahim iaitu Nabi Muhammad.
credit to harianmetro

Peringatan!

Informasi di blog ini dipetik daripada pelbagai sumber untuk bahan bacaan kepada pembaca kami dan tidak boleh dijadikan sebagai bahan rujukan utama. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang masalah atau kemudaratan hasil daripada bacaan di blog ini Terima kasih..

Get Updates

Subscribe to our e-mail newsletter to receive updates.

Share This Post

Related posts

0 comments:

    Followers

© 2013 Kisah Nabi & Rasul. WP Theme-junkie© Distributed by Kaizentemplate. converted by Bloggertheme9
Blogger templates. Proudly Powered by Blogger.
back to top