Home » » Kisah Hajarul Aswad

Kisah Hajarul Aswad


Ketika Nabi Ibrahim a.s bersama anaknya membina Kaabah banyak kekurangan yang dialaminya. Pada mulanya Kaabah itu tidak ada bumbung dan pintu masuk. Nabi Ibrahim a.s bersama Nabi Ismail bertungkus lumus untuk menjayakan pembinaannya dengan mengangkut batu dari berbagai gunung.
Dalam sebuah kisah disebutkan apabila pembinaan Kaabah itu selesai,ternyata Nabi Ibrahim masih merasakan kekurangan sebuah batu lagi untuk diletakkan di Kaabah. Nabi Ibrahim berkata kepada Nabi Ismail, “Pergilah engkau mencari sebuah batu yang akan aku letakkan sebagai penanda bagimanusia.”
Kemudian Nabi Ismail a.s pun pergi dari satu bukit ke satu bukit untuk mencari batu yang baik dan sesuai. Ketika Nabi Ismail a.s sedang mencari batu di sebuah bukit, tiba-tiba datang malaikat Jibril a.s memberikan sebuah batu yang cantik. Nabi Ismail dengan segera membawa batu itu kepada Nabi Ibrahim a.s. Nabi Ibrahim a.s. merasa g embira melihat batu yang sungguh cantik itu, beliau menciumnya beberapa kali. Kemudian Nabi Ibrahim a.s bertanya, “Dari mana kamu dapat batu ini?”
Nabi Ismail berkata, “Batu ini kuterima daripada yang tidak memberatkan cucuku dan cucumu (Jibril).”
Nabi Ibrahim mencium lagi batu itu dan diikuti oleh Nabi Ismail a.s. Sehingga sekarang Hajar Aswad itu dicium oleh orang-orang yang pergi ke Baitullah. Siapa sahaja yang bertawaf di Kaabah disunnahkan mencium Hajar Aswad. Beratus ribu kaum muslimin berebut ingin mencium Hajar Aswad itu,yang tidak mencium cukuplah dengan memberikan isyarat lambaian tangan sahaja.
Ada riwayat menyatakan bahawa dulunya batu Hajar Aswad itu putih bersih,tetapi akibat dicium oleh setiap orang yang datang menziarahi Kaabah, ia menjadi hitam seperti terdapat sekarang. Wallahu a’alam.
Apabila manusia mencium batu itu maka timbullah perasaan seolah-olah mencium ciuman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Ingatlah wahai saudara-saudaraku, Hajar Aswad itu merupakan tempat diperkenan doa. Bagi yang ada kelapangan, berdoalah di sana, Insya Allah doanya akan dikabulkan oleh Allah s.w.t..
Jagalah hati kita sewaktu mencium Hajar Aswad supaya tidak menyengutukan Allah s.w.t., sebab tipu daya syaitan kuat di Tanah Suci Mekah.
Ingatlah kata-kata Khalifah Umar bin Al-Khattab apabila beliau mencium batu itu (Hajar Aswad) : “Aku tahu, sesungguhnya engkau hanyalah batu biasa. Andaikan aku tidak melihat Rasulullah s.a.w. menciummu, sudah tentu aku tidak akan melakukan (mencium Hajar Aswad).”









PENGADILAN PERLETAKAN HAJARUL ASWAD
Peristiwa ini berlaku pada waktu masyarakat Makkah sedang sibuk disebabkan oleh bencana banjir besar yang turun dari gunung. Banjir ini telah menimpa dan meretakkan dinding-dinding Ka'bah yang sememangnya sudah lapuk kerana pernah terbakar. Oleh itu, dinding-dinding Ka'bah ini perlu dibaiki agar ianya elok seperti sediakala. Tambahan pula, setiap tahun ribuan manusia akan berkunjung ke Ka'bah untuk menunaikan haji.

