Home » » Alam menyintai Nabi Yahya

Alam menyintai Nabi Yahya



YAHYA adalah seorang nabi yang menjadi cermin ibadah, zuhud dan cinta. Nabi Yahya mengungkapkan cinta kepada semua makhluk.

Baginda dicintai manusia, burung-burung, binatang buas, bahkan gurun dan gunung. Darah Nabi Yahya tertumpah ketika baginda mempertahankan kebenaran yang disampaikannya di istana raja yang zalim. Peristiwa tragis itu berkaitan dengan seorang pelacur. Yahya hidup sezaman dengan Nabi Isa. Kelahiran Yahya dipenuhi banyak mukjizat. Baginda lahir ketika ayahnya Nabi Zakaria berusia lanjut sehingga hampir putus asa mendapat keturunan. Baginda lahir melalui doa suci Nabi Zakaria. Ketika kecil, Yahya tidak seperti kanak-kanak lain. Yahya suka memberi makan kepada binatang dan burung, malah baginda makan daun pohon atau buahnya. Ketika usia dewasa, wajahnya semakin bersinar dan hatinya penuh dengan hikmah dan cinta kepada Allah. Yahya suka membaca. Ketika masih kecil, Allah memanggilnya: “Wahai Yahya, ambillah Kitab (Taurat) itu dengan sungguh-sungguh. Dan Kami berikan kepadanya hikmah selagi kanak-kanak.” Yahya mendapatkan perintah di saat Baginda masih kecil untuk mengambil kitab dengan kekuatan. Yahya seorang yang alim di zamannya dan paling banyak menerima hikmah. Baginda mempelajari syariat secara sempurna dan mampu me­nyelesaikan persoalan antara manusia dan menjelaskan rahsia agama. Yahya seseorang yang sangat dicintai masyarakatnya kerana dia memang seorang penya­yang, bertakwa, alim dan berbudi mulia. Baginda keluar dan ke gunung dan kebun bahkan gurun dan tinggal selama berbulan-bulan untuk menyembah Allah dan menangis di hadapan-Nya. Baginda makan belalang dan rumput selain tidur di gua yang ditemuinya sama ada gunung atau lubang.

Kadangkala ketika masuk ke gua, baginda bertemu haiwan buas seperti serigala atau singa, tetapi kesibukan berzikir kepada Allah dan bersolat menyebabkan baginda tidak mempedulikan haiwan itu.

Lebih pelik, haiwan buas itu menundukkan kepala ketika melihat Nabi Yahya dan mening­galkan tempat itu kerana tahu kenabiannya.

Baginda tidak takut memberi makan kepada haiwan buas dengan penuh kasih sayang, malah ada kalanya terpaksa berlapar untuk memberi makanan kepada binatang.

Solat dan zikir adalah makanan batinnya. Baginda bermalam dalam keadaan air matanya berlinangan saat berzikir kepada Allah dan sentiasa bersyukur kepada-Nya. Ketika Nabi Yahya berdiri di depan manusia untuk mengajak mereka menyembah Allah, baginda mampu membuat mereka menangis. Pada suatu hari, Nabi Yahya keluar menemui manusia. Masjid dipenuhi orang ramai dan baginda mula berbicara: “Sesungguhnya Allah memerintahkan aku untuk menyampaikan kalimat yang aku kerjakan dan aku memerintahkan kalian juga untuk mengerjakannya. “Hendaklah kalian menyem­bah Allah dan tidak me­nyekutukan-Nya. Barang siapa yang menyekutukan Allah dan menyembah selain-Nya, maka dia seperti seorang budak yang dibeli oleh majikannya lalu bekerja dan memberikan tenaganya kepada tuan selain tuannya. “Siapakah antara kalian yang ingin memiliki budak seperti itu. Dan aku memerintahkan kalian untuk melaksanakan solat. Sesungguhnya Allah melihat hamba-Nya saat mereka bersolat. Oleh kerana itu, jika kalian bersolat maka hendaklah kalian berusaha untuk khusyuk. “Aku pun memerintahkan kalian untuk berpuasa, maka siapa yang melakukan demikian, maka ia seperti seseorang lelaki yang mempunyai bingkisan yang baunya harum. Setiap lelaki ini berjalan, maka akan terpancarlah bau harum daripadanya. “Aku pun memerintahkan kalian agar banyak melakukan zikir kepada Allah maka orang seperti itu seperti seorang lelaki yang dicari-cari oleh musuhnya lalu ia segera berlindung dalam benteng yang kuat. Dan benteng yang paling kuat adalah zikrullah dan tiada keselamatan tanpa benteng itu.” Nabi Yahya mengakhiri nasihatnya dan kembali ke gurun yang tiada sesiapa selain suara angin dan pohon serta binatang buas. Di sanalah Yahya berdiri di tengah-tengah kesunyian itu. Baginda melaksanakan solat dan menangis. Kemudian berlaku pergolakan hebat antara Nabi Yahya dan pemerintah yang berkuasa. Salah seorang raja di zaman itu adalah seorang yang zalim. Dia mendengar berita mengenai Nabi Yahya. Dia hairan mengapa manusia memberikan penghormatan luar biasa kepada Nabi Yahya berbanding dirinya seorang raja.