Sebelum itupun pihak Quraisy memang sudah memikirkan untuk membaiki Ka'bah. Tempat yang tidak beratap itu menjadi sasaran pencuri mengambil barang-barang berharga di dalamnya. Hanya saja Quraisy merasa takut; kalau bangunannya diperkuat, pintunya ditinggikan dan diberi beratap, dewa Ka'bah yang suci itu akan menurunkan bencana kepada mereka. Sepanjang zaman jahiliyyah, keadaan mereka diliputi oleh pelbagai macam legenda dan kepercayaan karut yang mengancam sesiapa yang berani mengadakan sesuatu perubahan. Dengan demikian perbuatan itu dianggap tidak sepatutnya dilakukan. Tetapi sesudah mengalami bencana banjir, tindakan demikian itu adalah suatu keharusan, walaupun masih serba takut-takut dan ragu-ragu. Suatu kebetulan pula, telah terjadi sebuah kapal milik seorang pedagang Rumawi bernama Baqum yang datang dari Mesir, terhempas di laut dan pecah. Sebenarnya Baqum ini seorang ahli bangunan yang mengetahui juga soal-soal perdagangan. Sesudah Quraisy mengetahui hal ini, maka berangkatlah al-Walid bin al-Mughira dengan beberapa orang dari Quraisy ke Jeddah. Kapal itu dibelinya dari pemiliknya, yang sekalian diajaknya berunding supaya sama-sama datang ke Makkah bagi membantu mereka membina Ka'bah kembali. Baqum menyetujui permintaan itu. Pada waktu itu di Makkah ada seorang Kopti yang mempunyai keahlian sebagai tukang kayu. Persetujuan tercapai bahawa dia pun akan bekerja dengan mendapat bantuan Baqum. Sudut-sudut Ka'bah itu oleh Quraisy dibahagikan kepada empat bahagian. Setiap qabilah mendapat satu sudut yang harus dirombak dan dibina kembali. Sebelum bertindak melakukan perombakan itu, mereka masih ragu-ragu dan khuatir akan mendapat bencana. Kemudian al-Walid bin al-Mughira tampil ke depan dengan sedikit takut-takut. Setelah dia berdoa kepada dewa-dewanya, dia mulai merombak bahagian sudut selatan. Tinggal lagi orang menunggu-nunggu apa yang akan dilakukan Tuhan nanti terhadap al-Walid. Tetapi setelah ternyata sehingga pagi tiada terjadi apa-apa, mereka pun ramai-ramai merombaknya dan memindahkan batu-batu yang ada. Rasulullah SAW juga turut membawa batu-batu itu. Setelah mereka berusaha membongkar batu hijau yang terdapat di situ tetapi tidak berhasil, dibiarkannya batu itu sebagai tapak bangunan. Orang-orang Quraisy mula mengangkut batu-batu granit berwarna biru dari gunung-gunung di sekitar tempat itu, dan pembinaan pun segera dimulakan. Setelah bangunan itu setinggi orang berdiri dan tiba saatnya meletakkan Hajarul Aswad yang disucikan di tempatnya semula di sudut timur, maka timbullah perselisihan di kalangan Quraisy, siapa yang seharusnya mendapat kehormatan meletakkan batu itu di tempatnya. Demikian memuncaknya perselisihan itu sehingga hampir saja timbul perang saudara kerananya. Keluarga 'Abdud-Dar dan keluarga 'Adi bersepakat tidak akan membiarkan qabilah yang mana pun campur tangan dalam kehormatan yang besar ini. Untuk itu mereka mengangkat sumpah bersama. Keluarga 'Abdud-Dar membawa sebuah bekas berisi darah. Tangan mereka dimasukkan ke dalam bekas itu guna memperkuatkan sumpah mereka. Kerana itu peristiwa ini diberi nama La'aqatud-Dam, yakni 'jilatan darah'. Abu Umayyah bin al-Mughira dari Bani Makhzum, adalah orang yang tertua di antara mereka, dihormati dan dipatuhi. Setelah melihat keadaan sebegitu, dia berkata kepada mereka, "Serahkanlah keputusan masalah kamu ini di tangan orang yang pertama sekali memasuki pintu Shafa ini pada esok pagi". Lalu mereka pun menunggu pada awal pagi untuk melihat siapakah orang yang pertama memasuki pintu Shafa tersebut. Maka orang tersebut ialah Muhammad Rasulullah SAW. Tatkala mereka melihat Rasulullah SAW adalah orang yang pertama memasuki tempat itu, mereka berseru, "Ini al-Amin, kami dapat menerima keputusannya." Lalu mereka menceritakan peristiwa itu kepadanya. Baginda pun mendengarkan dan sudah melihat di mata mereka betapa berkobarnya api permusuhan itu. Baginda berfikir sebentar, lalu katanya, "Bawakan ke mari sehelai kain". Setelah kain dibawakan, dihamparkannya dan diambilnya batu itu sendiri dengan tangannya yang mulia itu lalu diletakkan Hajarul Aswad itu ke atas kain tersebut dengan tangannya sendiri, kemudian katanya, "Hendaknya setiap ketua kabilah memegang hujung kain ini." Mereka bersama-sama membawa kain tersebut ke tempat batu itu akan diletakkan. Lalu Rasulullah SAW mengeluarkan batu itu dari kain dan meletakkannya di tempatnya. Dengan demikian perselisihan itu berakhir dan bencana dapat dihindarkan.
Lantaran keputusan hukum yang sangat adil itu, sangatlah gembira hati orang dan bertambah hormat orang kepadanya, meskipun Rasulullah SAW pada waktu itu baru seorang anak muda. Bertambah masyhurlah Rasulullah SAW dan gelaran al-Amin itu sentiasa menjadi sebutan penduduk-penduduk Makkah.
Quraisy menyelesaikan bangunan Ka'bah sampai setinggi 18 hasta (± 11 meter), dan ditinggikan dari tanah sedemikian rupa, sehingga mereka dapat menyuruh atau melarang orang masuk. Di dalam itu mereka membuat enam batang tiang dalam dua deretan dan di sudut barat sebelah dalam dipasang sebuah tangga naik sampai ke teras di atas lalu diletakkan berhala Hubal di dalam Ka'bah. Juga di tempat itu diletakkan barang-barang berharga lainnya, yang sebelum dibina dan diberi beratap sering menjadi sasaran pencurian. Mengenai umur Muhammad Rasulullah SAW sewaktu membina Ka'bah dan memberikan keputusannya tentang batu itu, masih terdapat perbezaan pendapat. Ada yang mengatakan berumur 25 lima tahun. Ibnu Ishaq berpendapat umurnya 35 tahun. Kedua pendapat itu baik yang pertama atau yang kemudian, sama saja; tapi yang jelas cepatnya Quraisy menerima ketentuan orang yang pertama memasuki pintu Shafa, disusul dengan tindakan Baginda mengambil batu dan diletakkan di atas kain lalu mengambilnya dari kain dan diletakkan di tempatnya dalam Ka'bah, menunjukkan betapa tingginya kedudukan Baginda di mata penduduk Mekah, betapa besarnya penghargaan mereka kepadanya sebagai seorang yang berjiwa besar. Adanya pertentangan antara qabilah, adanya persepakatan La'aqatud-Dam ('Jilatan Darah'), dan penyerahan keputusan kepada sesiapa yang mula-mula memasuki pintu Shafa, menunjukkan bahwa kekuasaan di Makkah sebenarnya sudah jatuh. Kekuasaan yang dulu ada pada Qushayy, Hasyim dan Abdul Muthalib sekarang sudah tiada lagi. Adanya pertentangan kekuasaan antara keluarga Hasyim dan keluarga Umayyah sesudah kematian Abdul Muthalib memberikan kesan yang besar kepada politik Makkah.

Peringatan! Informasi di blog ini dipetik daripada pelbagai sumber untuk bahan bacaan kepada pembaca kami dan tidak boleh dijadikan sebagai bahan rujukan utama. Pihak kami tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang masalah atau kemudaratan hasil daripada bacaan di blog ini Terima kasih..

0 comments:

Post a Comment