Diceritakan, raja ingin memperkosa isteri saudaranya yang mempunyai anak perempuan yang amat jelita. Anak perempuan itu mampu melakukan tarian yang mengagumkan sambil memakai tujuh helai baju. Setiap kali menari, maka terlepaslah setiap baju yang dipakainya dan pada tarian yang terakhir dia dalam keadaan tanpa seurat benang.

Raja bertanya kepada Yahya sama ada dia boleh menikahi isteri saudaranya. Yahya menjawab, itu tidak dibolehkan. Raja mendesak perkara itu dibolehkan, tetapi Baginda tetap berkeras.

Yahya meninggalkan raja itu. Ini menimbulkan kemarahanan raja yang memerintahkan Nabi Yahya dipenjara. Ketiadaan Nabi Yahya membolehkan raja memperkosa isteri saudaranya. Anak perempuan wanita itu yang suka menari melihat Yahya ketika menghadapi perbicaraan di hadapan raja. Dia amat tertarik dengan ketampanan Yahya dan kemuliaan peribadiya.

Wanita itu jatuh cinta kepada Yahya dan menemui Baginda di penjara. Ketika itu Nabi Yahya duduk bersolat dan menangis. Wanita itu terus melihat baginda bersolat sehingga selesai. Kemudian, wanita itu meletakkan dirinya di bawah kaki Yahya dan meminta baginda mencintai dirinya. Yahya menjawab di dalam hatinya tidak ada cinta lain selain cinta kepada Allah. Wanita itu pun bangkit dari tempatnya dalam keadaan putus asa. Dia meninggalkan Yahya dengan hati dipenuhi kebencian. Dia kembali ke istana raja. Ketika akhir waktu Isyak, raja minum minuman kegemarannya, khamr dengan banyak sehingga mabuk. Penari wanita itu segera memakai pakaian tarian dan kembali kepada raja. Ketika melihat wanita itu, raja memukul rebana dan pelbagai alat muzik sehingga wanita itu menari dan menikmati tariannya.

Ketika tarian ketujuh, dia berhenti lalu memperlihatkan wajahnya sambil berkata kepada raja: “Wahai tuanku, aku ingin bertanya kepadamu.” Raja yang sedang mabuk itu berkata: “Segala sesuatu yang engkau inginkan akan kuberikan kepadamu sekarang juga.” Wanita itu berkata: “Aku menginginkan kepala Yahya bin Zakaria.” Mendengar perkataan itu, raja segera sedar daripada mabuknya lalu amat takut.

Dia berkata: “Mintalah kepadaku perkara yang lain.” Wanita itu berkata: “Aku menginginkan darah Yahya bin Zakaria.” Raja berkata: “Bunuhlah Yahya!” Akhirnya, raja mengeluarkan perintah kepada ternteranya membunuh Yahya. Demikian berakhir ajal Yahya, seorang pesuruh Allah.

Peringatan! Informasi di blog ini dipetik daripada pelbagai sumber untuk bahan bacaan kepada pembaca kami dan tidak boleh dijadikan sebagai bahan rujukan utama. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang masalah atau kemudaratan hasil daripada bacaan di blog ini Terima kasih..

0 comments:

Post a Comment